Tun Fairuz: Memartabatkan Islam Sebagai Agama Negara

Tun Fairuz-ucaputamaTeks ucap utama YABhg Tun Dato Seri Ahmad Fairuz Bin Dato Sheikh Abdul Halim bekas Ketua Hakim Negara di Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) Peringkat Nasional yang telah berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 5hb Januari 2013 anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

*************

Rakaman video boleh dicapai di sini:

*************

logo-seminar SEMAIAN+JAKIM

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Segala puji bagi Allah yang berfirman, (maksudnya), “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka ia tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi….”, salawat dan salam atas Rasulullah yang bersabda (maksudnya), “Setiap daripada kamu merupakan pemimpin dan setiap kamu akan disoal tentang pimpinannya,” dan atas ahli keluarga serta para sahabat Baginda seluruhnya.”

Para hadirin yang di hormati,

Izinkan saya terlebih dahulu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada penganjur Seminar ini atas kesudian menjemput saya memberi ucap utama ini.

Kita sedia maklum bahawa PERKARA 3 Perlembagaan Persekutuan (PP) dengan jelasnya menyatakan yang “Ugama Islam” adalah “ugama bagi Persekutuan;” walau pun “ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Tidak dapat dinafikan bahawa prinsip “aman dan damai” adalah ajaran dan amalan Islam.

Sejajar dengan martabatnya sebagai Agama Persekutuan, Perkara 3 (2)-(5) PP mengisytiharkan Yang DiPertuan Agung, Ketua Utama Malaysia, sebagai Ketua Agama Islam bagi Wilayah-wilayah Persekutuan; manakala Raja-Raja Melayu yang adalah Ketua Utama Negeri-negeri sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri masing-masing. Begitulah Islam dimartabatkan sebagai Agama Persekutuan oleh PP sendiri.

Lebih ketara lagi, Perkara 11 (4) PP pula membolehkan “Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan …… mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Perkara 12.(2) PP turut pula menyatakan “………adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”

DSC08420Memartabatkan lagi Islam sebagai Agama Persekutuan ialah Perkara 37 PP yang mewajibkan “Yang di-Pertuan Agong … sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan … dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Majlis Raja-Raja.”

Jadual Keempat itu memerlukan Yang di-Pertuan Agong bersumpah, antara lainnya, seperti berikut:

“Wallahi   Wabillahi   Watallahi:

maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.”

Begitulah Ketua Utama Negara diwajibkan “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam.”

Sdr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan dalam rencana bertajuk “Agama Islam Dalam Perlembagaan Malaysia” antara lainnya menyatakan: “Tepat sekali kenyataan Ahmad Fairuz bahawa sebelum Pindaan 1988, memang banyak kes yang terang-terang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah telah “dirampas”oleh Mahkamah Sivil. Ini dapat dilihat dalam beberapa kes popular di antaranya Myriam lwn Mohamed Ariff [1971] 1 MLJ 275, Commissioner for Religious Affairs, Terengganu & Ors. lwn Tengku Mariam [1969] 1 MLJ 110, Ainan Mahmud lwn Syed Abu Bakar [1939] MLJ 209 dan Nafsiah lwn Abd. Majid [1969] 2 MLJ 174 yang kesemua kes ini menafikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.………Tokoh-tokoh seperti Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim telah berusaha lama untuk memastikan urusan Mahkamah Syariah bebas dan tidak diganggu oleh Mahkamah Sivil, dan hanya pada tahun 1988, peruntukan (1A) dimasukkan. Mahkamah Syariah mula ada kebebasan setelah 31 tahun Malaysia merdeka.”

Perkara 121 (1A) PP jelas menunjukkan bahawa Mahkamah-mahkamah Sivil TIDAK “mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.”

Perkara 150 (yang adalah mengenai Proklamasi darurat) membolehkan, melalui Perkara 150(5) PP, Parlimen, “semasaProklamasi Darurat berkuat kuasa …….. membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara, jika didapati oleh Parlimen bahawa undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat itu ……… walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini………..” Sungguh pun demikian Perkara 150 (6A) pula menyatakan yang Perkara 150(5) tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak……………”

Jelas sekali bagaimana PP menjaminkan pengecualian undang-undang Islam daripada tertakluk kepada undang-undang darurat sesuai sekali dengan martabat Islam sebagai Agama Persekutuan.

Pada 5hb April 2010 Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang menulis atas tajuk “Perundangan Islam dilindungi Perlembagaan” menyatakan “…….. Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, berkata hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. ……….. Kelima, hak yang dilindungi walaupun dalam darurat.

Tun-ucaputamaPerkara 150 (6A) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak itu berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama…….. Secara tersirat, sudah tentu PP mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Undang-undang itu menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara yang tidak diperuntukkan Perlembagaan. Undang-Undang itu termasuklah Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Oleh itu tiada sesiapa boleh mempertikai undang-undang disebutkan di atas. Tidak keterlaluan dikatakan kedudukan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sewajarnya jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.”

Para hadirin yang saya hormati

Sekianlah sedikit gambaran mengenai beberapa peruntukan dalam PP yang sering diperkatakan dalam polemik-polemik dan perdebatan-perdebatan mengenai Islam sebagai Agama Persekutuan. Bagi saya peruntukan-peruntukan itu telah memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Seperti yang dikatakan oleh NOOR AZAM SHAIRI dalam rencana bertajuk “Perlembagaan Persekutuan Melindungi Kedudukan Islam Di Malaysia” “…….. Keutamaan kepada agama Islam itu pun bukanlah semata-mata kerana kedudukannya yang diberikan melalui Artikel 3 tetapi ia dikukuhkan oleh peruntukan- peruntukan lain yang digubal dalam Perlembagaan itu sendiri.”

Kini izinkan saya beredar kepada rencana bertajuk “SEKATAN-SEKATAN DALAM PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA” karya Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim. Dalam rencana itu Allahyarham telah mengulas mengenai seksyen seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Civil Law Act 1956) seperti berikut:

“Akibatnya, undang-undang yang kita terpaksa ikuti di Malaysia, kecuali jika ada undang-undang bertulis yang lain, ialah undang-undang Inggeris dan undang-undang Inggerislah yang menjadi undang-undang asas dan undang-undang negeri di Malaysia. Undang-undang Islam pada masa sekarang hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja dan dalam perkara-perkara yang terhad sahaja iaitu perkara-perkara berhubung dengan keluarga dan agama Islam dengan pengertian yang sempit……….”

Seksyen 3 (1) Akta tersebut antara lainnya menegaskan bahawa “the Court shall –

(a)  in Peninsular Malaysia or any part thereof, apply the common law of England and the rules of equity as administered in England on the 7 April 1956;

(b)  in Sabah, apply the common law of England and the rules of equity, together with statutes of general application, as administered or in force in England on 1 December 1951;

(c)   in Sarawak, apply the common law of England and the rules of equity, together with statutes of general application, as administered or in force in England on 12 December 1949, subject however to subparagraph (3)(ii):

Provided always that the said common law, rules of equity and statutes of general application shall be applied so far only as the circumstances of the States of Malaysia and their respective inhabitants permit and subject to such qualifications as local circumstances render necessary.”

Saya tekankan perkataan-perkataan “as administered in England on the 7 April 1956″, “as administered or in force in England on 1 December 1951″, dan “as administered or in force in England on 12 December 1949,”. Perkataan-perkataan itu jelas sekali menampilkan betapa beberapa undang-undang kita hidup dalam sejarah. Dan sejarah itu pula bukan sejarah kita tapi sejarah Negara asing – sejarah bekas penjajah kita. Hasilnya, undang-undang kita itu terus wujud ditokok lama, tertinggal kolot, dan menjadi barang antik manakala undang-undang negara bekas penjajah itu sendiri berkembang maju ke hadapan mengikut rentak masa, keperluan dan keadaan.

Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim dalam rencananya itu telah menganjurkan agar “Seksyen 3 dan 5 dalam Akta Undang-undang Sivil hendaklah dimansuhkan. Dengan ini kita tidak akan merujuk kepada undang-undang Inggeris yang lapuk itu, tetapi bebas mencari undang.-undang lain yang tidak bertentangan dengan undang-undang Islam. Suatu fasal hendaklah diadakan dalam Pemlembagaan yang bertujuan bahawa jika terdapat mana-mana undang-undang di Malaysia yang bertentangan dengan undang-undang Islam, maka hendaklah undang-undang itu terbatal setakat mana ia bertentangan.”

Nyata sekali anjuran Allahyarham itu adalah keinginannya bagi memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Utusan Malaysia, pada 21hb Ogos 2007, menyiarkan berita yang antara lainnya menyatakan: “………Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah ……….. Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita ………… ´Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? …….. Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?´ soalnya …….. Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.

…………..”

Apakah tidak lebih sesuai dan wajar Common Law Inggeris digantikan dengan “mana-mana sistem perundangan yang Mahkamah fikir sesuai demi melaksanakan keadilan”?

Beredar kini kepada penghujjahan Mr. Ramdas Tikamdas dalam kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55. Mengikut penghakiman Mahkamah Mr. Ramdas Tikamdas menghujahkan bahawa “because Islam is the religion of the Federation, the law passed by Parliament must be imbued with Islamic and religious principles” manakala Mr. Mura Raju, dalam kes itu juga, menghujahkan bahawa “because Syariah law is the existing law at the time of Merdeka, any law of general application in this country must conform to Syariah law.”

Berkaitan dengan penghujahan itu, Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim pernah menulis dalam tahun 1987 seperti berikut:

“There seems to be a need therefore to give a proper place to the Islamic law and the Shariah Courts and thus to implement the provision that Islam is of the religion of the Federation. As Islam is the religion of the Federation the Shariah as based on the Quran and Sunnah must be enforced in the Federation and it should be provided that any law which is inconsistent with the Holy Quran and the Sunnah shall be void to the extent of such inconsistency.

The Privy Council has ruled that in the case of Singapore a law to be valid must conform to the fundamental rules laid down by the English Common Law. This view seems to be acceptable to some in Malaysia too but as Islam is the religion of the Federation surely the fundamental principles of the laws should be based in Malaysia, not on the English Common Law but on the Shariah.”

(Petikan daripada ISLAM IN MALAYSIA, CONSTITUTIONAL AND HUMAN RIGHTS PERSPECTIVES)

Mantan Hakim Besar Malaya pernah berkata:

“Article 3 of the Federal Constitution is very clear and it cannot be misinterpreted anymore that the religion of the Federation is Islam. Thus, any interpretation which arise conflict between document created by men and orders from Allah, that interpretation cannot be used”. (Hashim Yeop Sani, Islam dalam perlembagaan, Institut Dakwah dan Latihan Islam, Kuala Lumpur, tiada tarikh, m/s. 17.)

Dalam hal ini wajar juga dirujuk kepada Perkara 4(1) PP yang berbunyi:

“(1) Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.”

Apa yang ketara ialah Perkara 3 adalah peruntukkan dalam PP. Justeru itu tidakkah berlogika dan berakal budi jika Perkara 3 itu menjerumuskan konklusi bahawa undang-undang yang bertentangan dengan Islam “hendaklah terbatal setakat yang berlawanan?”

Kes Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21) antara lainnya menyatakan:

“In interpreting a constitution two points must be borne in mind. First, judicial precedent plays a lesser part than is normal in matters of ordinary statutory interpretation. Secondly, a constitution, being a living piece of legislation, its provision must be construed broadly and not in a pedantic way – with less rigidity and more generosity than other Acts”

Jelaslah terdapatnya mutu dalam penghujahan-penghujahan Mr. Ramdas Tikamdas dan Mr. Mura Raju.

Nyata juga betapa tingginya martabat Islam sebagai Agama Persekutuan.

Dalam hal undang-undang yang bertentangan dengan Islam ini Allahyarham Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim dalam kertas kerjanya bertajuk “KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA” telah menyarankan:

“ … Sayangnya masih terdapat banyak undang-undang di Malaysia, yang bercanggah dengan undang-undang Islam, yang diluluskan dari zaman penjajah, akan tetapi usaha boleh diambil untuk meminda undang-undang itu supaya dia selaras atau tidak bertentangan dengan undang-undang Islam. Mungkin ini telah dimudahkan kerana kita dapati undang-undang di England pun telah banyak diperbaharui supaya lebih dekat kepada undang-undang Islam …. Jika orang lslam ingin Perlembagaan itu dijadikan lebih dekat dengan Islam, mereka harus mengikhtiar supaya mereka mempunyai kuasa memindanya, iaitu dengan mendaftar diri sebagai pemilih dan memilih wakil-wakil rakyat yang boleh ada majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya pindaan itu dapat diterima. Inilah perlunya kita sepakat supaya kita boleh mencapaikan hasrat bangsa, agama dan negara kita.”

Bagi mengakhiri ucap utama ini, izinkan saya melaungkan kata-kata Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim dalam rencana “SEKATAN-SEKATAN DALAM PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA” yang berbunyi:-

“ … Selepas itu hendaklah kita menghormati dan menerima undang-undang Islam dalam semua bidang.

Langkah ini tidaklah boleh diambil tergesa-gesa tetapi hendaklah orang Islam sendiri mempelajari dan meyakinkan ketinggian taraf dan keindahan undang-undang Islam itu. Kita harus meyakinkan diri kita sendiri dan orang-orang lain di Malaysia bahawa undang-undang Islam itu adil dan saksama. Sayangnya kita telah mengabaikan dan mencuaikan khazanah yang berharga yang telah diwarisi kepada kita oleh para ulama Islam. Kita harus mempelajari undang-undang Islam itu dan berikhtiar dan berijtihad jika perlu untuk menjadikan undang-undang Islam itu undang-undang kebangsaan di Malaysia. Beberapa langkah telah pun diambil di Jabatan Syariah, Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan di Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya, dan dengan kerjasama kedua-dua fakulti itu telah membawa kesan yang sangat baik. Kulliyyah Undang-undang Universiti Islam Antanabangsa telah ditubuhkan dengan tujuan menyiapkan pelajar-pelajarnya untuk menerima dan mengemukakan undang-undang Islam diterima sebagai undang-undang asas bagi orang-orang Islam di Malaysia. Tetapi ini adalah langkah permulaan sahaja dan banyak lagi langkah harus diambil untuk menghilangkan sangka buruk terhadap undang-undang Islam dan mengiktiraf dan menghormati undang-undang Islam di Malaysia. Undang-undang di negeri-negeri Barat, dengan secara langsung atau tidak, dan dengan diketahui atau tidak, telah banyak mengambil dan meniru undang-undang Islam. Di England banyak pembaharuan telah dibuat, yang telah membawa undang-undang itu lebih dekat kepada undang-undang Islam. Tetapi sayangnya kita di Malaysia hingga hari ini kerap kali menurut sahaja pembaharuan-pembaharuan yang telah dibuat di England, sungguhpun peruntukan yang setanding dengan itu atau yang lebih baik boleh didapati daripada undang-undang Islam. Kita orang-orang Islam di Malaysia haruslah menyesuaikan diri dan menguatkan iman kita supaya layak menenima kurnia undang-undang Islam kepada kita dan selepas itu bolehlah kita cuba memujuk jiran-jiran kita di Malaysia menikmati undang-undang itu.”

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin (Panel Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan) dalam rencana “Agama Islam, Perlembagaaan Persekutuan dan Negara Malaysia: Suatu Analisis Dalam Mempertahankan Kedudukan Agama Islam dan Umat Islam di Malaysia” telah merujuk kepada kenyataan Dr. Aziz Bari berikut :

“Pada hakikatnya kita boleh mengatakan bahawa negara ini telah disyahadahkan dengan kalimah Islam sebagaimana tertulis dalam Perkara 3 (1) iaitu Islam adalah agama Persekutuan Malaysia sekaligus telah membatalkan ciri-ciri sekularnya. Dan kemudian terpulang kepada kita untuk mengisi kerangka itu dengan apa yang dituntut oleh Islam. ……”

Islam Online pada 7hb Disember 2012 telah menyiarkan, antara lainnya, kenyataan yang berbunyi:

“……… The UMNO President said that the position of Islam would always be defended as enshrined in the party constitution and in line with its position as the religion of the federation.

He said, “I wish to emphasize here, that UMNO is undoubtedly committed to continue elevating Islam based on the objectives of the shariah, to protect the religion, life, property, mind, dignity and race.”

“At this assembly, we wish to state clearly that we strongly oppose those propagating pluralism or liberalism,” he said while delivering the presidential speech carrying the theme, “Transformative Leadership Towards Achieving National Vision” in conjunction with the opening of the UMNO General Assembly 2012 later this week.

… Malaysia has been placed in the fifth spot in complying with the Malaysian Shariah Index managed by a group of international ulamas, Najib concluded.”

Akhir kata saya mendoakan agar perbincangan yang diadakan sepanjang seminar ini berlangsung dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dijadikan asas bagi tindakan selanjutnya.

About these ads

1 comment so far

  1. abubakar binawaludin on

    Memenangi pilihanraya 2013 adalah wajib utama. Ini membolehkan mfc dan kuasa agung sebagai pemelihara agama serta pemgurus seluruh daratan-laut-ruang angkasa dipertahankan dan ditambahbaik setiap masa. Maka berdosa besarlah seluruh ummah islam di malaysia sekiranya membenarkan kerajaan kuffar mengambil alih kuasa pentadbiran dan pengurusan negara secara terus atau tidak langsung. Pertolongan Allah hanya turun apabila ummah terus menjaga saliturrahim, menunaikan hak pencipta(sholat/membaca dan mengamal AlQuran-Assunnah)serta zikir malam diperbanyakkan. Ini berlaku ke atas tentera afghanistan yang dikepong oleh tentera Rusia di genting khyber bypass. ALLAH SWT dan kerajaannya Maha kuat dan Maha Adil.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 47 other followers

%d bloggers like this: