Archive for the ‘Islam’ Tag

Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke 4

Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke 4

[HEBAHAN AWAL]

SEMINAR MENDAULATKAN ISLAM AGAMA NEGARA

PERINGKAT KEBANGSAAN

TARIKH:

25 Februari 2012

Tempat:

Akan diumumkan

(Kuala Lumpur)

SILA IKUTI PERKEMBANGAN SELANJUTNYA DI LAMAN BLOG INI

Seminar di peringkat negeri yang telah dilaksanakan:

Di Pulau Pinang: Seminar Mendaulatkan Islam – Agama Negara (SEMAIAN)

Resolusi dan laporannya:

Resolusi Seminar Mendaulatkan Islam – Agama Negara (SEMAIAN)
Desak kerajaan lucut kerakyatan
Waspada Ancaman Komunis Bentuk Baru
Tegas Tegak Hukum Islam

Insha Allah untuk negeri-negeri lain akan disusuli dan diumumkan kemudian

Konsep Kepimpinan dalam Islam

Bahan usrah bulan Februari 2011 – sila cetak dan bawa untuk usrah pada 15hb Februari – klik untuk versi pdf mudah dicetak.

Konsep Kepimpinan dalam Islam

Islam adalah ‘al-din’ iaitu agama yang merangkumi bukan sahaja ibadat khusus, tetapi ia juga suatu sistem hidup yang merangkumi bidang-bidang lain seperti muamalat, sistem sosial dan sistem politik. Lantaran itu, konsep kepimpinan juga menjadi tajuk yang diperbincangkan oleh para ulama’, sejarawan dan ilmuwan-ilmuwan Islam dari dahulu hingga sekarang. Ia diperbincangkan di bawah tajuk ‘imamah’, ‘khalifah’ dan tajuk-tajuk lain seumpamanya. Kertas ini akan cuba melihat konsep kepimpinan Islam serta tanggungjawab mereka seperti yang dibincangkan oleh para sejarawan dan ilmuwan Islam .

Islam menganggap setiap seorang Muslim yang mukallaf sebagai pemimpin. Sekurang-kurangnya mereka adalah pemimpin bagi diri mereka, dan keluarga mereka. Dengan sebab seseorang itu dianggap pemimpin bagi dirinya, beliau tidak boleh mencampakkan dirinya dalam kemusnahan atau dalam bahaya.

Tetapi tumpuan kita ini adalah kepimpinan kepada masyarakat umum. Dalam hal ini Rasulullah saw ada bersabda yang maksudnya:

Jika tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang dari mereka di lantik menjadi ketua.”

Kalau bagi kumpulan tiga orang pun perlu dilantik seorang ketua, apa lagi keperluan bagi satu kaum, bangsa, Negara dan Umat ini. Keperluan ketua atau pemimpin ini adalah jelas, iaitu untuk menjalankan syariat Allah di muka bumi ini, terutama suruhan-suruhan yang berkaitan dengan tugas penguasa, juga untuk memberi pengarahan, menjaga kebajikan dan keselamatan mereka,mengatur penggunaan sumber, menjalankan usaha untuk kemuslahatan ramai, dan mengelak dari berlakunya pertelingkahan antara mereka.

Di samping itu, jika kita melihat kepada tanggungjawabnya, kita perlu mengambil perhatian kepada peringatan Rasulullah saw, di mana Baginda ada bersabda yang maksudnya ialah:

“Setiap kamu adalah pengembala dan setiap pengembala akan ditanya tentang pengembalaannya. Seorang pemimpin adalah pengembala dan beliau akan ditanya tentang rakyatnya, seorang lelaki (suami) adalah pemimpin keluarganya, dan beliau akan ditanya tentang anggota keluarganya, seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya, dan beliau akan ditanya tentang kepimpinannya, pembantu rumah adalah pemimpin (penjaga) harta-benda tuannya, dan beliau akan ditanya tentang keselamatan harta-benda tersebut.”

Pada prinsipnya, walaupun seseorang itu dianggap pemimpin, mereka tetap tertakluk kepada sifat-sifat mahmudah seperti yang dikehendaki bagi setiap orang Muslim, seperti sifat amanah, ikhlas, jujur, tekun, dedikasi, rajin, suka beribadat, suka beribadat waktu malam, belas kasihan, suka tolong menolong, suka berderma, bekerjasama, nasihat menasihati dan pada umumnya menjalankan tugas amr makruf nahi mungkar. Sebaliknya pula beliau hendaklah meninggalkan sifat-sifat buruk seperti nifaq, suka melakukan atau merela orang melakukan perbuatan maksiat dan sifat-sifat lain yang dibenci oleh Syara’. Di samping itu, beliau dipertanggungjawabkan bagi setiap perlakuan dan perbuatannya sebagai pemimpin

Kepimpinan di era Rasulullah s.a.w.

1.      Kepimpinan di bawah Rasulullah s.a.w mendapat wahyu dari Allah swt.

2.      Rakyat dicorakkan melalui tauhid, melalui usaha dakwah yang berterusan.

3.      Wilayah diperolehi dengan usaha mencari tapak yang sesuai dan yang paling ‘subur’ iaitu Yathrib/Madinah, setelah usaha-usaha mencari seperti di Habsyah, dan Taif didapati tidak sesuai. Demikian juga usaha Rasulullah saw berjumpa penduduk Hadramaut dan Yaman yang datang ke Mekah di musim haji juga tidak menghasilkan natijah yang diperlukan. Hijrah membuka peluang untuk Rasulullah merancang sebuah Negara dengan pentadbiran yang mantap.

4.      Mewujudkan Perlembagaan bertulis yang pertama di dunia iaitu Perlembagaan Madinah.

5.      Masjid Madinah menjadi pusat pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan Negara Islam yang diterajui oleh Rasulullah saw, di samping menjadi pusat dakwah, agama, sosial, ibadat, menerima tetamu dan diplomat asing dan hatta mengadakan perjanjian dengan suku kaum lain yang datang ke Madinah, memeluk Islam dan berbai’ah.

6.      Mengutamakan syura dalam pengurusannya. Ahli Syura terdiri dari 7 orang Muhajirin dan 7 orang Ansar, di antaranya Abu Bakar, Omar, Ali, Ibnu Mas’ud, Salman, Hamzah, Jaafar, Khuzaifah, Abu Zar, Iqdad, Bilal dan lainnya.

7.      Kekuasaan: Pengangkatan Rasulullah saw sebagai Ketua Negara. Beliau juga Ketua Hakim dan Ketua Panglima Perang.

8.      Mengamalkan pengurusan secara decentralisasi. Walaubagaimanapun setiap perlantikan seperti perlantikan Gabenor, Panglima Perang, hakim-hakim dan lain-lain dilakukan dengan terancang dan secara hati-hati dengan mengambilkira kemampuan, wara’, ‘alim dan mempunyai peribadi yang kuat dan berwibawa. Umpamanya Zaid bin Tsabit dilantik sebagai penulis wahyu dan juga sebagai jurubahasa bahasa-bahasa asing, Ali bin Abi Talib dan Mu’az bin Jabal dilantik sebagai hakim wilayah, Abu Sufyan sebagai Gabenor di Najran, ‘Itab bin ‘Usaid sebagai Gabenor di Mekah dsbnya.

Kepimpinan di zaman Khulafa ar-Rasyidin (11- 40 H) (632- 661M)

Mereka adalah empat orang khalifah yang terawal yang merupakan tokoh-tokoh umat Islam dan lambang keagungan mereka. Mereka merupakan pemimpin dan sekaligus sebagai pelindung kepada dakwah Islam. Dari segi politik, pengamalannya masih meneruskan praktik-praktik Rasulullah saw. Antaranya ialah:

1.      Pemerintahan di jalankan menurut Undang-undang Syariah,

2.      Sumber pemerintahan adalah berdasarkan al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ para Sahabat  yang di perolehi melalui Majlis Syura atau lainnya dan ijtihad khalifah,

3.      Di dalam penyelenggaraan pemerintahan, beberapa prinsip politik dijadikan landasan antaranya keadilan, kebebasan, persamaan dan hak asasi manusia yang dijamin kepada semua warganegara, sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Beberapa Pendapat Pemikir Islam Mengenai Kepimpinan

1.      Al Farabiy (lahir sekitar tahun 259 H) menulis antaranya ialah kitab berjudul ‘al-Madinah al-Fadilah’ (Kota Unggul) dan ‘al Qa’id al Fa’al (Sifat-Sifat Pemimpin berkesan) yang mana beliau menekankan kualiti kepimpinan utama di-‘Kota Unggul’nya seharusnya merupakan orang yang terbaik berasaskan sejumlah sifat-sifat kepimpinan, baik sifat-sifat yang tabii mahupun sifat-sifat yang di pelajari.

2.      Al-Mawardiy (lahir 394 H) menulis beberapa kitab yang masyhur dalam bidang politik dan kepimpinan, antaranya ialah al Ahkam al-Sultaniyyah. Beliau dikatakan bermaksud memberikan nasihat agar pemerintah mentadbir dan mengurus Negara berdasarkan petunjuk-petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Beliau menyentuh pelbagai aspek mengenai imamah hingga ia menjadi suatu sistem politik yang mantap. Antara perkara yang beliau sentuh ialah:

i. Pemerintah mestilah memenuhi tujuh syarat iaitu:

a) keadilan (adalah),

b) ilmu pengetahuan Agama yang mantap,

c) kesihatan jasmani,

d) kesihatan mental,

e) keberanian,

f) kesanggupan menjalankan jihad terhadap musuh-musuh Negara,

g) keturunan Quraish.

ii. Pemilihan Khalifah hendaklah dibuat oleh beberapa orang juru pilih sebagaimana yang berlaku dalam pemilihan Abu Bakar dan Uthman. Mereka ini dikenali sebagai ‘ahl al hall wal ‘aqd’. Pemilihan juga boleh dibuat oleh Khalifah yang sedia ada , tetapi dengan syarat calon itu hendaklah dari mereka yang paling sesuai dan tidak semestinya datang dari keluarga khalifah itu sendiri. Dalam kedua-dua sistem ini, perlantikan itu menjadi sah apabila berlaku bai’ah iaitu perjanjian antara khalifah dan rakyatnya.

iii. Jawatan khalifah boleh dilucutkan sekiranya ternyata ia tidak lagi mempunyai kesihatan mental dan fizikal yang baik atau tidak lagi mempunyai kebebasan bergerak dan bertindak.

iv. Khalifah hendaklah dilantik dengan kerelaan dan kemahuan rakyat Muslimin. Ini membolehkan beliau menjalankan tugas dengan selesa tanpa dihantui oleh ketakutan terhadap kemungkinan penentangan rakyat.

v. Tanggungjawab utama seseorang Khalifah atau Imam itu ialah untuk memelihara keutuhan ‘akidah Agama Allah, dan mengajar mereka akan ajaran Agama seperti firman Allah Surah al-Baqarah ayat 151 iaitu:

Maksudnya: “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”

Ayat ini menyatakan tugas utusan Allah adalah untuk memberikan pengajaran dan pendidikan kepada umatnya. Ia mengisyaratkan pemimpin juga mempunyai tugas untuk mengajar masyarakat ajaran-ajaran Agama yang unggul.

vi. Tugas bagi menyelenggarakan kesejahteraan sosial juga menjadi tanggungjawab pemimpin. Tugas ini mempunyai kaitan dengan keperluan material. Beliau perlu memastikan polisi Negaranya mampu untuk mempertingkatkan produktiviti Negaranya dan membawa kesejahteraan kepada rakyatnya.

vii. Beliau juga menyarankan penstrukturan pentadbiran berperingkat, untuk Wilayah-Wilayah Islam yang begitu luas. Sejauh mana kuasa otonomi yang diberikan kepada Kerajaan-Kerajaan tempatan itu tertakluk kepada budi bicara Kerajaan Pusat berasaskan kepentingan dan keperluan.

viii. Beliau juga perlu memelihara dan mengembangkan keharmonian masyarakat dan keamanan Negara. Perkara ini berkait rapat dengan prinsip amar makruf nahi mungkar.

ix. Al-Mawardi merumuskan tugas pemimpin dapat dikategorikan sebagai tugas Agama dan tugas politik. Beliau mengaitkan tugas ini melalui takrifan siasah iaitu untuk memelihara Agama dan mentadbir urusan dunia dengan Agama. Tugas-tugas agama ialah:

a) Memelihara Agama iaitu melaksanakan hukum-hukumnya, mencegah pelanggaran hukum serta menghukum orang yang melanggarnya,

b) Tugas dakwah melalui usaha dakwah yang terancang dan berkesan,

c) Mengumpul dan mengagihkan harta Kerajaan baik dalam bentuk harta rampasan dan sedekah al-fa’i dan al-ghana’im

d) Melakukan upacara agama dan menggalakkan Syi’arnya. Tugas ini termasuklah menguruskan keketapan Hari Raya, menyediakan kemudahan haji dsbnya.

Manakala tugas politik pula ialah:

a) Pemeliharaan keamanan dan undang-undang. Ini termasuk melindungi Negara dan memeliharanya dari perkara haram supaya orang ramai dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam Negara.

b) Mempertahankan Negara daripada ancaman luar. Tugas ini termasuk mempersiapkan kekuatan tentera dan mempastikan tidak berlaku pencerobohan terhadap Negara atau mana-mana jajahan takluknya,

c) Penyeliaan urusan awam. Khalifah menurut al-Mawardi hendaklah prihatin dengan kehidupan semasa rakyatnya dan jentera Kerajaan,

d) Menegakkan keadilan di antara manusia,

e) Pentadbiran harta iaitu merangka pemberian dan keperluan dari baitulmal dengan bijak,

f) Perlantikan penjawat awam. Secara moralnya khalifah perlu memastikan perlantikan tersebut sesuai dengan kelayakan dan kemampuan mereka.

x. Senarai di atas adalah merupakan contoh tentang tanggungjawab seseorang Khalifah atau pemimpin sesebuah Negara. Tugas-tugas ini mempunyai hubungkait yang rapat di antara satu sama lain dan menunjukkan sifat penyatuan yang jitu di antara agama dengan politik, sesuai dengan pandangan hidup Islam, kerana kesemuanya wujud dalam kerangka siasah syar’iyyah bagi mencapai kebahagiaan ummah berdasarkan syarat:

a) Tidak bertentangan dengan nas al-Quran, al-Sunnah, Ijma’,dan qias

b) Menyesuaikan pentadbiran dengan roh syariat dan tujuan umumnya,

c) Dapat mempastikan kepentingan umum terpelihara dengan lebih baik.

3. Al-Ghazaliy (1058-1111M) seorang tokoh ilmuwan ensiklopedik yang sangat prolifik dengan karya-karya tulisannya, antara lain telah menulis kitab, al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Mulk, yang antara lain telah menggariskan tugas khalifah atau pemimpin sebagai berikut:

i. Perlunya para pemimpin menyedari peri pentingnya jawatan yang disandang dan beratnya tanggungjawab yang dipikul,

ii. Galakan kepada para pemimpin agar menjalin hubungan dengan golongan ilmuwan,

iii. Para pemimpin dan pengikutnya dituntut agar menghindarkan kezaliman,

iv. Para pemimpin dituntut supaya tidak angkuh dan tidak menindas rakyat,

v. Para pemimpin harus memahami pendirian pihak-pihak lain dengan cuba meletakkan diri dalam posisi mereka. Maksudnya jika ia tidak suka sesuatu terjadi kepada dirinya, maka janganlah ia merelakan ia terjadi kepada orang lain,

vi. Para pemimpin harus segera melayani keperluan orang lain,

vii. Para pemimpin dinasihatkan agar tidak tenggelam dalam keserakahan nafsu sehingga mengabaikan tanggungjawab,

viii. Mereka dinasihatkan agar bersikap penyayang kepada rakyatnya,

ix. Mereka juga diminta memberikan kepuasan kepada rakyat dalam batas-batas yang ditentukan Syara’,

x. Seterusnya mereka diperingatkan supaya jangan mencari dokongan seseorang dengan cara yang bertentangan dengan Syara’.

4. Ibn Khaldun, lahir tahun 732 H (1332 – 1395 M) adalah orang pertama memberikan perspektif sosial kepada pentadbiran dan pengurusan. Karya beliau yang amat terkenal dalam bidang pengurusan ialah Muqaddimah yang membahaskan berbagai dimensi tamadun manusia. Beliau membahaskan tamadun kota, tamadun badawi, tentang manusia primitif, tentang organisasi-organisasi pentadbiran seperti Kerajaan, kekhalifahan, kesultanan, wilayah, negeri dan daerah.

Beliau juga membicarakan tentang sistem pemerintahan berkhalifah (al-khalifah) dan sistem beraja (al-mulk). Antara pendapatnya yang dirakamkan ke hari ini ialah pendapatnya bahawa melantik imam atau ketua itu adalah wajib, yang kewajipannya di ketahui dari agama dengan ijma’ para Sahabat dan Tabi’in kerana para Sahabat Rasulullah saw, ketika Baginda wafat, segera melantik dan membai’ah Abu Bakar dan menyerahkan kepadanya untuk mengatur urusan mereka. Demikian juga pada era seterusnya. Umat Islam tidak boleh ditinggalkan dalam keadaan kacau-bilau tanpa ketua atau pemimpin pada sesuatu masa. Maka dengan sebab inilah dikatakan ijma’ menunjukkan wajibnya melantik imam atau ketua.

Kesimpulan

Adalah jelas bahawa melantik kepimpinan adalah wajib, dan bagi seseorang yang mampu dan layak, adalah menjadi fardu kifayah untuknya menawarkan diri untuk mengambil tampuk kepimpinan. Maka sekiranya beliau menjadi seorang pemimpin yang adil dan menjalankan tugasnya dengan patuh kepada ajaran dan petunjuk Allah swt, maka beliau akan mendapat perlindungan dari Allah pada hari di mana tidak ada perlindungan lain melainkan perlindungan Allah semata-mata.

Namun demikian, perlulah disedari bahawa kepimpinan itu, walaupun menjanjikan kehidupan yang enak dan serba mewah kepada penyandangnya, tetapi ia membawa bersamanya tugas dan tanggungjawab yang berat. Ianya merupakan amanah Allah yang perlu dilaksanakan dengan sedaya upayanya. Oleh itu, mereka yang tidak dapat menjalankan tugasnya dengan adil dan dengan lunas-lunas benar yang ditunjukkan oleh Allah swt, maka adalah dikhuatiri sama ada memilih untuk mencebur diri di dalamnya atau menawarkan diri untuk dipilih sebagai pemimpin, adalah pilihan yang terbaik untuknya. Wallahu a’lam.

(Kertaskerja ini disediakan oleh Dato Ahmad bin Haji Ismail untuk usrah MUAFAKAT yang diadakan pada 15 Februari 2011 (12 Rabi’ul awwal 1432 H).

7 Februari 2011

4 Rabi’ul awwal 1432 H

Konsep Pembangunan Insan Dalam Islam

Bahan usrah yang dibentangkan oleh Presiden MUAFAKAT, Profesor Emeritus Datuk Osman Bakar, PhD, pada 1 May 2007

************************************************************************

Mukadimah

1. Untuk menghuraikan tajuk ini, kita perlu menjelaskan makna tiga perkataan: insan, Islam dan pembangunan

2. Sebelum menjelaskan konsep pembangunan insan dalam Islam kita perlu menjelaskan terlebih dahulu ajaran agama Islam tentang insan

3. Seperti yang dapat dilihat nanti, konsep insan dalam Islam tidak sama dengan konsep insan dalam sistem kepercayaan dan pemikiran Barat moden yang sekarang ini mempengaruhi seluruh dunia walau pun terdapat banyak kesamaan

Konsep Insan

1. Sumber utama ajaran Islam tentang insan ialah Kitab suci al-Quran. Sumber utama pandangan tamadun Barat moden tentang manusia ialah ilmu sains yang sudah dipengaruhi oleh beberapa kepercayaan dan ideologi falsafah

2. Tegasnya, konsep manusia dalam tamadun Islam adalah bersumberkan agama; dalam tamadun Barat moden, ia bersumberkan falsafah dan sains yang dihasilkan oleh akal fikiran semata-mata

3. Dalam tamadun Islam, peranan falsafah dan sains ialah untuk memperhalusi lagi ajaran-ajaran yang terdapat di dalam al-Quran

4. AlQuran memberitahu kita bahawa manusia adalah makhluk Tuhan yang dicipta khusus oleh-Nya:

4.1 manusia bukan hasil proses evolusi seperti yang didakwa oleh teori evolusi biologi moden

4.2 manusia adalah spesis makhluk paling sempurna: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (surah al-tin, ayat 4)

4.3 lagi keistimewaan kejadian manusia menurut al-Quran: “Tuhan yang telah menciptamu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan kamu seimbang. Dan dalam apa sahaja bentuk dan rupa yang dikehendaki-Nya, Dia menyusun kejadianmu.” (surah al-infitar, ayat-ayat 7-8)

4.4 manusia dijadikan daripada berbagai-bagai unsur daripada pelbagai jenis alam: unsur-unsur jasmani/fizikal (tanah) yang membentuk tubuh badan manusia; unsur-unsur ruhani (ruh; akal; hati-kalbu) yang membentuk diri ruhani dan diri akliah manusia; unsur-unsur kejiwaan (nafs) daripada alam kemalaikatan (ruhani), alam jinn (psiki/halus) dan alam haiwaniah

4.5 tentang unsur-unsur jasmani, al-Quran menegaskan: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering yang berasal daripada lumpur hitam yang berubah bentuknya” (surah al-hijr, ayat 26)

4.6 tentang unsur-unsur ruhani, al-Quran menegaskan: “Kemudian, apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan ruh padanya maka hendaklah kamu sujud kepadanya” (surah al-hijr, ayat 29)

4.7 tentang unsur-unsur akliah, al-Quran menegaskan: “Mengapa kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu melupai akan diri kamu sendiri; pada hal kamu semua membaca Kitab Allah (Taurat)? Tidakkah kamu berakal?” (surah al-baqarah, ayat 44)

4.8 tentang unsur-unsur ruhani berkaitan dengan hati-kalbu, al-Quran menegaskan: “Dialah yang menurunkan sakinah (ketenangan) ke dalam hati-kalbu orang yang beriman supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan yang sedia ada” (surah al-fath, ayat 4)

4.9 al-Quran juga merujuk kepada hati-kalbu sebagai sarang penyakit ruhaniah: “Dalam hati-kalbu mereka terdapat penyakit, lalu Allah menambahkan lagi penyakit mereka dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih disebabkan mereka berdusta.” (sural al-baqarah, ayat 10)

4.10 tentang dada (sudur) sebagai lokasi niat, perasaan, rahsia individu dsb, al-Quran menegaskan: “Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi serta Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan. Allah Maha Mengetahui segala yang terkandung di dalam dada.” (surah al-taghabun, ayat 4)

4.11 tentang unsur-unsur kejiwaan dari alam ruhani atau kemalaikatan, al-Quran menegaskan: “Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya.” (surah al-fajr, ayat-ayat 27-28)

4.12 tentang unsur-unsur kejiwaan yang boleh dibangunkan sama ada untuk kebaikan atau kejahatan, al-Quran menegaskan: “Demi jiwa dan penyempurnaannya. Maka Allah mengilhamkan jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketaqwaan.” (surah al-shams, ayat-ayat 7-8)

4.13 tentang unsur-unsur kejiwaan yang dikaitkan dengan sifat-sifat dan nafsu kebinatangan, al-Quran menjelaskan: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami turunkannya ke tempat yang serendah-rendahnya.” (surah al-tin, ayat-ayat 4-5)

5. Manusia adalah makhluk paling istimewa oleh kerana pencapaian ilmunya. Manusia boleh berada pada kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah s.w.t. berbanding dengan para malaikat sekiranya dia mempunyai ilmu-ilmu tertentu:

Al-Quran menegaskan: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam segala nama benda-benda, kemudian dikemukakan-Nya (benda-benda itu) kepada malaikat, lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.” Para malaikat menjawab, “Maha suci Engkau! Kami tidak mempunyai pengetahuan kecuali sekadar apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.” Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”

6. Kelebihan Nabi Adam diiktiraf oleh malaikat: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kepada Adam.” Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, serta ia menjadi sebahagian daripada golongan yang kafir.” (surah al-baqarah, ayat-ayat 31-34)

7. Kesimpulannya, manusia dijadikan daripada unsur-unsur daripada semua alam: alam fizikal, alam halus/psiki dan alam ruhani termasuk ruh yang Allah tiupkan dari sisi-Nya. Oleh kerana unsur-unsur daripada semua alam terdapat pada diri manusia maka manusia disebut dalam tradisi Islam sebagai alam kecil atau mikrokosmos (al-‘alam al-saghir). Inilah konsep insan bersepadu yang telah diajarkan oleh agama. Konsep ini berbeza dengan konsep-konsep insan serpihan yang sekarang ini berleluasa di dunia termasuk di kalangan umat Islam

8. Mengapakah manusia dijadikan sebagai manusia yang sedemikian rupa? Jawapannya: agar manusia dapat berperanan sebagai hamba (‘abd) Allah dan khalifah Allah di muka bumi, iaitu satu tempat istimewa dalam alam semesta yang Dia telah pilih sebagai tempat kediaman sementara manusia:

8.1 Menurut al-Quran: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (surah al-dhariyat, ayat 56)

8.2 “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (surah al-baqarah, ayat 30)

9. Kepentingan ilmu: manusia dapat memainkan peranannya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan baik hanya sekiranya dia memiliki ilmu. Tanpa ilmu yang sesuai dia tidak akan dapat memainkan kedua-dua peranan tersebut

Memahami Ajaran Pokok Agama Islam

1. Ilmu untuk manusia beribadat kepada Allah dan ilmu untuknya berperanan dan berfungsi sebagai khalifah Allah: Bolehkah manusia mencari sendiri ilmu-ilmu ini? Jawapannya: Tidak boleh! Manusia perlukan bimbingan Ilahi: maka Allah telah mewahyukan al-Quran sebagai kitab panduan

2. Bagi memainkan peranan masing-masing sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah Allah, kaum Muslimin perlu memahami dan menguasai ilmu agama Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Allah telah mempermudahkan manusia untuk memahami agama Islam. Menurut sebuah hadis, Allah telah mengutus malaikat Jibra’il kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan sekumpulan para sahabat untuk mengajar mereka agama (al-din). Intisari agama terdiri daripada tiga aspek/juzuk: islam, iman dan ihsan. Nama agama Islam diambil daripada aspek atau juzuk pertama, iaitu islam

3. Aspek Islam merujuk kepada rukun Islam yang lima; aspek iman merujuk kepada rukun iman yang enam; aspek ihsan merujuk kepada kualiti penghayatan rukun islam dan kualiti penghayatan rukun iman pada tahap kesempurnaan dan kecemerlangan

4. Rukun iman adalah asas kepercayaan dan pemikiran Islam; rukun Islam adalah asas pembentukan masyarakat dan umat Islam; ihsan adalah asas sistem keruhanian Islam. Ilmu tentang ketiga-tiga juzuk intisari agama ini wajib dimiliki oleh setiap orang: ilmu-ilmu ini adalah bertaraf fardu ‘ain

5. Manusia adalah individu dan juga anggota masyarakat. Dia perlu memainkan peranannya sebagai hamba dan sebagai khalifah Allah secara individu dan juga secara kolektif. Untuk memudahkan penganut Islam memainkan peranan khalifah Allah secara kolektif, Allah telah menyediakan syariat sebagai sumber peraturan hidup bermasyarakat dan bernegara. Ilmu yang wajib dimiliki oleh masyarakat pada tahap yang memadai, iaitu yang boleh menjamin kesejahteraan masyarakat, tetapi tidak semestinya dimiliki oleh setiap warganegara disebut sebagai ilmu fardu kifayah

Konsep Pembangunan Insan

1. Konsep pembangunan insan dalam Islam semestinya berdasarkan kepada konsep insan dan ajaran pokok agama Islam yang telah dihuraikan tadi

2. Prinsip-prinsip pembangunan insan dalam Islam adalah seperti berikut:

a. teras pembangunan masyarakat dan negara adalah pembangunan insan; teras pembangunan insan adalah pembangunan keruhanian kerana kemajuan keruhanian merupakan tujuan sebenar manusia dicipta oleh Allah s.w.t.

b. pembangunan kebendaan adalah alat kepada pembangunan insan: teknologi dicipta untuk menjadi hamba kepada manusia, bukannya manusia menjadi hamba kepada teknologi

3. Ciri-ciri pembangunan insan menurut Islam meliputi:

a. kemajuan keimanan,

b. kemajuan keilmuan,

c. kemajuan akhlak,

d. penyuburan amal salih/kerja-kerja kebajikan, dan pada umumnya amr bi’l-ma’ruf (komitmen kepada kerja-kerja kebaikan),

e. kesungguhan dalam menggerakkan nahy ‘ani’l-munkar (memerangi kemungkaran, jenayah, rasuah, keganasan dan seumpamanya), dan penghayatan keadilan

4. Seluruh sistem kemasyarakatan – sistem pendidikan, sistem perundangan, sistem ekonomi, sistem politik, sistem kebudayaan, dan sebagainya – malahan seluruh tamadun, disusun dan digerakkan bagi tujuan mencapai matlamat pembangunan insan seperti yang telah dijelaskan

5. Syariat Islam adalah syariat yang Allah telah anugerahkan kepada manusia dengan tujuan untuk membolehkan umat Islam mencapai matlamat pembangunan insan dengan harga yang termurah!

Kesimpulan

1. Pembangunan insan dalam Islam adalah pembangunan yang menghayati maqasid al-shari’ah (tujuan-tujuan syariat Ilahi), khususnya lima tujuan pokok Syariat Islam, iaitu

i. memelihara agama;

ii. memelihara akal;

iii. memelihara nyawa;

iv. memelihara keturunan; dan

v. memelihara harta.

2. Dengan terjaminnya kelima-lima perkara ini maka barulah terjamin kesejahteraan dan keadilan masyarakat dan dengan itu juga terjaminnya pembangunan insan yang sebenar.

Wabillah al-tawfik wal-hidayah, wa bihi nasta’in.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers