Akidah Islam dan Faham Pluralisme Agama

Kertas ini adalah salah satu dari yang dibentangkan semasa Wacana Fahaman Pluralisme Agama dan Implikasinya Terhadap Masyarakat Islam:

Akidah Islam dan Faham Pluralisme Agama[1]

Dr. Mohd Farid Mohd Shahran

MUKADDIMAH

Agama, bagi seorang Muslim,  bukan sekadar hal berkaitan dengan sudut pandangan (perspective) yang boleh dianggap benar secara nisbi walaupun berbeza dan kadangkala bertentangan antara satu dengan yang lain. Ia juga bukan persoalan selera yang boleh berubah dan boleh dipilih berdasarkan nafsu dan keinginan naluri rendah seseorang insan. Agama adalah urusan kebenaran yang akan menentukan keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia bukan sahaja di dunia tetapi juga di negeri Akhirat yang kekal abadi. Agama adalah neraca yang mutlak mengenai hakikat-hakikat yang asasi dalam kehidupan seseorang Muslim. Sehubungan dengan itu, apa sahaja faham dan aliran yang merendahkan martabat kebenaran agama adalah satu gugatan terhadap hakikat kebenaran Islam. Faham pluralisme agama yang cuba menafikan kebenaran mutlak agama Islam atau paling tidak meletakkan kebenaran Islam sebagai salah satu kebenaran yang nisbi bersama agama-agama lain adalah salah satu contoh dari gugatan tersebut. Kefahaman sebegini mesti ditanggap dengan serius sebelum ia menjadi satu penyakit yang bakal melumpuhkan sistem kepercayaan masyarakat Islam yang telah teguh ditanam sejak sekian lama.

Kertas ringkas ini ingin melihat secara kritis intipati fahaman pluralisme agama dan melihat kedudukannya di sisi akidah Islam.

INTIPATI  FAHAM PLURALISME AGAMA

Pluralisme agama ditakrifkan sebagai “keadaan hidup bersama antara agama yang berbeza-beza dalam satu masyarakat dengan tetap mempertahankan ciri-ciri khusus atau ajaran masing-masing.”[2] John Hick, tokoh yang banyak mencanang faham ini menjelaskan maknanya sebagai “satu kefahaman bahawa agama-agama besar dunia mempunyai pandangan dan gambaran yang berbeza tentang Yang Benar dan Yang Agung dalam tataran budaya manusiawi yang berbeza-beza.”[3] Walaupun penjelmaannya dalam bentuk falsafah atau aliran pemikiran datang dalam bentuk yang pelbagai[4] merangkumi dimensi teologi, ruhaniah dan sosio-politik, intipati umum kepada faham pluralisme agama ini dapat diringkaskan seperti berikut:

  1. Semua agama secara asasnya adalah sama kerana terbit dari sumber yang sama iaitu dari Yang Mutlak (The Absolute, The Ultimate and the Real One). Tujuan akhir kewujudan agama-agama juga ialah untuk menuju dan menyerah diri kepada hakikat yang sama iaitu the Ultimate, the Truth walaupun diungkapkan oleh pelbagai agama yang berbeza dengan nama-nama yang berbeza. Justeru itu kewujudan agama yang pelbagai adalah bentuk-bentuk luahan keimanan dan ketundukan manusia terhadap Hakikat yang satu. Kepelbagaian agama adalah ibarat jari-jari roda yang banyak namun kesemuanya menuju kepada pusat roda yang melambangkan Hakikat yang Kekal. Kepelbagaian agama juga adalah ibarat lampu-lampu yang pelbagai namun hakikat cahayanya adalah sama “The lamps are different, but the Light is the same.” (Ungkapan yang diambil dari kata-kata Jalal al-Din al-Rumi dalam karya agungnya al-Mathnawi.
  2. Setiap agama bersifat nisbi (relative), terbatas dan tidak sempurna dan merupakan satu proses pencarian terhadap kebenaran yang berterusan.[5] Justeru itu, di samping kekurangannya, semua agama adalah jalan yang sah menuju kebenaran. Maka tidak ada agama yang boleh mendakwa mempunyai kebenaran yang lebih benar dan tinggi dari agama lain. Pandangan manusia terhadap agama adalah ibarat sekumpulan buta yang memegang bahagian-bahagian seekor gajah yang berbeza dan menyimpulkan hakikat gajah dari sudut pandangan masing-masing.
  3. Objek pengalaman keagamaan manusia terutama yang berkaitan dengan ketuhanan secara dasarnya terbahagi dua; yang pertama adalah hakikat yang dipanggil yang Kekal (the Eternal One) dan tidak terbatas (infinite) di luar dari jangkauan pengalaman, pemikiran dan bahasa manusia yang terbatas. Yang kedua ialah Tuhan yang di alami oleh manusia berdasarkan pengalaman, pemikiran dan bahasa mereka yang terbatas. Tuhan dalam aspek kedua ini lebih ‘personal’ dan merupakan penterjemahan hakikat yang pertama dalam bentuk yang berbeza-beza berdasarkan budaya, geografi, dan iklim berbeza yang melingkungi manusia.  Dengan meminjam kata-kata ahli teologi Kristian terkenal, St. Thomas Aquinas bahawa “the thing known is in the knower according to the mode of the knower”,[6] maka penganut agama yang berbeza-beza telah mengungkapkan pengetahuan mereka tentang ketuhanan berdasarkan pengalaman dan bentuk pengetahuan mereka yang subjektif. Justeru terdapat perbezaan di kalangan agama-agama dalam menzahirkan pengalaman keagamaan mereka terhadap Hakikat yang Kekal tersebut dengan nama-nama yang berbeza seperti Allah, Jesus, Yahweh, Krishna dan lain-lain.[7]
  4. Dalam pentafsiran yang lebih menekankan dimensi ruhaniah dan transcendent, hakikat agama terbahagi kepada dua aspek iaitu aspek exoteric dan esoteric, zahir dan batin, accident dan subtance, form dan essence. Di peringkat pertama, hakikat agama adalah berbeza dan tidak mempunyai kebenaran yang mutlak, sementara di peringkat kedua iaitu peringkat ruhaniah dan metafizik, kesemua kefahaman agama lebih hampir dan akan bertemu di satu titik kesatuan yang munazzah yang merujuk kepada Tuhan yang Mutlak. Kesatuan agama, dari sudut pandangan ini akan berlaku di peringkat ruhaniah yang tinggi melalui pengalaman kerohanian yang wujud dalam setiap agama.
  5. Doktrin-doktrin agama yang fundamental yang bersifat eksklusif dan hanya membenarkan satu agama sahaja haruslah di dilihat dari sudut majazi (metaphorical) dan harus dita’wil bersesuaian dengan sikap dan sifat pluralisme agama yang inklusif.
  6. Adalah tidak boleh diterima akal sekiranya Tuhan menciptakan begitu ramai manusia tetapi hanya sedikit sahaja yang benar dan yang dimasukkan ke dalam syurga. Ini sama sekali bertentangan dengan prinsip kasih sayang Tuhan.
  7. Pluralisme agama adalah Sunnatullah yang tidak berubah dan tidak boleh diingkari.[8]

LATARBELAKANG DAN SEBAB YANG MENYUMBANG KE ARAH KEMUNCULAN ALIRAN PLURALISME AGAMA

Secara historis, kemunculan faham aliran pluralisme agama in agak baru. Ia bermula sebagai reaksi sekelompok intelektual moden terhadap dakwaan kebenaran mutlak (absolute truth-claims) yang terdapat dalam pelbagai agama besar yang berasaskan landasan akidah dan keselamatan yang mutlak yang hanya wujud dalam agama atau berlandaskan faktor sejarah dengan dakwaan bangsa pilihan (chosen people), tanah yang dijanjikan (promised land) oleh penganut-penganut agama tertentu.[9] Sebahagian dakwaan-dakwaan ini membawa kepada konflik yang berterusan. Sebagai reaksi kepada suasana ini, didokong pula oleh arus sekularisasi dan liberalisasi agama yang menjadi ciri penting zaman moden, timbul kelompok yang liberal dan humanis yang lebih menekankan persoalan sosio-politis berbanding kebenaran agama mencanangkan ide pluralisme agama bagi mengelakkan konflik antara penganut agama berterusan. Jika dilihat konteks wacana pluralisme agama terkini yang ditonjolkan misalnya menerusi agenda dialog antara agama (interfaith dialogues), keprihatinan terhadap faktor sosio-politis ini amat jelas apabila ia dilihat timbul dari keperluan pragmatik kesan dari berlakunya ketegangan antara para penganut agama di dunia sama ada di peringkat dunia atau peringkat setempat. Mauduk-mawduk utama perbahasan pula berkisar sekitar persoalan kebebasan beragama, hak asasi manusia, toleransi, persamaan jantina dan dalam banyak keadaan mengenepikan persoalan kebenaran agama-agama itu sendiri. Muara akhirnya ialah kewujudan satu keadaan yang menyaksikan para penganut pelbagai agama hidup dalam keadaan aman (peaceful co-existence between religious communities).  Perkara ini jelas antara lain apabila dilihat melalui latar kehidupan John Hick, antara pelopor penting aliran ini, yang banyak terpengaruh dengan pengalaman penglibatan beliau dengan kepelbagaian kelompok masyarakat berbilang agama di England yang menyebabkan beliau merasakan keperluan untuk merubah pandangan beliau sendiri terhadap agama Kristian dari aliran yang eksklusif kepada aliran lebih liberal dan pluralis.[10] Beliau berhujah bahawa perubahan atau revolusi pandangan alam teologi Kristian harus dilakukan daripada menganggap hanya agama Kristian sahaja yang benar kepada kepercayaan terhadap kebenaran agama-agama lain seperti mana mereka pernah menerima perubahan  pandangan alam kosmologi dari kerangka Ptolemaic yang menerima bumi sebagai pusat semesta kepada pandanagan Copernican yang menerima matahari sebagai pusat semesta.[11]

Kemunculan faham ini juga amat berkait rapat dengan tradisi dan pengalaman keagamaan Kristian yang sememangnya telah mengalami nasib perubahan yang panjang dalam sejarah keagamaan mereka. Bermula dengan kemelut keaslian Injil, kerancuan pentafsiran kitab suci tersebut, ditambah dengan penyelewengan wibawa agama di kalangan kelompok Gereja dalam pentafsiran doktrin-doktrin agama dan disempurnakan dengan kemunculan kelompok ‘reformis’ dan liberalis yang berjaya mensekularkan agama Kristian, ternyata faham pluralisme agama yang selari dengan proses sekularisasi dan faham perubahan yang berterusan ini lebih mudah diterima oleh masyarakat Kristian.

Dari segi metodologi dan pendekatan ilmiah, walaupun kadangkala dicanangkan oleh ahli-ahli teologi, neraca dan pendekatan yang digunakan oleh kelompok aliran pluralisme agama sebahagian besarnya adalah pendekatan sosiologis yang melihat agama hanya sebagai salah satu variables dalam menilai corak sosial masyarakat. Agama bukan lagi sebagai neraca kebenaran yang mutlak akan tetapi hanya sebagai salah satu sudut pandangan yang bersifat nisbi. Atas nama objektiviti, ahli-ahli teologi ini seolah-olah keluar dari kerangka agama mereka untuk melihat agama ‘dari luar’ sebagaimana yang dilihat oleh golongan sosiologis.

PLURALISME AGAMA DARI SUDUT AKIDAH ISLAM

Sememangnya kalau dilihat dari sudut akidah dan tamadun Islam, faham pluralisme agama adalah amat asing sekali. Sepanjang sejarah, walaupun terdapat aliran-aliran yang dianggap ‘liberal’ dalam tradisi falsafah dan teologi Islam seperti golongan ahli-ahli falsafah dan Mu’tazilah dalam Ilmu Kalam, mereka tidak pernah mengetengahkan pandangan pluralisme agama. Dr. Anis Thoha menyatakan bahawa dalam kajiannya istilah al-ta’addudiyyah yang melambangkan pluralisme agama tidak dikenali secara popular dan tidak banyak dipakai di kalangan ilmuwan Islam kecuali sejak lebih kurang dua dekad terakhir abad ke 20 yang lalu.[12]

Ini tidak bermakna sepanjang sejarahnya Islam tidak mengiktiraf keperluan untuk umat Islam hidup dalam keadaan aman bersama dengan penganut agama-agama lain. Adalah penting untuk kita membezakan antara pluralisme agama sebagai satu faham falsafah (seperti yang sedang kita bicarakan) yang mengandaikan kebenaran nisbi semua agama dengan seperkara lain iaiatu suasana kehidupan antara pelbagai agama (yang secara teknikal di sebut religious plurality) yang mengisbatkan kewujudan pelbagai agama yang penganutnya hidup secara bersama dalam daerah yang sama. Kekeliruan dalam membezakan antara kedua-dua perkara ini dan kadangkala menyebabkan seseorang mencampuradukkan dalam menghujahkan keperluan pluralisme agama.  Islam sama sekali tidak pernah menolak aspek kedua iaitu hakikat kewujudan pelbagai agama dan hak untuk penganut agama-agama selain Islam untuk mempercayai agama mereka. Dalam banyak ayat al-Qur’an Islam mengiktiraf kewujudan agama-agama kepelbagaian agama seperti yang terakam dalam Surah al-Kafirun dan ayat al-Qur’an al-Hujurat:13. Akan tetapi Islam sebaliknya tidak menerima kebenaran relatif semua agama seperti yang dianjurkan oleh aliran pluralisme agama atau anggapan bahawa Islam, seperti agama-agama lain hanya mempunyai separuh dari kebenaran (partial truth). Ini kerana faham kebenaran relatif atau spara-kebenaran ini mengandaikan bahawa agama-agama ini tidak sempurna dan masih dalam proses kemenjadian (becoming) atau kematangan (maturization) sebagaimana yang dianjurkan oleh sebahagian ahli teologi Kristian terhadap agama Kristian.[13]

Kesempurnaan Islam Sejak Asal Tanzilan

Faham bahawa kesemua agama adalah tidak sempurna dan masih dalam proses pencarian, kemenjadian dan kematangan adalah sama sekali tidak selari dengan hakikat agama Islam. Islam, seperti yang dihujahkan oleh prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, memang sejak awal merupakan agama yang sempurna sejak mula tanzilannya dan tidak memerlukan usaha pembangunan, kematangan atau evolusi di pentas sejarah sebagaimana yang terjadi dalam tradisi agama lain.[14] Hakikat kesempurnaan ini tergambar jelas dalam ayat al-Qur’an Surah al-Maidah: 3, bahawa “pada hari telah Kusempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredai Islam itu menjadi agama bagimu.” Segala-galanya dari aspek sistem kepercayaan, amalan dan peribadatan dan sistem nilai dan akhlak telah disempurnakan sejak awal dalam bentuk yang mutlak tanpa memerlukan revision atau tambahan. Malah nama agama Islam sendiri telah sempurna diberikan sejak awal oleh Tuhan melalui tanzilannya dan tidak memerlukan pertukaran sebagaimana yang cuba dipaksakan oleh sebahagian Orientalis.[15] Kebenaran yang terdapat dalam agama yang bernama ‘al-Islam’ ini juga merupakan pengisbatan melalui kata-kata Tuhan sendiri melalui tanzilannya dan bukan diungkap dan direka oleh ahli-ahli teologi Islam.

Agama, dalam Islam menayangkan hakikat kebenaran secara menyeluruh dan mutlak, meliputi semua aspek kehidupan samaada ruhaniah dan jasmaniah, akli dan amali, alam ghaib dan alam shahadah, justeru ia bukan sisi pandang dari pengalaman subjektif manusiawi. Berasaskan wahyu yang mutlak, kebenaran agama juga bersifat mutlak secara hakiki dan tetap tanpa menerima perubahan. Ia datang dari sumber yang mutlak, dari Tuhan yang Kekal, maka ia nilai-nilai yang dibawa juga kekal tanpa perubahan.

Tauhid sebagai Asas kebenaran Islam

Islam melalui akidahnya meletakkan asas tauhid sebagai dasar kebenaran agama. Ini jelas melalui ketegasan al-Qur’an menentang keshirikan orang-orang kafir dan penetapan al-Qur’an tentang besarnya dosa shirik berbanding dengan dosa-dosa yang lain. Ayat-ayat mengenai tauhid dalam al-Qur’an juga merupakan ayat-ayat yang muhkamat, menggunakan nas yang jelas maknanya dan tidak terbuka kepada ta’wil dan pentafsiran yang subjektif. Hakikat tauhid, menurut penjelasan al-Qur’an, bukan sekadar menekankan keesaan Allah tanpa berbilang, tetapi juga penegasan bahawa Allah adalah Zat yang tidak menyerupai segala sesuatu, di luar jangkauan inderawi insani dan Zat penuh dengan sifat-sifat kesempurnaan dan kekuasaan.  Faham tauhid sebeginilah yang menjadi asas kepada kebenaran agama Islam. Oleh kerana itulah keseluruhan para Rasul dihantar dengan risalah yang sama iaitu untuk mengisbatkan tentang keesaan Allah dan mengajak manusia semua untuk tunduk menghambakan diri kepada Allah dengan tulus. (al-Anbiya’:25). Maka, seluruh kelompok manusia yang menyahut seruan tauhid dan mengikuti saranan yang di bawa oleh para pesuruh Allah semenjak dari permulaan kejadian manusia adalah termasuk dalam kelompok agama yang benar. Dari segi itu, konsep kebenaran agama dalam Islam juga bersifat inklusif namun mempunyai asas dan hadnya yang jelas iaitu sejauh mana ia menuruti risalah tauhid yang perintahkan sendiri oleh Allah.

Oleh yang demikian, adalah amat sukar sekali, berdasarkan prinsip ini untuk kita menerima kebenaran agama-agama lain terutama yang secara jelas bertentangan dengan neraca tauhid yang telah diberikan oleh Islam secara jelas. Bukan juga termasuk dalam hak orang-orang Islam untuk merubah prinsip dan had yang telah ditetapkan ini walaupun atas alasan-alasan yang sosio-politik yang praktikal dan pragmatik. Segala keperluan kemasyarakatan dan siyasah mestilah diselesaikan di dalam lingkungan prinsip dan had tauhid. Islam tidak memerlukan Copernican Revolution dalam akidah seperti yang dianjur oleh John Hick untuk menyelesaikan persoalan umat kerana prinsip-prinsip yang mendasari agama ini adalah prinsip yang mutlak dan tidak berubah.

Pluralisme Agama Satu Bentuk Kekeliruan Ilmu (Sufasta’iyyah)

Disebabkan Islam merupakan agama yang berasaskan kepercayaan dan ilmu yang yakin sebagaimana yang dihuraikan dalam disiplin akidah, faham pluralisme agama yang menganjurkan kebenaran yang nisbi adalah sesuatu yang bertentangan dengan akidah Islam. Ia termasuk bentuk kekeliruan ilmu atau sufasta’iyyah (sophism) yang ditolak oleh akidah Islam. Para mutakallimun sejak awal telah mengenalpasti bahaya faham kenisbian ini yang bakal menghancurkan kebenaran ilmu pengetahuan dengan menamakan mereka sebagai golongan ‘al-‘indiyyah[16] iaitu golongan yang menerima kebenaran yang pelbagai berdasarkan sudut pandangan yang berbeza dan kadangkala bertentangan.[17] Pendekatan epistemologi ini akan menafikan wujudnya kebenaran yang objektif dan mutlak yang boleh diterima oleh semua sepertimana yang dibawa oleh akidah Islam. Berlawanan dengan pendekatan ini, akidah Islam, seperti yang dihuraikan oleh Imam al-Nasafi mengisbatkan kemampuan manusia untuk mencapai ilmu dan hakikat yang benar bertentangan dengan pandangan nisbi golongan sufasta’iyyah.[18] Dalam menghuraikan penegasan Imam al-Nasafi ini, Prof. al-Attas menjelaskan bahawa “penyangkalan terhadap kemungkinan dan objektiviti ilmu pengetahuan akan mengakibatkan hancurnya dasar yang tidak hanya menjadi akar bagi agama, tetapi juga bagi semua jenis sains.”[19]

Sekiranya kita menerima faham pluralisme agama, ia bukan sahaja bertentangan dengan prinsip akidah Islam, malah juga bertentangan dengan prinsip akal yang sihat. Ini kerana akal tidak boleh menerima dua hakikat yang sama-sama benar akan tetapi saling bertentangan untuk wujud di satu masa. Ini bertentangan dengan prinsip asas dalam logik iaitu the principle of non-contradiction. Mana mungkin kefahaman tentang Tuhan yang Maha Esa sama benar dengan faham ketuhanan yang pelbagai? Mana mungkin kepercayaan bahawa Nabi Isa tidak disalib sama benar dengan kepercayaan Nabi Isa wafat di pengsaliban, bangun semula dan menjadi sebahagian dari ketuhanan? Mana mungkin kepercayaan Tuhan yang tidak menyamai segala sesuatu adalah sama benar dengan kepercayaan bahawa Tuhan yang bersatu dengan makhluk dan menyerupai sebahagian besar makhluk yang diciptanya sendiri? Kefahaman begini hanya dipegang sama ada oleh seseorang yang menerima kenisbian hakikat (relative truth) yang menolak kebenaran yang mutlak, satu faham yang ditolak oleh Islam, atau mereka yang mempercayai bahawa faham keagamaan hanyalah khayalan manusia yang serba subjektif dan tidak benar, atau oleh mereka yang atheist yang langsung tidak menerima kewujudan Tuhan, lantaran itu melihat kepelbagai agama sebagai manifestasi rasa takut manusia kepada ‘alam ghaib’ ciptaan akal mereka. Atau mereka yang percaya kepada twofold truth untuk menjustifikasi fahaman gereja yang banyak bertentangan dengan pandangan akal dan pengalaman inderawi manusia. Kesemua ini ternyata bertentangan dengan ajaran Islam yang menegaskan kebenaran mutlak yang satu dan tiada pertentangan antara kebenaran akal dan wahyu.  Ironisnya, bagaimana faham yang tidak serasi dengan prinsip akal yang sihat dipelopori oleh ilmuwan dan intelektual dari tamadun yang amat mengagungkan akal?

Seperkara yang menarik untuk diketengahkan ialah dalam Akidah Islam dan juga penjelmaannya dalam sejarah dan tamadun Islam, berbanding dalam tradisi agama lain, tidak berlaku pertentangan antara prinsip-prinsip yang diketengahkan oleh akidah Islam dengan prinsip-prinsip akal. Al-Qur’an sendiri banyak menegaskan kepentingan akal melalui ayat-ayat yang mencela mereka yang tidak menggunakan akal.  Al-Qur’an juga menggunakan dalil-dalil akli dalam berhujah dengan kafir dan juga mencabar orang-orang kafir dengan meminta dalil (burhan) bagi membuktikan kebenaran pegangan mereka.[20] Justeru itu ulama-ulama akidah tidak teragak-agak untuk menyokong prinsip-prinsip akidah yang datang dalam al-Qur’an dengan hujah-hujah akliyah.

Islam dan Hubungan Antara Agama

Kepercayaan mutlak terhadap kebenaran umat Islam bukan bermakna Islam tidak memberi ruang kepada toleransi terhadap agama lain. Surah al-Kafirun merupakan antara surah yang definitif meletakkan sikap dan cara masyarakat Islam untuk berinteraksi dengan penganut agama lain. Ayat-ayat dalam surah tersebut di samping mengiktiraf kewujudan agama lain (lakum dinukum wa liya din) juga dengan tegas dan berulang menggariskan secara definitif perbezaan antara apa yang disembah oleh Rasulullah dan orang Islam dan apa yang disembah oleh orang-orang Kafir. Maka dalam persoalan akidah, prinsip yang harus melandasi hubungan antara agama islam dan agama lain ialah prinsip perbezaan dan bukannya persamaan. Justeru itu, bagi mengelakkan permasalahan dalam hubungan tersebut ialah pengiktirafan dan berlapang dada kepada perbezaan-perbezaan yang wujud dan bekerjasama pada perkara-perkara yang ada persamaan. Inilah bentuk kebebasan beragama yang dianjurkan oleh Islam dan sikap tasamuh yang ditanamkan kepada umat Islam terhadap masyarakat lain.

Di samping bersikap tegas dengan kebenaran dan perbezaan teologis antara agama Islam dengan agama lain, Islam juga sama sekali tidak memaksa kebenarannya kepada penganut agama lain. Pendekatan yang dianjurkan oleh Islam untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada masyarakat bukan Islam adalah melalui dakwah dan bukan paksaan. Dalam ruanglingkup tersebut, al-Qur’an menyarankan tiga bentuk dakwah iaitu dengan kebijaksanaan (al-hikmah), nasihat yang baik (maw’izah hasanah) dan perdebatan yang baik (mujadalah hasanah).

Zahir dan Batin Agama

Mengenai dakwaan golongan pluralisme agama bahawa perbezaan agama hanya berlaku di peringkat zahir (exoteric) sahaja perlu ditegaskan bahawa Islam merupakan agama yang menggabungkan antara dimensi zahir dan batin agama. Oleh kerana itulah aspek ibadat yang menekankan amalan, walaupun dari segi keutamaan, berada selepas aspek akidah yang mewakili keimanan, namun ia tetap penting dan menjadi sebahagian dari rukun agama.  Islam juga menekankan tentang amalan yang benar sebagai pembuktian keimanan kepada Tuhan. Aspek amalan adalah sebahagian dari agama dan menjadi prasyarat kebenaran agama. Aspek amalan ini juga dijelaskan oleh agama dengan lengkap melalui pengutusan Rasul.

Adalah satu yang ganjil sekiranya kesatuan dan kebenaran agama yang mutlak hanya berlaku di peringkat ruhaniah dan metafizik sahaja sedangkan tujuan agama ialah untuk dilaksanakan di dalam kehidupan dunia yang meliputi zahir dan batin. Pandangan begini hanya akan menafikan kebenaran aspek lahiriyah agama Islam seperti peribadatan dan shari’ah sedangkan kesemua ini merupakan sebahagian dari tanzilan dari Tuhan dan  merupakan bahagian utama dari struktur agama itu sendiri. Sehubungan dengan ini, perlu ditegaskan bahawa istilah ‘Islam’ walaupun secara harfi bermaksud ‘penyerahan diri’ namun bentuk penyerahan itu juga dijelaskan oleh agama melalui sistem peribadatan yang diturunkan oleh wahyu dan dijelaskan oleh para Rasul, bukan dengan cara-cara yang mengikut pemikiran subjektif manusia dan yang lebih buruk, mengikuti hawa nafsu manusia semata-mata.

PENUTUP

Tanpa menafikan bahawa terdapat keperluan untuk penganut setiap agama mengurangkan ketegangan yang berlaku disebabkan salah faham dan sikap ekstrem sekelompok kecil masyarakat, pendekatan dialog antara agama terutamanya yang diwarnai dengan faham pluralisme agama harus ditanggap secara berhati-hati oleh umat Islam. Yang paling penting dalam memahami faham pluralisme agama ialah persoalan dimana kita bermula. Dalam Islam, kita perlu bermula dari kebenaran agama kemudiannya barulah disesuaikan dengan keperluan sosial dan siyasah. Kita juga tidak harus terlalu cepat untuk mengambil pengalaman sejarah agama lain untuk disesuaikan dengan agama Islam apabila kita tidak berkongsi sejarah yang sama dan dan agama Islam sendiri mempunyai perbezaan yang mendasar dengan agama tersebut.


[1] Dibentangkan dalam Wacana Fahaman Pluralisme Agama dan Implikasinya Terhadap Masyarakat Islam, anjuran Muafakat, Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dan JAIS pada 1 hb Mei 2010 bertempat Kuliyyah Ekonomi, UIAM.

[2] Anis Malik Thoha, Trend Pluralisme Agama: Tinjauan Kritis (Jakarta:Gema Insani, 2005),14.

[3] Ibid.,15.

[4] Anis Thoha misalnya membahagikan bentuk aliran (trend) pluralisme agama kepada empat iaitu Humanisme Sekular, Teologi Global (Global Theology), Sinkretisme dan Hikmah Abadi (Perennial Philosophy), ibid.,51-121.

[5] Adian Husaini, Pluralisme Agama: Musuh Agama-Agama (Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia: 2010), 4.

[6] John Hick, God Has Many Names (Philadelphia: The Westminster Press, 1982), 24.

[7] Ibid., 24-56.

[8] Adian Husaini, 6.

[9] Anis Thoha, 24-40.

[10] Lihat huraian pengalaman beliau dan juga pandangan teologi beliau dalam karya-karyanya seperti The Rainbow of Faiths (London: SCM Press Ltd, 1995); God Has Many Names (Philadelphia: The Westminster Press, 1982); Problems of Religious Pluralism (London: Macmillan Press Ltd., 1985); Dialogues in the Philosophy of Religion (New York: Palgrave, 2001)

[11] John Hick, 33.

[12] Anis Thoha, 180.

[13] Lihat huraian mendalam tentang kemelut sekularisasi dalam agama Kristian dalam Syed Muhammad naquib al-Attas, Islam and Secularism (Kuala Lumpur:ISTAC,1993), 1-49.

[14] Ibid., 26-27.

[15] Sebahagian Orientalis misalnya ingin menamakan Islam sebagai the Mohemmadan Religion dan orang islam sebagai the Mohammedans. Ini ternyata ditolak oleh orang-orang Islam.

[16] Yang bermaksud “menurut saya..”

[17] Lihat huraian lanjut tentang tiga bentuk sufasta’iyyah dalam Wan Mohd Nor Wan Daud, Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas: Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi (Kuala lumpur: Universiti Malaya, 2005)

[18] Ibid.

[19] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the ‘Aqa’id al-Nasafi, dipetik dalam Ibid., 68.

[20] Lihat lebih lanjut huraian mengenai kedudukan akal dalam Islam dalam Mohd Farid Mohd Shahran, ‘Akal dan Kedudukannya dalam Islam’, dalam Isu-Isu Dalam Pemikiran Islam (Kuala Lumpur ABIM, 2008).

About these ads

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 52 other followers

%d bloggers like this: