Archive for the ‘Prof Mohamad Abu Bakar’ Tag

Mohamad Abu Bakar: Pandangan-Dunia dan Peradaban – Dakwah dan Pentamadunan

Kertas kerja Profesor Mohamad Abu Bakar yang dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

untuk versi cetak dalam format pdf: Klik di sini

***************

PANDANGAN-DUNIA DAN PERADABAN – Dakwah dan Pentamadunan[1]

Profesor Mohamad Abu Bakar

Pengenalan

Dakwah dalam ertikata  penyeruan kepada Islam sekaligus bertindak sebagai  pentamadunan apabila manusia dan masyarakat yang menjadi sasarannya terolah oleh pandangan-dunia tauhid.  Pengasasan dan pemupukan kehidupan Islamiyyah oleh Rasulullah S.A.W di Mekah dan Madinah jelas mengandongi misi peradaban ini, sebagaimana pengenalannya di Alam Melayu yang telah turut membawa kepada transformasi budaya. Sebagai addin, Islam berfungsi melewati dan melepasi batas-batas konvensional agama dalam penghayatannya; penganutannya semestinya membawa kepada konsekwen meluas dan mendalam sehingga ia mencecah kesemua segi  kehidupan,  dan di  semua peringkat kewujudan.  Tegasnya, peradaban daripada sudut Islam tidak dibatasi oleh geografi,  ia itu tertumpu kepada bandar, sebagaimana yang lazimnya difahami hari ini,  tetapi  menyangkuti dan  menyerta-sama  kesemua dimensi selama dan selagi ia terbentok oleh nilai-nilai keislaman. Sebagaimana yang ditegaskan oleh sebuah Hadith, Islam itu tinggi,dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.  Ini adalah ciri-ciri intrinsik sesebuah peradaban, sama ada ia diterima atau tidak oleh pihak lain.

Kehidupan di Mekah dan di Madinah tergubah oleh pandangan-dunia tauhid, dan perkembangannya  yang dituruti oleh pengamalan agama di zaman Khalifah Al-Rashidun,  Ummayah , Abbasiyyah dan sebagainya, memuat jalur-jalur ketamadunan.  Rasulullah S.A.W  sebagai pembawa risalah Islamiyyah merupakan peradaban yang berjalan, lantaran baginda adalah manifestasi al-Quran sebagaimana yang dinukilkan oleh Aisyah, dan pembawaannya  ini seterusnya menjadi role-model kepada setiap Muslim hingga hari ini. Pengkisahan mengenai nabi pilihan ini bukan sahaja lengkap dan menyeluruh,  melibatkan kedudukannya sebagai suami dan bapa, pemerintah dan pentadbir, negarawan dan diplomat,  sahabat dan pejuang di medan perang, tetapi juga berlangsung in the full light of history. Ini menjadikan kehadirannya di pentas sejarah begitu bermakna dan berimpak sekali daripada segi pembinaan peradaban.  Pengaruh pentamadunan atau civilizing influence ini berterusan dihidupkan oleh generasi seterusnya.

Dimanakah terletaknya DakwahSemasa dalam keperihalan keadaan ini?

Visi, Isi dan  Destinasi Peradaban Dalam Dakwah

Peradaban Islam sedia dikerangkakan oleh pandangan-dunia tauhid,  sementara visi, isi dan destinasinya menyerlah menerusi dakwah.  Periode dakwah selama 13 tahun pertama di Mekah tertumpu kepada pembinaan aqidah, yang diperkukuh oleh pengubahan hidup di peringkat peribadi dan kemasyarakatan. Pengluasan pengaruh Islam sesudah itu bertitik tolak daripada fundamental yang serupa, walaupun kehidupan ketamadunan semakin diwarnai oleh keadaan tempatan dan kahendak semasa. Variasi yang wujud dalam kehidupan Islamiyyah mengekalkan tema ketauhidannya. Inilah yang dimaksudkan oleh Ismail Faruqi apabila beliau merumuskan bahawa “Tawhid is that which gives Islamic civilization its identity, which binds all its constituents together and thus makes of them an integral, organic body which we call civilization”. Sebaliknya peradaban moden berkembang bebas mengikut nafsu dan naluri manusia, sehingga manusia dipertuhankan dan Tuhan dimanusiakan.  Kedua-duanya bertindak secara kumulatif; perbedaannya, pentamadunan dalam Islam bersifat purposive, ia itu God-centred, manakala pentamadunan Barat khasnya ditentulah oleh idea kemajuan yang dicorakkan oleh humanisme dan materialisme, sehingga membawa kepada kepercayaan  bahawa hari ini semestinya lebih baik daripada kelmarin, dan besok semestinya lebih baik daripada hari ini.

Dakwah menyediakan kerangka tauhid, dalam bentok keimanan; dakwah mempastikan pengamalan nilai-nilai Islam sebagai kandongan peradaban; dan dakwah menganjurkan pemurnian akhlak manusia sebagai individu dan anggota kolektiviti dalam sesebuah wadah. Dalam konteks ini, manusia secara perseoranganpun  boleh dan telah muncul sebagai peradaban;  tetapi  sekiranya mereka berkeupayaan dan berkedudukan mengangkat diri secara berkumpulan maka akan lahir gubahan yang lebih besar di peringkat kebangsaan atau kenegaraan atau keumatan. Paradigma peradaban ini sedia terungkap dalam al-Quran dan Seerah, sekalipun penjelmaannya mengambil kira lokasi dan situasi, sehingga sejarah ummah ditandai oleh kepelbagaian tamadun Islam. Lain zaman melahirkan peradaban Islam yang tidak seratus peratus sama sekalipun setelah didekati oleh dakwah yang berorientasikan ketuhanan.

Sahubungan ini, dakwah bukan setakat bertindak sebagai  instrumen dalam pembinaan peradaban; ia serentak adalah media, mesej dan matlamat dalam tamadun Islam.  Anjuran al-Quran supaya penyeruan kepada Islam dibuat dengan bijak atau berhikmah, dan perbahasan mengenainya dibuat dengan lebih bijak  atau lebih berhikmah(an-Nahl:125) menjelaskan betapa dakwah sebagai saluran begitu sarat dengan nilai-nilai peradaban.  Pembentangan Islam oleh Rasulullah S.A.W dihiasi dengan kebijaksanaan serupa di sepanjang kerasulannya; bagaimana baginda menangani karenah anak-anak muda yang menyeranginya di Taif, bagaimana baginda mendamaikan hati seorang penzina yang berkeinginan memelok Islam, dan bagaimana baginda mengekang jiwa si pencuri yang bertanyanya tentang agama. Kesemuanya memaparkan pertimbangan strategik, ia itu perkiraan masa jangka panjang, kepentingan lebih menyeluruh, sama ada untuk Islam atau pemeloknya.  Pendekatan berhemah dan berjiwa besar adalah pendekatan peradaban.

Mesej atau kandongan  Islam lebih-lebih lagi dipenuhi oleh nilai-nilai tinggi. Dengan bersandarkan doa berikut yang mendapat pemberatan daripada Rasulullah S.A.W sendiri,  orang Islam dituntut supaya mengejar kebahgian dan keindahan dalam kehidupan: “Ya Tuhan, berilah daku kebaikan di dunia dan kebaikan di Akhirat, dan jauhlah daku daripada api neraka”.  Sekalipun,  ciri-ciri kebaikan juga terungkap dalam penganjuran supaya berniat ‘baik’, bersangka ‘baik’, bertutur sesuatu yang ‘baik’, memakan makanan yang halal dan ‘baik’, berbuat ‘baik’ kepada kedua-dua ibubapa dan membalas kebaikan dengan sesuatu yang lebih ‘baik’, kebaikan yang lebih menyeluruh ialah mentaati Allah dan mematuhi Shariah. Itulah matlamat dakwah, dan penghujung daripada perjalanan ini ialah kebaikan di Akhirat, ia itu keredaan Ilahi dan syurgaNya.

Oleh yang demikian, uslub dan objektif dakwah seharusnya memenuhi syarat ini.

Dunia Sebagai Medan Dakwah

Islam  muncul di pentas dunia sebagai agama universal,  sepadan dengan sifat dan status kesejagatan dunia itu sendiri. Bukan sahaja mesejnya  yang komfrehensif, meliputi dan mencakupi segala dimensi kehidupan,  medan dakwahnya sudah sedia berbentok global akibat perhubungan antarabangsa yang berkembang. Islam ringkasnya berada di persada alam kena pada tempat dan masanya. Inimenjadikan pendakwahan begitu mencabar.  Keseluruhan kemanusian menjadi sasarannya, sama ada sebagai golongan yang berpotensi diIslamkan, atau sebagai golongan yang bakal menerima naongannya. Begitulah maksud ayat al-Quran apabila ia menyebut kedudukan Rasulullah S.A.W  sebagai rahmat kepada seluruh sekalian alam (al-Anbiya:107). Manakala dalam sebuah surah yang lain, Allah menjelaskan betapa keperluan seluruh manusia dan seluruh alam sujud kepada Penjadinya:”Agama Islam perlu diperkembangkan sehingga tidak ada perpecahan atau perbedaan di antara satu golongan dengan golongan yang lain dan tidak ada fitnah…sehingga seluruh manusia mengakui hanya satu agama yang sebenar di sisi Allah”. (al-Anfal:39).

Sama ada sesebuah kawasan diiktirafkan sebagai gubahan peradaban setelah menerima celupan Islam,  atau keseluruhan kewujudan ummah di sepanjang sejarah dianggap sebagai sebuah tamadun besar, ia adalah suatu perkara yang boleh dipolimikkan. Namun,  apabila nilai-nilai teras peradaban berupa ajaran dan amalan ketauhidan sudah bertapak, dan penganut Islam semakin terolah oleh kerangka kehidupan baru sambil mematuhi dan mengamalkan syariah, maka semestinya telah berlaku pentamadunan.  Akhlak, atau  nilai dan norma, serta moral, adalah ciri-ciri intrinsik dalam sistem ubudiyyah ini.  Sebagaimana masyarakat Arab yang terdedah kepada dakwah Rasulullah S.A.W mengalami transformasi menyeluruh, maka begitulah juga kedudukan dan keadaan yang ditempuhi penduduk dan komuniti di Asia Selatan berikutan pengluasaan kuasa Muslim suatu ketika dahulu.  Benar bahawa konflik fizikal pernah mendahului pengenalan Islam di sesuatu kawasan,  peranan dakwah ternyata lebihbesar dan berpanjangan. Jejak Mahmud Ghazni, Muhammad Ghori dan Zaharuddin Barbar di Hindustan dituruti oleh penyibaran mesej kebenaran bertujuan mengasakan Tuhan, dan meletakkan asas kehidupan yang demokratik lagi adil. Bumi Allah di sudut dunia itu semakin dicerahi oleh sinar tauhid, dan penghuninya memperolehi keberkatan. Risalah Islamiyyah dipepanjangkan oleh Abu Ala Mawdudi, Abu Hassan Ali Nadwi dan Dr. Zakir Naik menerusi dakwah mereka yang berbagai bentok dan gaya.

Peranan dakwah di Alam Melayu lebih menyerlah dalam keadaan penyibaran agama berlangsung dengan cara aman dan berhemah,  dan ia masih merupakan ongoing process.

Dunia Malaysia masih belum sepenuhnya tertempa oleh pendakwahan sehingga membawa kepada kewujudan peradaban Islam Malaysia. Nilai-nilai tamadun Melayu-Islam yang mendasari sejarah belum berupaya mendefinasi persekitaran semasa; malah ia kini terguggat oleh globalisasi dengan muatan nilai peradaban Baratnya.

Dakwah dan Pertembongan Peradaban Semasa

Pengasasan dan penularan kehidupan baru akibat dan ekoran dakwah tidak terlepas daripada pertentangan nilai budaya, yang boleh membawa kepada pertembongan peradaban. Realiti ini wujud se awal perkembangan Islam di Mekah dan di Madinah, sehingga ia berlarutan sampai kini.

Dunia semasa telah menjadi medan pertelingkahan nilai yang semakin meluas berikutan globalisasi. Asakan pengaruh barat terutama sekali bertambah mengila dengan ketiadaan komunisme antarabangsa sebagai pencabarnya,  sementara penganut Islam juga tidak melepas peluang untuk melebar-luaskan pengaruh agamanya di serata dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat. Konflik budaya yang didasari oleh pertembongan peradaban menjadi ciri utama dewasa ini. Dakwah yang dipelupuri oleh para dai berbagai kategori dan komitmen berperanan sebagai pelupor (cutting edge ) dalam kejadian sejagat ini, sebagaimana yang terdapat di barat sendiri apabila Islam berkembang sebagai kuasa pengimbang (counrevailing force) di merata daerah.

Fenomina globalisasi  yang merempoh dunia antarabangsa semasa ini turut berpengakalan di Malaysia. Gelombang informasi dari luar lebih memungkinkan berlakunya neokolonialisme atau ‘recolonization”. Tekanan dari barat kelihatan begitu berjaya  melemah dan memperdayakan struktur sosial yang tidak  dibentengi oleh keimanan. Pemupukan demokrasi secara  berlebihan dan pembesaran liberal kapitalisme tanpa sekatan dalam kehidupan berkedudukan mengukuhkan lagi tren ini. Apabila Malaysia menjadi sebahagian daripada dunia, dan bukannya dunia menjadi sebahagian daripadanya, pengaliran berita dan cerita mernjadi perjalanan satu hala. Allah tanpa akhlak, maklumat tanpa moral, dan ilmu tanpa iman semestinya mencirikan kehidupan ini.  Natijahnya, pendedahan kepada dunia antarabangsa bermakna penggarapan selera, semangat dan sentimen luar dalam bentok pengaruh politik, ekonomi dan sosial, dan pengabongan antara kesemua gejala ini boleh menjadi arus dalam kehidupan Melayu-Muslim.  Proses pentamadunan yang ditentukan oleh pengislaman ternyata terdedah kepada bahaya dan bahana ini.

Dakwah yang bertindak sebegitu definatif di Malaysia pada tahun-tahun 70an dan 80an kini kelihatan tidak sebegitu bermaya lagi dalam keadaan ia berdepan dengan cabaran mengunung ini? Apakah ia telah terhumban ke dalam suatu dilema yang menyukar dan menyulitkan? Perkara ini pernah saya perkatakan dalam sebuah tulisan panjang dengan jodol serupa pada suatu ketika dahulu (Lihat Mohamad Abu Bakar, “Dilema Dakwah. Pengislaman dalam Era Pensejagatan”, Pemikir,  Okt.-Dis

1997, hlm. 60-89). Bahagian ini bercadang untuk mengungkap dan membangkit kembali isu yang masih relevan itu.

Pokok pangkalnya, globalisasi semasa dengan muatan nilai peradaban baratnya menempah penyeragaman sehingga mewujudkan  synergy dengan budaya hidup tempatan. Akibatnya, kedua-duanya mengalami penyuburan luar biasa, sekalipun kehidupan Muslim sejak pertengahan 70an telahpun terdedah kepada  penapisan dan pemurnian berikutan pendakwahan. Pembangunan nasional yang turut melibatkan orang Melayu juga adalah arena kepada perkembangan pelbagai falsafah dan aliran kehidupan,  sama ada yang bersifat keislaman atau yang bertentangan dengannya. Dakwah yang memerlukan kejayaan material penganutnya, kekayaan kehidupan sosialnya, dan keamanan dunia antarabangsa telah juga menjadi mangsa kepada realiti itu.

Orde sosiopolitik dan sosioekonomi yang telah mengalami gegaran lanjutan pemupukan pandangan-dunia tauhid dan pemsyarakatan Islam sebelum ini telah menerima nafas dan kekuatan baru dengan perkembangan globalisasi mutahir. Perubahan yang menyaksikan pembangunan  bersifat  kebendaan, perkembangan sosial yang semakin diresapi unsur-unsur keduniaan, dan pensejagatan persekitaran yang semakin terisi oleh komitmen luar yang bersifat sekular, kembali  menjadi arus perdana. Gejala yang menonjol ini membuat perubahan semasa seperti a replay (pengulangan atau penayangan semula) kisah-kisah enam puluhan dan awal tujuh puluhan. Tranforsmasi kehidupan yang didasari Islam semacam terhenti, dan diambil aleh oleh suatu transformasi baru yang digerak oleh nilai material, dan sekular. Dakwah ternyata tersudut dalam keperihalan keadaan ini.

Sama ada dalam arena politik, sektor ekonomi atau bidang sosial, perubahan telah mengatasi pendakwahan, sambil menenggelamkan pencapaian lama.

Politik pemerintahan, politik kepartian dan politik pilihanraya umumnya dikuasai oleh persoalan kuasa – penggunaan kuasa,  pengekalan kuasa, pengembangan kuasa, perebutan kuasa dan  perampasan kuasa.  Kuasa sebagai alat sememangnya penting, hatta dalam program pentamadunan. Tetapi sekiranya persoalan kuasa melupus dan meluput cita-cita dakwah dan objektif keislaman, maka itu adalah sesuatu yang bertentangan atau suatu negation kepada segala perancangan perdaban. Apakah ini sedang berlaku,  sehingga pertimbangan pendakwahan dan pembinaan peradaban dalam wadah dan wawasan tauhid turut sama terkorban?

Komitmen ekonomi  yang tercorak oleh pasaran bebas (free market) juga telah membebankan dakwah, sehingga aspirasi yang terkandong dalam pembangunan Islam, terutama sekali dalam aktiviti bisnes dan komersial, semakin terbenam sama. Apatah lagi terdapat di kalangan para pengusaha yang menganut falsafah “Membujur Lalu, Melintang Patah”.  Penyataan bahawa “when it comes to money, people are of the same religion” mengena sama  orang Melayu yang terheret dalam kancah ini. Seandainya, komitmen ekonomi seumpama ini mencecah paras ideologi,  maka keterlibatan dalam materialisme dan sekularisme akan menguasai kandongan hidup, sambil meminggirkan Allah dan Akhirat. Pengubahan peradaban semestinya terjejas.

Pemupukan budaya ala tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan juga menyerlah semula dalam persekitaran baru ini, dan ia  semakin tidak terolah oleh kuasa dakwah.  Pengunjungan ke pesta hiburan, dan pemakaian low-cut yang menayang pangkal buah dada, mid-drift yang mempamirkan pusat, bare-back yang mendedahkan belakang, dan hot-pant yang menelanjangkan peha, oleh wanita Melayu dan bukan-Melayu,sekalipun tidak sepopular era sebelumnya,  kembali menjadi-jadi. Penularannya seiring dengan perkembangan dakwah di di kota dan luar bandar. Kegiatan mengedar dadah dan pil khayal, berkhalwat dan bersekedudukan, mencuri dan merompak, menjadi ciri yang sama-sama berkembang dengan aktiviti usrah, qiamulail, aqiqah dan bernasyid, dan lanskap sosial yang diwarnai oleh pakaian jilbab, serban dan kopiah. Kesemuanya berkongsi pentas dan ruang yang sama dalam pertembongan budaya ini.  Kesimpulannya, ketika kehidupan dakwah membesar,  kehidupan yang bertentangan  dengannya  juga membesarlebih hebat lagi.

Nampaknya, kita boleh memanjangkan ungkapan yang dipetik di atas tentang keruntuhan akhlak dan kerosakan peradaban Islam ini, dengan penyataan “When it comes to money, power, sex and drugs, people are of the same religion”.

Paradigma Baru Dakwah dan Pembudayaan Islam

Melihat pada kelemahan dakwah sekarang, suatu pengalehan paradigma (paradigm shift) amat diperlukan dalam pengislaman; suatu pendekatan baru melibat perubahan dasar dan besar dalam pemikiran atau penyusunan hidup, dan pelaksanaan strategi guna mencapai objektif jangka jauh, termasuk peradaban Islam. Cara dan gaya lama, sekalipun pernah membuah kejayaan pada tahun-tahun 70an dan 80an, tidak memadai untuk mengurus realiti sosio-politik dan sosio-ekonomi  semasa, lebih-lebih lagi dengan pengembangan pengaruh globalisasi yang bertautan dengannya. Pelbagai persoalan yang timbul dalam kehidupan orang Melayu khususnya dan bangsa Malaysia umumnya berpunca daripada ketidakseimbangan antara  kuasa dakwah dan arus kehidupan masa kini; sama ada keadaan sekeliling telah menjadi semakin mencabar, atau kaedah pendakwahan tidak berkesan, atau kedua-duanya. Dakwah yang sedia berkembang ternyata tidak berkemampuan menangani realiti semasa lantaran ia muncul sebagai reaksi kepada kehidupan bernegara dan bermasyarakat era lain. Benar bahawa idea Islam sebagai addin berjaya di institusi dan dimasyarakatkan,  dan telah wujud penerimaan merata idea Islam sebagai penyelesaian kepada segala masalah kehidupan,  itu ternyata tidak mencukupi daripada segi problem-solving dalam konteks hari ini.  Persoalannya bukan setakat menyedarkan kerajaan dan orangramai tentang  Islam sebagai suatu cara hidup, a way of life, tetapi juga  persoalan penyelesaian masalah kehidupan yang berbagai dan membabit semua lapisan manusia dan kumpulan. Sahubungan ini, jumlah sasaran pendakwahan semestinya bertambah, pendakwahan semestinya diajukan dengan cabaran  praktis dan real daripada banyak penjuru,  di samping ia  semakin berinteraksi dengan tuntutan demokrasi,  berdepan dengan konstrain kewangan dan kekangan internasional, terutama sekali berkaitan status dan aspirasi bukan-Muslim.

Tambahan pula, beberapa isu yang pernah menarik perhatian besar dan mudah membakar perasaan umumnya sudah tidak menjadi persoalan mencabar lagi. Ini termasuklah pakaian wanita, makanan halal-haram dan penyediaan tempat beribadat. Sensitiviti yang diperlihatkan oleh pihak berkuasa mengalami pernterjemahan dalam bentok penubuhan bank Islam, pembentokan sistem takaful, dan penerapan nilai-nilai Islam. Ini sedikit sebanyak mendamaikan keadaan.

Empat komponen berikut seharusnya mendapat pemberatan dalam program dakwah dalam penetasan pelan strategik ini: pengukuhan aqidah, pengilmuan meluas, penglibatan bertambah pihak berkuasa dan penyokongan massa atau orang ramai. Tanpa komitmen tauhid yang mencukupi, ajaran bersangkutan fiqh dan akhlak, hatta apa sahaja pengetahuan, tidak boleh beroperasi dengan baik dan bermakna daripada sudut pentamadunan. Hanya idea kemajuan yang bersauhkan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat yang mampu mengurus manusia sebagai khalifah Tuhan dan sebagai agen peradaban.  Pengilmuan yang menyeluruh atau komfrehensif tentang persoalan yang sedang dihadapi amat diperlukan oleh para dai dalam persekitaran global ini. Political will yang diperkasakan oleh aspirasi keislaman perlu diperkuat dan diperkukuhkannya, kerana penguatkuasaan undang-undang Shariah dan segala yang berkaitan dengannya mesti dibelakangi oleh kuasa .Begitu juga pendirian dan  perwatakan massa, sebagai sistem sokongan yang berterusan dalam proses pentamadunan; orangramai , termasuk di kalangan ibubapa, seharusnya berkedudukan  menghayati  ideal  Islam selari dengan tuntutan al-Quran supaya mereka menjaga diri mereka dan kaum keluarga daripada api neraka.

Pengalihan paradigma yang dibentangkan dalam acuan tauhid ini perlu dijelmakan sebagai suatu strategi budaya yang berkordinasi; ia itu selaku a coodinated cultured system, yang bergerak dengan dinamisme dalamannya, bertindak sebagai pengaruh definatif, dan berfungsi dalam semua lapangan kehidupan.  Pendakwahan dirangkaikan dengan objektif kehidupan Islam dengan bermottokan “Mengejar kebaikan, Mengingati kematian”, dan bukannya sekadar dikaitkan dengan cita-cita jangka pendek seperti penghapusan rasuah dan pengekangan gejala sosial.

Salah satu daerah yang sedang menyaksi pertembongan antara Islam dan pengaruh luar ini ialah bandar dan bandaraya, dan di situlah juga dakwah berpotensi berkembang sebagai misi peradaban.  Pengapkikasian paradigma dakwah baru ini amat relevan dalam senario kota ini.

Bandar dan Bandaraya sebagai Pusat Peradaban

Bandar dan bandaraya adalah daerah yang memuat batu bata (building blocks) yang mencukupi bagi maksud pengubahan sesebuah peradaban. Di situ bukan sahaja terkumpul struktur fizikal berupa bangunan pentadbiran, pasar dan pasaraya, perpustakaan dan perumahan, tetapi juga tempat tertumpunya manusia berbagai jenis, daripada segi latarbelakang, profesion, citarasa, kecenderongan ideologi dan aspirasi masa depan.  Kota juga berfungsi sebagai pintu gerbang kepada masyarakat dan negara yang mampu mengungkap imej positif atau negatif bergantong kepada

persepsi pihak asing.  Dakwah yang terurus dengan bijak dan berkesan di bandar dan bandaraya boleh mengubah lanskap politik, sosial, ekonomi, intelektual dan fizikal, sekaligus membawa kepada transformasi bersifat peradaban.

Potensi dan peluang untuk kehidupan Islam menyerlah di bandar dan bandaraya amat besar di mana-mana, sebagaimana yang dibuktikan oleh pengalaman Mekah dan Madinah, Bagdad dan Cordova, masing-masingnya telah dinobatkan sebagai kota bertamadun. Menerusi penambahan penduduk Muslim, banyak yang mampu terhasil sehingga kota dan kotaraya semakin tercorak oleh nilai Islamiyyah dan berwajah Islam. Pusat-pusat bandar dan bandaraya tidak semestinya berupa ‘Little Mecca” atau “Little Medina”, atau bergelar ‘Bandar Islam’ atau ‘Bandaraya Islam’, yang terpentingnya ialah ciri-ciri kehidupan warganya,  sama ada bersifat Islam atau sebaliknya. Pokok pangkalnya ialah pelakuan atau perwatakan penghuninya, yang akan menentukan identiti dan imej keislaman yang dimaksudkan. Ia akan menjadi lebih bermakna sekiranya senibina bangunan, susunan penempatan dan lanskap kota dan kotaraya turut memaparkan kandongan Islam dan berkembang sebagai syiar keagamaan.

Ringkasnya, kehadiran manusia Muslim yang berimpak adalah segala-galanya, kerana tanpa itu, Islam tidak berkeupayaan mewajahkan kota dan kotaraya. Jumlah Muslim yang besar, tetapi tidak mewakili nilai-nilai Islamiyyah, tidak menjadikannya suatu  kehadiran berpengaruh.  Oleh itu, di samping mengimarahkan masjid dan surau, warga kota Muslim juga seharusnya berperanan sebagai golongan profesional yang beretika, kaum peniaga yang bertanggongjawab dan amanah, pelajar yang bermoral dan cemerlang, pemandu yang bersopan, dan jiran yang berjiwa besar. Kehadiran ribuan makmun di masjid dan kemunculan surau-surau yang berselerak tidak begitu bermakna sekiranya warga kota tidak menjelma sebagai manusia Islam yang berkualiti di mana sahaja mereka berada. Apakah ertinya sekiranya pemandu kenderaan  berlagak dengan penuh kesombongan di jalanraya, sekiranya pengunjung masjid meletakkan kereta mereka sesuka hati sehingga menimbulkan kemarahan orang lain, dan  apakah maknanya jika mereka ini berlagak seperti lanun  semasa mengharungi kesesakan lalulintas, sedangkan pada masa yang sama, tungangan mereka dihiasi pelekat ayat-ayat suci al-Quran dan sebagainya?

Percambahan jumlah kota di Malaysia seharusnya diiringi oleh kegiatan dakwah yang tersasar, jika  kita tidak mahu bandar dan bandaraya di negara ini menjadi tidak lebih daripada replika bandar dan bandaraya lain di dunia berikutan globalisasi. Pemupukan Wawasan 2020, penganjuran Islam Hadhari dan perlumbaan untuk menjadi negeri maju,  sepatutnya di kerangkakan oleh keperluan dan kepentingan dakwah Islamiyyah agar natijah atau the end results daripada segalanya itu semestinya membawa kepada pertapakan Syariah. Kalau tidak, segala langkah dan usaha seumpama itu akan menjadi sia-sia sahaja; malah kita berani mengatakan bahawa  kalau kita sekadar ingin menjadi negeri atau negara maju sebagaimana difahami di barat, maka itu barangkali boleh dilakukan dengan lebih baik oleh orang lain menerusi polisi penswastaan.  Lebih penting lagi, peluang dan ruang untuk pembentokan peradaban di bandar akan luput begitu sahaja.

Peranan dakwah semestinya besar sahubungan ini. Pada masa yang sama, kesan jangka panjang dan jangka jauh daripada pendakwahan ini juga adalah hebat. Warga kota Muslim masa kini dan masa depan memperolehi manfaat dan nikmat daripadanya. Warga kota bukan Islam juga akan berdepan dan berinteraksi dengan kebajikan dan kebaikan yang mereka lakukan, ketika mengurus perniagaan dan mengikat perjanjian, atau ketika memandu di jalanraya atau berjogging di padang.  Pengunjung dari luar negara yang datang berdagang, melancong atau berlajar atau berurusan diplomatik akan awal-awal lagi bersua dengan adegan dan amalan Islam setibanya mereka di lapangan terbang. Manakala pendatang asing yang berkhidmat sebagai buruh kasar, pembantu rumah atau pekerja ladang akan terdedah kepada cara dan gaya hidup berbudi tinggi dan bersopan berasaskan Islam.  Tentu sekali kita mahu pendatang Bangla,  Indonesia, Filipina,  Kampuche, Rohingya  dan sebagainya merasai angin peradaban Islam ini ketika berada di negara ini, dan bukannya setakat menjamu selera semasa berbuka puasa pada bulan Ramadan?

Sememangnya, cabaran yang terpaksa dihadapi oleh dakwah adalah besar dan berterusan. Pendakwah sendiri seharusnya merupakan produk yang mampu mengurus kegiatannya dengan  berkesan. Manusia dai serentak adalah mesej.  Risalah Islamiyyah tentu sekali menjadi begitu bermaya sekiranya pendukung dan pelupurnya memuat dalam dirinya segala yang baik, sebelum beliau menganjur dan memasyarakatkan kebaikan kepada pihak lain.  Penegasan al-Quran bahawa orang Islam adalah sebaik-baik umat  yang dibangkitkan untuk manusia, disebabkan misi penonjolan kebaikan dan penolakan kemungkaran,  menjelaskan betapa besarnya tanggongjawab yang terpaksa dipikul oleh penganut agama ini, lebih-lebih lagi oleh para pendakwahnya. Pendakwah perlu berwibawa dan berpendirian kukuh dari segi aqidah, beristiqamah menjalani tuntutan agama, berkelengkapan ilmu agama dan pengetahuan dunia, berfahaman strategik dan bersikap positif, kerana hanya apabila mereka berfungsi sebagai peradaban yang berjalan , maka barulah kehadirannya di persada bandar dan bandaraya menjadi benar-benar berimpak.

Sebagai pendakwah, mereka juga terpaksa bergandingan dan bersaingan dengan tokoh masyarakat dan negara yang lain, seperti ahli politik dan pemimpin korporat, penyanyi dan aktivis sosial, yang menjadi ikon dan idola di mana-mana.  Audiennya bukan sahaja besar daripada segi saiznya, tetapi juga terdiri daripada berbagai jenis manusia, termasuk yang berpendidikan tinggi dan berpangkat besar, berkehidupan mewah dan berangkaian dengan dunia global, dan yang sibuk dan yang menyibukkan. Pendakwah memerlukan kebolehan istemewa untuk kekal relevan dalam persekitaran penuh kedinamikan ini. Selanjutnya, perjalanan Islam di bandar dan bandaraya tidak terpisah daripada sejarah orang Melayu-Islam sendiri dengan pegangan keagamaan mereka yang masih bercampor aduk dengan khurafat dan bidaah, kehadiran bukan-Melayu yang berlainan agama, dan kemunculan bangsa-bangsa lain yang membanjiri negara sebagai pelajar, pekerja,  pelancong dan pelabur.  Khutbah Wada atau Penghabisan yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W dengan penegasannya kepada kewajipan menghormati keamanan dan jiwa, mengurus kehidupan dengan amanah, menjaga dan  memartabatkan wanita, memelihara ukhuwwah Islamiyyah dan sebagainya, sewajarnya dikontektualisikan dalam situasi pendakwahan di bandar dan bandaraya, lantaran di situ keperluan berbeda daripada manusia dan institusi mampu diuruskan menerusi pengaplikasian dasar-dasar universal Islam.

Dakwah Bukan Segala-galanya

Tanpa menafikan keutamaan yang telah diberikan kepada dakwah dalam penyibaran Islam, ia bukanlah segala-galanya, lantaran perjuangan politik dan perang juga telah turut berperanan dalam pembinaan peradaban. Dalam konteks pemerintahan dan pentadbiran, kahendak politik (political will) sering menjadi penentu dan pencorak dalam pengubahan hidup berperadaban, ia itu apabila pihak berkuasa mengadakan perancangan dan menyediakan dana dalam pembangunan masyarakat dan negara. Daripada perspektif strategik pula, atau dalam konteks hubungan antarabangsa, masing-masing perang dan damai mempunyai saham dalam proses pentamadunan. Peranan diplomat diimbangi oleh penglibatan soldadu. War and progress bertalian dalam sejarah, bukan sahaja disebabkan peradaban menuntut pertahanan daripada pencerobohan luar, tetapi juga kerana dalam konflik, negara semakin terjerumus dalam penyelidikan teknologi peperangan dan penciptaan peralatan baru yang kemudiannya dimanfaatkan selepas tamatnya pertelingkahan. Perang Dunia Pertama dan Kedua telah membuah kejadian ini, khasnya di Britain dan Amerika Syarikat. Kepakaran von Braun yang menghasilkan roket V-2 di bawah pemerintahan Nazi telah diterima-pakai oleh Amerika Syarikat untuk menjayakan program angkasa lepasnya. Krisis Suez pada 1956 yang menyaksi pertelingkahan di Timor Tengah menyebabkan  terciptanya di Britain kereta mini , jenis kenderaan yang kini kembali popular termasuk di Malaysia.

Sejarah Islam juga telah ditandai oleh perhubungan serupa antara politik dan peradaban, terutama sekali pada zaman-zaman khalifah Ummayah dan Abassiyyah, dan perhubungan antara perang berupa jihad dalam pembugaran peradaban di mana-mana, khasnya berikutan Perang Salib dan pengluasan kuasa Muslim di benua Kecil India. Pemerintahan Muslim menyaksikan penyusunan dan pentadbiran bandar, dalam bentok penyedian prasarana dan kemudahan awam umpamanya. Sementara dalam keperihalan perang,  Islam memupuk etikanya tersendiri dengan mengekang perwiranya daripada membunuh kanak-kanak dan wanita, merosak tanaman, hatta memijak sarang burung yang berada dalam laluan.  Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh sesungguhnya memenuhi tuntutan kehidupan dalam kerjasama dan konflik.

Akhir Kata

Apakah dewasa ini kita berada dalam permasalahan memacu dakwah dalam masyarakat dan negara?

Saya pernah berfalsafah, bahawa sesuatu yang luar biasa itu adalah tidak lebih daripada gubahan perkara-perkara biasa dalam susunan yang luar biasa. Kalau kita meneliti lirik lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Broery Marantika atau Bob Tutupoli, sama ada Angin Malam atau Mimpi Sedih, kita akan mendapati bahawa ungkapannya hanyalah kata-kata biasa sahaja, tetapi apabila ia  dialunkan dengan persembahan bergaya dan suara yang mempersonakan, maka nyayian ini menjadi begitu menakjubkan. Pada hari ini kita mempunyai batu bata, untuk menjayakan dakwah dalam masyarakat,

terdiri daripada ribuan  ulama dan lulusan agama, rancangan tv dan radio sebagai saluran ilmu, kuliah subuh dan kuliah maghrib, buku dan kitab yang memuat pengetahuan fardhu ain dan fardhu kifayah; sejauh manakah ini semua berjaya dijanakan bagi maksud pembugaran dakwah?  Dengan pengluasan ruang demokrasi dan pemupukan kebebasan  berikutan Pilihanraya Ke 12 yang lalu, pendakwah juga seharusnya teruja dan tercabar untuk menyemarakkan aktiviti mereka dengan harapan meraih faedah daripada perubahan tersebut.Seandainya ini tidak digembelingkan dalam suatu perancangan strategik, maka segalanya  boleh berlalu begitu sahaja. Bukankah perjalanan itu sebahagian daripada destinasi?


[1]       Kertas ini untuk dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

Usrah Bulanan – Mac 2012

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 6 Mac 2012 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tempat: Kediaman Sdr. D. Kamaruddin Mohd Nor

Alamat kediaman Jalan Lee Woon, off Jalan Taman Zoo View, [Belakang Zoo Negara] (klik di sini atau pada imej di bawah untuk peta)

Tajuk: (akan dimaklumkan kemudian)

Pembentang: Prof. D. Mohamad Abu Bakar

Tajuk: Umat Islam antara Ideal Keagamaan dan Realiti Kehidupan

Bahan akan diedarkan kemudian.

Usrah Bulanan – November 2010

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 2 Nov 2010 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Pembentang: Sdr. Prof. Dr. Mohamad Abu Bakar

Tempat: Kediaman Sdr. Presiden, Prof Emeritus Osman Bakar

Usrah Bulanan MUAFAKAT – November 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 3 November 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tajuk: Masa Depan Politik Berasaskan Ras dan Agama di Malaysia dan Implikasinya Kepada Islam, dan Peranan Jemaah Islamiyyah.
Pembentang: Prof. Dr. Mohamad Abu Bakar
Sila bawa naskah Al-Quran & terjemahan masing-masing.

Tempat: Kediaman Sdr. Dato’ Haji Rameli Musa

Alamat kediaman:  No. 20 Jalan Kenyalang 11/15H, d’Villa Equestrian Kota Damansara. Depan masjid baru Kota Damansara, sebelah Royal Selangor Polo Club. Masuk melalui pondok pengawal.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers