Osman Bakar: Bangkitkan Kembali Epistemologi Islam

petikan dari Harakahdaily

Mutakhir ini, wacana epistemologi Islam mula mendapat sorotan. Sama ada kita menyedari atau tidak, merasakan atau tidak, tapi perlahan-lahan, buku, institusi serta gerakan penyelidikan mengenai epistemologi Islam kian bercambah. Namun, tampaknya denyut keghairahan ini seperti terabai — terutamanya dalam kalangan Muslim di Malaysia — sehingga tidak melihat peri-pentingnya peranan epistemologi dalam kehidupan beragama. Maka, atas hasrat untuk menanam kefahaman inilah yang mempertemukan kita dengan Prof Emiritus Datuk Osman Bakar, timbalan ketua pegawai eksekutif, Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa, (International Institute of Advanced Islamic Studies), Malaysia (IAIS). Bersama AQIL FITHRI — zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, Nippon Foundation, Jepun — maka, murid dekat Seyyed Hossein Nasr ini sempat ditemuramah sewaktu kunjungannya ke Pusat Kajian dan Maklumat Falsafah Islam atau Center for Islamic Philosophical Studies and Information (CIPSI), Jakarta baru-baru ini.

Aqil Fithri: Kita tahu, tidak semua yang kuno adalah kuno. Sebab itu, dewasa ini wacana klasik tentang ilmu hushuli dan ilmu hudhuri mulai diangkat dalam wacana Islam, khususnya wacana falsafah Islam. Difahamkan pembahagian ini — ilmu hushuli dan ilmu hudhduri — ini dibuat oleh Suhrawardi. Kebetulan, anda pula pernah menulis buku The Classification of Knowledge in Islam. Justeru, buat pengenalan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini?

Osman Bakar: Dalam tradisi Islam, terdapat beberapa pengelasan ilmu. Tentunya ada persoalan, mengapa terdapat beberapa sistem pengelasan ini? Ini kerana, ada perspektif yang mendorong kita melakukan pengelasan tersebut. Sebagai contoh, ada pembahagian ilmu antara fardu ain dan fardu kifayah. Ini juga sebenarnya adalah satu contoh pembahagian. Walau bagaimanapun, itu bukan bermakna hanya terdapat satu pembahagian saja dalam pengelasan ilmu-ilmu Islam. Sebaliknya, setiap pembahagian dilakukan kerana ada asasnya, serta ada juga kegunaannya yang penting bagi masyarakat. Jadi, pembahagian ilmu hushuli dan ilmu hudhuri ini adalah termasuk dalam satu contoh pembahagian ilmu yang terdapat dalam Islam.

Namun, pembahagian ini dibuat lantaran ada perbezaan kaedah, iaitu merujuk kepada pemerolehan sumber ilmu. Perlu diketahui, pembahagian ini — ilmu hushuli dan ilmu hudhuri — sebenarnya sudah terdapat dalam tulisan al-Ghazali lagi, iaitu sebelum Suhrawardi al-Maqtul. Yang dimaksudkan dengan ilmu hushuli ini adalah, ilmu yang manusia peroleh dengan kognitifnya, dengan daya usahanya, sama ada dengan menggunakan pancaindera atau dengan akalnya (acquired knowledge). Manakala ilmu hudhuri, itu merujuk kepada ilmu yang berdasarkan pengalaman keruhanian manusia, yang mana ini berasaskan kepada penerimaan langsung dari Tuhan (presential knowledge). Jadi, ilmu hudhuri ini sudah tentu ada kaitan dengan perkataan, “hadhir,” “hadhrah,” “hudhur,” yang mana kata-kata ini dari akar yang sama—yang semuanya mengusung makna kehadhiran Ilahi. Dalam kata lain, ini juga semacam ilmu laduni, iaitu datang dari sisi Tuhan.

Sungguhpun demikian, perlu ditegaskan, bahawa ilmu ini bukan hanya untuk para Nabi saja, tapi juga termasuk untuk manusia-manusia seperti awlia, ulama, ilmuan, hukamak, dan lain-lain, yang Tuhan mahu anugerahkan keistimewaan pada manusia-manusia pilihannya. Sebab itu, ilmu ini dikaitkan dengan pengalaman keruhaian (spiritual life) yang dicapai oleh individu tertentu. Jadi, memang berbeza dengan ilmu hushuli, iaitu ilmu yang dikaitkan dengan pancaindera dan rasional yang sarat dengan nalar dan logik. Maka, ilmu hudhuri lebih khusus, lebih istimewa, lebih terpilih, yang mana ini disebut oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, “walaupun semua ilmu itu berasal dari Tuhan, tapi terdapat banyak cara untuk ilmu tersebut sampai kepada manusia.” Salah-satu daripadanya adalah ilham/inspirasi/intuisi. Inilah kaedah untuk memperoleh ilmu hudhuri. Namun, perlu diingat juga, ilham itu ada pelbagai peringkat, dan ilham inilah yang akhirnya membuahkan ilmu hudhuri.

Namun, bagaimana pula kita dapat menentukan, atau mengelaskan, tingkat-tingkat yang terdapat dalam ilmu hudhuri ini?

Penentuan tingkat ini adalah berdasarkan keakrabannya dengan sumbernya. Jika kita bermula dari atas, maka sumber yang tertinggi, ialah Tuhan. Kemudian, ada ilmu yang datang dari sisi Tuhan, yang dikurniakan kepada manusia-manusia terpilih, selain dari para Nabi. Jadi, kita boleh letakkan ilmu wahyu itu sebagai contoh ilmu hudhuri, tapi hanya khusus untuk para para Nabi saja. Kemudian, ilham boleh saja dianugerahkan pada manusia-manusia terpilih. Tapi, harus diperhatikan bahawa sebuah ilmu itu bukan saja merujuk kepada caranya sampai pada manusia, tapi juga merujuk kepada mauduk (objek/bahan yang disampaikan).

Jadi, di sini, bukan saja tingkat ilham, tapi juga tingkat objek yang dikaji oleh ilmu tersebut. Persoalan tentang adakah objek tersebut merujuk pada alam rendah, atau alam sederhana, atau alam tinggi, itu semua adalah bergantung pada tingkat alam. Sebab itu, dalam buku The Classification of Knowledge in Islam itu ada tiga pengelasan, iaitu berasaskan ontologi (berhubung dengan martabat maujud yang dikaji), kaedah, dan etika. Jadi, hakikatnya, martabat yang tertinggi adalah apabila Tuhan menjadi objek kajian.

Disebut bahawa ilmu hudhuri itu adalah bernuasakan kata “hadir.” Maknanya, pengalaman peribadi dalam kehadiran Tuhan. Namun persoalannya, apakah pengalaman peribadi ini dapat diluaskan sebagai sebuah ilmu universal, tidak hanya untuk peribadi saja?

Ya, memang! Ilham itu berdasarkan kepada ajaran al-Quran, dan hadith-hadith, yang memang dengann jelas menunjukkan ilham itu adalah sebuah fenomena universal. Maknanya, yang berpeluang untuk mengalami itu bukan hanya muslim, tapi juga seluruh anak Adam. Walau bagaimanapun, kekerapan penerimaannya adalah bergantung kepada pengalaman keruhaniannya, dan juga tahap intelektualnya, serta sukatan ilmunya. Islam percaya bahawa pengalaman ilham ini boleh disuburkan, atau dikerapkan, melalui sebuah cara hidup yang dianjurkan dalam keruhanian Islam. Jadi, kita boleh menyemarakkan pengalaman ilham ini, dan ternyata ilmu ini adalah universal.

Mithalnya, kita tahu bahawa dalam sejarah sains moden terdapat saintis bukan Muslim yang menemui ilmu baru dari ilham. Maknanya, ada alam ideal yang terbuka pada semua manusia. Terbukti, bahawa Tuhan tidak bataskan ilham ini pada Muslim saja. Kalau berbalik pada ilmu hudhuri itu, memang dari tingkat tertinggi, iaitu wahyu, adalah tidak khusus. Wahyu hanya untuk para Nabi saja. Namun, pada tingkat yang lebih bawah — ilmu atau hikmah yang berdasarkan kepada pengalaman keruhanian, serta pencapaian intelektual — ini terbuka, dan boleh diterima oleh bukan Muslim.

Tapi, persoalannya, bagaimana kita dapat menerangkan bahawa sesuatu ilmu dapat juga diperoleh bukan hanya melalui pancaindera dan akal?

Tentu sekali mereka yang menerima ilmu di luar pancaindera dan akal ini dapat mengetahui. Bahkan, kita juga dapat mengesahkan dakwaan tersebut dengan menguji kebenaran ilmu itu — sama ada berdasarkan logik, atau sebarang kaedah yang terima dalam epistemologi. Tapi, prinsipnya tetap sama, iaitu apa saja ilmu yang dihebahkan, oleh sesiapa saja, maka kita boleh buat pengesahan. Ini seperti juga ilmu empirikal. Jika ada seorang saintis menemui sebatian, atau formula, maka kita akhirnya boleh uji penemuan tersebut.

Begitu juga dengan ilmu hudhuri. Tapi, harus diingat, hanya mereka yang berkelayakan saja boleh menguji ilmu-ilmu tersebut. Tidak perlu kita takut pada kata “kelayakan” ini. Sebab, untuk penemuan ilmu empirikal, memang terdapat ramai yang dapat mengesahkannya. Sebaliknya, ilmu yang berdasarkan pengalaman kerohanian, barangkali adalah lebih sedikit. Sebab, kelayakan ini adalah sesuatu yang normal, sekalipun pada ilmu empirikal. Misalnya kalau kajian tentang bunyian, sudah mereka yang pekak tidak boleh mengambil bahagian. Kalau kita nak buat kajian tentang warna, sudah tentu mereka yang buta tidak boleh ambil bahagian. Jadi, ada kelayakan untuk mereka yang mahu membuat pengesahan ilmu ini.

Demikian juga al-Quran mendakwa bahawa solat itu dapat mencegah kemungkaran. Itu dakwaan al-Quran. Tapi, bagaimana untuk kita mengesahkannya? Maka, kita kumpul ambil data dari mereka yang telah melakukan solat. Namun kita perhatikan tetap mereka yang solat juga melakukan kemungkaran. Maka, kita perlu semak pula apakah solat itu telah dilakukan dengan syarat-syaratnya, dengan kehadhiran rohaninya, dengan sepenuh hatinya. Jadi jelas, prinsipnya tetap sama untuk ilmu hushuli mahupun ilmu hudhuri. Hanya jumlah individu yang melibatkan diri dalam membuat pengesahan saja yang terbatas.

Jadi, nampaknya ilmu wahyu boleh disahkan melalui data-data emperikal?

Ilmu wahyu hanya boleh disahkan pada peringkat rasional. Kita himbau balik, al-Quran yang turun pada kurun ke-7, itu membentangkan beberapa fenomena alam, dan hari ini kita sudah saksikan pengesahan tersebut melalui sains. Pada kurun ke-7 itu, memang tidak ada yang mampu untuk mengesahkan. Mereka terima saja ayat tersebut atas nama keimanan. Urusan pengesahan kemudian.

Atau, mungkinkah kita juga boleh katakan bahawa ilmu hudhuri juga adalah sebuah rasional yang tidak terungkap?

Sebenarnya, soalan ini adalah menyentuh mengenai peranan bahasa dalam mengungkapkan kebenaran. Sebab, bahasa ada batasannya dalam mengungkapkan kebenaran — saatnya bersangkutan dengan fenomena yang dikaji. Ilmu hushuli adalah mengkaji fenomena yang fizikal. Jadi, bahasa lebih mampu untuk mengungkapkan kebenaran alam kerana itu juga adalah pengalaman bahasa kita seharian (alam fizikal). Sementara, ilmu hudhuri pula merujuk kepada keruhanian. Jadi, bila kita mahu mengungkapkan realiti kerohanian, maka penggunaan bahasa seharian memang ada batasannya. Sebab itu, ada bahasa tanda. Ini semacam juga al-Quran, jika mahu menceritakan mengenai alam keruhanian, disampaikan dalam bahasa perumpamaan… masalu, masalu, masalu.

Tapi, ada persoalan menarik hubungan antara ilmu hudhuri dengan kosmologi. Dikatakan, soal mikrokosmos ini mendapat sorotan besar dari Saidina Ali Abi Talib, terutamanya saat disemak dari buku kumpulan pemikirannya, Nahjul Balaghah. Apakah ini benar?

Mikrokosmos itu adalah prinsip penting yang digunakan dalam banyak ilmu, termasuklah dalam ilmu kosmologi, dalam ilmu psikologi, dalam ilmu sains politik, dalam ilmu kimia, malah betapa banyaknya lagi ranting-ranting ilmu yang menerapkan prinsip mikrokosmos dalam sejarah ilmu Islam. Sebagai contoh, persoalan hikmah itu sebenarnya sangat dekat dengan persoalan mikrokosmos. Ini juga adalah antara ilmu hudhuri sepeti yang kita bicarakan itu. Dalam sejarah, idea alam as-Saghir itu ditemui oleh Saidina Ali Abi Talib, yang mendapat idea itu menerusi himpunan data wahyu, serta kemudian menggunakan akal kullinya, atau kuasa inteleknya, atau kecerahan sukmanya, untuk menafsirkan data-data tersebut. Itu memang sumbangan intelektual terbesarnya.

Kita boleh memahami hal ini kerana banyak ayat al-Quran yang mengungkapkan mengenai penciptaan manusia. Memang, dalam sesetengah ayat, hanya menyentuh sebahagian unsur-unsur manusia saja. Tapi, dalam ayat-ayat lain, turut disentuh unsur-unsur yang lain pula. Justeru, kalau kita mahu mendapat gambaran menyeluruh tentang manusia, maka kita kena kumpulkan semua ayat yang berkaitan dengan penciptaan manusia, sebelum melakukan sebuah “renungan akal.” Lalu, pada kesimpulannya, kita akan berkata, “setiap hal yang ada di luar diri kita, maka sebenarnya turut ada di dalam diri kita.” Itulah idea mikrokosmos, iaitu alam as-Saghir, atau alam kecil. Jadi, terdapat keselarian antara dua semesta: semesta luar diri kita dengan semesta dalam diri kita, iaitu one to one correspondence antara kedua semesta tersebut.

Hal inilah yang menarik minat kalangan saintis Barat untuk dikembangkan dalam penyelidikan mereka. Sebab itu, dalam pengertian inilah, Ikhwan as-Safa berkata, “Kalau kita mahu mengetahui hakikat alam ini, tidak perlulah kita menjelajah ke angkasa, cukup hanya pergi ke alam diri kita saja.” Kerana, sebenarnya diri kita ini juga adalah satu universe, atau satu semesta. Ini juga sebenarnya pesan al-Quran apabila Tuhan memanifestasikan tanda-tandanya bukan saja dalam makrokosmos, tapi juga dalam mikrokosmos.

Lantaran dengan adanya kesejajaran antara makrokosmos dan mikrokosmos ini, maka apakah kerana itu Islam turut menekankan mengenai tazkiyatun nafs, sebagai satu kaedah untuk mendekatkan diri pada Tuhan? Dan, apakah tazkiyatun nafs ini dapat dirasionalkan?

Sebelum itu, kita harus melalui proses-proses pembersihan jiwa, atau tazkiyatun nafs ini dahulu. Perlu diingat, tazkiyatun nafs ini bukan proses sembarangan, bukan proses yang tidak berperaturan, dan bukan proses yang tidak berprinsip. Malahan, tazkiyatun nafs ini juga adalah satu sains dan satu seni. Satu sains, sebab terdapat prinsip yang perlu kita faham tentang jiwa iaitu; apa itu jiwa, apa itu realiti jiwa, apa itu juzuk jiwa, apa itu komponen jiwa, dan lain-lain. Jadi, bila kita mahu melakukan tazkiyatun nafs, maka kita perlu tahu apa itu nafs. Dalam konsep manusia, nafs itu adalah salah-satu komponen manusia. Kemudian, perlu dirungkai persoalan lain, tentang hubungan nafs dengan akal, dengan qalb, dengan roh — dan, semua ini sebenarnya adalah sebahagian dari sains yang kita perlu belajar kalau benar-benar mahu melakukan tazkiyatun nafs.

Satu seni pula, sebab ada tahap praktikal, dan inilah seni yang kita warisi dari pada Nabi, yang diturunkan pada sahabat, lalu pada tabiin, dan sebagainya. Persoalannya dewasa ini, adakah kita mewarisi amalan ini dari ulama-ulama kita, atau dari intelektual-intelektual kita, ataupun secebis saja? Jadi, untuk menjernihkan hal ini, maka kita perlu mengenal siapa pakar dalam ilmu tazkiyatun nafs ini. Dalam sejarah, ulama yang ada kepakaran dalam bidang ini adalah ulama dari kalangan tasawuf atau sufi, sebab ini memang keahliannya. Bukan ulama fekah. Tidak hairanlah, ulama tasawuf memang sering membicarakan tentang tazkiyatun nafs, supaya mereka lebih dekat dengan Tuhan.

Menyentuh mengenai sufi, atau tasawuf ini, apakah bezanya dengan irfan, yang begitu dekat dengan tradisi Iran?

Itu ada persamaan dan perbezaaan. Sebenarnya, irfan ini merujuk kepada satu bentuk ilmu, atau suatu pengalaman manusia yang aspek kerohanian dan intelektual itu terjalin dalam satu kesatuan yang indah. Justeru, irfan ini kita harus bezakan dengan aliran kerohanian lain yang tidak menekankan aspek keintelektualan, iaitu tentang peranan akal dalam pengalaman kerohanian.

Jadi, adakah itu bermakna dimensi intelektual tidak ada dalam tasawuf atau sufi?

Bukan. Irfan itu juga satu bentuk tasawuf. Kalau kita ambil tasawuf sebagai satu genus, maka irfan itu adalah salah satu spesis darinya. Maknanya, irfan itu juga adalah dari aliran tasawuf yang objektifnya untuk membersehkan jiwa dan mendekatkan diri pada Tuhan. Soal bagaimana cara mencapainya, itu ada perbezaan pendekatan. Sebab itu, ada tiga asas dalam hubungan manusia dengan Tuhan. Ini adalah hal yang lazim dalam tasawuf, iaitu makhafah, mahabbah, makrifah. Makhafah iaitu berdasarkan pada rasa takut. Jadi, sebilangan manusia, mereka lebih menekankan dimensi takut, untuk mendekatkan diri pada Tuhan. Kedua, mahabbah ini pula berdasarkan pada cinta, iaitu kita lakukan sesuatu kerana cinta, dan tidak memikirkan ganjaran. Ketiga ialah makrifah, yang berdasarkan pada ilmu, dengan kita melaksanakan sesuatu dengan kefahaman dan keyakinan.

Persoalan terakhir, kita tahu, Muslim dewasa ini bergelut dengan pelbagai persoalan nyata, sama ada dalam aspek fizik mahupun metafizik, atau aspek semesta nyata (kehidupan seharian) mahupun semesta jiwa (kerohanian). Apakah ini menunjukkan Muslim sedang berdepan dengan masalah epistemologi?

Dari segi teori, Muslim tidak mempunyai masalah dalam persoalan epistemologi. Kita mewarisi tradisi epistemologi yang lengkap, yang serba mencakupi di mana pada teorinya mencukupi untuk menangani persoalan-persoalan semasa. Ini dari segi teori. Namun, dari segi realiti, tidak begitu. Sebab, sebahagian besar tradisi epistemologi Islam itu tidak dibangkitkan. Epistemologi Islam hanya wujud dan hidup dalam teks semata, tidak dalam wujud dan hidup dalam konteks kita. Itulah masalahnya.

Maka, apa yang patut kita lakukan? Yang patut kita lakukan ialah, seluruh ajaran Islam tentang epistemologi harus ketengahkan kembali pada khalayak. Kita mesti menanam di sanubari masyarakat tentang kepentingan epistemologi Islam ini. Tentunya, dengan langkah ini, kita akan menghadapi banyak pertanyaan, juga kritikan, barangkali juga cercaan. Walau apapun, kita harus jelaskan dengan menggunakan bahasa terkini, dengan bidalan terkini, dengan ungkapan terkini, yang mungkin dengan kekiniaan ini akan membantu khalayak untuk lebih memahami mengenai epsitemologi Islam ini.

About these ads

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 49 other followers

%d bloggers like this: