Sidek Baba: Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Hegemoni Barat

Klik untuk maklumat seminar

Kertas kerja Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba yang dibentangkan di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

untuk versi cetak dalam format pdf: Klik di sini

************

Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Hegemoni Barat 

Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba

Profesor Pendidikan UIAM

 

 

MUKADDIMAH

Masakini berbagai orientasi dakwah terdapat dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengahayatan Islami.  Ada yang memilih orientasi haraki (gerakan), terdapat juga yang memilih orientasi siasi (politik), berkembang juga orientasi “tablighi” dan tidak kurang juga cenderung ke arah orientasi sufi bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman dan amal Islami.

Sesetengah orientasi ini menyandarkan kepada jamaah atau gerakan yang terdapat di luar negara yang mempunyai orientasi, maslahah dan cabaran yang tidak sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Manhaj atau kaedah  Mesir umpamanya kalau ditinjau dari segi sejarah, budaya, situasi sosio-ekonomi ianya tidak sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Manhaj atau kaedah Indo-Pakistan juga tidak serupa dengan situasi sosio-politik-budaya di Malaysia. Malaysia adalah sebuah negara yang agak unik dan memerlukan suatu kaedah yang sesuai dengan latarbelakang sejarah, sosio-ekonomi dan pentadbirannya.

Isu yang berbangkit ialah kurang daya tasamuh atau tolak ansur dari segi pendekatan hingga menyebabkan polimik yang tidak terkawal wujud dan akhirnya gerakan dakwah hilang prioritinya. Tidak kurang di kalangan mereka mempunyai sifat taasub melihat jamaahnya saja yang hebat dan mewakili dan meremahkan jamaah lain hingga melahirkan rasa curiga yang tinggi. Perkara kedua yang berbangkit ialah menerima orientasi luar tanpa cuba menyesuaikan uslub ad dakwah dengan realiti setempat. Faktor waqi’ yang berorientasikan Malaysia perlu ada dan tidak semestinya prinsip al Quran diubah tetapi pengungkapan maksud al Quran itu dalam beberapa hal memerlukan pendekatan ke Malaysiaan dengan latar masyarakatnya berbilang dan upaya sosio-budaya-ekonominya tidak seimbang.

HEGEMONI BARAT

Gerakan dakwah semasa tidak saja berdepan dengan masalah sesama jamaah dakwah tetapi juga hegemoni Barat dalam segala bidang. Barat yang sedang mendukung tamadun kebendaan menawarkan perkembangan ilmu, sains dan teknologi sebagai asas pengembangan pemikiran, gaya hidup, budaya popular dan media baru yang langsung memberi kesan terhadap umat Islam khususnya di kalangan generasi muda.

Ianya menghasilkan pemikiran liberal dan sekular dan menyebabkan makna hak asasi dan kebebasan berada dalam acuan di luar batasan nilai dan agama. Penjajahan pemikiran dan gaya hidup ini sedang menular dengan suburnya di kalangan orang-orang Islam dan menyebabkan jatidiri Islami hilang atau berada dipersimpangan.

Kuasa-kuasa Barat yang sedang melakukan hegemoni dalam pelbagai bentuk dan cara adalah kelangsungan strategi sejak mereka melakukan siri penjajahan di kalangan umat Islam. Hari ini umat Islam belum mampu bangun menampilkan gagasan Islam yang sifatnya berketamdunan dalam model dan sistem.

Umat Islam masih lagi dalam kerangka pengguna setia kepada kekuatan Barat dan belum mampu menjadi menyumbang bermakna kepada tamadun baru umat manusia. Produktiviti rohaniah kita kelihatan meningkat tetapi produktiviti amaliah kita relatif rendah. Ia menyebabkan dominasi ilmu dari Barat yang tidak berasaskan tasawwur Islami atau nilai-nilai alamiah yang bertunjangkan nilai dan etika yang tidak bercanggah dengan Islam tidak terjadi.

Meski terdapat aspek-aspek berbanding dalam sains dan teknologi yang boleh dimenfaatkan tetapi amat penting integrasi high-tech (teknologi tinggi) dan high-touch (sentuhan keinsanan) dilakukan supaya kemajuan dan perubahan yang ingin dibangunkan nilaiguna yang memberi kesan perubahan yang sifatnya manusiawi.

Oleh itu pendekatan dalam dakwah semasa harus dimulakan dengan mengukuhkan asas ilmu Islami dalam semua bidang dan lapangan. Integrasi dan Islamisasi ilmu yang sedang berjalan umpamanya harus mampu memberi perganjakan bijaksana supaya yang baik dari Barat dan Timur tidak kita tentang tetapi harus ada kemampuan dalam tradisi keilmuan kita untuk memberikan corak dan acuan Islami berasaskan tasawwur kita.

Kehebatan tamadun Islam pada masa lalu di tandai dengan faktor utama. Pertama, berlaku sinergi antara ulama dan umara’. Kedua, sifat ilmu yang berkembang amat integratif sifatnya. Ketiga, tradisi kencediakawanan dalam kaji-selidik dan penghasilan karya amat subur dan keempat, memanfaatkan ilmu berbanding dari sumber orang lain berlaku dengan bijaksana.

Negara umat Islam memiliki empat kekuatan yang kalau dapat digerakkan dengan baik, penuh strategik dan bijaksana ia bakal mampu mengimbangi hegemoni Barat. Pertama Islam itu adalah suatu sistem kepercayaan dan cara hidup. Kedua, umat Islam sudah pernah memiliki tamadun silap yang memerlukan daya reflektif yang tinggi. Ketiga jumlah umat Islam kini melepasi 1.5 bilion dan keempat, negara umat Islam memiliki sumber kekayaan hasil bumi yang banyak seperti minyak, gas, air bawah tanah, uradium dan thorium yang penting bagi membangunkan kekauatan ekonomi.

Sekiranya 1.5 bilion ini sebahagiannya di olah dalam sistem pendidikan yang tidak saja mampu membangunkan Ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem bayangkan jenis sumber daya manusia yang bakal dibangunkan untuk mendepani hegemoni Barat.

Dalam konteks dakwah pula sekiranya asas ilmu dan pemikiran dibina, ilmu dan pemikiran berbanding ditekuni, metodologi dakwah diperkasa, jalur wehdah dirintis, penulis percaya perubahan baru akan wujud dan kemampuan untuk mendepani hegemoni Barat boleh diatasi.

Justeru dalam konteks Malaysia “Manhaj Malizie” harus dibangunkan dengan bijak dan strategik supaya wujud perimbangan yang sihat antara ide-ide yang sifatnya alamiah dengan faktor setempat yang menuntut pemahaman.

“MANHAJ MALIZIE”

Ini tidak bermakna tidak ada latar kesamaan antara Mesir dan Indo-Pakistan dengan apa yang terdapat di Malaysia. Dakwah Rasulullah SAW adalah sumber terbaik samada dari segi manhaj mahupun kekesanan dakwahnya. “Manhaj Malizie” atau dakwah mengambil pendekatan keMalaysiaan amat perlu kerana orientasi masyarakat berbilang, kebebasan yang ada, pengaruh Islam dalam sistem, terdapat banyaknya lembaga dan institusi Islam di seluruh negara memungkinkan “Manhaj Malizie” mampu berperanan.

Pendekatan ke Malaysiaan ini mengambil kira peruntukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia khususnya yang terdapat dalam bidang kuasa negeri. Sejarah perkembangan dakwah Islam sejak zaman Melaka sehingga kini dan pendekatan dinamik yang perlu ada bagi badan-badan dakwah melihat potensi yang terdapat samada di kalangan umat Melayu mahupun di kalangan yang Bukan Melayu atau Bukan Islam.

Isu yang sering berbangkit ialah tidak wujud secara terselaras pendekatan wehdah yang merintis jalan kerjasama dan peranan saling melengkapi hingga terhasil suatu kekuatan menangani realiti yang ada dan mencari maslahah yang terbaik antara gagasan dan prinsip dengan dengan faktor sosio-budaya yang terdapat supaya jalur bijaksana sentiasa dijadikan pedoman. Apalagi timbul pendakwaan bahawa “kami adalah jamaah terbaik” hingga menimbulkan persengketaan yang sia-sia dan sikap tertutup terhadap “kebaikan” orang lain. Natijah akhirnya ia boleh mendatangkan faham jumud  dan taasub yang menyebabkan persengketaan dan salah-faham berterusan.

DUSTUR DAKWAH

Allah SWT menganjurkan suatu dustur dakwah yang terbaik seperti yang terungkap dalam Surah An Nahl ayat 125 “ Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dengan pekerti teladan yang baik dan hujah-hujah yang terbaik dan meyakinkan”. Dustur atau kaedah dakwah ini amat releven dalam realiti Malaysia. Sebagai dai’ dan murabbi, dihadapannya terdapat potensi mad’u atau orang yang hendak di dakwah dalam segala peringkat dan latarbelakang.

Pertama, kena ada sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang yang hendak di dakwah. Berdakwah dengan memberikan label dan sindiran boleh menyebabkan yang didakwah akan lari dan tidak tertarik dengan cara yang diambil. Kita harus menginsafi bahawa tidak semua orang yang didakwah memiliki latar pendidikan dan binaan keluarga yang baik. Sesetengah yang ingin kita dakwah adalah orang-orang yang cicir dalam keluarga, mengalami kelompangan hati dan kekeliruan minda. Orang-orang seperti ini mudah terdedah kepada kefasadan dan kemungkaran kerana tidak memiliki kesedaran rohaniah.

Kedua, apabila kita melihat kemungkaran atau ketidakbaikan yang dilakukan oleh seseorang, perbuatan itu tidak kita sertai. Tetapi jauh dalam lubuk hati kita terpancar rasa belas kasihan terhadap apa yang berlaku. Lalu datang gerak dalam hati untuk mendekatinya sebijaksana mungkin. Sekiranya pendekatan ini dilakukan bagi mengajaknya kembali ke jalan yang benar ada kemungkinan ia akan kembali kepada fitrah hidup semula. Sekiranya kejayaan ini ada ,bermakna ia tidak lagi terus menerus melakukan kemungkaran, sebaliknya sudah bersama dengan kita hidup dalam kemakrufan. Berdakwah tidak saja dengan silat lidah tetapi yang amat berkesan ialah silat hati. Hubungan hati dengan hati atas asas dakwah kerana Allah sering mengembalikan insan ke jalan yang benar. Mengambil pendekatan kasar, suka melabel dan gopoh selalu menyebabkan orang yang didakwah lari malah amalannya akan menjadi lebuh teruk lagi.

Ketiga, melakukan dakwah perlu ada persiapan. Faham akan sasaran, tingkat pemikiran, rasa kesabaran dan kebijaksanaan, contoh teladan diri yang baik dan tidak mudah berputus asa. Harus ada sikap bahawa setiap yang ingin di dakwah ada potensi untuk berubah. Hal ini penting kerana cabaran dakwah tidaklah mudah tetapi harus diingat melakukan dakwah adalah tugas dai’ sebijaksana mungkin tetapi yang memberikan hidayah adalah Allah.

Keempat, kuasai ilmu pengetahuan dalam berbagai bidang khususnya ilmu-ilmu yang Islami, kerana jenis cabaran yang menghadapi masyarakat kini tidak saja rohaniah sifatnya tetapi perkembangan ilmu yang menjangkau ke daerah sains dan teknologi. Ilmu ini harus diolah dengan bijaksana bermula dengan mengukuhkan aqidah dan iman, ibadah dan syariah supaya terhasil akhlak yang baik.

DAKWAH BIL HAL

Dakwah bil hal terhubung pada diri, organisasi dan sistem. Diri menjadi  sumber dakwah sekiranya ilmu dan pekerti dijadikan sumber pedoman dan rujukan. Diri yang berilmu memandu jalur kehidupan supaya landasan aqidah dan syariah dijadikan pedoman utama dalam mengatur kehidupan. Diri yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan keahlian mampu menjadikan seseorang berdaya maju, innovatif dan menawarkan yang terbaik untuk orang lain.

Ia juga terhubung dengan organisasi supaya taklif  atau tanggungjawab dalam organisasi menyebabkan integriti subur, prestasi meningkat, produktiviti tinggi dan akhirnya kualiti perkhidmatan mendatangkan barakah. Asas ini sangat penting kerana proses membuat keputusan (syura) dibuat dengan baik dan mampu mencetuskan rasa kebersamaan , kekitaan dan kepunyaan. Pendekatan melaksanakan keputusan dibuat dengan rasa amanah yang tinggi dan natijah dari kerja tidak saja terdapat pulangan gaji dan kenaikan pangkat tetapi dengan ganjaran pahala dari Allah. Organisasi seperti ini menjadi sumber dakwah bil hal yang amat penting.

Umpamanya sebuah institusi Pengajian Tinggi ingin melakukan dakwah bil hal menerusi proses integrasi dan pengislaman ilmu. Integrasi dalam ilmu menjadi amat penting kerana dualisme dalam ilmu menyebabkan lahirnya personaliti yang memiliki orientasi ilmu yang berbeza dan menyebabkan ilmu tidak berdiri atas landasan tasawwur yang betul. Ianya menghasilkan konflik pemikiran dan amalan. Integrasi dan islamisasi ilmu menghubungkan faktor etika dan nilai yang Qurani dan Islami supaya sifatnya merentasi dalam setiap disiplin ilmu. Ianya amat penting kerana tanpa asas nilai dan etika yang Qurani pedoman membangunkan organisasi akan hilang arah tujunya. Jenis manusia yang bakal dilahirkan tidak holistik dan tidak mampu memperlihatkan kesyumulan Islam dan sifatnya mekanistik dan tidak terhubung dengan etika dan nilai dan ianya tidak menjadi sumber dakwah.

Apalagi keperluan dalam sistem yang menuntut kepimpinan dan kepengikutan teladan yang mampu menghasilkan sistem yang telus dan tulus.   Sistem yang telus dan tulus boleh memberi kesan yang baik terhadap proses produktiviti, prestasi dan kualiti perkhidmatan yang baik dan menyebabkan budaya perkhidmatan menjadi cemerlang. Bila asas Bersih, Cekap dan Amanah dijadikan landasan kepimpinan dan kepengikutan, sistem mempunyai integriti yang cukup tinggi. Ia menjadi sumber dakwah yang terbaik untuk membangunkan sesebuah negara.

MEMAHAMI KEUNIKAN MALAYSIA

”Manhaj Malizie” mengajak para dai’ dan murabbi, pendakwah-pendidik memahami tentang keunikan Malaysia supaya para pendakwah faham akan suasana yang membolehkan dakwah berkembang, kaedah yang tidak saja memantapkan aqidah dan iman tetapi mampu akhirnya menyuburkan ilmu yang dapat menjadi benteng mendepani cabaran perubahan dan kemajuan yang memerlukan acuan yang betul dan Islami. ”Manhaj Malaysia” bukan sekadar menimbulkan keinsafan tentang pentingnya akhlak karimah disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan, ia memungkinkan saluran alternatif diberi tidak saja dalam pembangunan ilmu tetapi juga dalam memberikan arah yang betul pemahaman tentang seni dan budaya supaya kemajuan yang berlaku sentiasa dalam acuan yang makruf. ”Manhaj Malizie” mengambil pendekatan wasatiah atau sederhana sesuai dengan risalah Islam itu iaitu sejahtera.

Pendakwah dan pendidik harus sentiasa memiliki sikap berlapang dada untuk menerima kritik dan teguran dan jangan mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi dengan resam budaya masyarakat dan boleh menyebabkan gerakkerja dakwah menjadi fitnah. Gerakerja dakwah harus sentiasa dimurnikan dengan usaha-usaha dai’ dan murabbi yang istiqamah terhadap perjuangan, yakin akan keberkesanan dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon kekuatan.

DAKWAH RASULULLAH BERASASKAN FATANAH.

Salah satu sifat Rasulullah SAW ialah fatanah atau bijaksana. Dalam dakwah pendekatan bijaksana amatlah dituntut. Bijaksana mempunyai makna yang amat luas. Ia menghubungkan antara maksud idealisme dengan realiti (waqie). Ia mengaitkan faktor realiti dengan isu strategi. Bijaksana juga mengaitkan tahap kefahaman dan pemikiran orang yang di dakwah dengan pemikiran dan tahap pengetahuan  para pendakwah.

Dakwah Rasulullah tidak sekadar kata-kata yang bersifat ajakan, nasihat, seruan dan peringatan terhadap sesuatu tetapi terlihat kepada kesabaran, kelembutan kata-kata, kesesuaian mad’u atau orang yang di dakwah, ketegasan menyatakan prinsip dan pedoman, kejelasan menyatakan yang maaruf dan mungkar.

Berdepan dengan Abu Jahal dan Abu Lahab, Rasulullah adalah amat tegas dengan persoalan aqidah. Bertemu dengan bapa saudaranya Abu Talib, Rasulullah amat lembut menyatakan kebenaran dan hak. Menghadapi karenah seorang perempuan Yahudi yang membencinya, Rasulullah amat sabar dan bijaksana sehingga perempuan itu kembali kepada fitrah.

SEJARAH DAKWAH DI DUNIA MELAYU

Tetapi sifat zaman berubah dan faktor ruang sifatnya dinamik. Dakwah di dunia Melayu adalah amat unik. Keupayaan pendakwah mendekati Raja dan Penguasa berupaya mengembalikan mereka kepada fitrah. Perubahan yang berlaku kepada Raja dan Penguasa diikuti oleh rakyat jelata. Ianya adalah suatu kebijaksanaan. Pendakwah zaman silam amat memahami realiti kepercayaan masyarakat pada zaman itu. Fahaman Hindu dan Buddha, keyakinan rakyat jelata kepada faham sharman atau kuasa-kuasa ghaib terlihat dalam adat dan budaya, gaya hidup dan juga pemikiran.

Kehebatan pendakwah pada masa itu mampu mendekati ahli ilmu dengan makna iman dan takwa, mendekati karyawan tentang makna seni dan sastera, mendekati ahli bahasa mengenai bahasa al Quran, menerima aspek-aspek budaya setempat yang tidak bercanggah dan menghasilkan kitab-kitab yang senafas dengan citarasa setempat.

Darinya lahir majlis-majlis ilmu mengenai aqidah dan ibadah, jenis puisi seperti pantun yang aslinya dari budaya Melayu, syair, gurindam, seloka, nazam, qitah dan prosa yang bersifat hikayat sebagai khazanah seni dan ilmu yang memperkaya pemikiran umat Melayu suatu ketika dulu.

Kebijaksanaan inilah juga menjadikan Islam semakin berkembang di dunia Melayu menghasilkan karyawan terbilang seperti penghasilan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, tokoh-tokoh tasawwuf seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al Nariri, Shamsuddin al Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel dengan kitab-kitab besar masing-masing serta menghasilkan Sheikh Daud al Fatani dengan kitab-kitab feqahnya yang amat terkenal dan menjadi rujukan ulama’-ulama’ terkemudian.

Tradisi ini akhirnya telah mampu menyerapkan ribuan istilah al Quran ke dalam bahasa Melayu sehingga sesetengah ilmuan mengatakan proses dakwah dan Islamisasi telah berjalan dengan baik di Alam Melayu sehingga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam.

Kekentalan tradisi dakwah dan Islam ini jugalah yang terbukti menjadi benteng yang amat ampuh menghadapi proses Salibiyyah penjajah yang silih berganti berada di Alam Melayu untuk lebih empat ratus tahun. Makna Melayu amat sinonim atau disamakan dengan Islam dan orang-orang Islam di Alam Melayu adalah dari rumpun Melayu. Islam dan Melayu adalah sesuatu yang sebati dalam konteks agama, sejarah dan kebudayaan.

MENGISI MAKNA KEMERDEKAAN

Selepas kita mencapai kemerdekaan, keperluan untuk mengisi makna kemerdekaan menjadi suatu cabaran. Malang sekali anakanak bangsa yang terpilih menjadikan Barat sumber membangunkan kekuatan baru ke arah kemajuan dan perubahan. Proses pembaratan dalam bentuknya yang berbeza menjadi subur dan akhirnya menimbulkan konflik antara tradisi Islam yang sedia ada dengan pengaruh Barat yang semakin mengakar.

Ianya memberikan tindakbalas di kalangan yang sedar tentang pentingnya dakwah diperkasakan dan Islam dijadikan asas dan landasan hidup dan bernegara. Di waktu itu faham nasionlisme Melayu amat kuat tetapi elemen Islam tetap dianggap penting. Ahli-ahli politik, bahasa, kebudayaan dan ilmuan masih dalam kesedaran dan keinsafan bahawa faktor Islam adalah penting bagi survival Melayu. Berlakulah penyegaran Islam hingga menyebabkan dakwah berkembang dan minat generasi muda terhadap Islam di tahun-tahun 70an, 80an dan 90an berlaku dengan hebat sekali.

Tetapi suasana masyarakat di awal abad 21 sedang mengalami perubahan yang amat pesat dalam semua lapangan. Proses pembaratan yang berlaku diperkukuhkan lagi dengan strategi Globalisasi yang menyebabkan corak komunikasi dan telekomunikasi berubah, sistem maklumat dan keilmuan menjadi sejagat dan rangkaian internet, website dan weblog telah menjadi semakin dekat dengan masyarakat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda.

Keadaan sebegini menyebabkan lahirnya kecenderungan baru dikalangan warga Malaysia untuk maju dan membangun. Di kalangan pendakwah berdepan dengan cabaran baru yang lebih sengit. Sesetengah orang Melayu tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti yang berlaku pada tahun-tahun 70an, 80an dan 90an. Setengahnya mula terpaut dengan faham liberal akibat pengaruh Barat, materialisme dan konsumerisme yang semakin kuat khususnya di kalangan kelompok menengah Melayu. Di kalangan generasi mudanya sebahagian besarnya sudah mula terpikat dengan pengaruh budaya dan gaya hidup Barat menerusi pengaruh media eletronik dan cetak yang memancarkan gaya hidup Barat yang lepas bebas.

Suatu aspek lain yang muncul ialah di sebalik usaha pengukuhan Islam dalam konteks pentadbiran Islam di Malaysia, mula muncul suara-suara di kalangan yang Bukan Islam tentang makna pluralisme yang baru dan pengungkitan kembali aspek-aspek teras dalam Perlembagaan negara dan ianya boleh menjejas hubungan antara kaum.

Oleh itu amat penting para pendakwah di abad ini mencari kebijaksanaan dalam mengambil pendekatan  memilih kaedah yang terbaik dalam realiti yang pantas berubah. Pendekatan ”bottom-up” harus diperkasa dengan memberikan strategi alternatif terhadap isu Islam. Ilmuan Islam samada yang lahir dalam orientasi Al Azhar, Jordan , Madinah, UIAM atau yang pernah belajar di Barat dan di Timur dan pernah terimbau dengan gerakan dakwah dan jamaah seharusnya mencari jalan terbaik bagaimana cabaran keilmuan menjadi faktor utama yang bakal menentukan arah aliran perubahan dan pembangunan masa depan.

Jenis modal insan yang perlu dibangunkan harus memiliki upaya dan keseimbangan dalam memahami ilmu Islam, Barat dan Timur kemudian mengambil faedah berbanding dari Barat dan Timur untuk diperkasakan dalam Acuan Kita Sendiri. Inilah cabaran dakwah bijaksana di abad ini.

MENCARI KEBIJAKSANAAN

”Manhaj Malizie” memberi fokus tentang memperkasakan Umat Melayu sebagai umat teras atau contoh. Dalam konteks Malaysia orang-orang Melayu dilihat sebagai mewakili umat Islam dan juga Islam itu sendiri. Al Quran dalam Surah Ali ’Imran , ayat 110. memberikan kita pedoman tentang maksud umat terbaik.

Konsep Melayu seiring dengan maksud Surah al Hujurat ayat 13 yang memberikan asas diciptakan bangsa-bangsa atas maksud litaarrafu sifat kekenalan yang mencetuskan perubahan, kesalingan dan tamadun. Pada hari ini para pendakwah tidak saja berdepan dengan masalah mengekalkan umat Melayu terus berada dalam fitrah tetapi pengaruh globalisasi yang berkembang di pelbagai dimensi menyebabkan proses liberalisasi dan sekularisasi berkembang dengan cepat. Tanpa suatu pendekatan dakwah yang dinamik kekuatan  Umat Melayu sebagai umat teras akan beransur-ansur hilang. Dakwah secara lisan dan dakwah bil hal  perlu disuburkan dalam keluarga, di lembaga pendidikan dan juga di Pusat Pengajian Tinggi supaya generasi penerus merasakan bahawa mewujudkan iklim dakwah yang subur di Malaysia adalah suatu tuntutan. Tanpa strategi ini kegiatan dakwah akan menjadi kegiatan terpencil dan cabaran merosakkan generasi muda akan terus berkembang.

PENUTUP

Hegemoni Barat terhadap umat Islam hanya boleh dihadapi dengan kekuatan ilmu dan penguasaan teknologi di samping integriti diri supaya acuan perubahan yang ingin dibawa tidak saja dengan binaan sistem rohaniah yang baik tetapi juga kemampuan menterjemah keunggulan Islam dalam sistem dan kehidupan.

About these ads

1 comment so far

  1. […] Dakwah Islamiyyah Dalam Mendepani Hegemoni Barat  (KLIK DI SINI untuk […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 52 other followers

%d bloggers like this: