Archive for the ‘Kenyataan Media’ Category
Resolusi Seminar Dakwah Nasional 2012
Menyedari kemasukan ajaran yang bercanggah dengan ‘Aqidah Islam terutamanya ajaran Syi’ah dan fahaman liberalisme dan pluralisme agama telah menular ke dalam Umat Islam Malaysia maka:
- Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pergerakan kumpulan ini di bawah seliaan JAKIM.
- Mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa Agama di semua peringkat agar mengambil tindakan tegas menyekat ajaran dan fahaman tersebut.
- Pengamal Syi’ah, liberalisme dan pluralisme dan pembawa ajaran dan fahaman ini perlu dipanggil untuk diberi kaunseling dan nasihat supaya mereka menghormati kedaulatan Islam serta patuh kepada undang-undang dan enakmen agama sedia ada.
- Menjunjung Islam sebagai Agama Persekutuan maka:
- Seminar Dakwah Nasional 2012 hari ini meminta semua warganegara Malaysia menghormatinya dan tidak memberi komen-komen dan saranan-saranan yang boleh mencetuskan kekeliruan, kegelisahan dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat yang boleh membawa kepada ketidakstabilan negara.
- Seminar Dakwah Nasional 2012 ini juga meminta pihak berkuasa Negara dalam semua sektor benar-benar memperkasakan Islam sebagai Agama Persekutuan dengan memperkemas dan melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan prinsip Islam.
- Untuk tujuan di atas, kerajaan wajar mewujudkan suatu Suruhanjaya Khas untuk memperkasa dan memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan dan memberi syor-syor dan nasihat ke arah hasrat tersebut.
- Menyedari dakwah Islamiah adalah sebagai tonggak kekuatan ummah maka seminar:
- Menyeru pihak berkuasa bersama dengan NGO-NGO dakwah mewujudkan dakwah bersepadu kepada segenap rakyat Malaysia.
- Untuk tujuan itu, perlu diwujudkan satu sekretariat dakwah di bawah seliaan JAKIM membuat kurikulum sepadu supaya kecelaruan masyarakat terhindar:
- Diseragamkan semua pengajaran di masjid-masjid berdasarkan teks-teks yang telah dipersetujui mengikut faham epistemologi Ahli Sunnah wal Jama’ah.
- Diadakan pemantauan terhadap pengajian-pengajian yang diadakan di masjid-masjid dan lain-lain pusat pengajian.
- Dikaji dan dipinda semula bersesuaian dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jama’ah
- Mewujudkan Majlis Ulamak Kebangsaan bagi mengumpul semua ulamak yang dihormati dan amanah untuk menyatukan ummah.
- Bagi mengerakkan Dakwah Islamiyyah dengan tersusun dan berencana, hendaklah;
- Diwujudkan segera satu pusat kajian strategik Islam untuk melakukan segala kajian dan perancangan untuk melaksanakan pengarahan kerja yang strategik dengan perancangan jangka panjang.
- Memperkasakan agensi-agensi Dakwah dengan keprofessionalan dan pengurusan yang efektif dan efisien beserta koordinasi yang mantap di antara NGO-NGO Islam dan agensi-agensi ini.
- Diberi peruntukan yang sewajarkannya oleh kerajaan sesuai dengan Islam sebagai Agama Negara.
*************
Untuk Maklumat Seminar Dakwah Nasional – klik
Untuk Senarai Pembentangan Kertas Kerja – klik
Buku Baru Akan Dilancarkan Sempena SDN2012
Dua buku baru terbitan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) akan dilancarkan sempena Seminar Dakwah Nasional pada 8-9 Oktober 2012.
Buku-buku tersebut adalah:
1. Falsafah Agama John Hick: Pengamatan Dari Kacamata Ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah karya Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady
2. Pluralisme Agama Di Alam Melayu – Satu Ancaman Kepada Kesejahteraan Umat karya Datuk Ustaz Nakhaie Ahmad
Kedua-dua buku ini akan disempurnakan pelancarannya oleh YAB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia sempena Majlis Pelancaran Seminar Dakwah Nasional 2012 pada 8hb Oktober 2012 (Isnin) jam 3:00 petang di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur.
***************************
Maklumat Seminar Dakwah Negara 2012: sila klik di sini
Cara Mudah Untuk Daftar SDN2012: sila klik di sini
Tujuan Penganjuran Seminar Dakwah Nasional 2012: sila klik di sini
Kenyataan Media MUAFAKAT Bersama PEMBELA
KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA BERSAMA
PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)
29 Ogos 2012 bersamaan 11 Syawal 1433
- PEMBELA mengulangi penegasan bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam yang diwakilinya tidak berminat dengan persaingan mendapatkan sokongan melalui politik kepartian. PEMBELA juga tidak terpengaruh dengan sebarang sikap dan tindakan partisan para pemimpin Negara, sama ada di pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang yang ghairah memperjuangkan dasar dan manifesto masing-masing, khususnya di dalam mengemudi kehangatan bahang Pilihanraya Umum ke-13.
- Tetapi, PEMBELA tidak akan berdiam diri mahupun berkompromi apabila persoalan kedaulatan Islam disentuh dan dijadikan modal percakaran di kalangan parti-parti politik.
- Umat Islam menjadi semakin gusar, khususnya apabila saban hari menyaksikan kebiadaban para pemimpin politik yang secara terang-terangan menghina Islam bukan sahaja disebabkan kejahilan mereka, tetapi provokasi yang disengajakan untuk mendapat publisiti murahan dan meraih keuntungan politik yang bersifat sementara.
- PEMBELA bertegas bahawa sikap dan tindakan sebegini adalah sangat tidak bertanggungjawab, kerana melanggar keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Negara melalui Perkara 3 (1). Kenyataan-kenyataan yang biadab sebegini harus segera dihentikan dan ditarik semula.
- Kedua-dua Yang Berhormat Karpal Singh a/l Ram Singh, selaku Pengerusi DAP dan Yang Berhormat Donald Lim Siang Chai, selaku Pengerusi MCA Negeri Selangor merangkap Timbalan Menteri Kewangan I, serta lain-lain pemimpin politik di setiap lapisan, wajib menghentikan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengenai Islam di Negara ini.
- YB Karpal Singh bersungguh-sungguh memperjuangkan konsep Negara sekular dan ini menggambarkan kejahilan beliau yang melampau tentang peranan Islam yang telah membina masyarakat Islam yang baik di Negara ini hatta sejak sebelum Perlembagaan Persekutuan hadir di dalam sejarah penubuhan Negara. Prinsip-prinsip ideal dan sumbangan Islam dalam membina individu Muslim yang baik telah menyumbang kearah pembinaan masyarakat Malaysia yang mantap, sejahtera dan harmoni. Mengapa YB Karpal Singh beria-ia memperjuangkan konsep Negara sekular, yang jelas rapuh, bermasalah dan telah terbukti menghancurkan tamadun lain di dunia, khususnya Negara-negara barat?
- Kenyataan YB Donald Lim yang ingin menghalang sebuah Negara Islam pula bersifat pramatang, menghasut serta mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab di dalam menjaga sensitiviti terhadap umat Islam yang menjalankan kehidupan beragama mengikut lunas dan ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Khususnya bagi seseorang yang berstatus menteri kabinet Kerajaan Persekutuan, kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan beliau tentang kedudukan Islam sebagai agama Negara, hakikat perlindungan terhadap agama-agama lain dan sumpah Yang DiPertuan Agong bagi memelihara dan mempertahankan kemuliaan Islam yang jelas termaktub pada perkara 37(1), Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
- Adalah sangat malang bahawa YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, mahupun mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka membiarkan pemikiran dipengaruhi unsur-unsur stereotaip dan label media-massa musuh-musuh Islam di dalam membuat kenyataan-kenyataan mengenai Islam, yang jelas tidak berwibawa dan berprasangka jahat terhadap Islam. Malah, ramai di kalangan pemimpin Muslim sendiri tidak membantu menjernihkan kekeliruan ini, tetapi sebaliknya menambah-kusut kecelaruan mereka disebabkan sikap prasangka buruk, hasad dengki dan taasub kepartian mahupun individu, lantas membuat kenyataan-kenyataan yang mengesahkan kejahilan mereka tentang kedudukan Islam di Malaysia.
- PEMBELA menegaskan kepada para pemimpin politik khususnya, bahawa sebarang pendekatan yang boleh memprejudis kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara boleh menghakis prinsip “Kesetiaan kepada Raja Negara” dan prinsip “Keluhuran Perlembagaan” yang menghilangkan kelayakan untuk menyertai proses pemerintahan Negara.
Justeru dalam menangani masalah yang timbul dari sikap sebegini, PEMBELA dengan ini:
- Bersepakat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk membuat aduan polis terhadap kedua-dua YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, serta mendesak pihak berkuasa melakukan penyiasatan kenyataan-kenyataan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 dan peruntukan undang-undang yang relevan, serta mengambil tindakan-tindakan yang perlu mengikut saluran sedia wujud;
- Menyeru agar semua pertubuhan-pertubuhan Islam di Negara ini menyertai PEMBELA dan rakan-rakan pertubuhan Islam lain di dalam menzahirkan kegusaran dan bantahan terhadap sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin politik Muslim dan non-Muslim, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, yang membuat kenyataan-kenyataan jahat dan tidak adil mengenai Islam di Malaysia;
- Memohon persefahaman dan kerjasama utuh dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dalam usaha melaksanakan hasil percambahan fikiran strategik dari masa ke semasa, demi mengurangkan pergeseran di kalangan umat Islam dan mendepani salah faham tanggapan terhadap kedudukan Islam di Negara ini di kalangan Muslim dan non-Muslim;
- Menyeru umat Islam terus mengekalkan iktibar dan didikan bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu, di dalam bermunajat kepada Allah SWT supaya diberikan taufiq dan hidayahNya untuk mengukuhkan kesatuan hati dan menghadapi mehnah kecelaruan pemikiran di kalangan masyarakat yang menyebabkan Islam terus-menerus diserang dan diganggu-gugat anasir-anasir daripada kalangan non-Muslim dan Muslim sendiri.
PEMBELA ingin menegaskan bahawa seruan dan tindakan kami hendaklah dilihat sebagai usaha mengekalkan keharmonian beragama di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan menyanggah kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab para pemimpin politik, PEMBELA sebenarnya mengembalikan citra dan keizzahan jati diri Islam sebagai agama Negara, yang telah dimomokkan dan diganggu-gugat persaingan politik partisan yang tidak bertanggungjawab.
Sambutan dan iktibar ulang tahun kemerdekaan ke 55 tanahair ini tidak akan bermakna sekiranya kekuatan Islam yang diibaratkan Mahkamah Tinggi sebagai “pohon jati”, dan tidak dipersoalkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan, tetapi diremehkan dan diberikan kedudukan yang tidak adil di sisi Perlembagaan Persekutuan yang disanjung seluruh warganegara Malaysia.
A. Karim Omar
Setiausaha Agung MUAFAKAT
Dan
Hj. Aminuddin Yahya
Pengerusi PEMBELA
Pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawah PEMBELA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukuwwah Ummah (PROMUSLIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Persatuan Ulama Malaysia -Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI)
Sekretariat PEMBELA
d/a Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
25 Jalan Bandar 3
Taman Melawati
53100 Kuala Lumpur
Wacana Ancaman Pasca Modernisme DITANGGUH
Atas sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa menangguhkan Wacana Ancaman Pasca Modernisme dan Kekeliruan Perenialisme yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini (30hb Jun 2012). Tarikh baru wacana ini akan kami umumkan kemudian.
Kami memohon maaf jika ada sebarang kesulitan kerana penangguhan ini.
Harap Maklum
Laporan Polis Bantah Kedatangan dan Program Irshad Manji
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) membantah dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya kepada semua pihak yang berusaha membantu dan membawa Irshad Manji ke Malaysia untuk siri program berkaitan LGBT
MUAFAKAT menolak percubaan kelompok Liberal, Plural dan Sekular yang ghairah menjadi hamba kepada kelompok luar negara yang ingin mengheret masyarakat negara Malaysia meniru gaya budaya hidup songsang lagi menjijikkan ini.
Terkini, menurut twitternya @IrshadManji, program yang asalnya dirancang untuk diadakan di UIA itu kini diubah ke Monash University, kampus Sunway pada hari Jumaat, 18 Mei 2012. Usaha dan agenda sedemikian mempunyai niat tersirat untuk menggerakkan kempen dan advokasi yang berterusan bagi merubah nilai dan landasan masyarakat Malaysia yang berteraskan akhlak murni dan panduan agama.
Kempen ini ternyata bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, Kanun Kesiksaan dan Jenayah Syariah (bagi muslim) kerana ia menyeru orang ramai untuk menjalani kehidupan seks songsang luar tabi’i yang juga merupakan suatu jenayah.
MUAFAKAT menggesa pihak Polis menyiasat ke atas semua pihak yang terlibat sebagai penganjur program ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Kami mengambil prihatian serius terhadap usaha kelompok ini yang mahu mengetengahkan LGBT sebagai hak asasi manusia di negara ini. Ini akan pasti mewujudkan kontroversi yang serius dan berpanjangan kerana gaya hidup seks songsang ini ditolak di negara ini dan mana-mana negara yang mengutamakan kehidupan bertamadun.
Aliran pemikiran Liberal, Plural dan Sekular yang menjadi kerangka pemikiran kumpulan LGBT ini akan membentuk masyarakat yang merungkai kehidupan beragama dan menjadikan agama hanya sebagai budaya ritual di peringkat peribadi semata-mata.
Justeru, perbincangan yang mengarahkan kepada menjadikan amalan hidup LGBT sebagai gaya hidup di Malaysia semestinya dilarang dan ditentang.
Hj Mohd Amin Hashim
Timbalan Presiden
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
17hb Mei 2012
Edisi Kedua PLURALISME AGAMA: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah – Akan Terbit
Memandangkan sambutan yang amat baik terhadap buku pertama keluaran MUAFAKAT PLURALISME AGAMA: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, kami akan menerbitkan edisi kedua dengan beberapa pembetulan.
Cetakan pertama berjumlah 5,000 naskah telah pun 95% habis dijual.
Sila hubungi kami untuk maklumat lanjut atau telefon: 012-650-6404 – Sdr. Nasrul untuk pesanan.
Tiga NGO bidas kenyataan Abdul Hadi
KUALA LUMPUR 18 Mac – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan kenyataan beliau semalam yang membenarkan orang Islam bekerjasama dengan Yahudi bukan berfahaman Zionis.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmadberkata, adalah tidak wajar untuk seorang ulama mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana tanpa disedari ia telah memberi implikasi negatif dan prejudis terhadap masyarakat Malaysia.
”Abdul Hadi memang cuba menyelamatkan maruah dan imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terjejas teruk akibat menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel.
”Tidakkah beliau terfikir bahawa perkataan ‘Yahudi’ itu telah menggambarkan hegemoni Zionis dan Zionis itu membawa maksud negatif dalam benak fikiran masyarakat dunia hari ini?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pendirian Abdul Hadi yang menyatakan sokongan terhadap mana-mana pihak termasuk umat Islam dalam mengadakan kerjasama serta hubungan dengan Yahudi yang tidak berpegang kepada ideologi Zionis.
Ismail Mina berkata, meskipun Abdul Hadi cuba menyamakan konsep kerjasama antara bangsa Yahudi dengan masyarakat Islam di zaman Nabi Muhammad SAW, ia tetap tidak boleh diterima kerana situasi politik ketika itu terlalu berbeza dengan suasana hari ini.
Sementara itu Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Aminuddin Yahaya pula berkata, Abdul Hadi tidak perlu menyatakan pandangan sedemikian kerana sememangnya hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan Yahudi telah terbentuk sejak azali kecuali hubungan diplomatik.
Justeru kata beliau, kenyataan tersebut adalah semata-mata propaganda parti yang sebenarnya bertujuan membantu memperkukuhkan kenyataan Anwar demi menarik semula kepercayaan rakyat terhadap Ketua Pembangkang itu.
”Semestinya Abdul Hadi perlu membuat kenyataan menyokong Anwar, tetapi beliau tidak membuat secara langsung. Tetapi rakyat hari ini sudah bijak, sudah tentu kita tahu sokongannya itu adalah kesinambungan daripada kenyataan Anwar,” katanya.
Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun pula menyifatkan Abdul Hadi sebagai pemimpin masyarakat Islam yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga perasaan masyarakat negara khususnya orang Islam.
”Abdul Hadi boleh cakap apa sahaja sehingga lupa perjuangan agama dan bangsa asalkan terus popular.
”Tetapi beliau terlupa bahawa kenyataannya itu boleh membawa padah bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga kepada penyokong Pas dan rakyat negara ini,” katanya.
dipetik dari Utusan Malaysia
Al-Fatihah – Sdr. Haji Awwaluddin Juffery
MUAFAKAT mengucapkan takziah kepada keluarga ahli kami, Sdr. Haji Awwaluddin b Juffery yang meninggal dunia pada 17hb Mac 2012 di Kulim Kedah.
Arwah yang menyertai Kayuhan Gaza di Kulim tiba di tempat tamat kayuhan pada jam 10 pagi tiba-tiba muntah dan jatuh selepas turun dari van yang dinaiki.
Sahabat-sahabt yang bersama beliau membawa masuk ke dalam surau berdekatan surau dan menghembuskan nafas akhirnya di situ.
Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk pengesahan kematian dan dimandikan dan solat sebelum dibawa pulang ke Kempas, Johor pada jam 5:30 petang.
Jenazah selamat tiba di Johor jam 1.30 pagi dan dikebumikan keesokkannya jam 2.00 petang.
Allahyarham Awwaluddin adalah salah seorang aktivis yang cergas dengan pelbagai persatuan. Arwah adalah di antara ahli yang sentiasa hadir untuk Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) MUAFAKAT walaupun terpaksa datang dari Johor dengan menaiki pengangkutan awam.
Arwah yang juga dilantik sebagai Pemeriksa Kira-kira MUAFAKAT kali terakhir bersama kami dalam MAT ke 7, dua minggu lalu, sentiasa banyak mengutarakan pelbagai cadangan dan buah fikiran.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah. Ameen.
MUAFAKAT Membantah Resolusi UNHRC Berkenaan LGBT dan Hak Kebebasan Beragama
MUAFAKAT bersama dengan PEMBELA dan gabungan NGO-NGO yang menyokong kenyataan media berikut:
KENYATAAN AKHBAR PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)
1 HARIBULAN MAC 2012 BERSAMAAN 8 RABIUL AKHIR 1433
MEMBANTAH GERAKAN UNTUK MENERIMA DAN MENYEBARLUASKAN KANDUNGAN RESOLUSI 17 JUN 2011, PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BERKENAAN ORIENTASI SEKSUAL & IDENTITI GENDER DAN HAK KEBEBASAN BERAGAMA
Pada 17 Jun 2011, Majlis Hak Asasi Manusia (HAM) Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu telah meluluskan suatu resolusi berkenaan apa yang didakwa sebagai pencabulan hak asasi manusia berdasarkan orientasi seksual dan identiti gender. Walaupun mendapat sokongan yang kecil (hanya 23 negara yang menyokong), resolusi ini telah diluluskan dan bakal menzahirkan akibat yang sangat besar terhadap kelangsungan tamadun manusia dan kehidupan beragama. Resolusi ini terhasil dari tafsiran yang dangkal dan dimanipulasi mengenai fitrah seksual manusia, norma-norma kehidupan beradab serta menafikan peranan dan pengaruh agama di dalam kesejahteraan manusia. Resolusi tersebut meletakkan golongan LGBT di tempat yang salah, dengan memberikan pengiktirafan yang mengelirukan kepada mereka tanpa menyelesaikan permasalahan sebenar mengikut lunas agama dan nilai-nilai sebenar kemanusiaan.
PEMBELA mengikuti dengan prihatin beberapa perkembangan yang berlaku susulan tindakan meluluskan resolusi tersebut, termasuk meneliti aktiviti-aktiviti serta tindaklaku NGO-NGO Hak Asasi Manusia (HAM) tempatan yang bertopengkan perjuangan anti-diskriminasi untuk menyemarakkan kandungan resolusi tersebut. Ini termasuklah penganjuran siri-siri program seperti Seksualiti Merdeka yang kononnya memperjuangkan mereka yang ditindas sebagai minoriti oleh kerana mengamalkan orientasi seksual di luar tabie.
PEMBELA sebagai gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam yang insaf dan bertanggungjawab terhadap kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, menegaskan bahawa latarbelakang yang membentuk Perlembagaan Persekutuan adalah didasarkan pada sistem nilai yang mempunyai kerangka jelas, berwibawa serta telah disepakati umum di sepanjang sejarah pembinaan Negara. Islam sebagai Agama Negara (the religion of the Federation) merupakan INTIPATI UTAMA yang mewarnakan sistem nilai tersebut, di samping aspek asas-asas sejarah dan kebudayaan masyarakat yang telah disepakati sekian lama. Justeru sebarang usaha untuk mengenegahkan nilai-nilai yang menyalahi fitrah kemanusiaan sepertimana yang cuba dibawa menerusi Resolusi PBB tersebut hendaklah ditentang sehabis-habisnya bagi mengelakkan kekeliruan serta gangguan terhadap kemaslahatan masyarakat secara umum.
PEMBELA merakamkan rasa kekhuatiran yang sangat mendalam berkenaan penyertaan Malaysia di dalam Persidangan Sesi Ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang akan berlangsung mulai 5 Mac 2012 di Geneva, Switzerland. Melihat pada respons serta tindaklaku mereka yang memperjuangkan hak-hak LGBT, proses ini bakal dijadikan landasan bagi NGO-NGO HAM tempatan mengambil kesempatan untuk terus mengelirukan masyarakat menerusi tekanan yang dikenakan terhadap Kerajaan Malaysia untuk tunduk mengikut apa yang kononnya dikatakan sebagai “international standards and laws” untuk membenarkan nilai dan amalan orientasi seksual dan identiti gender yang songsang dan bertentangan dengan semangat dan aspirasi Perlembagaan Persekutuan disebarluaskan di kalangan masyarakat umum.
PEMBELA mendesak pihak Kerajaan Malaysia agar meneruskan bantahan terhadap usaha-usaha yang melatari hasrat untuk melaksanakan Resolusi PBB tersebut. PEMBELA juga mendesak masyarakat Malaysia agar menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya bukan sahaja terhadap Resolusi PBB tersebut, tetapi juga terhadap sebarang usaha untuk mengenengahkan orientasi songsang LGBT ini sebagai suatu cara hidup masyarakat Malaysia.
PEMBELA komited dalam meneruskan kempen kesedaran untuk menyemarakkan kefahaman masyarakat terhadap bahaya kesan resolusi PBB ini terhadap masyarakat serta melibatkan NGO-NGO Islam di dalam proses membantah pelaksanaan resolusi tersebut di pelbagai peringkat.
PEMBELA juga mendesak Kerajaan Malaysia agar lebih serius dalam menegaskan kedudukan kebebasan beragama yang dinikmati oleh semua pihak di Negara ini. Hak kebebasan beragama yang dinikmati oleh penganut-penganut agama-agama bukan Islam mengatasi hak kebebasan yang diberikan oleh negara-negara lain di dunia termasuk negara-negara maju yang kononnya mengagungkan hak kebebasan beragama. Malaysia adalah satu-satunya negara yang meraikan hari perayaan agama-agama lain sebagai cuti umum. Malaysia juga adalah satu-satunya negara yang bertoleransi hingga ke tahap tempat-tempat ibadat agama lain dari agama Negara lebih besar dan lebih tinggi berbanding masjid. Malah tempat-tempat sembahan yang didirikan secara menyalahi undang-undang juga dihormati dan tidak dirobohkan sesuka hati tanpa mematuhi prosedur.
PEMBELA menuntut supaya kumpulan-kumpulan yang sengaja mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat untuk menjatuhkan imej hak asasi Negara di mata dunia ditangani secara berkesan termasuk mengambil tindakan undang-undang secara serius sekiranya mereka bergantung kepada pembiayaan pihak luar demi mencemarkan nama baik dan kedaulatan Negara.
PEMBELA juga menuntut supaya semua pihak untuk menghormati kedaulatan sistem perundangan Negara yang telah memutuskan bahawa hak kebebasan beragama di negara ini TIDAK TERMASUK HAK UNTUK MURTAD bagi seseorang yang beragama Islam.
PEMBELA juga menuntut supaya semua penganut agama lain untuk menginsafi bahawa kedaulatan Agama Islam sebagai Agama Negara mesti dihormati secara jujur dan sebarang usaha untuk mencemar dan menghina Agama Islam sebagai Agama Negara mesti dihentikan bagi menjamin kelansungan kehidupan harmoni rakyat Negara ini.
PEMBELA juga menuntut supaya semua penganut agama lain menginsafi bahawa tidak semua amalan beragama yang sedang mereka kecapi di Negara ini dapat dirasai oleh penganut seagama dengan mereka di negara asal agama mereka, sehinggakan terdapat amalan-amalan keagamaan yang diamalkan di negara ini hanya dapat diamalkan di Negara ini sahaja. Justeru, sebarang usaha untuk memburukkan rekod toleransi beragama di Negara ini adalah pengkhianatan terhadap Negara dan perlu dibenteras hingga ke akar umbi.
Aminuddin Yahya
Pengerusi
Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
Pertubuhan-pertubuhan yang bersama menyokong bantahan ini:
- Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
- Haji Mohamed Jamaluddin Shamsuddin, Pengerusi, Majlis Ikatan Badan Amal Islami Wilayah Persekutuan (IKATAN)
- Dato’ Ahmad Haji Ismail, Pemangku Presiden, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
- Haji Abdul Latif Shataran Abdullah, Presiden, Persatuan Dakwah & Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia (Al-Hidayah)
- Mohd Hafiz Nordin, Presiden, Gabungan Bela Hak Insan (GABUNGAN)
- Hj. Shamsul Ma’arif bin Hj. Ismail, Yang Dipertua, Pertubuhan IKRAM Selangor
- Haji Ismail Mina Ahmad, Presiden, Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI)
- Hj. Shaari Ahmad Junid, Bendahari, Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah (JAM’IYAH)
- Haji Shafie Patt, Setiausaha Agung, Persatuan Darul Fitrah
- Azril Mohd Amin , Pemegang Amanah, Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI)
- Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden, Ikatan Muslimin Malaysia
- Kamaruzaman Mohammad, Presiden, Front Anti Murtad (FORKAD)
- Tan Sri Ibrahim Abu Shah, Presiden, Pertubuhan Melayu Insaf Kreatif Malaysia
- Haji Mansoor Ahmad, Presiden, Pertubuhan Profesional Muslim & Ukhuwah Ummah (Pro-Muslim)
- Hajah Sabariah Abdullah, Setiausaha Agung, Islamic Information and Services Foundation (IIS)
- Karim Omar, Pemegang Amanah, Khalifah Institute
- Mohammad Nizam Mahshar, Pengerusi, Pergerakan Penyelidikan & Pembangunan Komuniti (KOMUNITI)
- Nurfitri Amir Mohd, Presiden, Pertubuhan Menangani Gejala Sosial (UNGGAS)
- Salman Abdul Rahman, Setiausaha Agung, Pertubuhan Belia Islam Nasional, (PEMBINA)
- Syed Hassan bin Syed Ali, Setiausaha Agung, PERKASA
- Mohamad Raimi Abd Rahim, Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
- Norman Toha, Setiausaha Agung, Pertubuhan Jalur Tiga (JATI)
- Datin Reny Rahayu Mohd Ishak, Presiden, Gabungan NGO Malaysia (gabungan 600 NGO)
- Izzat Anwari Hasni, Naib Yang DiPertua, Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API)
- Ustaz Rosli Osman, Naib Yang DiPertua, Persatuan Ulamak Malaysia, Pulau Pinang
- MS Anuar Mahmood, Presiden, Pertubuhan Kebajikan & Sosial Malaysia, (PRIHATIN)
- Ustaz Kamaruddin Kassim, Urusetia, LANDAS Malaysia
- Aziz Man, Presiden, Muafakat Warga Desa Kedah (RURAL)
- Kamarul Irzwan bin Busu Piah, Penolong Setiausaha Agung, Perwaris Malaysia,
- Mohd Hilmi Ramli, Timbalan Pengerusi, Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM)
- Musa Awang, Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
- Kapt. Dr. Shamsuddin Moner, Penyelaras, Sukarelawan Al-Falah (SAF) YADIM
- Dato Dr. Maamor Othman, Presiden, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
- Haji Naser Disa, Pemegang Amanah, Dewan Amal Islami (DAMAI)
- Ustaz Mohd Fitri Abdullah, Pengarah Unit Dakwah, Persatuan Perubatan Islam Darul Syifa’
- Dato’ Haji Hasbullah L. Isa, Setiausaha Kerja, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)
- Dato Dr. Haji Mat Yasir Ikhsan, Presiden, Majlis Gabungan NGO Selangor
- Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, (PKPIM)
- Ustaz Shahrin bin Awaluddin, Pengarah Eksekutif, Perhimpunan Belia Muslim Sedunia (WAMY) Malaysia
- Cikgu Azmi Abdul Hamid, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
- Feriz Omar, Presiden, Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
- Badan Anti Liberal Islam (BADAi)
- Persatuan Anak Jati Melayu PulauPinang (PAJIM)
- Pusat Pemulihan Raudhatul Huda (RH)
- Forum Penyelarasan Ummah (FORUM)
Mesyuarat Agung Tahunan MUAFAKAT Ke 7
PENGUMUMAN DAN JEMPUTAN
Semua ahli dijemput hadir ke:
Mesyuarat Agung Tahunan MUAFAKAT Ke-7
Tarikh:
3 Mac 2012 (Sabtu)
Pendaftaran bermula 9:00
10:00 pagi – 12:00 tgh
Tempat:
Pejabat MUAFAKAT
No. 25, Jalan Bandar 3, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur
Agenda Mesyuarat:
- Membincang dan Meluluskan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Keenam 2011
- Membincang dan Meluluskan Laporan Tahunan 2011
- Membincang dan Meluluskan Penyata Kewangan 2011
- Perkara-perkara berbangkit
- Perlantikan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat (JPP) 2012-2015
- Ucapan Penangguhan Presiden
Leave a Comment






