Archive for the ‘Insitut Kajian Dasar’ Tag

Kenyataan Akhbar: Fahaman Pluralisme Agama

versi pdf: Kenyataan media Pluralisme Agama 18Mac2011

 

KENYATAAN MEDIA

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) ingin mengulangi serta menegaskan kembali resolusi Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah yang telah diadakan pada 14hb Disember 2010 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, bahawa Gerakan Pluralisme Agama yang berteraskan kepada faham semua agama adalah sama dan boleh membawa kepada keselamatan di Akhirat; adalah bertentangan dengan ajaran dan ‘Aqidah Islamiyyah yang sebenar dan boleh menjerumuskan kepada pemurtadan dan ketidakstabilan masyarakat.

Muafakat sekali lagi meminta:

1.       Pihak berkuasa Agama di semua peringkat di Malaysia, wajar memantau Gerakan Pluralisme Agama ini dan mengambil langkah mencegah dengan apa cara sekali pun.

2.       Pihak berkuasa Agama wajar memanggil individu atau Jawatankuasa Organisasi yang menganut faham Pluralisme Agama ini, untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai ‘Aqidah Islam yang sebenar.

3.      Pihak berkuasa Agama yang boleh memboleh memberi fatwa, iaitu majlis fatwa (peringkat Kebangsaan dan negeri-negeri) supaya segera memberi fatwa yang lebih jelas mengenai faham atau ideologi pluralisme agama.

Muafakat mengulangi pendirian ini memandangkan masih ada mereka yang tetap menyuarakan pendapat “pluralisme agama” mereka walaupun YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pendirian kerajaan yang mahu mengekang pengaruh fahaman ini ketika berucap pada merasmikan Multaqa Guru Takmir seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 18hb Februari 2011. Perdana Menteri telah menyatakan bahawa:

“… hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar di sisi Allah hanya Islam sahaja.”

Antara suara yang melanggar pendirian rasmi kerajaan adalah dari Dr. Mohammad Hashim Kamali, Ketua Eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies, IAIS yang disiarkan oleh akhbar The New Straits Times pada 8hb Februari 2011 dengan tajuk ”Islam’s religious pluralism in context”. Sebagai ketua sebuah institusi kerajaan, Dr. Hashim sewajarnya akur dengan pendirian rasmi kerajaan dan bukannya mengeluarkan pendapat yang mengelirukan dan bertentangan.

Muafakat turut menggesa agar kerajaan mengenal pasti, menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana pertubuhan, institusi atau pusat kajian yang berterusan mempromosi dan mengembangkan fahaman sesat pluralisme agama. Antara institusi tersebut ialah Institut Kajian Dasar (IKD), yang telah sekian lama mendokong fahaman ini dengan mengadakan seminar serta menerbitkan pelbagai buku yang jelas bertentangan dengan aqidah ahlus sunnah wal jamaah termasuk membenarkan kahwin campur antara agama.

Malah, penerbitan serta program IKD telah dibiayai dengan dana besar oleh pertubuhan luar negara, Konrad-Adenauer-Stiftung, yang jelas mempromosi fahaman-fahaman liberal dan mempunyai agenda politik mereka sendiri.

Muafakat juga menggesa media perdana supaya lebih peka dan teliti dalam menerbitkan pandangan dan pendapat mereka yang boleh mencemari kemurnian aqidah ahlus sunnah wal jamaah dan membawa kepada ketidakstabilan negara.

A. Karim Omar

Setiausaha Agung

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

18hb Mac 2011

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 50 other followers