Archive for November, 2009|Monthly archive page

Usrah Bulanan – Disember 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut (kemaskini 23 Nov 2009):

Tarikh: 8 Disember 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

[PERHATIAN: Tarikh baru pindaan dari asal]

Tajuk: Aqidah Wahhabiyah [BAHAN RUJUKAN USRAH AKAN DIEDARKAN SEMASA USRAH]

Pembentang: Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady

[ada sedikit pindaan dari tajuk dan pembentang asal]

Tempat: Kediaman Sdr. Presiden, Prof Emeritus Osman Bakar

Alamat kediaman Sdr. Presiden:  No. 117, Jalan Sri Tasik Timur, Perdana Lakeview East, Cyberjaya [melepasi pejabat MDEC, Century Square dan Cyberview Lodge. Sebelum Sri Tasik Barat dan Sekolah Seri Puteri Cyberjaya].

****

Sila bawa terjemahan Al-Quran.

Etnisiti dan Proses Politik Pasca Pilihanraya Ke 12: Di mana dan Ke mana Islam?

Bahan perbincangan Usrah Bulanan MUAFAKAT – November 2009
yang dibentangkan oleh Prof. Dr. Mohamad Abu Bakar

Terangkum dalam ‘etnisiti’ ialah ras dan agama; paling tidak kedua-duanya merupakan dimensi terpenting dalam gubahan tersebut. Selama ini semenjak Merdeka, etnisiti ternyata menjadi faktor definatif dalam proses politik Malaysia.

Dengan Pilihanraya ke 12 yang lalu, lanskap politik nasional dipercayai mengalami transformasi besar. Sejauh manakah ini benar? Jika ia benar, apakan ia suatu perubahan sebenar, atau suatu perubahan sementara? Dalam konteks ini, persoalan yang turut berbangkit ialah Islam – apakah kedudukannya bertambah baik dan semakin kukuh, atau sebaliknya?

Pada zahirnya suatu perubahan fundamental telah berlaku apabila parti-parti yang bertunjangkan ras mengalami kemerosotan, sebagaimana yang dialami UMNO, MCA dan MIC di Semanjung Malaysia. Sementara parti-parti yang dinobatkan sebagai pergerakan tidak berteraskan perkauman seperti PAS dan PKR pula meraih kejayaan agak besar. Perkembangan ini bukan sahaja menjadi asas kepada kepercayaan bahawa Malaysia kini berada di suatu persimpangan, apabila faktor ras dan agama tidak lagi berperanan besar, tetapi juga menjadi alasan untuk mempercayai bahawa Islam sedang menempa zaman baru. Malah kesedaran Islam yang bertambah di kalangan orang Melayu dan keyakinan baru terhadap Islam di kalangan bukan Melayu menjadi hujah di sebalik kejayaan PAS.

Optimisme ini diperkukuh oleh perasaan bahawa rakyat hari ini sudah terbebas daripada belenggu “dependency” akibat kemiskinan atau ketiadaan kerakyatan, dan lebih terdedah kepada globalisasi dengan nilai-nilai universalnya, seperti demokrasi dan hak asasi manusia; apatah lagi di kalangan generasi muda, yang sebahagian pentingnya terdiri daripada anak-anak kelas menengah. Dalam konteks UMNO, parti itu telah menjadi mangsa kejayaan sendiri apabila perjuangannya membawa kepada keadaan yang menyebabkan Orang Melayu berdikari. Bagi bukan Melayu, masa sudah tiba untuk meraihkan dividen daripada kemerdekaan dan menempatkan diri sebagai rakyat yang berkedudukan sama dengan bumiputera.

Namun reaksi awal daripada beberapa parti berkaitan juga mengandungi implikasi dan kecenderungan berkonflik. Jika PAS dan PKR terangsang oleh keputusan pilihanraya dan mengharap tren ini berpanjangan, MCA dan MIC semakin memupuk perkauman dengan fahaman pembelaan ras boleh mengangkatkan kembali kedudukan masing-masing. Krisis yang melanda kedua-dua parti tersebut semacam menuntut supaya ia kembali ke landasan asal yang bersifat perkauman itu. Luahan dalam akhbar-akhbar Cina memperlihatkan komitmen kecinaan yang semakin ketara dan ini menjadi risipi kepada penularan semua sentimen perkauman dalam MCA. Perjuangan memartabatkan sekolah jenis kebangsaan turut tersalur  menerusi perancangan 1 Malaysia. Golongan konservatif Cina melihat ruang kini terbuka luas untuk mengembangkan agendanya. Begitu juga peranan Hindraf, serta kemunculan Makka Sakhti, yang telah membawa kepada pemupukan perkauman dalam MIC. Kepimpinan MIC ditentang kerana ketidakupayaannya membela nasib orang India sehingga berlakunya politik protes berpanjangan. Benar BN sebagai penaung MCA dan MIC begitu rancak mewatakkan ‘1 Malaysia’ dengan potensi non-communalismnya, ruang yang terbuka sebenarnya memudahkan kedua-dua parti tersebut membangkitkan perkauman di kalangan ahli dan pengikutnya. UMNO yang lemah dihindarkan daripada campur tangan dalam kemelut yang melanda parti-parti ini, sekaligus memudahkannya memainkan sentimen perkauman.

Di Malayisa Timor pula, kekekuatan baru yang dimiliki parti-parti perkauman di sana menjadi leverage dalam politik tarik–tali nya dengan kerajaan pusat. Setelah diiktiraf sebagai fixed deposit oleh BN, pihak tersebut semakin terangsang untuk menentu corak perhubungannya. Kepentingan Sabah dan Sarawak telah diberi perhatian bertambah, manakala parti-parti komponen BN di sana bertambah komited memperjuang nasib kaum-kaum yang menjadi pendukungnya. Komitmen kepada 20 Points, yang terangkum dalam Perjanjian Malaysia bukan sahaja menerima pemberatan baru, sentimen keKadazanan dan keKristianan di Sabah dan keDayakan dan keDusunan di Sarawak semakin mendapat tempat di hati rakyat di sana. Keduduakan BN yang lemah, dan UMNO yang kehilangan kuasa pendefinasinya memudahkan centrifugal forces ini merebak

Serentak dengan perkembangan ini, Islam pada umumnya juga mengalami perubahan. Daripada satu segi, kedudukan baru ini terjelma dalam pencapaian dan perolehan PAS. Daripada segi lain, ruang untuk Islam berkembang juga meluas apabila negeri-negeri yang diperintah PKR menyediakan peluang untuknya mengorak maju. Persekitaran yang positif ini boleh menjayakan program keagamaan sekiranya ia diusahakan dengan bijak. Paling tidak tindakan ini boleh di perlakukan menerusi dialog peradaban.

Perubahan lanskap politik juga boleh membebankan perkembangan Islam ini. Pertama, globalisasi dan persejagatan nilai-nilai Barat menyemarakkan kecenderungan demokrasi dan sekular yang mengekang perkembangan Islam. Malah di kalangan penganut Islam sendiri terdapat pihak dan golongan yang tertawan oleh suasana ini dan menuntut pergamalan Islam yang lebih liberal. Kedua, persekitaran ini juga merancakkan pelbagai kaum untuk menuntut kedudukan yang lebih baik dan terjamin, sama ada melalui parti masing-masing, atau menerusi badan-badan sukarela. Proses politik daripada sudut ini menjadi semakin bersifat perkauman. Cuma UMNO sekaji dalam lingkungan BN yang tidak begitu ketara dalam tuntutan keMelayuannya disebabkan ia terikat oleh idea keMalaysianan yang terungkap dalam 1 Malaysia. Adapun orang Melayu yang menyokong PAS daripada kalangan orang UMNO, mereka berkemungkinan berbuat demikian sebagai suatu protes dan mahu peningkatan komitmen terhadap keMelayuan. Mereka ini begitu ghairah mahu melihat pertautan UMNO-PAS bermaksud melonjakkan semula ketuanan Melayu; suatu status quo ante diidamkan oleh mereka.

Di kalangan bukan Melayu yang menyokong PAS kerana keuniversalan mesej keagamaannya, mungkin sudah wujud kepercayaan terhadap potensi Islam sebagai agama untuk semua bangsa dan kepercayaan. Perkiraan mereka ialah perkiraan yang bersifat pragmatis. Kejutan dalam Pilihanraya ke 12 lebih berupa manifestasi penentangan terhadap penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh parti yang memeirntah serta aspirasi untuk melihat perubahan yang menjanjikan kehidupan yang lebih selesa. Daripada respons yang ditunjukkan oleh orang Cina dalam medianya, PAS tetap ditentang kerana perjuangannya menegak Syariah dan idea negara Islamnya.

Sebenarnya Islam bagi mereka ini kekal sebagai sempadan etnik yang kini diperkukuhkan lagi oleh kejayaan material dan kebebasan yang dibekalkan oleh globalisasi. Sebahagian besar daripada masyarakat Cina yang lain masih hidup dengan kepercayaan lama bahawa Islam adalah kepunyaan orang Melayu, bahawa orang Melayu yang beragama Islam terkebelakang daripada segi ketamadunan mereka, dan Islam anutan orang Melayu merupakan kekangan kepada kemajuan. Lantarannya, isu poligami umpamanya kekal mendapat tempat dalam liputan berita akhbar-akhbar Cina. Pada keseluruhannya, sebagai suatu kaum, mereka juga terus hidup dalam dunia mereka sendiri dengan momentum kehidupan ditentukan oleh faktor-faktor perkauman yang sama.

Kesimpulannya, apapun ciri-ciri multi-racialism yang telah bercambah, dan semangat egalitarianisme yang berkembang rancak akhir-akhir ini, telah juga wujud semacam “fortress China” bagi orang Cina dan “fortress India” bagi masyarakat India. Malah sebahagian daripada orang Melayu juga semakin aktif menghidupkan Malayness bagi membangkitkan kemelayuan yang semakin pudar itu. Idea pendidikan “Satu Aliran” yang dikompangkan sebagai penyelesaian kepada perkauman jauh sekali daripada diterima oleh ras-ras yang berkepentingan ini.

Ternyata perkauman membawa kepada perkauman yang bertambah dalam persekitaran politik yang bersifat kecairan (fluid) ini.

Di mana dan ke mana Islam? Islam seperti yang dibahaskan di atas berada dalam situasi “the best of times, the worst of times”, bergantung pada perspektif dan pendirian kita.

MOHAMAD ABU BAKAR

Memo Bantahan Perlantikan Cadangan YDP YADIM

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) adalah salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang sama-sama menanda-tangani memorandum kepada Yang DiPertuan Agung bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan untuk melantik Dr. Asri Zainal Abidin sebagai YDP Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

MUAFAKAT turut tetap bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan lain-lain NGO untuk tidak menarik balik bantahan tersebut.

Sekian,

A. Karim Omar

Setiausaha Agung MUAFAKAT

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 45 other followers