Archive for October, 2009|Monthly archive page

Usrah Bulanan MUAFAKAT – November 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 3 November 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tajuk: Masa Depan Politik Berasaskan Ras dan Agama di Malaysia dan Implikasinya Kepada Islam, dan Peranan Jemaah Islamiyyah.
Pembentang: Prof. Dr. Mohamad Abu Bakar
Sila bawa naskah Al-Quran & terjemahan masing-masing.

Tempat: Kediaman Sdr. Dato’ Haji Rameli Musa

Alamat kediaman:  No. 20 Jalan Kenyalang 11/15H, d’Villa Equestrian Kota Damansara. Depan masjid baru Kota Damansara, sebelah Royal Selangor Polo Club. Masuk melalui pondok pengawal.

Seminar: Zakat in Malaysia – Status, Issues and Challenges

ZAKAT IN MALAYSIA: STATUS, ISSUES AND CHALLENGES

Speaker:

Dato’ Dr. Hj. Sohaimi Hj. Mohd. Salleh,

Director General, JAWHAR

Prime Minister’s Department, Putrajaya

Discussant:

Associate Prof. Syed Ghazali Wafa Syed Adham Wafa

University Kebangsaan Malaysia, Bangi

Time/Day/Date:

2.15 pm- 4.45 pm

Tuesday, 13th October 2009

Venue: KENMS Conference Room (Level 3)

Organised by Islamic Economics Unit, KENMS

in collaboration with

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Free. Refreshments will be served. Those interested to attend please register with Norlin/Asma at ext.4778/ 4649

Diabolisme Pemikiran Dan Dakwah Islamiyyah: Satu Muhasabah.

Untuk Versi Cetak - Klik di sini – Diabolisme Pemikiran – Usrah Muafakat Oct09

******************************************************

Diabolisme Pemikiran dan Dakwah Islamiyyah: Satu Muhasabah

Muqaddimah

Kertas ini akan cuba membincangkan Dakwah Islamiyyah yang kita ceburi sejak lama dulu dan peranan Iblis dan diabolisme pemikiran dalam usaha yang mulia ini, dan juga apa yang perlu diberi muhasabah khusus demi meneruskan usaha dakwah ini.

Diabolisme

Diabolos bererti Iblis dalam bahasa Yunani. Perkataan ini juga terdapat dalam al-Qur`an – Al-Kahfi: 50. Iblis dan Syaitan mempunyai pengertian dan peranan yang sama. Maka diabolisme ialah pemikiran, perangai, tindakan dan perilaku yang bersifat dan berfaham Iblis ataupun pengabdian kepadanya. Dakwah Islamiyyah pula ialah usaha mengajak manusia kepada Islam yang sempurna dan benar.  Maka diabolisme pemikiran dalam konteks dakwah ialah pemikiran atau perangai atau tindakan atau perilaku keiblisan ataupun tunduk-patuh kepada ajakan Iblis yang merosakkan usaha-usaha dakwah tersebut.

Diabolisme dan Dakwah Islamiyyah

Kerja mulia ini adalah tidak mudah kerana senantiasa diganggu Iblis. Seperti janjinya kepada Allah, Iblis bertekad: “… saya benar-benar akan (menghalangi) mereka (anak Adam) dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka (anak Adam) dari depan dan dari belakang mereka, dan dari kanan mereka dan dari kiri mereka – al-A’raf:16-17.  Kerja-kerja dakwah menjadi terbantut dan menyimpang malah kadangkala terkeluar dari landasan dakwah Islamiyyah yang haqiqi semata-mata kerana diabolisme mendominasi organisasi dakwah.

Iblis amat kenal Allah dan telah lama ta‘at kepada-Nya, namun kenapa dia di halau dari kedudukan paling sempurna dan dihina sedemikian rupa? Di sini wajar kita bermuhasabah.  Aktivis dakwah bukan orang yang tidak beriman dan bukan juga orang yang tidak solat, namun kenapa ada yang terkena penyakit diabolisme yang menyebabkan kerja-kerja organisasi dakwah tergendala, tergelincir, malah terkeluar dari landasan dakwah sebenar? Dakwah kita semata-mata li wajhi ’llah’il-karim. Hayya bina nufakkir saa`ah.

Diabolisme dan ‘Ilmu

Ipsa scientia potestas est – ‘Ilmu adalah kekuatan. Dan ‘ilmu adalah permulaan ‘amal. Seperti ‘ibadah yang lain, maka dakwah yang juga sebagai ‘ibadah, memerlukan ‘ilmu. Dari pengalaman dakwah kita, terasa satu kekurangan besar iaitu yang berkaitan dengan ‘ilmu.  Sudah sewajarnya sekarang, secara sungguh-sungguh kita beri perhatian lebih kepada ‘ilmu dan berusaha mengujudkan golongan ahli ‘ilmu yang disebut dalam al-Qur`an yang mulia sebagai ar-rasikhuna fi’l ‘ilmi – Ali ‘Imran: 7; Al-Nisa’:161.

Sepanjang sejarah dan tamaddun Islam, golongan inilah yang menjadi tonggak Ummah, tempat rujukan dan guru. Mereka adalah golongan yang paling dalam dan luas ‘ilmu pengetahuan mengenai bab-bab ‘Aqidah-Tauhid, Kenabiyan, al-Qur`an dan al-Sunnah, Gyaibiyat, hukum-hukum mengenai al-wa‘du wa’l-wa ‘iid, ganjaran dan balasan, pahala dan siksa, syarat-syarat ijtihad, mengenai Imamah dan al-zu ‘amah dan dakwah. Mereka ini mengikuti jalan-jalan al-Sifatiyah dari kalangan Mutakallimin yang mana bersih daripada faham tasybih dan ta’til dan bersih dari bid‘ah al-Rafidah-Syi ‘ah, al-Khawarij, al-Jahmiyah dan semua ahlu ‘l ahwa’ ad dollah. Mereka mendalami aliran Ra’yi dan al-Hadith dan berpegang kepada wajib istinbat hukum Syari ‘at daripada al- Qur`an, al-Sunnah dan juga Ijma’ Sohabah. Mereka juga mempunyai ‘ilmu yang mendalam mengenai Khabar-Khabar, al-Sunan al-ma’thurah dan al-Maghazi dan mereka mampu membezakan di antara Khabar yang Sohih dari yang dho‘if serta memiliki ‘ilmu jarh wa’t-ta’dil. Mereka juga mahir dalam ‘ilmu sastera ‘Arab, Nahu dan Sarof dan yang berkaitan dengannya menurut doktrin ASWJ.  Juga mereka amat mahir dalam ‘ilmu qiraat, tafsir dan ta’wil, selari dengan ASWJ dan bukan takwilan ahli hawa nafsu yang sesat. Mereka juga mahir dalam bab al-‘ibaarah wa’l-isyaarah yang sejalan dengan ASWJ dan bukan jalan ahli hawa nafsu yang sesat.

Mereka juga memiliki ‘ilmu-‘ilmu yang berkaitan dengan perjalanan hidup manusia, psikologi, falsafah dsb. Mereka yang dalam dan luas ‘ilmu ini, mampu memberi dan mengajar ‘ilmu yang benar, yang dapat membina dan mengukuhkan ‘aqidah yang salimah; menyemarakkan ‘ibadah yang sah; ‘ilmu yang dapat membersihkan hati dari keledak hawa nafsu keiblisan dan dapat menyuburkan akhlaq yang mulia sehingga dapat memandang Akhirat sebagai tujuan tertinggi dan paling utama. Mereka dapat membina qaedah yang benar sehingga memudahkan Ummat melaksanakan kehidupan menurut hukum-hakam Islam dengan sempurna. Mereka jugalah yang dapat menghuraikan ‘ilmu yang dapat memahami tipu daya Iblis dan saranan untuk selamat daripadanya dalam semua lapangan hidup.

Untuk mengembalikan kegemilangan Ummah melalui usaha dakwah dan islah ini, maka wajib diujudkan semula golongan ini. Dalam konteks dakwah dan islah, golongan ini menjadi guru, tempat rujukan dan pemandu dalam perjalanan organisasi dakwah. Ketiadaan golongan ini amat ketara dalam organisasi dakwah di Malaysia.  Tanpa golongan ini, adalah ditakuti aktivis dakwah akan salah dalam memahami epistemologi Islam dan sesat dalam perjalanan dakwah. Jika ini berlaku, maka tujuan organisasi dakwah untuk mendaulatkan Islam tidak akan tercapai.  Mereka akan larut dalam diabolisme intelektual. Tanpa golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi dalam dakwah dan islah, maka tiada apa-apa yang berfaedah yang dapat diberi dalam usaha membina sakhsiyah dan mengislahkan masyarakat. Hasilnya, organisasi ini menjadi mangsa tipuan Iblis.

Perjalanan, cara dan pengurusan dakwah dan islah, tidak boleh lari dari landasan yang seperti kata Imam Malik rh: tidak akan berjaya mengislahkan masyarakat sehingga yang kemudian mengikuti cara orang yang awal; iaitu diantaranya melalui ‘Ilmu yang dalam dan luas. Ia wajib dijayakan secara menyeluruh untuk semua aktivis dakwah.

Adalah di sarankan demi mencapai tujuan ini perlu ditubuhkan program tafaqquh fi’d-din.

Diabolisme dan Tauhid

Tauhid – al-Anbiya’:25; al-Nakhli:2;  merupakan misi utama para Rasul ‘ass, dalam dakwah dan islah.  Justeru, organisasi dakwah wajib mengikuti perjalanan mereka dengan menjadikan ‘Aqidah-Tauhid sebagai dasar dan agenda paling utama dalam dakwah, dari mula hingga akhir. Seperti yang kita maklum, Iblis yang merupakan musuh utama Ummat Tauhid tidak suka program seperti ini. Dia akan menghalangi organisasi dakwah dari melaksanakannya- al-A’raf:16. Iblis tidak suka Ummah mengenali Allah dan menjadi hamba kepada-Nya. Ia suka manusia menjadi hamba kepadanya.  Jadi, aktivis dakwah dan Ummah seluruhnya wajar sedar perkara ini dan menghalangnya dengan memiliki Tauhid yang mantap. Tauhid yang mantap, bukan setakat pada paras ‘ilmu sahaja tetapi Tauhid yang berada pada taraf haqqu ’l- yaqin dengan zauq dan syahadah. Ia perlu diusahakan seperti kata al-Sarraj w:378H: seorang hamba dengan rahasia hati penghayatan, seakan-akan berada di hadapan Allah. Demikian juga hukum-hukum kekuasaan-Nya, berlaku padanya dalam samudera Tauhid-Nya, yang mana dirinya fana’ (dalam sifat Allah–P) dan perasaannya hilang, kerana al-Haq melakukan segala-galanya sesuai dengan kehendak-Nya.  Wujudnya adalah berada dalam lingkungan ketentuan hukum-hukum Allah dan dia melaksanakan apa yang dikehendaki-Nya. Katanya lagi, bahawa Tauhid itu ialah ia tidak menisbahkan sesuatu pun pada diri dan kemampuannya.  Kata Ruwaym rh ketika ditanya mengenai Tauhid, katanya: Menghilangkan bekas-bekas basyariyyah dan memurnikannya dengan sifat Uluhiyyah. Yang dimaksudkan dengan menghilangkan bekas-bekas basyariyyah ialah menggantikan tabiat nafsu, sebab nafsu sering mengaku memiliki sifat Rububiyyah. Kualiti manusia seperti inilah yang tidak disukai Iblis. Ia tidak akan dapat memperdaya, apalagi menjadikan mereka yang mukhlasin ini sebagai hambanya. Ini diakui Iblis sendiri sepertimana dinyatakan al-Qur`an Yang Mulia: …illa  ‘ibadaka minhumu ’l-mukhlashin: melainkan hamba-hamba-Mu yang mukhlash – al-Hijr:40; Kata al-Khazin rh mukhlashin ialah Tauhid. Dengan sifat ini, mukhlashin mendapat dua kemenangan iaitu terlepas dari menjadi hamba Iblis dan keduanya, menjadi hamba kepada Yang Maha Mulia Lagi Tinggi. Semuga kita termasuk dalam golongan ini. Amin!

Untuk mengujudkan golongan mukhlasin, organisasi dakwah wajar mengadakan program pengajian dan pembelajaran berbentuk pembacaan teks-teks ‘Aqidah-Tauhid ASWJ yang muktabar bersama-sama dengan program tarbiyah.  Dengan program seperti ini, insya Allah, para aktivis dakwah akan dapat menikmati kelazatan Tauhid.  Adalah ditakuti, andainya tiada program seperti ini, para aktivis dakwah akan terdedah kepada dan menjadi mangsa Iblis. Mereka akan ditawan dan akan dilatih menjadi agen Iblis dalam menyebarkan faham-faham dan ajaran-ajaran Iblis dan keiblisan, iaitu ajaran yang bertentangan dengan ‘Aqidah-Syari’at Islam yang benar.  Depan mata, dapati ramai aktivis Islam terjerumus ke dalam perangkap dan fitnah Iblis seperti mendewakan ‘aqal tanpa nass, mengaku benarnya ‘aqidah Syi ‘ah kerana terpesona dengan kemenagan Khumayni pada satu ketika.  Dan lebih Iblis lagi ialah apabila ada di antara aktivis dakwah itu, sanggup mencerca serta menyerang Ahli as-Sunnah wa al- Jama ‘ah, walhal, ASWJ inilah yang disebut Nabiyy s`aw sebagai firqah yang berjaya masuk Syurga – ma ana `alayhi wa ashabi – riwayat Tirmizi, Abuw Dawud dan Ibn Majah. Inilah akibat meremehkan pengajian, pemahaman serta pemantapan mengenai ‘Aqidah-Tauhid!

Oleh kerana tasawwur dan doktrin Tauhid terlalu kabur dan kefahamannya tidak menepati ajaran sebenar ASWJ, maka Tauhid tersebut tidak memberi apa-apa faedah kepadanya. Imam Syahrastani rh w:548H., dalam al-Milalnya berkata, Iblislah yang merosakkan ‘aqidah sebahagian Ummat Islam dan ujudnya berbagai firqah yang kontra-Tauhid seperti Khawarij, Qadariyyah-Mu`tazilah, Murji`ah, Syi‘ah dsb; dan di zaman sekarang pula muncul ajaran sekular-liberal yang antaranya Islam Liberal, Islam Inklusif, Islam Menghalalkan Cara dsb. Adalah amat malang apabila ada aktivis dakwah terkena  virus diabolisme ini.

Para aktivis dakwah wajar mengambil pengajaran dari huraian Imam Syahrastani rh ini. Mereka wajib sedar serangan dan pemesongan terhadap ‘Aqidah-Tauhid Ummat bukan sangat datang dari luar, tetapi dari kalangan organisasi Islam sendiri. Mereka menjadi agen Iblis dalam mempromosi dan memperjuangkan ajaran sesat tersebut. Mereka yang terkena rasukan Iblis ini akan bekerja menimbulkan keraguan ‘Aqidah-Tauhid ASWJ dikalangan Ummat Islam dengan menyuruh Ummat menggunakan ‘aqal dalam memahami Islam hatta kepada perkara min’ad-din al-dharurah; menyelitkan ajaran Murji`ah, iaitu meremeh- remeh dan menangguh-nangguhkan ‘ibadat dan memaksa ke atas Allah!; juga menyulam ajaran Khawarij, yang suka mengkafirkan kumpulan yang berseberangan dengan mereka, walaupun kumpulan itu Ahli Al-Qiblah!; dan memperakui benarnya ajaran Syi ‘ah. Bagi aktivis diabolik itu, semua yang disebut ini, menjadi perkara yang benar dan tidak bercanggah dengan ‘Aqidah.

Kita perpanjang sedikit mengenai Islam Liberal. Islam Liberal yang menjadi tajuk baru dalam perbincangan dikalangan ummat Islam dewasa ini, juga mulai meresap ke dalam organisasi dakwah Islam.  Walaupun di Malaysia tidak sebegitu teruk seperti pegangan JIL di Indonesia, namun  sudah kedapatan usaha ke arah itu oleh organisasi yang diterajui orang Islam. Kumpulan ini mengadakan program bersama dengan Kuffar luar Negara atas nama kebebasan berfikir, yang pada hakikatnya mereka menjadi alat Iblis untuk merosakkan Ummah.  Mereka menjual agama mereka dengan harga yang amat murah untuk mendapat keredhoan Kuffar. Namun, usaha ini, dengan rahmat Allah, al-hamdulillah, tiada sambutan. Dari sisi lain, Islam Liberal di Malaysia yang lebih bercorak tidak begitu mengambil berat mengenai hukum fiqh yang lima, hukum-hukum ‘Aqidah dan hukum-hukum akhlaq dan ruhaniyy, sudah lama mendominasi organisasi Islam di sini. Demikian juga jenis Islam yang Tujuan Menghalal Cara, yang dianuti oleh sesetengah orang Islam, sudah mulai terasa bahangnya.

Satu aspek lain dari Tauhid, yang kurang diberi perhatian oleh organisasi dakwah Islam ialah sifat-sifat yang mencacatkan ‘Aqidah-Tauhid.  Oleh kerana Tauhid tidak mantap dan tidak melekat pada diri, maka Iblis dengan mudah dapat merasuk dan membungkus aktivis Islam dengan sifat-sifat kontra-Tauhid seperti kibr dan ingkar kepada suruhan Allah. Dua sifat inilah yang menjadikan Iblis disingkir dari kedudukannya yang tinggi dan mulia. Dalam pekerjaan dakwah dan islah, para aktivis dakwah wajar sedar bahawa diantara syarat kepada kejayaan dakwah ialah Tauhid yang khalis yang tiada bercampur dengan sifat kibr. Kibr dan sekutunya riya’ serta syirk dengan segala sifat kontra ikhlas, menjadi alat Iblis yang berkesan untuk merosakkan aktivis dakwah dan dengan itu usaha dakwah dan islah mereka tidak akan mendapat nusrah Allah. Iblis menggunakan tentera-tenteranya dari kalangan manusia seperti Yahudi – wa lan tardo ‘ankalyahud wa lan nasora hatta tattabi ‘a millatahum – al-Baqorah:120. Semasa di halau dari Syurga, Iblis laknatullah,  memohon kepada Allah SwT untuk menggoda dan menyesatkan manusia dari kebenaran dan Allah memperkenankan permohonan Iblis itu: la aq‘udannalahum shirathakal mustaqim…saya ( iblis ) benar-benar akan ( menghalangi ) mereka dari jalan Engkau yang lurus.( al A’raf: 16) yakni, menurut Ibnu Kathir rh, Ibnu `Abbas r`a dalam memahami ayat ini, menyatakan bahawa, Iblis bertekat menyesatkan manusia dengan menyebarkan keraguan, benci  kebaikan dan kebenaran, suka berbuat dosa dan ragu kepada Agama. Allah memperkenan permohonan Iblis itu untuk menguji hambanya: liyabluwakum ayyukum ahsanu ‘amala – al-Mulk:2.

Selain dari apa yang telah di sebut terdahulu, maka hasil dan ni’mat Tauhid ialah ikhlas, benar, zuhud (dalam pengertian: Supaya kamu tidak berdukacita terhadap apa yang terlepas dari tangan kamu dan tidak pula menjadi gembira terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu semua – al-Hadid:23), tawakkul, mencintai Allah, khauf dan raja’, taqwa dan wara‘, syukur, sabar dan redha, muraqobah dan musyahadah, dan taubat yang berterusan. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, anugerahkan kepada kami sifat-sifat ini!

Islam Kaffah

Islam syumul atau Islam kaffah ialah Islam yang bertunjangkan Iman, Islam dan Ihsan dengan segala cabangnya.  Para aktivis Islam sering menekankan mengenai Islam syumul. Namun, ketika bercakap mengenai Islam syumul atau kaffah itu, sesetengah mereka telah terkena sampok Iblis yang paling dahsyat, yang mana mereka pada hakikatnya, tidak bercakap langsung mengenai Islam syumul itu, tetapi bercakap mengenai Islam ‘hawanafsu’ mereka. Kalau mereka berminat dengan politik, maka politiklah yang menjadi syumul bagi mereka dan tidak peduli mengenai segala hukum akhlaq dan kehidupan Ihsan; atau bagi yang giat dalam aktiviti kemasyrakatan pula, mereka tidak begitu peduli mengenai hal hati, tetapi lebih mementingkan liputan media semata-mata. Dan yang paling ironiknya lagi ialah semasa bercakap memperjuangkan Islam syumul itu, dalam masa yang sama, mereka hidup dalam syari ‘at Jahiliyyah, mementingkan hawa-nafsu, berakhlaq dengan akhlaq diabolik, terlalu longgar dalam Syari ‘at; ertinya, Islam yang diperjuangkannya ialah Islam yang sudah disuntik dengan racun diabolisme-liberalisme oleh agen-agen Iblis melalui Yahudi dan Kuffar.

Rengkasnya, Islam kaffah ialah Islam yang di dalamnya tiada sifat-sifat muhlikat dan yang ada hanya sifat-sifat munjiyat; hidup senantiasa dalam muhasabah dan mujahadah untuk sampai ke paras muraqabah dan kalau boleh hingga ke paras musyahadah. Pendeknya hidup dalam budaya makruf semata-mata.

Satu hal yang kurang diberi perhatian apabila bercakap mengenai Islam kaffah ialah mengenai sikap kapada kehidupan lagha. Kehidupan aktivis dakwah perlu bebas dari kehidupan lagha, hidup dalam was-was dan dalam ma‘isyatan donka serta dipenjara oleh diabolosme dan terhijab dari kehidupan muraqabah- musyahadah. Adalah wajib menghindarkan diri dari program lagha yang akan mematikan hati dan ‘aqal seperti program kebudayaan yang mengandungi maksiat, wanita, pendedahan `aurat dan seumpamanya. Mereka boleh mengatur program ‘kebudayaan quddus’ yang dapat menghidupkan hati dan ‘aqal seperti program bacaan qasidah Busoyriy, bacaan Solawat, Maulid dan seumpamanya yang mana pasti akan dilimpahi rahmat dan keberkatan yang tiada terhingga. Tetapi Iblis tidak mengizinkannya! Perhatikanlah wahai aktivis Islam!

Dakwah dan Siyasah

‘Ulama Islam menyatakan bahawa saluran politik-siyasah merupakan antara tonggak utama dalam menegakkan al-Din, jika kena gayanya.  Untuk tujuan tersebut organisasi politik wajar diterajui oleh orang yang mempunyai iltizam yang kuat dan peribadi yang soleh. Organisasi dakwah kena menyediakan peribadi seperti itu untuk dibekalkan kepada organisasi politik. Sekiranya organisasi dakwah tidak dapat menyediakan peribadi seperti itu adalah ditakuti orang yang menerajui organisasi politik ialah individu yang menganut faham diabolisme.

Aktivis politik diabolik tidak akan memperjuangkan Islam yang sebenar tetapi Islam yang sudah dicairkan sesuai dengan kehendak diabolismenya. Ia akan menggunakan kaedah diabolik, untuk mencapai cita-cita peribadinya yang rendah lagi hina, yang mana ia tidak peduli dengan cita-cita untuk mendaulatkan Islam dan nasib Ummah. Siyasah yang mulia dan qudus serta bersifat Nabawiy ini, diturunkannya menjadi rendah.

Dalam konteks Malaysia, organisasi politik berebut-rebut untuk menawan hati Kuffar. Mereka mengharapkan keredhaan dan syafa‘at Kuffar. Barang diingat, bukankah Allah memberi amaran kepada Ummah bahawa permusuhan yang keluar dari mulut-mulut mereka itu amat ringan berbanding permusuhan yang lebih besar dan keras,  yang ada dalam hati dan dada mereka… wama tukhfii suduuruhum akbar – Ali `Imran:118; dan Nabiy s`aw bersabda: ana la antasiru bi Musyrikin – saya tidak memerlukan kemenangan dengan bantuan orang Musyrik. Allah juga mengingatkan kita supaya jangan takut kepada mereka dan jangan jadikan Syaitan sebagai qarin kerana ia adalah seburuk-buruk teman –al-Nasa’:38. Bukankah Kuffar itu najis, al-Taubah:28 dan Syaitan?

Dinamika politik Malaysia sekarang amat baik. Sewajarnya aktivis Islam, baik dalam organisasi dakwah maupun dalam organisasi politik, dapat berperanan lebih baik untuk faedah Ummat. Namun mereka juga sudah terkena wabak diabolisme dengan melihat segala-galanya dengan mata dan ‘aqal diabolik dan terperangkap dalamnya.  Keadaan ini berlaku, pertama, kerana organisasi dakwah tidak menyediakan individu yang kompeten untuk memikul dan melaksanakan tanggung jawab sebagai aktivis yang mempunyai tasawwur Islam yang jelas, kuat dan sempurna dan kedua, ialah kerana faktor diabolik yang melekat dan menguasai aktivis tersebut yang mana mereka hanya mementingkan diri dan kelompok dan politik diaboliknya sahaja, tanpa memikirkan kepentingan Ummah, malah sanggup berkompromi mengenai nilai fundamental dan menjualkannya dengan harga murah, demi kepentingan politik diabolik jangka pendek. Seorang pemimpin bukan hanya pandai berwacana dan bercakap tetapi dapat bertindak untuk kepentingan Ummah. Pemimpin diabolik terperangkap dengan definisi Kuffar mengenai makna HAM, Kesederhanaan Islam, Hak Bukan Islam, Masyarakat Majmuk dsb.  Mereka berandaian, bahawa mereka akan mendapat sokongan dan sanjungan dengan memperjuangkan hal seperti itu, pada hal mereka lupa bahawa Nabiy s`aw menyatakan Baginda s`aw tidak memerlukan sokongan Musyrikun.

Kita faham mengenai geopolitik Malaysia tetapi kita kena lebih faham mengenai ajaran Islam: al-Islam ya‘lu wa la yu ‘la ‘alayh dan aktivis politik yang berugama Islam tidak boleh lebur dalam kesesatan dan kefasiqan politik diabolik semata-mata mengejar cita-cita politiknya. Tidak susah untuk mengenali aktivis politik diabolik iaitu apabila mereka berada dalam kekuasaan mereka tidak berbuat untuk menyelamatkan `aqidah, syari`ah, akhlaq serta kesejahteraan Ummat, tetapi bekerja keras untuk menyelamat dan meneruskan agenda peribadi diaboliknya, malah mereka menjadi korban Iblis dengan melakukan munkaraat dan dosa yang berbagai-bagai!. Selain dari itu, mereka amat suka orang ramai mendewakan mereka, tidak menjaga kehormatan dan maruah diri.

Sementara aktivis politik yang solih dan tidak terkena wabak diabolisme ialah mereka yang dapat menggunakan kekuatan intelek, emosi dan ruhaniynya untuk membina Ummah dan bertindak dengan penuh hikmah dan berjiwa besar seperti diajar al-Qur`an dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan Ummah, bukannya menangguk di air keroh untuk mencapai cicta-cita politik diabolik mereka. Mereka juga dapat menyemarakkan Islam dalam semua aspek Islam dalam arena politik yang diceburinya dengan Islam yang sempurna dan bukan jahanam dengan akhlaqnya rosak, `aqidahnya musnah dan syari‘atnya runtuh dalam kegairahan kuasa diaboliknya untuk mencapai cita-cita politik diaboliknya yang hina.

Benar kata Sayyiduna ‘Umar al-Khattab r ‘a: Belajarlah Islam sebelum menjadi pemimpin!

Satu perkara yang amat penting dan perlu perhatian serious terutamanya aktivis politik ialah doktrin Islam mengenai kewajipan menjaga maruah dan tanah air Muslim. Kewajipan menjaga maruah dan tanah air, ada kaitan dengan ‘Aqidah. Dalam membincangkan mengenai ‘Aqidah Islam dalam al-Farqu bayna ’l-Firaq, Imam ‘Abdu’l Qahir al- Baghdadiy rh w:429H., berkata: mereka bersatu dan mempunyai tali ikatan yang kukuh di kalangam mereka di dalam barisan orang-orang Islam menghadapi orang-orang Kafir, berjihad menjaga dan mengawal kehormatan dan maruah orang –orang Islam, mempertahankan keluarga dan kampung halaman dan tanah air mereka.

Dakwah dan Ummah

Ummati, ummati, ummati. Demikian prihatinnya Junjungan yang mulia s‘aw kepada kita, menjelang wafatnya. ‘Alaykum bi’l mukminina raufu’r-rahim. Demikian kasihnya Baginda s‘aw kepada orang Mukminin. Kedua-dua nass yang mulia ini wajib mendapat prihatian serius organisasi Islam. Ia perlu difahami dan dihadamkan. Organisasi Islam wajib menjaga Ummah dan mengasihi mereka seperti Nabiyy yang mulia s‘aw mengasihi mereka. Organisasi Islam perlu menghindari diabolisme dalam hal ini. Iblis amat suka Ummah terbiar dan tiada kasih sayang sesama mereka. Ia tidak suka kepada kesejahteraan Ummah, bahkan mahu memusnahkan Ummat dengan menganjurkan kebencian, permusuhan, kesengsaraan dan perpecahan.  Allah menjelaskan melalui al-Qur`an, bahawa angkara Iblislah, Qabil membunuh saudara kandungnya Habil; anak-anak Nabiyy Ya‘kub ‘as membuat konspirasi hingga hampir terbunuhnya Nabi Yusuf ‘as; memecahbelah institusi keluarga melalui Harut dan Marut. Dan kita jangan lupa, bahawa atas pandangan Iblis jugalah, mesyuarat di Dar an-Nadwah, mengambil keputusan membunuh Junjungan kita yang mulia Nabiyy s‘aw. Ringkasnya, Iblis tidak suka kepada keharmonian dan perpaduan baik pada peringkat keluarga, organisasi, masyarakat maupun peringkat Ummat.

Iblis laknatullah yang benci kepada kesejahteraan dan keharmonian serta kesatuan Ummah, bekerja keras untuk memecahbelahkan Ummat. Allah SwT  menempelak: …fama lakum fi’l munafiqina fiatayn – mengapa kamu berpecah menjadi dua golongan dalam (menghadapi) orang-orang Munafiq – al-Nisa’:88. Dan ayat ini, wajar di baca bersama dengan sepotong ayat lagi iaitu ayat yang melarang Ummat berpecah – wa la tafarraqu –  ketika kamu sedang berada di tebing kebinaasaan – wa kuntum  ‘ala syafa khufrati ’m-mina’n-nar .Iblislah yang menyebarkan perselisihan – inna’s-syaitona yanzaghu baynahum-al-Isra’:53. Sesungguhnya syaitan menyebarkan perselisihan dikalangan mereka. Bukankah Ummat Islam di Malaysia sedang berada pada tebing kebinasaan angkara pemimpin diabolik? Masyarakat Islam wajib mengambil i’tibar dari apa yang berlaku di Madinah di zaman Rasululllah s‘aw iaitu pertelingkahan di antara dua kumpulan Sahabat yang mulia r‘aa, ‘Auz dan Khazraj, yang hampir-hampir menumpahkan darah, adalah kerana gara-gara Iblis menjadikan orang-orang Yahudi yang terkenal amat benci dan hasad kepada perpaduan dan keharmonian Ummat Islam sebagai agen melaga-lagakan mereka. Ingat, di zaman sekarang, Yahudi melalui agen-agennya, menggunakan taktik yang sama!

Dalam keadaan Ummat Islam lemah sekarang, golongan Kuffar tidak henti-henti menggertak Ummat. Sejarah berulang. Di zaman Rasul s‘aw, musuh Islam, menggertak orang-orang Islam seperti dinyatakan Allah: ..sesungguhnya manusia (yakni Musyrikik) telah mengumpul pasukan untuk menyerang kamu (orang Mukmin), kerana itu takutlah kepada mereka ( Musyrikin )…Ali `Imran:173. Latarbelakang ayat ini ialah golongan Kuffar kira, mereka beroleh kemenangan dalam Perang Uhud dan menganggap Ummat Islam kalah dan lemah. Terpancullah  kata-kata bongkak yang sekali gus berupa ugutan dari dada diabolik mereka. Ugutan Kuffar itu, tidak sedikit pun melemahkan orang-orang Mukmin dari kalangan Sohabah itu- radiyallahu ‘anhum, bahkan iman mereka melonjak naik.  Bandingkan dewasa ini, seperti yang di sebut terdahulu, bahawa pemimpin Ummat Islam berlumba-lumba untuk menjadikan Kuffar sebagai qarin dan bithonah dan memusuhi orang Islam sendiri. Di mana-mana pun di Negara ummat Islam, pemimpin mereka berlumba-lumba untuk menjadi agen Yahudi dan Kuffar dan mengharapkan syafa ‘at serta keampunan dan keredaan mereka!  Pemimpin orang-orang Islam yang menjadi alat Kuffar bekerja untuk memenangkan Kuffar dalam kehendak dan tuntutan mereka. Muafakat, sebagai pertubuhan untuk mensejahterakan masyarakat melalui Islam sebenar, perlu sedar dalam perkara ini dan berusaha untuk mengislahkannya.

Keadaan menjadi lebih parah apabila para pengikut yang bodoh dan lemah ‘aqal menjadi terlalu taksub kepada pemimpin mereka sehingga seperti Bani Israil yang membenarkan semua tindakan salah dan jahat pemimpin-‘ulama mereka yang melanggar Syari‘at. Pemimpin diabolik amat suka pengikut jenis ini kerana mudah untuk mencapai cita-citanya. Di sinilah peranan Iblis.

Menghidupkan Hati

Akibat menelan pil rangsangan Iblis, kedapatan aktivis Islam yang diabolik tidak menjadikan Islam sebagai matlamat yang sebenar dalam kerjayanya baik dibidang politik maupun dakwah itu sendiri. Kegiatan mereka sekadar memenuhi profil peribadi untuk ditatap orang kemudian. Terdapat juga orang yang menggunakan platform dakwah untuk menjana hawa nafsu, demi mencapai tujuan peribadi mereka yang rendah dan hina.  Pengikut yang jahil menjadi tentera-tenteranya. Ini adalah akibat dari penyakit hati yang kemudiannya membawa kepada matinya hati itu.

Untuk menghidupkan hati yang mati ini ialah dengan ma’ al-hayah iaitu dengan menghapuskan segala sifat muhlikat dalam diri dan menggantikannya dengan sifat munjiyat. Aktiviti untuk menghidupkan hati yang mati ialah seperti kata al-Ghazzaliy rh ialah melalui pintu ‘ilmu, zikir, muhasabah, mujahadah dsb. Organisasi dakwah wajar memberi perhatian khusus kepada aktiviti ini, kerana ia adalah tuntutan Syara‘ dan berstatus fardu ‘ayn. Kata Syaikh Sa‘id Hawwa rh, aktiviti seperti ini sudah ditinggalkan! Sesetengah aktivis Islam lebih menekankan aktiviti untuk mendapat kemasyhuran, tetapi dalam hal membersihkan diri dari sifat-sifat muhlikat dan menghiasinya dengan sifat munjiyat, tiada usaha sungguh-sungguh dibuat, malah ada yang mencemohkannya. Tanpa hati yang hidup, maka kebenaran yang haqiqi tidak akan masuk dan yang masuk ialah Iblis yang akan bertakhta di lubuk hati. Sebab itu kata Syaikh Sa ‘id Hawwa rh, bahawa kerosakan hati akan menimbulkan sifat berdusta, munafiq, berbuat fasiq, maksiyat, takabbur, ‘ujub, enggan menerima yang benar, melawan hukum agama, melampaui batas Syari ‘at, menganggap orang lain hina dan merasa dia lebih tinggi dan hebat dan mulia daripada orang lain, dan sifat-sifat jahat yang lain seperti dengki, suka fitnah, khianat, tipu, manipulasi, tidak amanah dalam menjalankan organisasi, tidak menguruskan harta organisasi secara jujur, memperlekeh kehidupan berdasarkan al-Sunnah malah anti-Sunnah, memelihara dan membesarkan hawa nafsu dsb.

Kadangkala organisasi menjadi milik peribadi dan mereka adalah taukenya.  Bagi mereka yang diabolik ini, institusi tidak penting, yang penting adalah diri peribadi mereka. Ini adalah kerana yang menguasai diri mereka bukannya Syari‘at dan akhlaq ruhaniyyah yang mulia, tetapi hawa nafsu yang ditunjangi Iblis. Mereka menjadikan hawa nafsu sebagai panduan dan Tuhan!

Kepada aktivis dakwah: hidupkanlah hati. Jadikanlah organisasi Islam sebagai organisasi ruhaniyy. Jangan ikut pandangan diabolik dari sesetengah pemimpin organisasi Islam yang melarang organisasi dakwah menjadi organisasi ruhaniyy dengan berkata bahawa hal ruhaniyy adalah urusan peribadi yang tidak kaitan dengan organisasi. Pandangan diabolisme yang sesat ini amat bercanggah dengan ajaran Islam kerana dalam al- Qur’an terdapat istilah hizbu’llah – al-Mujaadilah:22, dan al-Maaidah:56; bunyaanu ’m- marsus- al-Saff:4 dan dalam al-Hadith perkataan al-Jama ‘ah, yang semuanya itu merujuk kepada makna kumpulan atau persatuan orang ramai.  Istilah itu merujuk kepada kumpulan yang benar dan kumpulan yang benar antara cirinya ialah kebersihan ruhaniyy – al- Syams:9, hadith al-Ihsan dll. Organisasi Islam ialah organisasi yang menjadikan rukun-rukun agama – arkanu ’d-din- sebagai dasar perjuangan. Bukankah al-Ihsan iaitu suatu kedudukan dan suasana ruhaniyy yang merupakan salah satu ruknu’d-din? Jadi, apakah organisasi yang menolak ruhaniyy itu masih boleh dinamakan organisasi Islam?

Nabiyy s‘aw, melalui apa yang biasa disebut sebagai Madrasah al-Rasul, telah memproses bukan satu-dua qabilah tetapi seluruh Negara bahkan seluruh Ummah menjadi ruhaniyy, yang memandang ma‘ad sebagai tujuan tertinggi. Baginda s‘aw tidak menyerahkan dan membiarkan kepada individu untuk mencari kehidupan ruhaniyy masing-masing tetapi Baginda s ‘aw dan organisasinya yang mendidik ahli-ahli. Dari sini dapat diqiyaskan bahawa organisasi dakwah perlu diruhaniyykan dan bertanggung jawab mendidik ahlinya dalam ahwal ruhaniyy, kalau tidak, ahli-ahli akan mendapatkan ajaran ruhaniyy dari luar yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Demikian juga Muhammad bin ‘Aliyy al-Sanusi rh, menjadikan jama‘ah/organisasinya sebagai organisasi ruhaniyy, yang sekali gus organisasi mujahidin, ditransformasikan kepada siyasah hingga dapat menegakkan daulah. Inilah yang amat ditekankan oleh ‘alim besar dan ‘alim haraki dewasa ini iaitu Syaikh Sa ‘id Hawwa rh. Beliau mewajibkan orang ramai menyertai organisasi jenis ini dan menjauhi organisasi yang tidak mementingkan ruhaniyy. Kekuatan dan keberkatan organisasi berada bersama dengan hati yang hidup dan ruhaniyy yang mantap.

Ingatlah!  Iblis dan aktivis dakwah diabolik tidak menginginkan perkara ini berlaku.

Kenal Kebenaran dan Kebatilan

Seperti disebut terdahulu, ‘ilmu amat penting dalam diri pendakwah. Dalam usaha dakwah dan islah, ajaran dan cara berdakwah mestilah benar-benar mengikut kaedah Islam. Aktivis dakwah mestilah memiliki kualiti ‘ilmu yang membolehnya membezakan antara ajaran dan jalan yang haq dan yang batil; ‘aqidah yang sohih dan salimah dengan ‘aqidah yang sesat dan batil; ‘ibadah yang benar dengan yang palsu, akhlaq yang mulia dengan yang jahat dsb, menurut ukuran Syari‘at bukan menurut ukuran diabolisme. Dalam konteks dakwah, ‘ilmu mengenai kebenaran dan kebatilan amat sangat di perlukan kerana ia dapat mengenali cara dan jalan dakwah dan islah yang sebenar dan dapat menilai usaha-usaha dakwah dari masa ke masa, mana yang sudah tersasar dan mana yang masih lurus dan benar.

Dalam perjalanan dakwah dan islah yang bercampur aduk dengan berbagai faham dan ideologi, maka keperluan kepada ‘ilmu yang dapat mengenali haq dan batil, amat terasa terlalu penting. Percampuran antara yang benar dan batil seperti sabda Nabiyy yang mulia s‘aw sebagai asap, kita kini memang benar-benar berada dalam asap tersebut. Percampuran antara ajaran dan cara Islam yang benar dan palsu sukar di kenali dan dipisahkan, melainkan oleh ahli ‘ilmu yang di beri petunjuk dan faham oleh Allah. Adalah amat malang apabila aktivis Islam tiada memiliki piawai dan ‘ilmu untuk mengenali yang benar dan yang batil, tetapi masih berani bercakap mengenai yang benar dan yang batil menurut Islam! Lebih banyak khutoba’ dari ahli ‘ilmu!.

Demi kejayaan dakwah dan islah, maka aktivis Dakwah wajib berwaspada dengan diabolisme kerana ditakuti terjebak ke dalam maksiyat paling besar iaitu melihat yang munkar sebagai ma’ruf – kata Iblis: pasti aku (Iblis) akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) - al-Hijr:39; juga: la tufsidu fi’l ardh qaaluu innama nahnu mushlihun – al-Baqarah:11; dan yang baik sebagai kurang baik atau langsung tidak baik atau munkar. Pun begitu, satu berita baik dan penawar bagi orang yang diserang Iblis. Allah menyatakan: sesungguhnya tipu daya Iblis-Syaitan itu amat lemah – al-Nisa’:76, jadi untuk mengalahkan Iblis yang lemah itu ialah dengan banyak mengingati Allah dan berdamping dengan ‘Ulama ‘amilin lagi muhaqqiqin. Sekiranya golongan ini sudah tiada, maka wajar mendampingi, mempelajari dan meneliti tulisan mereka dengan tekun dan mengambil manfa‘at darinya.

Mengembalikan Kegemilangan Dakwah

Kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kegemilangan dakwah dalam ertinya yang sebenar – sudah tentu dengan rahmat dan nusrah Allah. Untuk tujuan tersebut, organisasi dakwah wajib melahirkan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi, pemikir dan perancang yang iltizamnya amat tinggi.

Selain golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi seperti yang telah di sebut di atas, kekurangan besar yang amat ketara dalam organisasi dakwah ialah ketiadaan golongan pemikir. Organisasi dakwah wajib mengujudkan golongan pemikir yang serius yang berfikir secara Syara‘ dengan ‘aqal ‘ubudiyyah, berlandaskan al-Qur`an dan al-Sunnah, bukan pemikir diabolik.  Golongan pemikir serius yang dimaksudkan ialah orang-orang yang menggunakan semua kekuatan intelek, emosi dan ruhaniyy secara serious dengan menumpukan kepada berfikir, kemudian merumuskannya dan meletakkan hasil rumusan itu ke dalam organisasi dakwah sebagai suatu doktrin, falsafah dan dasar yang menjadi panduan dan landasan kepada organisasi dalam melaksanakan cita-cita organisasi tersebut.  Mereka juga dapat menjadi penghurai kepada doktrin dan falsafah modern dan pasca-modernisme yang bercanggah dengan Islam dan bersedia untuk berdepan dengan siapa sahaja.  Adalah amat malang apabila organisasi dakwah menjadi tunggangan kepada golongan pemikir diabolik di luar lingkungan mereka dan menjadi lebih malang lagi apabila di kalangan organisasi dakwah dan islah itu sendiri terdapat orang yang berfikir secara rasa hina diri dan hanya mahu bergantung kepada golongan diabolik berfikir untuk mereka. Keadaan ini akan menjadikan organisasi dakwah senantiasa berada dalam kehinaan padahal ia adalah tinggi – antumu ’la’launa  inkuntum mukminin.

Golongan pemikir ini akan meletak dan membina cara berfikir Islamiyy pada setiap aktivis dan mengukuhkannya. Mereka juga akan memberi input, pandangan, saranan dsb kepada organisasi demi kebaikan, kemajuan, dan kejayaan organisasi dakwah hingga ke paras yang paling tinggi. Mereka ini bukan sahaja menjadi pemikir dilingkungan organisasinya tetapi juga pemikir untuk memajukan Ummah dan Negara dalam usaha membina sebuah tamaddun yang benar-benar di redhai Allah, sesuai dengan motto dakwah: Untuk Ummah dan Negara – ukhrijat li ’n-nas dan baldah toyyibah. Pengalaman gerakan al-Sanusi di Afrika Utara wajar menjadi panduan organisasi dakwah yang mana mereka memiliki pemikir organisasi-persaudaraan yang kemudian menjadi pemikir politik hingga dapat mendirikan Negara.

Satu lagi golongan pemikir yang penting ialah mereka yang bukan dari golongan yang pertama tadi, tetapi mereka ini memiliki ‘ilmu, yang mampu berfikir dan pandai menilai perjalanan dakwah. Golongan ini berupaya menegur dan membetulkan keadaan, jika didapati ada kepincangan dalam pengurusan dan perjalanan dakwah. Mereka merupakan pembantu, rakan dan penguat organisasi.

Di samping pemikir, organisasi dakwah memerlukan golongan perancang yang solih. Mereka bersama dengan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi dan pemikir, akan merancang perjalanan organisasi selari dengan kehendak Syara‘. Mereka akan merancang untuk kejayaan organisasi demi mendaulatkan dakwah dan Islam, bukan merancang dengan segala manipulasi diabolik untuk menguasai organisasi demi kepentingan diri dan nafsu keiblisannya yang hina yang akhirnya organisasi dakwah itu kucar-kacir, lemah dan tidak kemana.  Mereka juga merancang dan menyusun strategi untuk menghindar dan menolak serangan Iblis dan tenteranya dari kalangan manusia. Kesungguhan berserta dengan sifat ikhlas dan ketepatan merancang dan strategi, amat diperlukan lebih-lebih lagi dewasa ini, yang mana berbagai rancangan dan strategi  musuh Islam, merancang untuk melemah dan memesongkan matlamat murni organisasi Islam itu, bahkan untuk menggagalkan sama sekali cita-cita untuk mendaulatkan Islam.

Dengan adanya paduan golongan rasikhuna fi’l ‘ilmi, pemikir dan perancang yang baik, insya Allah, organisasi dakwah akan dapat merancang dan menyusun kerja-kerja dakwah dan islah dengan lebih baik dan berkesan, melalui organisasi yang diurus secara benar, ikhlas, amanah, hikmah, ta‘aawun dan tawakkul dan bukan melalui tukang syarah yang imannya seperti sabda Nabiyy yang mulia s‘aw: tidak lepas dari kerongkong!

Kebenaran tidak akan tertegak melainkan dengan perancangan yang rapi!

Dakwah kita ialah dakwah yang membawa ke Jannah bukan ke abwabi jahannam!

Penutup

Muafakat sebagai organisasi dakwah Islam, wajar mengambil langkah yang konkrit untuk mensejahterakan Ummah. Ia perlu memiliki falsafah yang jernih dengan matlamat yang jelas iaitu Islam syumul dan melalui jalan yang benar iaitu Syari‘at.  Organisasi Muafakat perlu membina kekuatan ‘ilmu, Tauhid dan ruhaniyy. Ia patut menjadi organisasi ruhaniyy yang sempurna!

Wa ma taufiqi illa billah.

Usrah Bulanan MUAFAKAT – Oktober 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 6 Oktober 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tajuk: Diabolisme Pemikiran dan Dakwah Islamiyyah: Satu Muhasabah

Pembentang: Sdr. Haji Ismail Mina Ahmad

Bahan usrah boleh dibaca dari sini (klik) dan dicetak dari versi cetak ini.

Sila bawa naskah Al-Quran & terjemahan masing-masing.

Tempat: Kediaman Sdr. Dato’ Haji Zakaria Hashim

Alamat kediaman:  No. 4, Lorong Basong, off Jalan Bruas, Damansara Heights, Kuala Lumpur (Peta Zakaria HashimPeta)

****

Peringatan: Sila bawa Terjemahan/Tafsir Al Quran – untuk sambungan perbincangan ayat 10-20 Surah Al-Mukminun

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers