Archive for December, 2011|Monthly archive page

Usrah Bulanan – Januari 2012

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 3 Jan 2012 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tempat: Kediaman Sdr. Dato’ Haji Rameli Musa

Alamat kediaman:  No. 20 Jalan Kenyalang 11/15H, d’Villa Equestrian Kota Damansara. Depan masjid baru Kota Damansara, sebelah Royal Selangor Polo Club. Masuk melalui pondok pengawal.

Untuk panduan arah: Hubungi Karim 019-3199788

Tajuk: Semangat Kebangsaan Malaysia Bukan Termasuk Asobiyah.

Pembentang: Ustaz Muhammad Uthman l-Muhammady

DEKLARASI HIMPUN DUI PERAK

Sepuluh deklrasi HIMPUN di Perak:

1: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

2: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara ini dihormati.  Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina  dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

3: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

4: Menuntut supaya KERAJAAN mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

5: Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

6: Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

7: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian Islam.

8: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya IBUBAPA mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.

9: Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

10: Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan  ini mahupun yang tidak dapat hadir,  melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

PERUTUSAN MUAFAKAT SEMPENA MA‘AL HIJRAH 1433

Al hamdu lillahi rabbi ’l-‘aalamiin, wa bihi nasta‘in ‘ala umuur  ’ id-dunya wa ’d-diin

Allahumma solli ‘ala Sayyidi ’l-kawnayn wa ’th-thaqolain,

wa ‘ala aalihi ’t-toyyibina wa ’t-thoohirin

wa ‘ala ashhaabihi ajma‘in

wa ‘ala ansoorihi ila yawmi ’d-diin.

Amma ba‘du

Sempena  kedatangan tahun baharu Hijrah yang ke 1433 ini, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia atau ringkasnya MUAFAKAT, bersama-sama Ummah Islamiyyah seluruh dunia turut menyambutnya.Bagi MUAFAKAT, kedatangan tahun Hijrah 1433 ini, disambut dengan perasaan  gembira bercampur insaf yang amat mendalam. Kita bergembira kerana Allah Yang Maha Pengasih, masih memanjangkan hayat kita dalam Iman dan Islam serta masih diberi-Nya sedikit sebanyak kemampuan untuk memikul Risalah al-Khalidah ini. Namun,  dalam pada itu, kita amat insaf, mengenangkan kualiti Iman dan Islam yang ada pada diri kita dan juga mengenangkan situasi Ummat Islamiyyah seluruhnya.

Pada paras diri,kita mengenangkan kualiti Iman kita. Kita amat terkenang peringatan Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam yang pengasih itu, menggambarkan Iman seperti sehelai kain yang berpotensi menjadi lusuh dan buruk. Juga kita mengenangkan ingatan Nabiyy kita itu sollallahu ‘alyhi wa sallam, bahawa Islam yang ada pada diri Ummatnya juga berpotensi terungkai satu demi satu.

Pada paras Ummat keseluruhannya pula,kita terkenang dan amat bimbang, sebagaimana yang disabdakan Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam bahawa Ummat Islam akan menjadi seperti hidangan makanan, yang diratah oleh musuh; dan seperti buih, yang tidak ada apa-apa kekuatan sedikit pun, walau pun banyak; dan Baginda mengingatkan Ummatnya supaya berhati-hati agar tidak mengikut telunjuk orang-orang Yahudi-Nasrani yang berusaha sedaya upaya memperdayakan Ummat, sehingga mereka masuk ke lubang biawak Yahudi-Nasrani  laknatullah itu.

Lima jenis peringatan yang diberikan oleh Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam yang amat pengasih kepada Ummatnya ini, wajib menjadi renungan mendalam dan utama sepanjang hayat dan menjadikan suluhan hidup kita.

Mengenai Iman yang berpotensi menjadi lusuh dan buruk, ini adalah kerana iman itu tidak dijaga dengan baik sehingga ia dapat dimasuki anasir-anasir perosak. Iman yang lusuh, buruk dan rosak itu boleh disegarkan dan dipulihkan semula dengan kaedah seperti yang disuruh Nabiy sollallahu ‘alayhi wa sallam yang amat pengasih itu sendiri. Iman itu dapat diperbaharui dan dijana semula seperti sabdanya: jaddiduu iimaanakum=perbaharuilah iman anda sekalian, dengan:akthiruu min qawli la ilaha illa Allah=membanyakkan berkata (membaca) la ilaha illallah. Zikir ini tidak mempunyai had jumlah maksimum kerana firman Allah: zikran kathiira=zikir sebanyak-banyaknya.Dengan cara ini, moga-moga kita akan berjaya-la‘allakum tuflihuun dalam memperbaiki kualiti iman dan dalam mengharungi hidup di dunia yang penuh tipu daya, ujian dan permusuhan dari golongan Kuffar dengan keimanan yang jitu dan kaamil itu.

Mengenai pegangan Islam yang juga berpotensi terhakis dan terungkai sedikit demi sedikit, maka Allah dan Nabiy-Nya yang pengasih itu, menganjurkan kita mengikatkan diri secara simpul mati kepada para Solihin – solih dalam  ‘ilmu dan ‘amal –  serta beriltizam dengan Jama‘ah Muslimin sejati dari kalangan Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah: ‘aqiidatan wa syarii‘atan wa akhlaaqan.

Peringatan Nabiy sollallahu ‘alayhi wa sallam mengenai Ummat Islam sebagai hidangan makanan yang menjadi keghairahan Kuffar itu, maka Ummat Islam wajib berwaspada dan senantiasa membentengi diri dengan sifat qahhar yakni sifat gagah perkasa. Ummat perlu  memproses diri menjadi sejenis ‘makanan’ seperti yang dalam pepatah Melayu disebut sebagai: dicincang tak hancur, direbus tak empuk, direndam tak basah.Biar musuh hanya dapat melihat dengan mata terbeliak dan penuh kegairahan untuk meratahkannya tetapi kempunan, kerana kualiti ‘makanan’ yang diidamkan itu tidak mampu dimilikinya kerana terpaksa membayar dengan harga yang terlalu mahal dan juga tidak mampu untuk meratahnya pula. Ummat perlu segera mengubati pelbagai penyakit  yang menghinggapi diri mereka yang menyebabkan mereka lemah dan menjadi makanan Kuffar persis seekor singa garang yang banyak penyakit kronik dan menjadi hurungan lalat dan langau!. Mereka perlu menjadi kuat jasmani dan imani dan bingkas bangkit untuk mematahkan musuh itu pula, demi meratakan Risalah Muhammadiyyah disegenap pelesok ‘alam. Pada hakikatnya, seperti yang Allah beritahu kita, golongan Kuffar cuma seperti baytu ’l-‘ankabuut,rumah labah-labah sahaja, yang tidak ada apa-apa kekuatan sedikit pun !.

Diberitahunya juga kepada kita, akan sampai satu ketika, Ummat Islam amat banyak bilangannya tetapi keadaannya seperti buih sahaja. Buih tidak mempunyai apa-apa kualiti pun dan tiada sebarang kekuatan bahkan untuk mempertahankan dirinya sendiri pun tidak mampu. Ia boleh  dipermainkan, walau pun hanya oleh hembusan bayu yang sangat lemah. Perumpamaan ini ditujukan secara umum kepada Ummat Islam kerana tidak mampu  memikul dan mempertahankan amanah Allah dalam memelihara Agama dan Ummah. Juga tidak mampu  menolak provokasi, pembulian, pemaksaan, penjajahan dan hegemoni Yahudi-Nasrani terhadap Ummat Islam.  Justeru kelemahan yang ada pada Ummat, Ummat hanya berputih mata melihat Agama dan Ummatnya disiat-siat seperti helang menyiatkan daging mangsanya.Bahkan yang lebih malang ada orang dikalanganUmmat yang larut dalam perut musuh Allah itu.

Buih-buih yang lemah,mudah lebur dan mudah larut itu, wajar dikembalikan semula kepada sifat asalnya iaitu air. Air memiliki tenaga raksasa yang darinya kita dijadikan. Air inilah yang diberitakan Allah, telah menenggelamkan dunia yakni menenggelamkan golongan Kuffar musuh Allah dan Rasul-Nya di zaman Nuh ‘a.s. Air ini jugalah yang telah merobohkan empangan Ma‘arib, yang sekali gus meruntuhkan tamadun Saba’ yang hebat itu, kerana durhaka kepada Risalah Rasul-Nya. Bahkan Fir‘awn pun dimamah air!.Pada zaman kita, kita menyaksikan sendiri tenaga air, yang dinamakan fenomena tsunami yang amat digeruni itu. Titik-titik air yang terpisah-pisah dan bercerai-cerai tidak ada apa-apa kekuatan sedikit pun, tetapi apabila ia bergabung secara padat dan mantap dalam paduan kumpulannya, maka tenaga kerdil ini boleh bertukar menjadi tenaga raksasa, yang dalam sekelip mata sahaja boleh  meranapkan apa sahaja: membujur lalu melintang patah.

Mengenai asakan gerombolan Yahudi-Nasrani yang menerkam dan mengheret Ummat ke lubang biawak mereka, dapat dipatahkan dengan kita memusnahkan pusat-pusat operasi mereka dikalangan agentur mereka yang berwajah Islam.Ummat Islam perlu mengenali wajah-wajah Islam mereka yang berbagai-bagai itu.Kegagalan mengenali wajah mereka itu akan menyebabkan kita terheret  ke lubang biawak mereka.Kita senantiasa kena berwaspada sepanjang masa memahami aktiviti dan strategi mereka – Yahudi-Nasrani – untuk memurtadkan Ummat Islam.

Ummat yang menjadi bahan ratahan musuh, lembek seperti buih dan mudah terpengaruh dengan ajakan Yahudi-Nasrani, adalah berpunca dari kelemahan sendiri – lemah ruhaniyy dan jasmaniyy. Kita patut membina kekuatan dan menjadi kuat untuk melaksanakan misi rahmatan li ’l-‘aalamiin demi mengembalikan semula kemulian dan martabat manusia,kemakmuran yang menyeluruh, keadilan yang merata dan kesejahteraan yang sebenar, di muka bumi ini.

Lemahnya Ummat Islam dan runtuhnya nizom Islam, bermakna penderitaan dan kezaliman bermaharajalela.

Agenda besar Ummat ialah menunaikan janji yang diamanahkan Allah iaitu memelihara Agama-Nya dan menzohirkan ikrar kita dengan-Nya. Maka untuk menggalas tugas berat  ini,  Ummat perlu memproses diri  mereka supaya benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya. Justeru seperti yang disuruh-Nya sendiri, kita wajib mengingati-Nya tanpa henti dan berSolawat kepada Nabiyy-Nya yang mulia tanpa jemu dengan memanifestasikannya dalam kehidupan kita.Inilah benteng paling kukuh dan senjata paling kuat dan berkesan dalam menghadapi musuh-Nya  dan musuh Nabiyy-Nya dan musuh seluruh orang beriman dan orang bertaqwa.

Pada tahun baharu Hijrah ini, marilah kita berazam untuk meneliti ulang secara tekun mengenai sikap dan hubungan kita dengan Allah dan Rasul-Nya.Kita bermuhasabah merenung dengan mendalam dan menilai kualiti Iman dan Islam kita dan memperbaikinya serta memperkukuhkannya dengan resepi Salaf al-Solih kita yang masyhur itu.

Allahumma, Rabbanaa

latuakhiznaa in nasiinaa

aw akhto’naa

Rabbanaa  laa tahmil ‘alaynaa isran kamaa hamaltahuu ‘ala ’l-ladziina min qablinaa

Rabbanaa wa laa tuhammilnaa ma laa thooqatalanaa bih

 wa‘fu ‘annaa wa ’ghfirlanaa wa ’r-hamnaa

Anta mawlaanaa fansurna ‘ala ’l-qawmi ’l-kaafiriin

Aamiin!

Semuga kita hidup mulia dengan Islam sebagai cara hidup kita, zohir dan batin dan memiliki sa ‘adah yang sebenar.

Muharram 1433 dari Hijratu ’n-Nabiy al-Musthofa sollallahu ‘alayhi wa aalihi wa sallam.

MANIFESTO GERAKAN DAKWAH ISLAM

MELIHAT MASA LALU, MEMBINA MASA DEPAN

Iqra’ kitaabaka kafaa binafsika ’l-yawma  ‘alayka hasiiba – al-Qur’an, Surah al-Isra’:14

tidak akan menjadi baik Ummat yang akhir ini, melainkan dengan mengikut cara memperbaikinya seperti ( cara ) yang dilakukan oleh (Ummat) yang awal – Imam Malik.

                                                                   

Ismail Mina Ahmad[1]

1. PENDAHULUAN

Dari awal-awal lagi, usaha Dakwah Islamiyyah perlu meletak dan menegaskan, bahawa dakwah ilallah yang sebenar, hanya dalam spektrum ajaran Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah (ASWJ), yang merangkumi konsep, kosmologi, epistemologi dan weltanschauung (ideologi). Perlu dijelaskan juga matlamat yang hendak dicapai bersekali dengan mekanisme untuk mencapainya serta falsafah dakwah itu.Untuk memastikan perjalanan usaha dakwah ini berjalan lancar, tidak menyimpang dan tergendala, memerlukan keberanian muhasabah[2] yang merujuk dan berpandukan kepada doktrin dan konsep ASWJ tersebut, sebagai neraca. Melalui muhasabah yang sungguh-sungguh, cermat,ikhlas,teliti,‘adil,jujur dan amanah, insya Allah akan berupaya menilai mutu dan tahap pencapaian dan dengan itu dapat dijadikan asas untuk memperkasakan lagi usaha yang sudah perkasa  dan boleh meluruskan yang bengkok dan akan bertambah kukuh apa yang sudah thabit, justeru mendapat limpahan kebaikan yang tidak terhingga dari Allah Yang Maha Pemberi.


[1] Beliau ialah salah seorang pengasas ABIM, IPTI (Institut Pemikiran Tradisional Islam ) dan MUAFAKAT. Kini beliau adalah Presiden IPTI dan Jawatankuasa Pimpinan Pusat MUAFAKAT. ABIM ditubuhkan pada tahun 1972, sementara IPTI pada tahun 1989 dan MUAFAKAT pada tahun 2005.

[2] Golongan malas berfikir, berpada apa yang ada dan tiada wawasan.Mereka menghujjah, tidak perlu muhasabah kerana  bersifat nostalgik. Muhasabah bukan nostalgik tetapi usaha yang disuruh Syara‘ seperti motto di atas: Iqra’ kitaabaka kafa binafsika ’l-yawma ‘alayka hasiiba dan ungkapan masyhur yang dinisbah kepada Sayyidina  ‘Umar al-Khattab  r‘a : Haasibu qabla an tuhaasabuu terj : hisab/hitunglah sebelum anda dihisabkan.Bahkan dalam bisnes pun syarikat sentiasa bermuhasabah/audit . Nostalgia bermakna melihat masa lalu seadanya tanpa keinginan menilai.Tetapi muhasabah, untuk menilai pencapaian, supaya sentiasa selaras dengan Syari‘at, kerana dalam perjalanan dakwah, dibimbangi ada perkara-perkara yang menyimpang dari Syari‘at secara tidak sengaja atau tidak disedari.

 Artikel seterusnya boleh dimuatturun di sini Manifesto 

HIMPUN peringkat negeri: Stadium Indraputra Ipoh, Perak Sabtu 17 Disember 2011 bermula 10 pagi


KUALA LUMPUR 20 Nov. – Himpunan Sejuta Umat (Himpun) akan mengadakan siri jelajah di tiga negeri – Perak, Negeri Sembilan dan Johor – pada bulan depan dan Januari ini.

Bermula di Perak dengan lokasi di Stadium Indera Muda, Ipoh pada 17 Disember ini, Himpun seterusnya akan berlangsung di Negeri Sembilan pada 7 Januari dan Johor pada 28 Januari di lokasi yang masih belum diputuskan.

Pengerusi Bersama Himpun, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga negeri itu dipilih kerana kesediaan jawatankuasa di negeri berkenaan untuk melaksanakan program itu.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata, tujuan siri jelajah itu dibuat adalah sebagai resolusi perhimpunan pertama di Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober lepas untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dari pelosok negeri mengenai akidah serta menyemarakkan rasa sayang kepada agama Islam.

Azmi juga meminta supaya tidak ada pihak yang cuba mempolitikkan perhimpunan itu kerana ia diadakan untuk memberi kesedaran kepada semua umat Islam mengenai isu murtad yang semakin berleluasa.

Dijangka seramai 10,000 akan menghadiri perhimpunan yang akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 petang di Ipoh itu, katanya.

Perhimpunan anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu adalah bagi menghantar mesej kepada pelbagai pihak mengenai isu-isu memurtadkan umat Islam di negara ini. – Bernama

Bertabarruk dengan Darah Nabi SAW

Minggu ini kita akan menyambung perbicaraan tentang mengambil berkat (bertabarruk) dengan nabi dalam kes-kes yang agak ganjil iaitu dengan meminum darah Nabi SAW.

Jika kita hanya memakai hukum akal dan adat kebiasaan semata-mata dalam menilai riwayat-riwayat ini nescaya sukar kita menerimanya dengan reda. Tetapi Islam mengajar kita bahawa akal harus tunduk kepada wahyu apabila kedua-duanya bertembung walaupun dalam kebanyakan hukum dan riwayat dalam Islam wahyu dan akal adalah selari.

Wahyu mengajar kita bahawa nabi SAW walaupun dari jenis manusia tetapi baginda bukanlah sama dan serupa dengan manusia biasa. Maka tidak menghairankan kita fizikal baginda termasuk peluh, darah malah sisa kumuhan baginda pun tidak sama hakikatnya dan hukumnya berbanding dengan manusia biasa.

Keistimewaan kurniaan Allah SWT ini harus kita lihat sebagai suatu kurniaan dan ketinggian kepada Islam dan umatnya jua, sehingga nabi sebagai tokoh terutama dan tertinggi bagi Islam dan umatnya diberi kelebihan yang sebegitu. Ia sesuai dengan ketinggian dan kemuliaan Islam dan umat Islam.

Para sahabat yang merupakan generasi yang paling memahami Islam dan hukum-hakamnya bertabarruk dengan sisa-sisa tubuh nabi SAW yang mulia itu dan tidak pula dilarang oleh Nabi SAW.

Khabar mengenai Abdullah ibn Zubair

Daripada ‘Amir ibn Abdullah ibn Zubair mengisahkan ayahnya pernah menceritakan kepadanya bahawa dia pernah datang kepada nabi ketika baginda sedang dibekam.

Setelah selesai dibekam, Baginda SAW bersabda: “Wahai Abdullah (ibn Zubair)! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di tempat yang tidak seorang pun dapat melihat kamu.”

Setelah meninggalkan Rasulullah SAW, dia mengambil darah itu, lalu meminumnya. Apabila kembali semula, Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang telah kamu lakukan dengan darah itu?” Dia menjawab: “Aku telah sorokkannya di tempat yang sangat tersorok, yang aku tahu ia sememangnya tersembunyi daripada orang ramai.”

Baginda SAW bersabda: “Boleh jadi engkau telah meminumnya?” Dia menjawab: “Ya”.

Nabi SAW bersabda: “Kenapa kamu minum darah itu? Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia.” (riwayat Al-Hakim, al-Bazzar, Al-Isobah dan oleh Al-Haithami dalam Majma’)

Abu Musa mengatakan bahawa Abu ‘Asim berkata: “Mereka (para sahabat) berpendapat bahawa kekuatan yang terdapat pada Abdullah ibn Zubair itu disebabkan keberkatan darah tersebut.”

Dalam riwayat Imam al Dar Qutni daripada hadis Asma’ binti Abu Bakar juga seperti itu. Dalam hadis tersebut dinyatakan: “Dan kamu tidak akan disentuh api neraka”.

Dalam kitab al Jauhar al-Maknun fi Zikr al-Qaba’il wa al-Butun disebutkan, bahawa setelah Abdullah ibn Zubair meminum darah Rasulullah SAW, meruap bau wangi kasturi daripada mulut Ibnu Zubair dan bau itu kekal di mulutnya sehingga dia disalib (syahid). (Dalam Al-Mawahib, al-Quatallani, 1:284)

Khabar daripada Safinah

Imam Tabrani meriwayatkan daripada Safinah r.a katanya: Suatu ketika, Nabi Muhammad SAW berbekam. Setelah itu, baginda bersabda: “Ambillah darah ini dan tanamlah ia daripada (dilihat) oleh binatang, burung dan manusia”. Lalu, aku pun menyembunyikannya dan meminumnya. Kemudian, aku memberitahu hal itu kepada Rasulullah SAW, maka baginda pun ketawa. (Al-Haithami dalam Majma’ mengatakan bahawa rijal Al-Tabrani adalah thiqah. 8:270)

Khabar Malik ibn Sinan

Dalam Sunan Sa’id ibn Mansur melalui jalan ‘Amru ibn Sa’ib disebut: “Telah sampai berita kepadanya bahawa Malik ibn Sinan r.a, bapa Abu Sa’id al Khudri, tatkala muka Nabi Muhammad SAW luka dalam peperangan Uhud, dia menghisap darah baginda SAW sampai bersih dan nampak putih bekas lukanya.”

Nabi SAW bersabda: “Muntahkan darah itu!” Malik r.a menjawab: “Aku tidak akan memuntahkannya selama-lamanya.” Bahkan, dia menelannya.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa ingin melihat seorang dari ahli syurga, maka lihatlah kepada orang ini.” Ternyata, dia gugur syahid dalam peperangan Uhud.

Imam Tabrani juga meriwayatkan hadis seperti itu. Antara lain, disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mencampurkan darahku dengan darahnya, nescaya tidak akan disentuh api neraka”. (Al-Haithami mengukuhkan hadis ini dalam Majma’nya, 8:270)

Pembekam lain yang minum darah nabi

Ibnu Hibban meriwayatkan dalam al-Dhu’afa’, daripada Ibnu Abbas beliau berkata: “Nabi SAW pernah dibekam oleh seorang pemuda dari bangsa Quraisy. Setelah selesai dibekam, dia mengambil darah baginda SAW lalu membawanya ke balik dinding. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri, tiada seorang pun yang kelihatan. Lalu dia menghisap darah itu hingga habis. Kemudian dia menghadap Nabi SAW.”

Baginda memerhatikan wajahnya, lalu bersabda: “Celakalah engkau. Apakah yang telah engkau lakukan dengan darah itu?” Dia menjawab: “Aku menyorokkannya di belakang dinding.” Nabi SAW bertanya: “Di manakah engkau menyoroknya?” Dia menjawab: “Wahai Rasulullah! Aku tidak suka jika darahmu itu aku tumpahkan ke bumi. Sebenarnya darahmu itu ada di dalam perutku.” Rasulullah SAW bersabda: “Pergilah. Engkau telah memelihara dirimu daripada api neraka.” (Al-Qustallani, al-Mawahib al-Laduniyyah,1:284)

Hadis mengenai Barakah, pembantu Ummu Habibah r.a

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Telah meriwayatkan Abdul Razzaq daripada Ibnu Juraij, beliau berkata: Aku diberitahu bahawa nabi pernah buang air kecil ke dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada tembikar. Kemudian, baginda meletakkannya di bawah katilnya.”

Apabila baginda hendak mengambilnya kembali, ternyata bekas itu tidak mengandungi apa-apa. Rasulullah SAW bertanya kepada seorang perempuan yang bernama Barakah, pembantu Ummu Habibah yang datang bersamanya dari Habsyah: “Di manakah air kencing di dalam bekas itu?” Dia menjawab: “Aku telah meminumnya.”

Rasulullah SAW bersabda: “Semoga engkau beroleh kesihatan, wahai Ummu Yusuf!” Dia memang digelar dengan gelaran Ummu Yusuf. Selepas peristiwa itu, dia tidak pernah sakit, kecuali sakit yang mengakibatkan kematiannya. (Ibnu Hajar, al-Talkhis al Habir fi Takhrij Ahadith al-Syarh al-Kabir, (2: 32))

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasaei secara ringkas. Berkata al Hafiz al-Suyuti: “Ibnu Abdul Bar telah menyempurnakan penulisan hadis ini di dalam al-Isti’ab.” Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW bertanya Barakah tentang air kencing yang terdapat di dalam bekas tersebut. Lalu Barakah berkata: “Aku telah meminumnya, wahai Rasulullah!” Seperti yang disebut oleh hadis. (Al-Suyuti, Sharh Sunan Al-Nasaei, 1:32).

Utusan Malaysia.

Usrah Bulan Disember 2011

Tarikh: 6 Disember 2011 (Selasa)

[Peringatan: 10 Muharram - Sunat berpuasa]

Tajuk: Wajah Sekularisme di sebalik fakta dan persepsi

Pembentang: Sdr. Mafis bin Mohd Samuri

Tempat: Kediaman Sdr. Pemangku Presiden Dato Ahmad bin Ismail

di Lot 410-1 Jalan Changkat Mulia Off Jalan Berjaya 6, 68100 Batu Caves, Selangor (Klik untuk paparan peta yang lebih besar)

Mengambil Berkat Orang Balik Haji

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Anak-anak digalakkan memeluk ibu bapa yang pulang dari mekah kerana ingin mengambil berkat orang yang pulang dari Tanah Suci. – Gambar hiasan

AMBIL berkat orang balik haji.” Benarkah para jemaah haji yang mula pulang ke tanah air ada membawa berkat? Berkat dari Tanah Suci Mekah al Mukaramah?

Bagaimanakah yang dikatakan mengambil berkat dari ahli keluarga, saudara mara dan handai taulan yang baru pulang dari haji itu?

Adakah dengan sekadar minum air zamzam sebagai buah tangan dari Tanah Suci itu dikatakan mengambil berkat? Adakah para jemaah haji yang baru pulang itu layak diambil berkat daripada mereka?

Pelbagai persoalan timbul dengan istilah mengambil berkat dari para jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadat haji itu.

Namun, bagaimana sebenarnya kita atau Islam itu melihat fenomena mengambil berkat tersebut supaya tidak terjebak dengan sebarang fenomena yang boleh membawa kepada kesesatan dan khurafa?

Umumnya, berkat atau barakah adalah memohon restu Allah SWT agar dikurniakan kebaikan yang berkembang, kesejahteraan berpanjangan, kesihatan yang berkekalan sehinggalah berjaya dalam pekerjaan, soal jodoh dan sebagainya.

Barakah ini adalah dengan keizinan Allah. Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati rezekinya, maka jika Allah kehendaki, Dia akan memberi barakah kepada seseorang itu.

Permohonan berkat ada disebutkan dalam al Quran. Ini sebagaimana kata-kata Nabi Allah Isa a.s dalam firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada. (al-Maryam: 31).

Maka Allah adalah al-Mubaarik, pemberi restu atau barakah dan hamba-hamba-Nya adalah al-Mubaarak yang bermakna seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Sifat memberi barakah hanyalah milik Allah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekelian alam. (al-A’raaf: 54)

Barakah Allah adalah di mana-mana sahaja Dia letakkan di alam maya ini, firman-Nya yang bermaksud: Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya). (Qaaf: 9)

Apatah lagi dari Tanah Suci Mekah dan Madinah di mana tidak semua umat Islam berpeluang dan mampu ke sana!

Bekas Pengurus Besar Kanan Haji, Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Dr. Azmi Ahmad berkata, jemaah haji adalah tetamu Allah yang Allah pilih menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan Madinah, melihat rumah Allah, Baitullil Haram, bangunan tertua di dunia yang penuh dengan keberkatan dan menziarahi makam Rasulullah dan para sahabat.

Maka, katanya, apabila mereka pulang dengan haji yang mabrur, bermakna tiada balasan yang lain dijanjikan oleh Allah kecuali syurga.

“Apabila dijanjikan syurga bermakna para jemaah yang pulang ini adalah bakal penghuni syurga. Jadi, ambil berkat dan doa daripada bakal penghuni syurga adalah sangat digalakkan kerana pasti doa dari mereka akan dimakbulkan oleh Allah.

“Tetapi janganlah dek kerana hendak ambil berkat ini kita datang berbas-bas. Sanggup bertunggu tangga di lapangan terbang semata-mata untuk mendapatkan berkat daripada jemaah yang Allah janjikan sebagai penghuni syurga itu,” katanya.

Sepanjang pengalaman bertugas selama 26 tahun di Tabung Haji beliau yakin setiap jemaah yang selamat pulang ke tanah air membawa pelbagai keberkatan dari Tanah Suci.

“Oleh kerana terlalu berkat, saya amat menggalakkan agar jemaah lelaki yang baru balik dari haji eloklah dilantik menjadi imam sekurang-kurangnya untuk 40 hari di masjid-masjid atau surau-surau.

“Ini kerana kita hendak mengambil berkat daripada doa mereka. Jadi kita mintalah yang balik haji ini doakan untuk jemaah masjid dan surau.

“Doakan agar anak-anak kita menjadi anak yang soleh, rumah tangga kita aman damai dan sebagainya. Insya-Allah dapatlah juga tempias-tempias berkat daripada orang yang balik haji ini,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Namun menurut Dr. Azmi, umumnya masyarakat tidak boleh menghakimi haji seseorang itu mabrur atau tidak. Semua itu adalah dalam rahsia dan pengetahuan Allah.

“Sebab itu, jangan pula kita tidak pergi ziarah apabila mendengar kononnya haji seseorang itu ditolak.

“Walhal kita digalakkan menziarahi jemaah haji bagi pelbagai tujuan murni yang lain temasuk mengambil pengajaran dengan apa yang terjadi sepanjang di tanah suci,” katanya.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 50 other followers