Archive for August, 2011|Monthly archive page

10 Salah Tanggapan Mengenai Kedudukan Islam Di Malaysia

Kertas ini telah dibentangkan di “Seminar Mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara” (SEMAIAN) di Masjid Negeri Shah Alam pada 17 Ogos 2011; ianya pertama kali dibentang di Konvensyen Pemacuan Tranformasi Sistem Perundangan Islam Di Malaysia anjuran IKIM dan MAIS pada 5-6 April 2011

**************

10 SALAH TANGGAPAN MENGENAI  KEDUDUKAN ISLAM DI MALAYSIA

 HAJI MAHAMAD NASER BIN DISA (DAMAI)

Setelah kemerdekaan dan pembentukan sebuah Negara Persekutuan menjangkau lebih separuh abad, kemampuan perundangan Islam Negara untuk menangani segala krisis dan cabaran mega yang sedang melanda Negara masih di tahap yang meragukan. Islam dimartabatkan sebagai Agama Negara, tetapi tahap pematuhan kepada prinsip ajaran Islam tidak dapat dinilai dan dipantau sebagaimana tahap pematuhan kepada prinsip Hak asasi manusia (HAM) yang dipantau oleh sebuah suruhanjaya bebas. Adakah pematuhan kepada prinsip HAM lebih utama dari pematuhan kepada prinsip agama Negara? Adakah agama Negara sudah bertukar dari Islam kepada Negara HAM?  Prof Ulung Negara, Tan Sri Prof. Dr Muhd. Kamal Hassan menukilkan [i]

Krisis-krisis besar yang lahir daripada tamadun manusia moden masakini, antara lain ialah:

a) krisis sistem ekonomi kapitalisme yang meluaskan jurang ketidakadilan dan jurang antara golongan kaya dan golongan miskin,

b) krisis sistem politik dunia yang, atas nama demokrasi liberal dan hak-hak asasi manusia, mengekalkan ketidakadilan, kezaliman dan penindasan negara-negara yang kuat ke atas negara-negara, masyarakat-masyarakat dan minoriti-minoriti yang lemah, termasuk umat Islam Palestin, Kashmir, Xinkiang, Moro, Chechen dan Patani, dan

c) krisis budaya dan moral yang dijiwai oleh fahaman sekular Barat , modernisme, liberalisme,pluralisme, hedonisme dan pasca-modernisme.

Umat Islam kini berhadapan dengan krisis yang amat besar. Gejala sosial di kalangan umat Islam akibat dari kegagalan memartabatkan agama Islam sebagai agama Negara sebagaimana yang diikrarkan oleh Ketua Utama Negara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengundang berbagai bencana sosial dan kehilangan penguasaan ekonomi yang seolah-olahnya mustahil untuk dicari semula. Selanjutnya Prof Ulung Negara itu meneruskan penjelasan –

Umat Melayu Islam di Asia Tenggara tentunya tidak terlepas daripada cengkaman krisis-krisis besar itu, dan implikasi ke atas sistem pendidikan yang mampu mendepani krisis-krisis besar itu amat serius. Di samping krisis-krisis dalam era globalisasi atau era dominasi sistem kapitalisme dan liberalisme ini, terdapat juga cabaran merebaknya gerakan Kristianisasi, aliran liberalisme atau neo-modernisme di kalangan cendekiawan Melayu Islam di satu pihak, dan ektremisme kelompok-kelompok Muslim radikal di pihak yang lain. Pada masa yang sama aliran budaya hedonistik, konsumeristik, individualistik serta ketagihan dadah atau narkotika dan ketagihan budaya maya di alam siber di kalangan remaja, peningkatan jenayah seks, gejala pembuangan anak dan lain-lain gejala sosial yang mengerikan ternyata semakin meluas. Ringkasnya umat manusia dan umat Islam sedang berada dalam satu era pancaroba yang disebut oleh Alan Greenspan sebagai “The Age of Turbulence”(Greenspan, 2008), suatu zaman dalam mana kecemerlangan sains moden dan sekular telah mencapai kemuncak kegemilangannya dari segi ciptaan-ciptaan dan penemuan-penemuan saintifik yang menakjubkan (dan yang amat bermanfaat), tetapi kekufuran, keegoan dan keangkuhan akal (reason) bebasnya telah mencipta pelbagai jenis malapetaka ekonomi, politik, budaya, intelektual dan moral kerana membelakangi petunjuk Allah S.W.T., bimbingan para Rasul, hukum-hukum Allah S.W.T. dan ajaran-ajaran agama Allah S.W.T. Tamadun timpang dan cacat ini didirikan atas sistem pendidikan moden sekular Barat, yang kemudian diterapkan di negara-negara orang Islam termasuk dunia Melayu Islam.

Ternyata pola pemikiran yang beroperasi dan menjadi asas budaya dan tamadun hari ini adalah berasaskan pemikiran sekular Barat yang mendominasi pemikiran umat Islam dan pemimpin mereka. Idea-idea barat tentang bentuk Negara dan nature manusia dan masyarakat dipercayai dan dipegang dengan kuat di seluruh dunia Islam. Hal ketuhanan dan keagamaan dilihat dari perspektif hak asasi manusia dan hak kebebasan beragama dan jauh sama sekali dari prinsip kepatuhan dan penyerahan kepada kekuasaan Ilahi. Di atas kepura-puraan hak kebebasan beragama, ajaran dan pegangan Islam mengenai nature kemanusiaan cuba dihapuskan dari pemikiran umat Islam dan digantikan dengan keagungan kekuatan daya intelektual manusia. Keagamaan hanya dieksploit untuk menghentam Islam dengan berbagai gambaran negative seperti ekstremist, fundamentalist, penindas terhadap wanita, kelompok gay , lesbian, minoriti dan berbagai lagi.

Walaupun begitu besar gelombang cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dan pemimpin mereka, Prof Ulung Negara amat optimis dan menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan umat Islam bagi menghadapi berbagai cabaran ini.

Tetapi semua cabaran di atas — dari krisis ekonomi dan kemiskinan, politik, budaya dan moral sampai ke budaya korupsi, kolusi, nepotisme, dan tirani — merupakan dugaan dan cubaan (ibtilaa’) dari Allah S.W.T. bagi menguji kekuatan iman, kekuatan ilmu, kekuatan amal dan kekuatan rohani para Mukmin sejati yang menjadikan cinta kepada Allah S.W.T. dan Rasul serta iltizam untuk berjuang pada jalan Allah S.W.T. (jihaad fii sabiili’Llaah) sebagai nilai tertinggi dalam kehidupan di dunia. Malah cabaran-cabaran itu boleh dilihat sebagai peluang-peluang keemasan pejuang-pejuang pendidikan untuk mewujudkan suatu sistem pendidikan bagi umat Melayu Islam yang:

a) membawa rahmat ke seluruh manusia,

b) membawa penawar bagi umat yang sedang sakit,

c) pembawa penyelesaian bagi umat yang berpecah, dan

d) mampu mengeluarkan umat dari kubang-kubang korupsi dan kemiskinan, dari jerat kegilaan harta dan kuasa, dan dari tipu muslihat hubb al-dunyaa dan tipu daya tamadun sekular dengan segala jenis deception (al-ghuruur) yang memperdayakan golongan pemimpin dan golongan yang berpendidikan tinggi selama ini.

Inilah ransangan untuk pemimpin umat Melayu Islam bangkit dari kealpaan dan kelekaannya, mengambil semula obor kepimpinan sejagat yang pernah dibawa tamadun Islam zaman silam.

Perubahan pemikiran yang perlu dirintis oleh umat Islam dan pemimpin mereka adalah dengan melakukan pelbagai koreksi atau pembetulan kepada berbagai salah tanggapan yang pada hakikatnya menjadi sumbangan terbesar kepada segala macam cabaran dan permasalahan yang mencengkam umat Islam. Umat Islam berkewajipan untuk melakukan transformasi pemikiran dalam menanggapi sistem perundangan Negara supaya roh sebenar Perlembagaan dapat dicapai dan direalisasikan secara berkesan. Berbagai-bagai persepsi salah yang selama ini membelenggu pemikiran kita wajib diperbetulkan.

Antara salah tanggapan terhadap perkara-perkara asas dalam Perlembagaan yang wajib diperbetulkan oleh umat Islam di Malaysia dalam proses transformasi perundangan Islam ini adalah:

 

Salah tanggapan No. 1 - Islam sekadar Agama rasmi.

Ungkapan ini jauh tersasar dari kedudukan yang sebenar sebagaimana yang termaktub dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan – “ Islam is the religion of Federation…”

Perkataan “rasmi” adalah sekadar tambahan, tetapi impaknya telah mengelirukan semua pihak dan membuat tanggapan yang salah mengenai kedudukan Islam di Negara ini hingga menjadi – “Malaysia adalah sebuah negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama resmi.”  Hakikatnya ketiga-tiga perkataan – demokrasi, sekular dan rasmitidak wujud sama sekali dalam Perlembagaan.

Banyak pihak yang berhujah bahawa ungkapan ini telah digunapakai dan “diterima” oleh banyak pihak sejak Negara mencapai kemerdekaan. Persoalannya di manakah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seandainya seandainya penerimaan yang tidak betul ini dibiarkan berterusan? Apa jadi kepada sumpah Agong di bawah perkara 37 Perlembagaan atas nama suci Allah? Hanya orang yang tidak mengenali dan beriman dengan Allah sahaja yang tergamak untuk menghilangkan ketinggian nilai sumpah Agong itu.

Pendekatan untuk menambah perkataan rasmi itu hanyalah suatu strategi politik ketika negara baru mencapai kemerdekaan dan berhadapan dengan darurat akibat dari ancaman komunis yang tidak percayakan tuhan. Bagi mengelakkan masyarakat bukan Islam dari terus menjauhkan diri dari menyertai pemerintahan Negara yang baru ini, maka pendekatan sedemikian dilakukan oleh ahli politik ketika itu. Namun begitu dalam suasana hari ini di mana agama Negara ini benar-benar mahu dihakis dan prinsip-prinsip demokrasi sekular sedang melanda dengan hebatnya dalam era globalisasi ini adakah perlu pendekatan sedemikian diteruskan?

Berdasarkan fahaman yang tersasar ini pemikiran sekular terus menular dalam pemerintahan Negara. Prinsip dan ajaran Islam tidak mampu mengawal dan dan mengawasi aktiviti pemerintahan Negara sama ada dalam penggubalan dasar atau undang-undang.

Prinsip ajaran Islam tidak diberikan perhatian sewajarnya dalam penggubalan dasar ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, serta lain-lain dasar yang pernah digubal. Apabila sahaja disebut tentang Islam, para pentadbir dengan petah dan secepat kilat menolaknya dengan dalihan “kita masyarakat majmuk”, “Islam tanggungjawab Negeri”. Lebih dahsyat dari itu ada yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menjerumuskan kepada kemurtadan – “kalau kita ingin maju, agama perlu ditinggalkan!  Sedangkan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah tertinggi Negara Dalam kes Lina Joy v Majlis agama Islam Wilayah Persekutuan & 1 Lagi  [2007] 4 MLJ 585 telah memberikan tafsiran yang lebih luas kepada Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.

Jelas bahawa Mahkamah tertinggi Negara telah mengubah tafsiran Islam yang sempit yang diberikan oleh Tun Mohd Salleh Abas dalam kes Che’ Omar kepada tafsiran yang luas . Akan tetapi kenapa umat Islam masih mahu berpegang kepada tafsiran sempit itu dan tidak mempedulikan tafsiran yang luas dalam kes Lina Joy.

 

Salah Tanggapan  Ke 2 – Malaysia Negara Sekular

Salah tanggapan mengenai hakikat kedudukan sebenar Islam sebagai Agama Negara menjadi penyumbang terbesar kepada kelangsungan hayat pemikiran sekular Barat di Negara ini. Faktor utama kepada pegangan sebegini berpunca  daripada hakikat bahawa Perlembagaan Negara dirintis oleh sebuah suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid dengan dianggotai oleh hanya seorang hakim beragama Islam dari Pakistan.[ii]  Namun begitu tidak ramai yang menyedari fungsi dan peranan Suruhanjaya ini yang pada hakikatnya hanya menyediakan laporan. Sebuah Jawatankuasa Kerja yang dikenali sebagai Jawatankuasa White Paper  juga bertanggung jawab untuk mencadangkan pindaan-pindaan terakhir kepada cadangan Suruhanjaya Reid selaras dengan kehendak Raja-raja Melayu, pemimpin-pemimpin politik, pemerintah British bagi memuktamadkan Perlembagaan dalam proses menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.  Jawatankuasa itu juga telah mengambil pendekatan menerima memorandum Perikatan untuk memasukkan prinsip  Islam sebagai Agama Persekutuan “tetapi ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini”[iii].

Namun begitu perlu diberikan perhatian bahawa hanya Hakim Abdul Hamid dari Suruhanjaya Reid dan Jawatankuasa White Paper yang bersetuju menerima memorandum Perikatan untuk memasukkan – Islam sebagai Agama Persekutuan; tetapi ia tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktis agama mereka; dan “ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini”. Dari tiga cadangan dalam memorandum Perikatan berkaitan agama Negara itu, hanya 2 perkara sahaja yang telah diterima dan dipersetujui iaitu – Islam sebagai Agama Persekutuan; tetapi ia tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktis agama mereka; namun limb ketiga yang berbunyi “tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini” telah ditolak dan tidak dimasukkan dalam mana-mana bahagian dalam Perlembagaan. Dengan menggugurkan ayat ini perkataan “sekular” lenyap sama sekali dari Perlembagaan Persekutuan. Justeru warga negara Malaysia berkewajipan untuk menerima hakikat bahawa  tiada sepatah pun perkataan “sekular” yang wujud  di dalam Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya kenapa Malaysia masih dianggap sebagai negara sekular?

Adakah hanya kerana ayat kedua dalam perkara 3(1) yang berbunyi “but other religion may be practiced in peace and harmony in any part of Malaysia”telah menukar pegangan negara dari Islam kepada sekular? Bukankah ajaran Islam itu sendiri memberikan kebebasan manusia yang tidak beriman untuk mengamalkan ajaran agama mereka tanpa dikenakan paksaan untuk menerima Islam atau dihalau dari masyarakat Islam?  Ternyata limb kedua tersebut tidak sedikitpun mencacatkan pegangan Islam Negara ini. Pegangan bahawa Malaysia adalah Negara sekular boleh dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang tertinggi negara.

Kecelaruan sebegini terus dicengkam pengaruh pemikiran moden sekular Barat yang mendominasi pemikiran pewaris legasi penjajah British yang kononnya berpaksikan semangat nasionalisme. Ia ditambah pula dengan sikap simplistik umat Islam dan sebahagian ulama’ dan pendokong gerakan Islam yang mengambil jalan mudah ketika berhadapan dengan pendokong pemikiran sekular bahawa pemerintahan Negara ini terikat dengan legasi British termasuk pemikiran dan dasar pemerintahannya sekali. Lantas mereka mengambil kesimpulan simplistik – Malaysia Negara sekular, Perlembagaan Sekular, wajib ditegakkan Negara Islam.

Kedua-dua pendekatan di atas – mengikat pemikiran dengan pengaruh sekular barat dan pendekatan simplistik Perlembagaan sekular –  pada hakikatnya telah mengetepikan sumpah Ketua Utama Negara – YDPA atas nama Allah dengan lafaz Wallahi; Wabillahi; Watallahi; untuk memelihara agama Islam pada semua masa. Sumpah Baginda YDPA bukanlah sekadar satu upacara kerana ia diperuntukkan secara nyata  dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA mesti bersumpah dengan lafaz sedemikian yang terkandung dalam Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan. Persoalan yang perlu diberikan perhatian juga tentang sumpah Agong itu adalah tentang kedudukan lafaz Wallahi; Wabillahi; Watallahi; yang bukan suatu lafaz yang hanya berbetuk upacara (ceremonial) sahaja sebaliknya ia adalah satu sumpah yang mengikat.

Ada pihak yang cuba memberikan hujah mengelirukan dengan mengemukakan kes Che’ Omar Che’Soh yang sering digunakan oleh pengamal dan pelajar undang-undang dan sesetengah orang Islam kononnya Tun Salleh Abas pernah memutuskan Malaysia adalah negara sekular. Cerita ini amat mengelirukan sama sekali kerana Tun Salleh hanya mengatakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa adalah undang-undang sekular dan bukannya negara ini negara sekular. Bahkan Tun Salleh memberikan pendapatnya dalam kes berkaitan hukuman mati sama ada bercanggah dengan Islam dan bukan isu sama ada negara ini Islam atau Negara sekular.

Dalam isu ini Prof Dr. Abdul Aziz Bari berpendapat:

Apa pun tanggapan kita terhadap kedudukan Islam dalam perlembagaan hari ini, suatu yang jelas ialah bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Meskipun pihak perikatan mendakwa sebaliknya, daripada segi konsepnya adalah ganjil untuk mengatakan bahawa negara ini sekular sedangkan dalam masa yang sama ada peruntukan mengenai agama dalam perlembagaan. Negara sekular yang sebenar tidak mengizinkan negara turut serta dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan-tujuan agama.

Salah tanggapan ke 3 – Kedudukan Islam lebih rendah dari Perlembagaan.

Perkara 4(1) Ketinggian Perlembagaan-  tidak menafikan kedudukan Islam sebagai agama Negara, malah ia memartabatkan perkara 3(1) – Islam Agama Negara sebagai undang-undang tertinggi. Kenapa kita perlu menjunjung sistem dan prinsip Barat yang langsung tidak disebutkan dalam Perlembagaan sebagai sebahagian dari undang-undang tertinggi Negara? Sedangkan peruntukan yang jelas mengenai Islam sebagai Agama Negara itu adalah perkara yang pertama sekali disebutkan, dan diikrarkan oleh YDPA, dikesampingkan dan dipinggirkan hingga tidak dianggap sebagai undang-undang tertinggi? Terserlah lah sikap hipocracykelompok sekular dalam menanggapi kedudukan Islam dalam perlembagaan mencecah ke tahap pembohongan yang amat besar dalam sejarah Malaysia moden. Justeru salah tanggapan ini perlu diperbetulkan. Islam sebagai Agama Negara mesti dihormati dan dipatuhi. Sebarang dasar dan undang-undang yang digubal mestilah tidak bercanggah dengan agama Negara dan memelihara ketinggiannya adalah menjadi kewajipan pemerintah.

Kewajipan untuk memastikan segala aspek pemerintahan Negara perlu mematuhi prinsip agama Islam bukan sahaja berasaskan kepada kedudukan Islam sebagai agama negara, malah ia bertunjangkan kepada komitmen YDPA sebagai Ketua Utama Negara sebagaimana yang dilafazkan dalam sumpah baginda. Sumpah Agong yang perlu dilafazkan selaras dengan kehendak perkara 37 Perlembagaan Persekutuan adalah sepertimana yang dilakarkan dalam Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan.

 

Salah Tanggapan ke 4  – Hak Kesamarataan agama – Equality of Religion

Walaupun Perlembagaan melarang diskriminasi atas dasar agama semata-mata, namun terdapat pelbagai pengecualian dalam hal kedudukan agama-agama. Mahkamah tertinggi Negara dalam banyak kes telah memutuskan bahawa Islam sebagai agama bagi persekutuan tidak sama dengan agama –agama lain.

  • “…kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’ … Perkara 3 Fasal (1).

 Tun Ahmad Fairuz dalam kes Lina Joy

Agama-agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak memecah keamanan, namun jika amalannya sudah menampakkan tanda-tanda tidak harmoni dan boleh memecah keamanan, maka amalan berkaitan perlu dihalang. Hakikat ini perlu ditegaskan dan diterima oleh pemerintah dan semua rakyat Malaysia bahawa -  Negara Malaysia beragama Islam, bukan sekadar “agama resminya Islam” (sbgmana yang sering disalahtafsirkan) sebaliknya “agama Negara adalah Islam” – “Islam is the religion of Federation” art-3.  Hanya Islam agama Negara, Malaysia bukanlah sebuah negara syirik yang menganuti berbagai agama. Malaysia bukan negara pluralisme yang mengiktiraf kebenaran agama-agama lain. Sumpah YDPA atas nama Allah jelas menunjukkan fahaman pluralisme tidak diterima dalam Perlembagaan. Agama-agama lain sekadar agama yang boleh diamalkan dan tiada kewajipan atas kerajaan untuk memelihara atau mempertahankan agama-agama lain.

Justeru, perkara 12(2) Walaupun Perlembagaan Persekutuan membolehkan pertubuhan agama-agama menubuhkan institusi mereka sendiri, namun Kerajaan Negeri atau kerajaan Persekutuan hanya dibenarkan oleh perlembagaan untuk menubuhkan atau membantu menubuhkan apa-apa institusi berkaitan agama Islam.

Suatu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya antara Agama (Inter-faith Commission-IFC) pernah dicadangkan penubuhannya sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang  termasuk ke atas agama Islam.

IFC bertindak dan berfungsi sebagai badan yang mendengar kes-kes berkaitan hak individu dalam mengamalkan kebebasan beragama. Mereka beranggapan kedudukan agama Islam adalah sama dengan agama-agama lain di sisi perlembagaan negara

Salah Tanggapan ke 5 – Legasi Penjajah yang bercanggah dengan Islam dianggap sistem konventional manakala sistem Islam sekadar alternatif.

Sistem perundangan masih bersandarkan undang-undang common law Inggeris, sedangkan tiada peruntukkan dalam Perlembagaan yang mewajibkan undang-undang sekular itu diteruskan. Bahkan undang-undang yang membolehkan ia terus bernafas di negara ini selepas Merdeka sebenarbya terletak dalam bahagian Temporary and Transition – Sementara dan Peralihan. Civil Law Act 1956 hanya membenarkan rujukan kepada Undang-undang Inggeris sekiranya keperluan setempat memerlukannya. Rujukan kepada prinsip undang-undang Islam  dalam sistem perundangan langsung tidak dikembangkan. Hanya dalam aspek yang mendatangkan keuntungan ekonomi, rujukan kepada Islam diberikan seperti perbankan Islam.

Sistem pendidikan Islam hanya sekadar alternatif sedangkan ia sewajarnya menjadi sistem pendidikan mainstream berdasarkan kepada kedudukan Islam sebagai agama Negara.

Kolej Islam Malaya yang diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah dan Raja-raja Melayu serta umat Islam di Tanah Melayu dan Brunei suatu ketika dahulu pernah muncul sebagai Kolej Universiti wakaf yang pertama di Tanah Melayu pada tahun 1955 dan berjaya melahirkan tokoh-tokoh Islam ternama berterusan “pengsan” hingga kini setelah Fakulti Pengajian Islam UKM ditubuhkan. Dalam hal ehwal pentadbiran pula hingga kini sebahagian besar jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri masih tidak mahu diberikan kepada lulusan agama. Apakah jawapan kita kepada gejala sosial berlaku secara meluas di kalangan remaja Islam? Bukan kah ia berpunca dari sikap pentadbir dan pembuat dasar di kalangan umat Islam sendiri yang sentiasa memandang sinis kepada apa saja yang bersifat keagamaan sedangkan kita juga turut menanggung sumpah Agong atas nama suci allah untuk memelihara Islam.

Salah tanggapan Ke-6  Memperjuangkan Islam dianggap cenderung kepada pembangkang.

Pihak-pihak yang menyuarakan supaya  negara ditadbir menurut prinsip dan dasar Islam  dilabelkan dengan pelbagai gelaran negatif – golongsan fanatik, pemecah perpaduan, extremist, fundamentalis, terrorist, talibanese dan disisihkan dari arus perdana. Suatu ketika dulu para pendakwah yang lantang menuntut Islam dimartabatkan dinyahkan sama ada dalam kurungan atau ditransfer jauh ke pendalaman dan tidak dinaikkan pangkat. Mereka dilabelkan sebagai anti-establishment. Malah terdapat agensi-agensi tertentu yang bersifat nasionalisme dianggap patriotik mendominasi pentadbiran kerajaan melemparkan pelbagai tohmahan kepada golongan pelajar yang cenderung kepada agama, disisihkan dari program-program tertentu. Ada juga sekolah-sekolah, bahkan sekolah-sekolah agama turut serta mengekang para pelajar dari mendalami agama Islam menerusi kegiatan dakwah.

Sekarang apabila kita berhadapan dengan pelbagai tekanan dan cabaran sekularisme hingga menghasilkan gejala sosial yang tidak terkawal dan jurang perbezaan ekonomi yang amat lebar, kelompok nasionalisme ini terus-menerus menyalahkan golongan agama kerana kononnya tidak pro-aktif dalam menyebarkan ajaran agama untuk menyekat gejalan sosial.

Sedangkan hakikatnya pihak-pihak yang berusaha untuk mendaulatkan Islam adalah golongan mainstream yang menepati kehendak Perlembagaan.

 

Salah tanggapan ke 7 – Islam Tanggung jawab Negeri

Oleh kerana hal ehwal pentadbiran agama Islam secara tradisinya berada di bawah kuasa Sultan/Raja sebagai ketua agama, tuntutan supaya ajaran Islam dipatuhi dalam sebarang penggubalan/pelaksanaan dasar  atau undang-undang di peringkat persekutuan sering kali diketepikan atas alasan tanggungjawab memelihara Islam adalah terletak di bawah urusan Negeri. Sedangkan sebahagian besar urusan pemerintahan dan pentadbiran Negara berada dalam senarai Persekutuan. Justeru adalah menjadi tanggungjawab persekutuan untuk meastikan penggubalan atau pelaksanaan dasar bagi perkara berkenaan mematuhi agama Negara atau tidak menjejaskan agama Negara.

Prof Muhammad Imam ketika mengupas kewajipan mengenai Islam di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berpendapat[iv] –

This provision worded as it is, lends itself to a persuasive interpretation that it casts upon the ‘Federation’ a positive obligation to protect, defend and promote the religion of Islam and to assist, enable and facilitate Muslims, individually or collectively, to order their lives in accordance with the Injunctions of Islam.

Said Maulana S. Abdul Ala Maududi:

A very large part of the Islamic system of law, however, needs for its enforcement, in all its details, the coercive powers and authority of the state. Political power is essential for protecting the Islamic system of life from deterioration and perversion, for the eradication of vice and the establishment of virtue and, finally, for the enforcement of all these laws that require the sanction of the state and the Judiciary for their operation.

Dalam banyak keadaan sesetengah pihak di Persekutuan ataupun Negeri tidak begitu selesa untuk merangka atau melaksanakan dasar atas semangat dan roh bagi bagi tujuan memelihara agama Negara tetapi lebih memberikan penekanan kepada prinsip-prinsip lain seperti toleransi perpaduan, kemajuan material, kecemerlangan duniawi, pengiktirafan antarabangsa, hak asasi dan sebagainya. Dalam memerangi rasuah sebagai contohnya, penekangan lebih diberikan kepada undang-undang dan moraliti tetapi aspek pematuhan kepada ajaran agama amat kurang diberikan. Justeru berleluasalah politik wang, politik projek dan sebagainya yang amat bercanggah dengan prinsip Islam. Dalam hal ini Prof.Ulung Negara menyimpulkan –

Tetapi sekiranya set minda pembuat dasar masih bersifat fragmented dandualistik, dan keutamaan pertumbuhan ekonomi tidak digabungkan dengan keutuhan etika, integriti dan nilai-nilai kerohanian secara serius, masyarakat Melayu Islam akan terus berenang dalam arus perdana yang tidak semuanya menepati tuntutan agama Islam.

Hakikatnya semua pihak yang ada kaitan dengan pemerintahan Negara adalah terikat dengan Sumpah YDPA bagi memelihara Islam sebagai agama Negara ini, Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan menjadikan kewajipan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa. Lafaz sumpah yang dimulakan dengan Wallahi; Wabillahi; Watallahi; itu pada hakikatnya adalah juga mengikat semua pihak yang terlibat dengan urusan pemerintahan Negara ini kerana Baginda adalah Ketua Utama Negara di bawah Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perkara 39 pula kuasa eksekutif Persekutuan juga terletak hak pada YDPA. Oleh kerana Kabinet dan pekhidmat awam menjalankan kuasa eksekutif bagi pihak YDPA, semua anggota kabinet dan pekhidmat awam terikat dengan sumpah YDPA tanpa mengira kedudukan agama mereka. Sebarang nasihat yang diberikan kepada YDPA di bawah perkara 40 Perlembagaan juga mestilah tidak boleh menjejaskan kedudukan agama Islam.

 

Salah Tanggapan ke 8 – Pihak Berkuasa Agama Negeri Berada di bawah Kawalan Kerajaan Negeri.

Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri memartabatkan Sultan atau YDPA sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Dalam hal pentadbiran Agama Islam Baginda dibantu oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang merupakan pihak berkuasa agama Negeri yang utama selepas Sultan/YDPA. Walau bagaimanapun kedudukan ini sering disalah tanggap. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau Kerajaan Negeri sering dianggap sebagai pihak berkuasa termasuk dalam hal ehwal agama yang termaktub dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Fahaman dan pendekatan sebegini adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Islam sebagai Agama Negeri dan Agama Negara tidak tertakluk di bawah kuasa politik. Sebaliknya Kerajaan Negeri yan tertakluk kepada prinsip Islam dalam menjalankan pemerintahan Negeri. Justeru, walau pun menjadi kewajipan kepada Kerajaan Negeri menyediakan kewangan, kemudahan dan pegawai-pegawai untuk berkhidmat kepada MAIN, namun MAIN TIDAK bertanggungjawab (accountable) kepada Kerajaan Negeri kerana MAIN bertanggungjawab terus kepada YDPA/Sultan. Begitu juga para pekhidmat awam Negeri yang ditugaskan dalam hal ehwal berkaitan agama seperti JAIN, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah adalah bertanggungjawab kepada MAIN dan bukan kepada Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab untuk melakukan pembangunan dalam hal ehwal agama Islam tetapi tertakluk kepada kawalan dan kebenaran MAIN. Justeru adalah tidak wajar bagi mana-mana Kerajaan Negeri untuk mencampuri hal-hal berkaitan penentuan hukum Syarak walaupun ia berkewajipan untuk mematuhi dan menghormati hukum Syarak.

Salah Tanggapan ke 9 – Sejarah Islam Negara Bermula pada 1957

Kegemilangan sejarah Negara bukanlah hanya bermula selepas kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957 atau semasa pembentukan Malaysia pada September 1963, malah kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu telah lama berdiri teguh sejak berabad-abad lamanya. Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu, kedaulatan Kerajaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh sejak kurun ke-13 lagi. Fakta ini diteguhkan lagi melalui pemakaian undang-undang kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum Syarak. Fakta sejarah juga membuktikan bahawa semasa Sistem Residen berkuat kuasa di Negeri-negeri Melayu, Raja-raja Melayu tetap berdaulat –

The Resident System did not change the status of the Malay States to be part of British Colony. In 1878 The Colonial secretary has written a letter to the Resident of Pahang –

The Residents have been placed in the native states as advisers, not as rulers, if they upon themselves to disregard this principle, they will most assuredly be held responsible if trouble springs out of their neglect of it.[v]

Percubaan British untuk menjajah Tanah Melayu melalui gagasan Malayan Union pada tahun 1946 telah gagal apabila dibantah keras oleh orang Melayu ketika itu. Justeru, Negeri-Negeri Melayu terus bernaung di bawah perlindungan dan nasihat Residen British yang kemudiannya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Perlu disebut bahawa pada waktu itu, Raja-Raja Melayu terus berdaulat, manakala Residen dan Residen Jeneral British hanya berperanan sebagai penasihat.

Menurut Prof. Dr Abdul Aziz Bari, meskipun perlembagaan yang ada sekarang mula beroperasi pada 31 Ogos, 1957, bukan bererti bahawa segala bermula di situ. Sebagai contohnya, selepas Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dalam tahun 1948, negeri Melayu mula mempunyai perlembagaan sendiri. Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sebahagian besar daripada peruntukan dalam perlembagaan tersebut dikekalkan. Antara perubahan penting yang diperkenalkan ialah peruntukan supaya raja Melayu menjadi raja berperlembagaan.

Terdapat beberapa ciri tempatan yang kesemuanya menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang asing. Kedudukan raja, hak keistemewaan orang Melayu, kedudukan Islam serta Bahasa Melayu adalah lanjutan sistem dan unsur-unsur tradisional yang telah wujud sebelum kedatangan British lagi. Perkara ini boleh dianggap istimewa kerana peruntukan berkenaan tidak boleh dipinda melalui suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan Negara.[vi]

Mengenai Islam pula, kedudukan Islam adalah penerusan daripada peruntukan yang ada dalam perlembagaan negeri Melayu sebelum tahun 1957. Walaupun perlembagaan bertulis boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang baru, penetapan Islam sebagai agama negeri boleh dilihat sebagai usaha untuk mengakui dan menjelaskan nilai dasar negeri Melayu. Sebelum kedatangan British perkara ini mungkin tidak perlu kerana sebelum itu tidak wujud masyarakat bukan Islam yang besar jumlahnya. Mungkin boleh juga dihujah bahawa keadaan sebelum British juga tidak menghendaki perlunya Islam dinyatakan secara rasmi dalam undang-undang tubuh negeri Melayu.

Umat Islam berkewajipan untuk mempertahankan sejarah Kedaulatan Islam yang cuba dihakis oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.Ini bagi mengelakkan berulangnya sejarah Kedaulatan Kesultanan Melayu Johor di Singapura yang terhakis dari lakaran sejarah Singapura. Begitu juga cubaan menghakis sejarah kedaulatan kesultanan Kedah di Pulau Pinang melalui My Balik Pulau. Pengajaran perlu diambil dari Hukum Kanun Melayu (Malay Digests)  terus menerus dihakis daripada menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan kedatangan Common Law Inggeris.

Kini umat Islam sedang berhadapan dengan cubaan menghakis Kedaulatan Islam dengan mengutamakan salah tafsiran dan salah tanggapan mengatasi peruntukkan sebenar dalam Perlembagaan.Walaupun Perlembagaan Persekutuan  (Perkara 3(1)) memartabatkan Islam sebagai Agama Negara, Malaysia masih dianggap sebagai “Negara Sekular dengan Islam sebagai Agama Rasmi”.

 

Salah Tanggapan Ke 10 – Berpolitik Secara Islam; Jangan mempolitikkan Islam (political bargaining)

Kebelakangan ini, apabila tanggungjawab memelihara agama Islam dilaksanakan tanpa sebarang pemantauan, wujud kecenderungan sesetengah pihak untuk menggadai kepentingan agama Islam demi meraih sokongan politik. Nama suci Allah tergamak dibiarkan untuk digunakan secara sewenang-wenangnya oleh agama lain atas nama hak asasi manusia. Sedangkan hakikatnya ia sebahagian dari usaha untuk mengelirukan umat Islam dengan merendahkan nama suci Allah yang termaktub dalam al-Quran kepada hanya sebagai terjemahan kepada perkataan god dalam bahasa Inggeris. Justeru, mana-mana pihak berhak menggunakan nama Allah kepada makhluk-makhluk yang mereka anggap sebagai tuhan mereka. Adakah wajar demi kepentingan politik kita membiarkan orang-orang bukan Islam meng”allah”kan apa saja yang mereka anggap tuhan. Tentulah amalan sedemikian boleh mengakibatkan redha kepada syirik. Memang kita amat gembira jika penganut agama lain mahu menganggap Allah sebagai tuhan yang maha tinggi, tetapi perbuatan menyifatkan nama Allah hanya sekadar nama am yang bermaksud tuhan amatlah merbahaya dan satu penghinaan kepada ajaran Islam dan umat Islam yang beriman Allah adalah nama khas yang suci bagi Tuhan pencipta sekalian alam – lafzul jalaalah – bukan sekadar a mere word!  ALLAH is the one and only god, other gods are not ALLAH!

Begitu juga keadaannya apabila pertimbangan politik memainkan pengaruh yang penting dalam isu Bible Bahasa Melayu, amatlah tidak wajar isu agama dijadikan bahan political bargaining. Berbagai perkataan bersumberkan ajaran Islam diselewengkan maksudnya dalam bible Bahasa Melayu itu, namun oleh kerana suara umat Islam sudah tidak lagi begitu penting, maka pelbagai pihak cuba menangguk di air keruh dalam situasi politk semasa.

Kesimpulan dan Cadangan

Adalah dijangkakan sekiranya semua salah tanggapan ini tidak diperbetulkan secara menyeluruh dan berkesan, agama Islam akan menjadi amalan ritual yang berpusat di masjid-masjid dan tanah perkuburan sahaja. Pada hari ini fahaman sebegini sudah menular dengan luas di kalangan umat Islam sendiri. Malah tanggapan negative terhadap institusi agama semakin meluas di kalangan generasi muda negara.

Kalau ditafsir secara betul, perlembagaan memberi laluan untuk negara ini menjadi Islam secara total. Sebaliknya jika ditafsir secara liberal, liberal lah jadinya negara ini. Sepatutnya semua dasar, polisi dan undang negara ini perlu digubal atas roh dan semangat artikel 3 – iaitu selaras dengan pegangan agama negara – Islam

Bersandarkan kepada kewajipan Pemerintah untuk memelihara Islam sebagai  Agama Negara, kewujudan badan pemantau khusus untuk memastikan semua pihak termasuk pemerintah dan agensi-agensi kerajaan mematuhi prinsip Islam adalah satu keperluan mendesak. Prinsip kedaulatan undang-undang yang diamalkan dalam negara ini sejak merdeka masih berteraskan prinsip Common Law yang terus mengenepikan prinsip agama sekalipun Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan meletakkan undang-undang Inggeris yang diwarisi sebelum Merdeka boleh dipinda dan diselaraskan dengan keperluan semasa.  Sex bebas masih dianggap sebagai hak kebebasan asasi sedangkan ia bercanggah dengan akhlak dan moral. Arak masih dijadikan sumber hasil negara dan menjadi hidangan berprestij sedangkan ia menimbilkan pelbagai masalah kepada negara.

Kedaulatan Agama Islam diwarisi oleh Kesultanan Melayu sejak kedatangan Islam ke alam Melayu. Negara Malaysia terbentuk hasil dari permuafakan Raja-Raja Melayu yang mewarisi kedaulatan kesultanan Islam dan bukan atas ihsan penjajah Inggeris. Undang-undang yang berkuatkuasa di negeri-negeri Melayu berpaksikan kepada ajaran Islam (syariah). Mahkamah Rayuan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga pernah  memutuskan bahawa Syariah adalah lex loci (law of the land) bagi negara ini. Hakikatnya apabila Negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara ini wajib mendaulatkan Agama Islam dan bukan mengamalkan prinsip pluralisme agama. Agama-agama lain bebas untuk diamalkan sebagaimana yang terkandung dalam ajaran Islam. Namun pemerintah tiada berkewajipan untuk memelihara atau memajukan agama-agama lain.

Jika prinsip Hak Asasi Manusia yang tidak dimartabatkan secara nyata dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi sehingga Kerajaan terpaksa menubuhkan sebuah suruhanjaya, kenapa prinsip Agama Negara (Islam) tiada mekanisme pengawasan khusus bagi memastikan prinsip Islam dihormati dan kedaulatan agama Islam terus dijunjung. Adakah hari ini pemerintah dan rakyat lebih gerun dan akur kepada prinsip HAM yang pada hakikatnya tiada sepatah perkataan pun yang disebutkan dalam perlembagaan? Malah prinsip kemanusiaan berlandaskan ajaran Islam yang dipraktiskan oleh Raja-Raja Melayu dan umat Islam di Tanah Melayu jauh lebih berkesan dan memberikan manfaat kepada semua manusia tanpa mengira Agama.

Prinsip HAM akhir-akhir ini telah melampaui batas agama Negara. Hak kebebasan secara melampau telah dipromosikan hingga menjejaskan hak umat Islam untuk mengamal dan mematuhi ajaran Islam. Tuntutan untuk membolehkan umat Islam murtad, hak kepada LGBT, hak persamaan Gender secara melampau, hak kebebasan dari kawalan ajaran agama, hak kesamarataan agama,  dan berbagai tuntutan lagi dikemukakan dalam suasana politik Negara yang dirasakan dapat memberi peluang keemasan untuk menggasak Islam.

Pelbagai tindakan dan kenyataan yang bersifat menghina agama Negara tidak dapat dikuatkuasakan oleh pihak berkuaasa agama Negeri kerana undang-undang mengenai  agama Islam yang berkuatkuasa di Negeri-negeri hanya boleh dikuatkuasakan ke atas orang Islam sahaja. Malah kebanyakan warga negara bukan Islam merasakan mereka tidak perlu mematuhi apa-apa undang-undang berkaitan agama Islam. Justeru pelbagai perbuatan dan kenyataan yang bersifat menghina agama Negara tidak dapat diambil tindakan.

Negara perlu mempunyai sebuah Majlis Negara atau Suruhanjaya di bawah naugan MRR dan YDPA bagi memastikan ikrar dan sumpah YDPA atas nama Allah untuk memelihara agama Negara Islam benar-benar dilaksanakan. Islam tidak sewajarnya dijadikan bahan pertimbangan politik (political bargain). Pendakwaan seharusnya boleh dilakukan bagi mengenakan tuduhan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan. Dalam isu penyalahgunaan nama suci Allah, lafaz Allah telah diisytiharkan sekadar terjemahan kepada God dalam bahasa Melayu dan pihak yang menuntut berhak untuk menggunakannya. Sedangkan terjemahan sebenar dalam bahasa melayu adalah tuhan. Dalam kes ini, perhatian kepada kewajipan untuk memelihara agama Islam sebagai mana yang disumpah oleh YDPA langsung tidak diberikan perhatian. Sebaiknya prinsip HAM yang dijunjung tinggi.

Majlis atau Suruhanjaya ini bertanggungjawab terus kepada Majlis Raja-Raja melalui Yang Di Pertuan Agong dan bebas dari pengaruh politik. Justeru, ia  berhak memberikan teguran dan nasihat berasaskan prinsip Islam kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi nya sama ada secara terus atau melalui laporan tahunan kepada MRR. Ia juga bertanggungjawab mendengar aduan dari mana-mana pihak mengenai apa-apaperkara yang menyentuh prinsip agama Islam secara langsung atau tidak langsung.

Antara objektif yang dapat dikenal pasti bagi penubuhan majlis sebegini adalah  seperti yang berikut –

  • menjadikan kewajipan kepada semua pihak sama ada kerajaan atau rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa untuk menghormati kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan
  • meletakkan kewajipan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri-negeri untuk mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Agama Negeri-negeri dalam merangka dasar dan polisi Kerajaan bagi mengelakkan sebarang bentuk percanggahan dan penghinaan kepada agama Islam.
  • Memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Negara dan sistem hidup yang sempurna yang perlu dilaksanakan dalam semua urusan kehidupan dan bukan sekadar agama rasmi atau agama ritual sahaja.
  • Memelihara keluhuran dan kesucian agama Islam selama-lamanya dari sebarang bentuk penyelewengan, fahaman moden yang tersasar atau ajaran sesat yang boleh mengelirukan umat Islam.
  • Mengembalikan keutuhan Islam sebagai agama bagi Negeri-negeri Melayu yang tidak pernah dijajah atau dicemari oleh nasihat-nasihat penjajah dan prinsip-prinsip moden Barat
  • Menyatakan dengan jelas tanggungjawab dan kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan kedaulatan Islam dari berbagai-bagai aspek termasuk ekonomi, politik, perundangan, pendidikan budaya dan lain-lain lagi.

Semoga Allah merahmati usaha kecil umat Islam untuk mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara.   DAULATKAN ISLAM – AGAMA NEGARA!


[i] PROF. M. KAMAL HASSAN, PENGKAEDAHAN PENDIDIKAN MELAYU ISLAM

[ii] Menurut Suruhanjaya Reid (Report of the Federation of Malaya Constitutional Comission, London, Her Majesty’s Statitonery Office, 1957 No. 330 or the Reid Commission Report) mengenai agama Islam:

’…The observation of this principle shall not impose any liability on non-Muslim natives professing and practising their religions and shall not imply that the State is not a secular State…’

Begitu juga dengan kenyataan daripada Hakim Abdul Hamid, salah seorang ahli Suruhanjaya Reid mengenai ‘Islam as a State Religion’, di mana kata beliau, pada perenggan 11:

‘It has been recommended by the Alliance that the Commission should contain a provision declaring Islam to be the religion of the State. It was also recommended that it should be made clear in that provision that a declaration to the above effect… will not prevent the State from being a secular State…’

[iii] saranan Kertas Putih (White Paper) iaitu:

‘There has been included in the Federal Constitution a declaration that Islam is the religion of the Federation. This will not in no way affect the present position of the Federation as a secular state…’

[iv] FREEDOM OF RELIGION UNDER FEDERAL CONSTITUTION OFMALAYSIA – A REAPPRAISAL, Mohammed Imam ;  [1994] 2 CLJ lvii (June)

[v] Colonial Secretary to Residents, May 17, 1878; E.Sadka, The Malay States 1874-1895, p.102.

[vi] PERLEMBAGAAN SEBAGAI SEBUAH PERNYATAAN SEJARAH DAN TRADISI NEGARA, Dr. ABDUL AZIZ BARI Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Pandangan Sunni Terhadap Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama

Kertas-kerja ini telah dibentangkan di Seminar Memperkasa Akidah Umat Islam anjuran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID)  Gombak, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Sekretariat Menangani Ajaran Sesat Dan Fahaman Ekstrem, Pluralisme, Liberalisme Dan Sekularisme JAIS (MUAFAKAT adalah anggota Sekretariat) pada 24 Syaaban 1432 bersamaan 26hb Julai 2011, Selasa, di Dewan Seminar, Masjid Al-Ikhlas, Taman Seri Melati, Selayang, Selangor Darul Ehsan.
*******

Pandangan Sunni Terhadap Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama

Wan Adli Wan Ramli

Abstrak: Nota dalam kertas pendek ini membincangkan beberapa perkara dalam isu pluralisme agama, iaitu; takrif dan tasawwur pluralisme agama; 2 bentuk pluralisme agama oleh John Hick dan Frithjof Schuon; tafsiran Muslim pluralis terhadap al-Qur’an, al-Baqarah(2): 62; dan persoalan sama ada benar atau tidak Allah adalah God the Father atau the Holy Trinity. Sudut pandangan yang dikemukakan di sini mengkritik pandangan Muslim pluralis berdasarkan nilai yang dipegang oleh Muslim Sunni. Akhirnya, didapati bahawa, pada perinciannya, idea pluralisme agama tidak bertepatan dengan akidah Islam.

Pendahuluan

Isu pluralisme agama menimbulkan keresahan di kalangan Muslim yang meyakini bahawa hanya Islam agama Allah. Sehubungan itu, dalam kertas ringkas ini, patut rasanya dibincangkan beberapa perkara yang berkait dengan takrif, tasawwur, pecahan, serta contoh penghujahan Muslim pluralis. Selain itu, patut juga dibincangkan masalah yang timbul daripada idea pluralisme agama di kalangan umat Islam di Malaysia, iaitu isu nama Allah.

Takrif Dan Tasawwur Pluralisme Agama

Sebagai suatu konsep, pluralisme agama difahami dengan pelbagai definisi. Ada yang menganggapnya sebagai pernyataan fakta kewujudan. Chandra Muzaffar contohnya, memahami pluralisme agama sebagai fakta bahawa “different religions co-exist within the same polity.”[1] Lebih jauh daripada ini, ada yang memahami konsep ini sebagai suatu idealisme tentang kepelbagaian. Dalam pengertian ini, Mohamad Hashim Kamali menyatakan bahawa pluralisme agama mempercayai bahawa “all faiths are true and show different paths to the same reality.”[2] Faham kesamarataan ini turut dipegang oleh Mahmoud Ayoub yang melihat idea ini “recognizes the plurality of religious communities and the essential validity of their faith.”[3] Begitu juga Asghar Ali Engineer memahami bahawa pluralisme agama adalah “accepting equal validity for all religions.”[4] Selain itu, Abdulaziz Sachedina mengkonsepsikan pluralisme agama sebagai kepercayaan bahawa “other faiths are not merely inferior manifestations of religiosity, but variant forms of individual and communal responses to the presence of the transcendent in human life. … acknowledging the intrinsic redemptive value of competing religious traditions.[5] Daripada pelbagai takrifan ini, dapat dilihat bahawa ada yang mentasawwurkan pluralisme agama sebagai kesamarataan agama dari aspek kebenaran kepercayaan, kesahihan matlamat dan jalan atau shari‘ah serta amalan yang berkenaan, dan kejayaan yang dicita. Dengan itu, idealisme yang dianjurkan oleh pluralisme agama adalah kesamarataan dan penyamarataan aspek-aspek agama tersebut.

Pun begitu, mungkin ada yang berpendapat bahawa pluralisme agama hanya bertujuan untuk menggalakkan toleransi antara penganut agama yang pelbagai. Pandangan ini, secara langsung atau tidak, cuba menafikan adanya gagasan samarata antara agama dalam konsep pluralisme agama. Walau bagaimanapun, pandangan ini boleh dianggap sebagai pembatasan yang tidak tepat. Di samping itu, penafian ini juga menidakkan fakta bahawa pemikiran samarata agama memang wujud di kalangan sebahagian manusia yang menamakan faham ini dengan nama pluralisme agama. Hakikatnya, reduksionisme ini tidaklah dapat dipertahankan sepenuhnya. Hal ini disebabkan pluralisme agama adalah suatu konsep sosial yang tidak terbatas dengan kesimpulan yang diambil oleh satu pihak sahaja. Pendirian semua pihak perlu diambil kira dalam mengenal pasti takrif pluralisme agama yang menyeluruh. Ini berbeza dengan konsep tekstual seperti samah, tarīf, atau haymanah yang perlu diikat maknanya berdasarkan tafsiran nas yang tepat. Sebaliknya, pengertian pluralisme agama tidak boleh diikat kepada satu teks atau pendapat sahaja. Tambahan pula, penafian tawhid dan pengisbatan kesamarataan pelbagai agama adalah makna yang bertepatan dengan denotasi kalimah akar pluralisme iaitu perkataan Latin plūs atau plūr yang bererti “more than one”.[6] Selain itu, kehadiran tambahan “isme” dalam kalimah bahasa Melayu, atau “ism” dalam bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa pluralisme agama adalah sama ada suatu kepercayaan, doktrin, teori, gerakan, atau sikap.[7] Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan adanya unsur penyamarataan agama dalam takrif pluralisme agama yang komprehensif. Kefahaman yang tepat ini amat perlu sama ada lanjutan daripadanya, konsep pluralisme agama ingin didukung atau dikritik. Tanpa pengiktirafan ini, amat sukar sekali untuk semua pihak berbahas kerana akhirnya, masing-masing memperkatakan perkara yang berbeza.

Di sini, boleh diakui secara ringkas bahawa takrif dan tasawwur pluralisme agama mengandungi beberapa anasir utama, termasuk pengakuan fakta kewujudan dan anutan pelbagai agama di kalangan manusia, anjuran untuk bertoleransi antara umat yang majmuk ini, dan gagasan kesamarataan dan penyamarataan melangkau agama. Dalam konteks kertas ini, elemen samarata inilah yang dipermasalahkan apabila idea ini cuba dikembangkan dalam kerangka ajaran Islam.

Dua Bentuk Pluralisme Agama

Mungkin bertepatan dengan sifat majmuk, pluralisme agama berkembang dalam beberapa bentuk. Sejauh pengaruhnya di kalangan Muslim, barangkali dua bentuk pluralisme agama sesuai diteliti dengan lebih lanjut. Bentuk yang pertama boleh dikaitkan dengan John Hick, seorang pengkaji teologi Kristian liberal. Maka kertas ini menamakan bentuk pertama ini pluralisme agama liberal. Manakala bentuk yang kedua adalah bersumberkan pemikiran Frithjof Schuon, seorang Muslim perennial yang melihat adanya kesatuan antara agama. Maka bentuk kedua ini dinamakan pluralisme agama perennial.

Pluralisme Agama Liberal

Semua takrif pluralisme agama di atas yang menyamaratakan agama-agama, boleh dikatakan serumpun dengan pemikiran John Hick. Hal ini disebabkan pendekatan menyamaratakan agama yang diambil adalah dengan mengangkat kemungkinan keselamatan di akhirat bagi pengikut agama lain sebagai titik temu bahawa agama lain itu juga boleh jadi benar. Bagi Hick, “in its broadest terms, this [pluralism] is the belief that no one religion has a monopoly of the truth or of the life that leads to salvation.”[8] Berbeza dengan ahli teologi lain, Hick berpendapat bahawa tumpuan perbincangan pada isu kebenaran kepercayaan satu-satu agama berbanding agama lain tidak akan menyelesaikan sebarang pertikaian. Sebaliknya, baginya, tumpuan patut dialihkan kepada soal keselamatan di akhirat dan kemungkinan satu agama pengakui kemungkinannya bagi penganut agama lain.[9] Dengan itu, kemungkinan keselamatan ini boleh menjadi titik temu antara agama. Selanjutnya, jika tempat akhir penganut pelbagai agama boleh jadi satu, maka boleh dikatakan bahawa arah agama semuanya satu belaka. Dari sini, ahli teologi liberal, sama ada yang Kristian atau Muslim, menarik kesimpulan bahawa agama adalah samarata dari aspek ini. Dalam kerangka ini, ayat al-Qur’an al-Baqarah (2): 62 dan al-Ma’idah (5): 69 ditafsirkan semula oleh Muslim pluralis untuk mendakwa kesamarataan janji keselamatan di akhirat untuk pengikut semua agama.

Dari perspektif Sunni, pendekatan “salvation-centric” ini tidak boleh dijadikan asas untuk menyamaratakan agama lain dengan Islam. Adalah benar bahawa Islam mengiktiraf kemungkinan orang bukan Islam diselamatkan oleh Allah daripada Neraka. Dalam hal ini, Abu Hamid al-Ghazali menyatakan bahawa ada orang bukan Islam yang walaupun merupakan penyembah berhala, akan diselamatkan daripada Neraka kerana dakwah tidak pernah sampai kepada mereka atau akal mereka tidak mampu menanggapi dalil yang dikemukakan.[10] Ringkasnya, akidah Sunni menerima bahawa bukan sahaja Muslim yang boleh jadi selamat ke Syurga. Akan tetapi, penerimaan ini merupakan pengecualian sahaja dan bukan suatu pernyataan umum. Tambahan pula, pengecualian ini adalah disebabkan rahmat Allah kepada penganut agama lain yang juga adalah manusia ciptaanNya, dan bukan pengiktirafanNya kepada kesesatan mereka. Sebaliknya, seluruh kandungan al-Qur’an mengandungi celaan ke atas kepercayaan yang salah dan seruan agar kembali kepada akidah yang benar. Sehubungan itu, tuah insan, sama ada yang Muslim atau tidak, untuk berada di dalam Syurga, hanya nasib manusia, dan bukan titik temu antara agama. Selain itu, ajaran pelbagai agama tentang keselamatan tidaklah sama. Oleh itu, mustahil untuk mendakwa kesamarataan agama-agama walaupun penganutnya boleh jadi selamat.

Selain John Hick, dapat juga dilihat pengaruh pemikiran Wilfred Cantwell Smith di kalangan Muslim liberal.[11] Smith, melalui teori “non-reified religion”, menekankan bahawa agama pada asasnya hanyalah kepercayaan kepada Tuhan yang merupakan perasaan peribadi manusia yang personel dan abstrak. Sedangkan, menurutnya, sistem bagi semua agama besar dunia yang ada sekarang, termasuk Islam, telah diinstitusikan menjadi suatu yang tersusun rapi.[12] Bagi Smith, implikasi yang ingin diberikan ialah bahawa agama yang berstruktur lengkap bukanlah bentuk ubudiyyah yang dinamik. Dengan kata lain, keagamaan manusia kepada tuhan (tidak semestinya Tuhan) sepatutnya bebas daripada kongkongan shari‘ah yang mengikat tatacara beribadah. Di bawah faham yang terbuka ini, ayat al-Qur’an Ali ‘Imran (3): 19 dan 85, khususnya kalimah al-islām, ditafsirkan semula oleh Muslim pluralis untuk membuka batasan sembahan yang sah kepada Tuhan. Melalui tafsiran semula ini, identiti Muslim diluaskan kepada semua manusia yang menyerah diri kepada tuhan, dengan semuanya dianggap sebagai muslim secara literal. Di bawah kerangka faham seperti ini, Mahmoud Mohamed Taha, Muhammad Shahrur, dan Budhy Munawar-Rachman menganggap orang Yahudi dan Kristian semasa sebagai muslim kerana mereka juga menyembah tuhan.[13] Dengan itu, semua umat yang beragama dianggap samarata.

Dilihat dari kaca mata Islam, adalah betul bahawa semua rasul adalah Muslim.[14] Justeru, boleh pengikut mereka juga adalah Muslim. Ini termasuklah pengikut nabi Musa dan nabi Isa. Begitupun, hal ini benar selagi ajaran nabi-nabi tersebut kekal sahih. Syarat ini termasuk juga kepada ajaran nabi Muhammad. Jika Muslim masa kini mengubah ajaran nabi Muhammad, bid‘ah baru itu tidak boleh lagi dikenali sebagai Islam. Orang yang mempercayai dan mengamalkan bid‘ah itu pula tidak lagi menjadi Muslim sejati. Dalam kes ajaran nabi Isa, iaitu nabi yang paling dekat dengan nabi Muhammad dari segi masa, terdapat bukti yang sukar untuk dinafikan bahawa teks wahyu nabi Isa telah diubahsuai. Selain menjadi kepercayaan pengikut nabi Muhammad hasil kesimpulan daripada al-Qur’an,[15] perubahan dalam Bible turut diakui oleh pengkaji sejarah biblikal masa kini. Geza Vermes contohnya mendapati bahawa isi Bible sekarang telah diubah dengan kemasukan beberapa idea asing yang tidak terkandung dalam ajaran asal nabi Isa.[16] Begitu juga, Bart Ehrman menyatakan bahawa tidak ada lagi Bible asli untuk mengesahkan sebarang Bible versi terkini.[17] Lagipun, umat Islam meyakini ajaran nabi Muhammad bahawa shari‘ah yang dibawa oleh baginda memansuhkan semua shari‘ah nabi-nabi terdahulu. Hal ini disebabkan shari‘ah yang terkandung dalam kitab-kitab yang didakwa sebagai kitab wahyu terdahulu tidak lagi dapat dipertahankan kesahihannya. Tambahan pula, shari‘ah nabi-nabi terdahulu tidak lagi sesuai dengan perkembangan kontemporari.[18] Mungkin disebabkan ketidak sesuaian inilah, ajaran yang didakwakan dibawa oleh nabi Isa terpaksa sentiasa diubahsuai oleh para pemimpin gereja Kristian pada masa ini.[19] Dari sini, boleh ditegaskan bahawa sebenar-benar penyembah kepada Allah hanyalah Muslim. Bermain dengan kata-kata seperti Islam dan islam, atau Muslim dan muslim tidak bermakna apa-apa jika sifat dan cara penyerahan diri kepada Tuhan adalah tidak betul dan sah sama ada kerana gubahan atau pemansuhan.

Dalam perbincangan seterusnya, tafsiran semula al-Qur’an oleh Muslim liberal pluralis ini akan diperturunkan untuk penelitian lanjut. Sebelum itu, satu lagi bentuk pluralisme agama akan dibincangkan.

Pluralisme Agama Perennial

Frithjof Schuon (‘Isa Nur al-Din), seorang Muslim perennial, dalam pada itu, mempercayai adanya kesatuan yang menjangkau batas agama atau “transcendental unity of religion”. Antara ahli lain dalam aliran ini ialah Martin Lings (Abu Bakr Siraj al-Din), Seyyed Hossein Nasr, dan Reza Shah-Kazemi. Kepercayaan ini mendakwa semua agama bersatu di tahap esoterik iaitu tahap hakiki khas. Perbezaan agama-agama terzahir di tahap eksoterik atau amalan lahiriah keagamaan. Seyyed Hossein Nasr, dalam kebanyakan tulisannya tentang tema ini, nampaknya merujuk kepada fakta sejarah Islam bahawa rasul-rasul dengan shari‘ah yang pelbagai itu tetap membawa akidah yang satu iaitu tawhid. Sehubungan itu, menurutnya, jika kajian agama ditumpukan kepada intipatinya berbanding manifestasi lahiriah, “leads to their inner unity because the source of all reality and therefore all religion is God who is one.”[20] Begitupun, ketika berbincang tentang agama-agama, beliau kerap-kali menggunakan ungkapan semua agama yang asal, atau “authentic”, atau “original” atau “genuine”, atau “heavenly inspired”.[21] Dari itu, sekurang-kurangnya dalam pemikiran Nasr, dapat dilihat bahawa mungkin yang dimaksudkan dengan kesatuan agama-agama ini, merujuk kepada agama-agama asli para rasul, bukan pelbagai agama yang ada kini. Akan tetapi, jika benar demikian, para Muslim perennial sepatutnya turut membincangkan dengan tuntas persoalan seperti perubahan kitab terdahulu, dan pemansuhan shari‘ah yang terkandung di dalamnya. Dalam hal ini, Nasr sendiri seolah-olah menyembunyikan pendiriannya, walaupun mengakui adanya pertentangan mendasar antara akidah Islam dan dogma Kristian berkenaan Inkarnasi, Ketuhanan Isa, dan konsep the Holy Trinity.[22] Dengan itu, pemikiran akidah Nasr dalam tema antara agama tidaklah komprehensif.

Malah, sebaliknya, Shah Reza-Kazemi, seorang lagi Muslim perennial, menganggap bahawa kitab yang ada di tangan penganut Yahudi dan Kristian sekarang adalah kitab yang asli dengan dakwaan; pertama, bahawa silsilah penyampaian Perjanjian Lama dan Baru tidak pernah terputus; dan kedua, bahawa pemansuhan tidak pernah berlaku.[23] Dari perspektif Sunni, sejauh berkenaan dengan dakwaan pertama, beliau gagal memastikan, sama ada kenyataan al-Qur’an bahawa dalam Taurat dan Injil terkandung hidayah, merujuk kepada kitab yang telah hilang atau versi baru yang dipegang oleh penganut Yahudi dan Kristian kontemporari. Selain itu, walaupun merujuk kepada al-Qur’an, al-Ma’idah (5) : 48, beliau tidak teliti untuk mengambilkira konsep al-Qur’an sebagai penjaga atau muhaymin kepada kebenaran kitab terdahulu. Sementara itu, sejauh berkenaan dengan dakwaan kedua, beliau nampaknya hanya membuta-tuli merujuk kepada tulisan Abdulaziz Sachedina yang sebenarnya salah faham terhadap penjelas Abū Ja‘far Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī. Dalam hal ini, al-Ṭabarī menolak pendapat ‘Abdullah ibn ‘Abbas yang mengatakan bahawa ayat al-Qur’an, al-Baqarah (2): 62 dimansuhkan oleh ayat Ali ‘Imran (3): 19. Walau bagaimanapun, Sachedina mendakwa bahawa al-Ṭabarī menolak terus konsep naskh, yang dengan itu mengharuskan sikap ragu-ragu kepada pemansuhan shari‘ah terdahulu oleh nabi Muhammad. Selain itu, Shah-Kazemi juga merujuk kepada terjemahan tidak lengkap dan salah faham oleh William Chittick terhadap puisi Muḥy al-Dīn Muḥammad bin ‘Alī ibn ‘Arabī yang membandingkan ajaran nabi Muhammad dengan nabi-nabi lain sebagai salah satu bintang daripada jutaan bintang di langit. Dengan itu, Chittick menganggap bahawa bintang atau ajaran nabi lain masih kekal walaupun dengan kemunculan bintang atau ajaran baru yang dibawa oleh nabi Muhammad.

Dari perbincangan di atas, dapat diperhatikan bahawa konsep pluralisme agama perennial bukanlah suatu ajaran akidah yang lengkap dan boleh dipertahankan hujahnya. Masih banyak persoalan yang tidak dapat diselesaikan dengan baik oleh para Muslim perennial sehingga terpaksa akhirnya merujuk kepada salah faham Sachedina, seorang Muslim liberal.

Al-Qur’an dan Tafsiran Pluralisme Agama

Di kalangan Muslim pluralis, ada kesedaran bahawa idea yang ingin dibawa perlu didasarkan kepada al-Qur’an. Dalam hal ini, Nurcholish Madjid menyatakan bahawa pemodenan Islam mesti diakarkan kepada al-Qur’an.[24] Begitu juga Abdulaziz Sachedina yang mempercayai bahawa al-Qur’an mesti menjadi sumber norma Islam.[25] Penjelasan kepada pegangan ini ada dikemukakan oleh Abdullahi An-Na’im yang menganjurkan Muslim liberal untuk berdiskusi dalam kerangka wahyu kerana tanpa sokongan hujah yang diambil daripada teks al-Qur’an, idea liberal tidak berupaya menarik perhatian majoriti Muslim. Hal ini berbeza dengan pandangan fundamentalis yang, menurutnya, menjadi menarik dengan rujukan yang banyak kepada al-Qur’an dan sunnah.[26] Sehubungan itu, Muslim liberal juga mengungkap idea pluralisme agama dengan bersumberkan al-Qur’an.

Seterusnya, akan diteliti beberapa tafsiran Muslim liberal untuk mengisbatkan adanya idea pluralisme agama di dalam al-Qur’an.

Al-Baqarah (2): 62

Antara ayat al-Qur’an yang paling popular bagi Muslim pluralis ialah al-Baqarah (2): 62 dan satu lagi ayat yang hampir sama iaitu al-Ma’idah (5) : 69. Dalam kedua-dua ayat ini, secara sepintas lalu, kelihatan adanya janji keselamatan di akhirat bagi bukan sahaja Muslim, tetapi juga Kristian, Yahudi, dan Sabi’un. Dalam hal ini, Fazlur Rahman menulis,

“In both these verses, the vast majority of Muslim commentators exercise themselves fruitlessly to avoid having to admit the obvious meaning: that those – from any section of mankind – who believe in God and the Last Day and do good deeds are saved. They either say that by Jews, Christians, and Sabaeans here meant those who have actually become “Muslims” – which interpretation is clearly belied by the fact that “Muslims” constitute only the first of the four groups of “those who believe” – or that they were those good Jews, Christians, and Sabaeans who lived before the advent of the Prophet Muhammad – which is an even worse tour de force.”[27]

Dapat diperhatikan di atas, bagi Rahman, Muslim hanyalah salah satu ummah yang beriman kepada Tuhan, selain daripada Kristian, Yahudi, dan Sabi’un yang menurutnya juga tergolong dalam “mereka yang beriman”. Di sini, Rahman langsung tidak mengendahkan struktur bahasa dalam ayat ini yang mengandungi ungkapan syarat iaitu kalimah man atau “barang sesiapa” daripada penganut mana-mana agama. Maksudnya, jika sesiapa beriman kepada Tuhan maka dia akan dijanjikan keselamatan di akhirat. Ayat ini sama sekali tidak menyifatkan alladhīna ’āmanū atau “mereka yang beriman” sebagai man ’āmana bi-’Llāhi atau “mereka yang beriman”, dan dengan itu menyifatkan alladhīna hādū wa-’l-naṣārā wa-’l-ṣāb’īn atau “mereka yang daripada Yahudi, dan Kristian, dan Sabi’un” sebagai “mereka yang beriman” juga. Sebaliknya, ayat ini mensyaratkan semua orang, termasuk yang telah sedia menjadi Muslim, untuk terus beriman kepada Allah agar kemudiannya dapat dijanjikan balasan baik di akhirat. Ini adalah tafsiran yang diberikan, bukan sahaja oleh para mufassir Sunni seperti Abū Ja‘far Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī, Fakhr al-Dīn Muḥammad bin ‘Umar al-Rāzī, dan Abū al-Khayr ‘Abdullāh bin ‘Umar al-Bayḍāwī,[28] malah oleh mufassir Mu‘tazili iaitu Abū al-Qāsim Maḥmūd bin ‘Umar al-Zamakhsharī.[29] Sehubungan itu, berdasarkan kaedah bahasa Arab melaui adanya syarat ini, adalah betul tafsiran majoriti mufassir yang menyimpulkan dari ayat ini, antara lain, bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta beramal baik, sesungguhnya telah menjadi Muslim, walaupun sebelumnya mereka telah sedia Muslim, ataupun merupakan seorang Kristian, Yahudi, Sabi’un, atau menganuti anutan apa sahaja, termasuk yang sebelumnya mempercayai bahawa tuhan itu tidak ada. Apabila mereka ini memenuhi syarat iman dan amal, maka mereka adalah Muslim sejati, dan dengan itu dijanjikan balasan baik selepas mati.

Selain itu, adalah tidak salah untuk mentafsirkan bahawa Kristian, Yahudi, dan Sabi’un yang disebutkan dalam ayat ini merujuk kepada mereka yang hidup sebelum pengutusan nabi Muhammad. Tafsiran ini, seperti yang dapat dilihat di atas, di tolak mentah-mentah oleh Rahman sebagai teknik pengeksploitasian yang paling buruk. Sedangkan, jika dirujuk kepada sebab diturunkan ayat ini, fahaman ini adalah betul. Menurut al-Ṭabarī, ayat ini diturunkan apabila Salman al-Farisi, yang sebelum menganut Islam merupakan seorang Kristian, bertanya kepada Rasulullah akan nasib kaumnya di Akhirat kelak. Pada mulanya, nabi Muhammad mengatakan bahawa mereka semua akan dimasukkan ke dalam Neraka. Kemudia, turun ayat ini menjelaskan bahawa jika mereka beriman dan beramal, maka mereka juga dijanjikan Syurga. Baginda seterusnya menjelaskan, pengikut nabi Musa adalah selamat sehinggalah diutuskan nabi ‘Isa. Jika mereka menolak nabi ‘Isa, maka mereka adalah orang yang celaka. Begitu juga, pengikut nabi ‘Isa adalah selamat sehingga mereka mendengar tentang nabi Muhammad tetapi memilih untuk menolak baginda, maka mereka juga celaka.[30] Cerita sebab turun ayat ini memberikan gambaran yang jelas bahawa Kristian, Yahudi, dan Sabi’un yang disebutkan adalah merujuk kepada orang yang hidup sebelum pengutusan nabi Muhammad. Tafsiran secara kontekstual ini, yang merujuk kepada konteks penurunan ayat, yang sepatutnya menjadi amalan kontekstualis seperti Fazlur Rahman dan Muslim modenis serta liberal lain, sebaliknya ditolak begitu sahaja. Sedangkan, tafsiran ini mempunyai asas yang kukuh. Tambahan pula, akidah Sunni, seperti yang ada dapat disimpulkan daripada al-Qur’an 17:15, berpegang bahawa Allah tidak akan mengazab sesiapa yang tidak pernah menerima utusan rasul daripadaNya.[31] Orang seperti ini dikenali sebagai ahl al-fatrah atau golongan yang berada dalam tempoh peralihan antara satu rasul dengan rasul yang lain. Oleh itu, tidak salah untuk mempertahankan kemungkinan keselamatan bagi orang Kristian, Yahudi, Sabi’un, dan sesiapa sahaja yang hidup sebelum nabi Muhammad.

Analisis ini menunjukkan ada kekurangan dalam tafsiran baru yang dikemukakan oleh Fazlur Rahman. Beliau mengingkari tatabahasa Arab dan konteks penurunan ayat dalam mengemukakan pendapat yang boleh menyokong idea pluralisme agama. Oleh itu, sejauh ayat ini, dan setakat pandangan Fazlur Rahman ini, tidak dapat dipertahankan adanya akar pluralisme agama dalam al-Qu’an.

Ali ‘Imran (3): 85

Selain itu, ayat al-Qur’an Ali ‘Imran (3): 19 dan 85 juga ditafsirkan semula oleh Muslim liberal untuk mempertahankan keislaman idea pluralisme agama. Abdulaziz Sachedina contohnya, menulis,

“This verse has been interpreted, in both historical and modern commentaries, as restricting salvation to Islam only. But this passage is not incongruous with Koranic pluralism. It simply asserts the Koranic vision of humanity surrendering to God. It certainly signifies the importance of “surrender” (islām)… That the word islām refers to the act of surrender rather than to the name of a specific religion in this verse is corroborated by the fact that two verses preceding K. 3:85 use forms of the verb aslama (“he submitted, surrendered”) in the literal sense rather than in the technical sense as derivatives of the name Islam.”[32]

Di sini, sama seperti Fazlur Rahman, Sachedina mengabaikan tatabahasa Arab demi memasukkan idea pluralisme agama dalam tafsirannya. Nampaknya beliau seperti tidak menyedari bahawa bentuk kalimah Islam dalam ayat ini adalah dalam bentuk kata nama khas iaitu al-islām sebagai ma‘rifah. Islam yang ditegaskan sebagai satu-satunya agama Allah adalah Islam, bukan sembarangan islam yang boleh diertikan dengan sembarangan tunduk, patuh, dan penyerahan. Sementara itu, ketundukan yang disebut dalam ayat 83 adalah perbuatan seluruh alam selain manusia yang memang tidak mempunyai pilihan sama ada untuk tunduk atau ingkar. Dengan itu, perbuatan ketundukan tersebut bukanlah penyerahan khusus dengan tatacara shari‘ah seperti yang diajarkan oleh para nabi kepada seluruh manusia sejak zaman nabi Adam. Sehubungan itu, pandangan Sachedina ini bukanlah pendekatan yang sempurna untuk memahami al-Qur’an.

Al-Ma’idah (5): 48

Ayat al-Qur’an al-Ma’idah (5): 48 juga ditonjolkan oleh Muslim liberal sebagai bukti adanya idea pluralisme agama dalam Islam. Berkenaan ayat ini, Abdulaziz Sachedina menulis,

“Again, the Koran underlines this understanding of the religious practice as given through revelation. According to this view, the truths of revelation in various religions do not stand in contradiction to one another.… This recognition of different communities having their own laws is the Koran’s recognition of the validity of the Jewish and Christian communities, even if the Muslim community remains the “ideal” or “best” community (khayrummatin), the “median” community (ummawasaa).”[33]

Pandangan di atas merujuk kepada suatu bahagian kecil daripada ayat tersebut iaitu li-kulli ja‘al-nā min-kum shir‘ata wa-minhāja atau bahawa “kepada setiap golongan Kami jadikan daripada mereka satu shari‘ah dan satu jalan”. Jika diteliti, bait ini hanyalah suatu pernyataan fakta sejarah. Tidak ada sebarang pengiktirafan bahawa shari‘ah yang pelbagai itu kekal terpakai sampai bila-bila atau arahan untuk berbeza shari‘ah. Sebaliknya, dalam bait sebelumnya, Allah mengarahkan nabi Muhammad agar fa-’ḥkum bayna-hum bi-mā anzala ’Llāh atau menghukum di kalangan seluruh manusia, yang merupakan sasaran dakwah baginda, dengan hukum yang diwahyukan kepada baginda iaitu shari‘ah al-Qur’an.[34] Dengan itu, shari‘ah yang diarahkan kepada semua manusia akhir zaman ini adalah shari‘ah nabi Muhammad, bukan shari‘ah nabi-nabi sebelumnya, biarpun jika terbukti ajaran dahulu itu masih asli. Malah, nabi Muhammad mengatakan bahawa jika nabi Musa hidup sekalipun pada masa ini, baginda akan mengikut shari‘ah terakhir.[35] Oleh itu, kesamarataan shari‘ah seperti sangkaan Muslim pluralis tidak dapat dipertahankan sebagai ajaran Islam.

Isu Nama Allah

Saling bersangkut paut dengan tema pluralisme agama adalah isu nama Allah yang timbul di Malaysia. Walau bagaimanapun, dalam batasan yang ada, kertas ini ingin menyentuh beberapa sahaja perkara. Pertamanya, baik dikenalpasti konteks permasalahan ini. Dalam membahaskan isu kalimah Allah, boleh dikatakan ada dua peringkat perbincangan. Peringkat pertama adalah konteks khusus kes mahkamah di Malaysia iaitu tentang penggunaan kalimah Allah untuk merujuk kepada konsep God the Father. Peringkat kedua merupakan konteks umum iaitu sama ada orang bukan Muslim boleh menggunakan kalimah Allah untuk tujuan-tujuan tertentu seperti menyanyikan “Allah selamatkan Sultan”. Amatlah penting sekali dua konteks ini disedari. Menggunakan sesuatu pandangan yang dihujahkan dalam satu konteks tertentu ke atas masalah konteks lain boleh mengakibatkan kekeliruan. Oleh itu, adalah tidak patut, ketika isunya adalah pada kes yang khusus, ada orang Muslim mengeluarkan kenyataan berhubung konteks umum, tanpa menekankan, bahawa kenyataannya adalah berkenaan konteks umum.

Punca isunya adalah pada kehendak orang Kristian Katolik di Malaysia yang ingin menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan kepada konsep Tuhan Bapa dalam penulisan mereka yang berbahasa Melayu. Di sini, perlu ditekankan bahawa isunya bukanlah pada menterjemahkan perkataan God dalam bahasa Inggeris kepada perkataan Allah dalam bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kitab Bible telah ditulis dalam pelbagai bahasa, bukan sahaja bahasa Inggeris. Sehubungan itu, isunya bukan sekadar mencari perkataan dalam bahasa Melayu yang seerti dengan perkataan God dalam bahasa Inggeris, ‘El dalam bahasa Hebrew, Deus dalam bahasa Latin, Theo dalam bahasa Greek, Gott dalam bahasa German, Dieu dalam bahasa Perancis, atau Dewa dalam bahasa Sanskrit. Apa yang lebih tepat, isunya adalah mencari dalam bahasa Melayu suatu perkataan yang boleh digunakan untuk menamakan Tuhan Bapa.

Baik rasanya ditegaskan, bahawa Gereja Kristian Katolik tidak menyembah tiga tuhan. Konsep ketuhanan dalam Gereja Kristian Katolik mempercayai satu tuhan yang terdiri dari tiga person, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak, dan Roh Kudus. Tuhan yang dikonsepsikan dalam kerangka the Holy Trinity inilah yang ingin dinamakan Allah. Sehubungan itu, tidak betul untuk mendakwa mereka dalam apa bentuk pun mempercayai Allah yang Esa. Jika ingin diterima teori Tawhid Rububiyyah dan Uluhiyyah pun, Gereja Kristian Katolik tidak termasuk dalam golongan muwahhidun pada tahap penciptaan. Sebaliknya, berdasarkan dokumen Gereja Katolik, dalam Second Vatican Council, Dogmatic Constitution on the Church, bab satu: the Mystery of the Church, perenggan kedua, mengisytiharkan bahawa: The eternal Father, by a free and hidden plan of His own wisdom and goodness, created the whole world. Jadi menurut Gereja Kristian Katolik, pencipta alam adalah Tuhan Bapa, bukan Allah yang Esa yang mereka syirikkan dengan nabi ‘Isa. Saling berkaitan, pengikut ajaran Katolik bukanlah mushrikun yang menyekutukan Allah yang Esa dengan nabi ‘Isa yang didakwa sebagai Tuhan Anak. Dogma Gereja Kristian Katolik tidak mempercayai Allah yang Esa dan nabi ‘Isa sebagai dua entiti yang berbeza. Sebaliknya, dari perspektif Islam, secara umumnya, orang Kristian Katolik adalah kafirun yang mendakwa Allah adalah ‘Isa si Tuhan Anak, dengan maksud Tuhan Bapa dan ‘Isa si Tuhan Anak adalah satu, dengan cara Tuhan Bapa menjelma (incarnate) dalam bentuk manusia ‘Isa si Tuhan Anak, melalui Roh Kudus.

Dengan kefahaman ini, maka secara tamsilan, tidaklah salah untuk orang buta memanggil seekor binatang yang hanya diketahuinya melalui belalai sebagai gajah. Bahkan, setiap orang lain yang mengenali gajah mesti mengesahkan pengetahuan si buta tadi. Tetapi jika si buta itu ingin memanggil binatang yang didakwanya mempunyai ketiga-tiga belalai, sayap, dan sirip sebagai gajah, ini amatlah mengelirukan. Elok diberitahu kepadanya bahawa tidak ada binatang yang mempunyai ketiga-tiga belalai, sayap, dan sirip sekaligus, apatah lagi menamakannya gajah. Patut diberitahu selanjutnya bahawa memang ada binatang berbelalai iaitu gajah, dan yang bersayap iaitu burung, dan yang bersirip iaitu ikan. Tetapi ketiga-tiganya adalah binatang yang berlainan. Tetapi, jika dia berkeras bahawa binatang berbelalai, bersayap, dan bersirip itu seekor binatang yang satu, malah berkeras menamakan binatang tersebut gajah, patut diusahakan sesuatu agar kekeliruannya itu tidak turut mengelirukan orang lain. Dalam hal nama Allah, sudah tentu sesiapa sahaja boleh memilih untuk mempercayai apa sahaja. Itu tanggungjawabnya. Tetapi pemerintah Muslim juga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga akidah umat Islam.

Dalam hal ini, patut diteliti bahawa Islam tidak pernah membenarkan, mengiakan, mengiktiraf, mengesahkan, atau mengatakan boleh Tuhan Bapa dinamakan sebagai Allah. Adalah tidak benar dan batil penamaan itu dan bersetuju dengannya. Adalah tidak boleh dan salah perlakuan itu dan bertentangan dengan akidah Islam. Jika masih ada yang membenarkan kesesatan ini, atau berkata boleh kepada kekufuran ini, maka iman orang itu sudah tentu telah luntur. Orang yang tiada iman ini, bukan lagi Muslim. Bagi Muslim, adalah dilarang memaksa orang yang tiada iman untuk memeluk Islam. Semua manusia bertanggungjawab memilih jalan masing-masing. Tetapi Muslim dilarang bersetuju, membenarkan, dan mengatakan boleh terhadap penamaan Tuhan Bapa sebagai Allah. Sebaliknya, Muslim diarahkan untuk menyebarkan seruan bahawa tiada tuhan selain Allah, serta mengatakan bahawa Allah itu Esa.

Perkara kedua, sejauh berkaitan dengan tafsiran al-Qur’an, ada Muslim yang seolah-olah mencari hujah untuk menyatakan bahawa orang Kristian beriman dengan Allah. Contohnya, dalam satu entri blognya, Dzulkefly Ahmad menulis,

“More explicitly of the other Abrahamic religions, the mention of the word Allah is seen in the verse in the Chapter of Hajj (Pilgrimage) verse: 40. Allah says: “Had not Allah Check and Balance the aggression and excesses of one set or group of people by means of another, there would surely have been destruction of monasteries, churches, synagogues, and mosques, in which the name of Allah is commemorated in abundance….” (Hajj, Chapter 22, verse 40). From numerous other verses, it is abundantly clear, argued the ulama of exegesis (tafseer-commentary of Al-Quran) that the name of Allah is not an exclusive right of the Muslims. Al-Qurtubi (1214-1273) an expert in exegesis of the Quran, concluded that in verse 40 above, Allah is not only commemorated in mosques but as well in the others places of worship of the Abrahamic faiths namely Christianity and Judaism.”[36]

Kertas ini menyemak semula tafsiran Abū ‘Abd Allāh Muḥammad bin Aḥmad bin Abī Bakr al-Qurtubī terhadap ayat ini. Walau bagaimanapun, didapati bahawa al-Qurtubī tidak pun mentafsirkan secara mutlak bahawa nama Allah ada dizikirkan termasuk di dalam gereja Kristian atau biara Yahudi. Sebaliknya, al-Qurtubī ada mengemukakan dua pendapat. Pendapat pertama daripada al-Nuḥḥās yang menyatakan bahawa kata ganti dalam ungkapan fī-hā atau “di dalamnya” hanya merujuk kepada masjid sahaja. Ini berdasarkan sebutan masjid yang berada di akhir senarai tempat ibadat yang disenaraikan oleh ayat ini. Bagi al-Nuḥḥās, tafsiran ini bertepatan dengan pemahaman mendalam dalam bahasa Arab. Manakala pendapat kedua daripada al-Qurtubī sendiri yang tidak menolak kemungkinan kata ganti “nya” boleh jadi merujuk kepada semua tempat ibadat yang disebutkan. Akan tetapi, jika pendekatan ini diambil, bagi al-Qurtubī, sudah tentu ia merujuk kepada waqt shara’i‘ him atau pada zaman ketika ibadah zikir ini masih disyara‘kan kepada pengikut nabi-nabi terdahulu.[37] Dengan kata lain, selepas shari‘ah terdahulu dimansuhkan, amalan berzikir dalam tempat-tempat ibadat agama yang tersasar dari jalan Islam ini tidak lagi sah. Sehubungan itu, sejauh berkait dengan ayat ini menurut tafsiran al-Qurtubī, beliau tidakpun mengiktiraf bahawa nama Allah juga ada dizikirkan di dalam gereja.

Dengan itu, dapat dilihat bahawa ada beberapa kekeliruan di kalangan pendokong penamaan selain Allah sebagai Allah. Dapat disimpulkan bahawa yang dinamakan itu bukanlah Allah, tetapi konsep yang tidak diiktiraf oleh Islam. Selain itu, tidak ada pengiktirafan oleh al-Qur’an kepada konsep ketuhanan Kristian.

Penutup

Kertas ini secara ringkas mengemukakan beberapa masalah dalam idea pluralisme agama. Antara lain, adalah tidak boleh dinafikan bahawa idea ini menyamaratakan agama-agama lain dengan Islam. Ini dilakukan dengan beberapa pendekatan, seperti mengiktiraf kemungkinan keselamatan di akhirat sebagai titik temu agama yang pelbagai; atau menganggap semua umat yang menganut agama sebagai penyerah diri kepada Tuhan; atau dakwaan bahawa asal-usul semua agama adalah satu. Walau bagaimanapun, semua dakwaan ini tidak dapat diistinbatkan secara sabit daripada al-Qur’an. Tafsiran baru yang dikemukakan, kelihatannya tersasar daripada kaedah pemahaman teks yang sempurna. Salah faham ini, mengakibatkan timbulnya pelbagai kekeliruan di kalangan umat Islam, termasuklah sehingga mengiakan penamaan tuhan yang dipercayai oleh agama lain sebagai Allah. Oleh itu, gerak kerja menyampaikan ilmu yang benar perlu digiatkan.


[1] Chandra Muzaffar, “What Pluralism Means to Islam”, The Star, 18 June 2006.

[2] Mohamad Hashim Kamali, “Islam’s Religious Pluralism in Context”, New Straits Time, 08 February 2011.

[3] Mahmoud Ayoub, A Muslim View of Christianity: Essays on Dialogue, (ed.) Irfan A. Omar (New York: Orbis Books, 2007), p. 190.

[4] Asghar Ali Engineer, Islam: Challenges in Twenty-First Century (New Delhi: Gyan Publishing House, 2004), p. 243.

[5] Abdulaziz Sachedina, The Islamic Roots of Democratic Pluralism (Oxford: Oxford University Press, 2001), p. 14, 36.

[6] The Oxford English Dictionary (Oxford: Clarendon Press, 1989), vol. 11, p. 1088, entry plural.

[7] The Oxford English Dictionary, vol. 8, p. 112, entry ism; Kamus Dewan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2007), hal. 590, entri -isme.

[8] John Hick, “Religious Pluralism and Islam”, internet: John Hick: The Official Website, http://www.johnhick .org.uk/jsite/index.php?option=com_content&view=article&id=59:relplur&catid=37:articles&Itemid=58, diakses 13 Mac 2011.

[9]  John Hick, Religious Pluralism and Salvation (Kidderminster: Modern Churchpeople’s Union, 1988), p. 2.

[10] Abū Ḥāmid Muḥammad bin Muḥammad al-Ghazālī, Fayṣal al-Tafriqah, in Majmū‘ah Rasā’il al-Imām al-Ghazālī (Bayrūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2006), vol. 3, pp. 75-99, p. 93, 96; Sherman A. Jackson, On the Boundaries of Theological Tolerance in Islam: Abū Ḥāmid al-Ghazālī’s Fayṣal al-Tafriqa Bayna al-Islām wa al-Zandaqa (Oxford: Oxford University Press, 2007), p. 121, 126; Tim Winter, “Pluralism from a Muslim Perspective”, in Norman Solomon, Richard Harries, and Tim Winter (eds.), Abraham’s Children: Jews, Christians and Muslims in Conversation (London: T&T Clark, 2005), pp. 202-211, p.209-210.

[11] Sachedina, The Islamic Roots of Democratic Pluralism, p. 148, note 29.

[12] Wilfred Cantwell Smith, The Meaning and End of Religion: a New Approach to the Religious Tradition of Mankind (New York: Mentor Books, 1964), p. 47-48, and 50; Legenhausen, Islam and Religious Pluralism, p. 13-14.

[13] Mahmoud Mohamed Taha, “The Second Message of Islam”, in Charles Kurzman (ed.), Liberal Islam: a Sourcebook (Oxford: Oxford University Press, 1998), pp. 270-283, p. 273; Muhammad Shahrur, “The Divine Text and Pluralism in Muslim Societies”, in Mehran Kamrava (ed.), The New Voices of Islam: Reforming Politics and Modernity – a Reader (London:I. B. Tauris, 2006), pp. 143-151, p. 148; Budhy Munawar-Rachman, “The Theological Basis of Inter-Religious Brotherhood”, internet: Liberal Islam Network website, http://islamlib.com/en/page.php?page=article&id=361, diakses 21 November 2007.

[14] Al-Qur’an, 2:128, 132, 133; 3:52; 10:72, 84; 12:101; 27:44.

[15] Muḥammad Rashīd Riḍā, Tafsīr al-Manār (Bayrūt: Dār al-Ma‘rifah, 1947), vol. 6, p. 411; ‘Abd al-Jabbār, Critique of Christian Origins, (trans.) Gabriel Said Reynolds, and Samir Khalil Samir (Utah: Brigham Young University Press, 2010), p. 28.

[16] Geza Vermes, The Authentic Gospel of Jesus (London: Penguin Books, 2004), p. 372.

[17] Bart D. Ehrman, Whose Word Is It? The Story Behind Who Changed the New Testament and Why (London: Continuum, 2008), p. 10.

[18] Rashīd Riḍā, Tafsīr al-Manār, vol. 6, p. 416; Aḥmad Shāh Walī Allāh bin ‘Abd al-Raḥīm al-Dihlawī, Ḥujjah Allāh al-Bālighah (Bayrūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2005), vol. 1, p. 169; Shāh Walī Allāh, The Conclusive Argument from God: Shāh Walī Allāh of Delhi’s Ḥujjah Allāh al-Bāligha, (trans.) Marcia K. Hermansen (Islamabad: Islamic Research Institute, International Islamic University Islamabad, 2003), p. 263; Nādiyah Sharīf al-‘Umarī, al-Naskh fī Dirāsāt al-Uṣūliyyīn: Dirāsah Muqāranah (Bayrūt: Mu’assasah al-Risālah, 1985), p. 131.

[19] Kamar Oniah Kamaruzaman, Islam: a Contemporary Comparative Discourse (Selangor: Academy for Civilisational Studies, 2003), p. 4.

[20] Seyyed Hossein Nasr, Sufi Essays (Chicago: ABC International Group, 1999), p. 129-130.

[21] Seyyed Hossein Nasr, “The Word of God: the Bridge Between Him, You, and Us”, in Miroslav Volf, Ghazi bin Muhammad, and Melissa Yarrington (eds.), A Common Word: Muslims and Christians on Loving God and Neighbor (Cambridge: William B. Eerdmans Publishing Company, 2010), pp. 110-117, p. 110; Seyyed Hossein Nasr, Religion and the Order of Nature: the 1994 Cadbury Lectures at the University of Birmingham (Oxford: Oxford University Press, 1996), p. 12; and Nasr, The Essential Seyyed Hossein Nasr, p. 22, and 54; M. Ali Lakhani, ““Fundamentalism”: a Metaphysical Perspective”, in Harry Oldmeadow, The Betrayal of Tradition: Essays on the Spiritual Crisis of Modernity (Indiana: world Wisdom, 2005), pp. 101-105, p. 104.

[22] Seyyed Hossein Nasr, “Islamic-Christian Dialogue: Problems and Obstacles to be Pondered and Overcome”, Islam and Christian-Muslim Relations, vol. 11, no. 2 (July 2000), pp. 213-227, p. 214-216; Seyyed Hossein Nasr, “Comments on a Few Theological Issues in the Islamic-Christian Dialogue”, in (eds.) Yvonne Yazbeck Haddad and Wadi Zaidan Haddad, Christian-Muslim Encounters (Florida: University Press of Florida, 1995), pp. 457-467, p. 458.

[23] Reza Shah-Kazemi, The Other in the Light of the One: the Universality of the Qur’ān and Interfaith Dialogue (Cambridge: The Islamic Text Society, 2006), p. 239-241.

[24] Nurcholish Madjid, The True Face of Islam: Essays on Islam and Modernity in Indonesia (Ciputat: Voice Center Indonesia, 2003), p. 168.

[25] Abdulaziz Sachedina, The Qur’an on Religious Pluralism (Washington: The Center for Muslim-Christian Understanding, Georgetown University, 1999), p. 7.

[26] Abdullahi Ahmed An-Na’im, “Introduction”, in Mahmoud Mohamed Taha, The Second Message of Islam, (trans.) Abdullahi Ahmed An-Na’im (Syracuse: Syracuse University Press, 1987), p. 28, referred by John O. Voll, “Foreword”, in Abdullahi Ahmed An-Na’im, Toward an Islamic Reformation: Civil Liberties, Human Rights, and International Law (Syracuse: Syracuse University Press, 1996), p. xii.

[27] Fazlur Rahman, Major Themes in the Qur’ān (Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, 1999), p. 166.

[28] Abū Ja‘far Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī, Tafsīr al-Ṭabarī: Jāmi‘ al-Bayān ‘an Ta’wīl Āy al-Qur’ān (Jīzah: Dār Hijr, 2001), vol. 2, p. 38; Fakhr al-Dīn Muḥammad bin ‘Umar al-Rāzī, al-Tafsīr al-Kabīr aw Mafātīh al-Ghayb (Bayrūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990), vol. 3, p. 97; Abū al-Khayr ‘Abdullāh bin ‘Umar al-Bayḍāwī, Anwār al-Tanzīl wa-Asrār al-Ta’wīl (Bayrūt: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī, n.d.), vol. 1, p. 85.

[29] Abū al-Qāsim Maḥmūd bin ‘Umar al-Zamakhsharī, al-Kashshāf ‘an Ḥaqā’iq Ghawāmiḍ al-Tanzīl wa-‘Uyūn al-Aqāwīl fī Wujūh al-Ta’wīl (al-Riyāḍ: Maktabah al-‘Abīkān, 1998), vol. 1, p. 277.

[30] Al-Ṭabarī, Tafsīr al-Ṭabarī, vol. 2, p. 44-45.

[31] ‘Abd al-‘Azīz bin ‘Abd al-Salām, Tafsīr al-‘Izz bin ‘Abd al-Salām (Bayrūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2008), vol. 1, p. 352; Muḥammad bin ‘Alī bin Muḥammad al-Shawkānī, Fatḥ al-Qadīr (Bayrūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2003), vol. 1, p. 1038.

[32] Sachedina, The Islamic Roots of Democratic Pluralism, p. 39.

[33] Sachedina, The Islamic Roots of Democratic Pluralism, p. 38.

[34] Al-Ṭabarī, Tafsīr al-Ṭabarī, vol. 8, p. 491; al-Rāzī, al-Tafsīr al-Kabīr, vol. 12, p. 11; and Rashīd Riḍā, Tafsīr al-Manār, vol. 6, p. 412.

[35] Sha‘bān Muḥammad Ismā‘īl, Naẓariyyah al-Naskh fī al-Sharā’i‘ al-Samāwiyyah (al-Qāhirah: Muṭābi‘ al-Dajwā, 1977), p. 63.

[36] Dzulkefly Ahmad, “Could PAS Remain Steadfast”, internet: Dr Dzul’sBlog, http://drdzul.wordpress.com/2010/01/09/could-pas-remain-steadfast/, diakses 22 Julai 2011.

[37] Abū ‘Abd Allāh Muḥammad bin Aḥmad bin Abī Bakr al-Qurtubī, al-Jāmi‘ li-Aḥkām al-Qur’ān: wa Mubayyin li-mā Taḍammanahu min al-Sunnah wa-Āy al-Furqān (Bayrūt: Mu’assasah al-Risālah, 2006), vol. 14, p. 412.

*********

Lain-lain artikel berkaitan Pluralisme Agama dalam blog ini:


Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama – Satu Pengamatan Ringkas

Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal

Pluralisme Agama: Ancaman Terhadap Kemurnian Al-Quran

Mencermati Doktrin dan Ciri-ciri Fahaman Pluralisme Agama

Faham Pluralisme Agama dan Percanggahannya Dengan Akidah dan Syari ‘ah Islamiyah

Pluralisme di Indonesia: Faham dan Amalan

Kenyataan Akhbar: Fahaman Pluralisme Agama

“Seminar Mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara” (SEMAIAN)

Pengumuman awal

“Seminar Mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara” (SEMAIAN)

bersempena Sambutan Nuzul Quran

anjuran PEMBELA & DAMAI

Tarikh: 17 Ogos 2011/ 17 Ramadhan 1432 (Rabu)

Masa: 2.00 petang hingga 7.00 petang

Tempat: Dewan Solat Bawah,

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Luangkan masa anda & sebarkan maklumat ini

Pengumuman lanjut menyusul

MUAFAKAT adalah ahli gabungan PEMBELA

Baca laporan SEMAIAN – Peringkat Negeri Pulau Pinang (klik)

Baca pengumuman awal SEMAIAN – Peringkat Kebangsaan (klik)

Muafakat Menyokong JAIS Memeriksa “Dream Centre” DUMC

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) menyokong tindakan Pasukan Penguatkuasaan JAIS melakukan pemeriksaan ke atas premis Dream Centre yang dimiliki Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos 2011.

Penganjuran “Thanksgiving Dinner” DUMC dengan melibatkan orang-orang Islam pada saat-saat berbuka puasa di bulan mulia Ramadhan menimbulkan pelbagai persoalan dan mendedahkan penganut agama Islam kepada upacara keagamaan bukan Islam di tempat bukan Islam.

MUAFAKAT membantah kenyataan-kenyataan fitnah terhadap JAIS yang kononnya telah berlaku kekerasan dengan ayat-ayat yang digunakan seperti “storm”, “raid” dan “barge” serta tindakan seumpamanya sedangkan pada hakikatnya JAIS telah terlebih dahulu berunding dengan penganjur lebih sejam sebelum melaksanakan tujuan pemeriksaan, iaitu untuk memastikan sama ada terdapat orang Islam di kalangan hadirin majlis tersebut.

MUAFAKAT turut membantah campurtangan politik dalam hal ehwal agama Islam yang dipayungi kuasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Kenyataan apologetik YAB Menteri Besar Selangor amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan.

MUAFAKAT menuntut pihak berkuasa keselamatan untuk menyekat tindakan-tindakan provokasi agama  yang dilakukan oleh bukan Islam secara terancang untuk menghakis kedaulatan Islam sebagai agama negara.

A. Karim Omar
Setiausaha Agung
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 47 other followers