Archive for August, 2009|Monthly archive page

Seminar Isu-isu Semasa Tamadun Ummah Di Universiti Teknologi Petronas, Tronoh Perak

dari laman JAKIM: http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=4143

Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) telah berjaya menganjurkan Seminar Isu-Isu Semasa Tamadun Ummah di Dewan Serbaguna Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak pada 17 Julai 2009 yang lalu.

Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Y.B. Senator Dato’ Dr. Mashitah Bt Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sempena dengan Tilawah Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan di Universiti Teknologi Petronas pada 14 – 18 Julai 2009.

Antara objektif seminar tersebut ialah:-

i. Memberi pendedahan kepada pensyarah dan pelajar Universiti terhadap isu-isu semasa yang utama sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan mereka.

ii. Memberi pendedahan berkaitan pendekatan untuk berdakwah kepada sasaran selain dari orang Islam.

iii. Menjelaskan pendekatan dakwah yang lebih berkesan dalam era globalisasi.

iv. Menjalinkan kerjasama yang kukuh dan berterusan di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) serta IPTA/IPTS dalam program- program yang sesuai untuk golongan mahasiswa di IPTA dan IPTS.

Seminar tersebut telah dihadiri oleh seramai 350 orang peserta terdiri dari pensyarah- pensyarah Universiti di sekitar Ipoh, pelajar- pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Penjawat Awam di Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Agensi Kerajaan, Pertubuhan Dakwah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Guru-Guru Agama di Sekolah-sekolah Menengah dan Kolej- Kolej di sekitar Ipoh serta pegawai dan kakitangan masjid daerah Ipoh, Perak.

Seminar ini mengandungi tiga pembentangan kertas kerja seperti berikut:

i. Pembentangan kertas kerja pertama bertajuk “Al- Quran : Mukjizat Sepanjang Zaman” yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dr Jamnul Azhar Mulkan, Pengamal perubatan & Penceramah.

ii. Pembentangan Kertas Kerja kedua bertajuk “Gerakan Pemikiran Aliran Baru Masakini Dan Cabarannya kepada Ummah” yang disampaikan oleh Us. (Dr) Uthman el-Muhammady dari International Institut of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).

iii. Pembentangan Kertas Kerja ketiga bertajuk “Dakwah Effektif: Pengalaman Aktivis” yang disampaikan oleh Sdr. Ann Wan Seng dari MACMA Pusat.

Keseluruhan peserta telah memberi komitmen yang baik dan mengajukan pelbagai pandangan, isu serta masalah yang wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Peserta juga berterima kasih kepada penganjur dan meminta agar program yang serupa dirancang setiap tahun.

Dr Jamnul Azhar Mulkan ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja bertajuk “Al- Quran : Mukjizat Sepanjang Zaman”.

Seramai 350 orang peserta seminar yang tekun mengikuti dan mendengar pembentangan.

Sebahagian peserta yang hadir.

Y.Bhg. Tn Hj Othman bin Mustapha ketika menyampaikan cenderahati kepada Y.B. Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim

Tarikh : 04 Ogos 2009
Sumber : Pengarah Bahagian Dakwah
Editor : PRO JAKIM

Kenyataan Akhbar: Tindakan Tegas Jika Mempersoalkan Isu-isu Sensitif

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

25, Jalan Bandar 3, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur Tel: 03-4106-0175 Fax: 03-4147-4635

muafakatmalaysia.wordpress.com

________________________________________________________________________

Kenyataan Akhbar:

TINDAKAN TEGAS PERLU DIAMBIL TERHADAP MEREKA YANG MEMPERSOALKAN ISU-ISU SENSITIF DI NEGARA INI

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat (MUAFAKAT) merasa terpanggil untuk menyatakan pendiriannya berhubung dengan kegiatan golongan tertentu yang secara terus menerus menjalankan kempen mencabar, menghina dan memomokkan isu-isu sensitif seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, hak istimewa orang-orang Melayu dan bumiputera lain, hak biasiswa untuk orang-orang Melayu dan bumiputera lain dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan IPT.

Perlu ditegaskan bahawa isu-isu ini adalah isu-isu yang menjadi asas kepada pembentukan Negara ini, yang telah disepakati oleh semua kaum di Negara ini dan telah diterima oleh semua kaum, melalui wakil-wakil mereka, apabila mereka merundingkan kemerdekaan bagi Negara ini dahulu. Wakil-wakil kaum Cina dan India telah menerima asas-asas tersebut sebagai balasan kepada persetujuan orang-orang Melayu untuk memberi kerakyatan kepada mereka yang lahir di Malaysia pada hari Kemerdekaan. Adalah memerajatkan dan amat mengecewakan bahawa golongan tertentu telah secara tidak berhenti-henti membangkitkan semula isu-isu tersebut, manakala kaum yang majoriti tidak pernah membangkitkan apa yang telah diberikan kepada mereka.  Malah lebih jauh dari itu, penguasaan ekonomi di Negara ini telah dibolot oleh mereka, secara terus menerus dari zaman kemerdekaan, sehinggalah ke hari ini.

Sekiranya pihak-pihak ekstremis ini terus menerus membangkitkan isu-isu yang sensitif ini dalam setiap forum yang ada, baik ceramah, media serta blog dan internet, dan sekiranya trend ini tidak dihentikan dengan serta merta, adalah dibimbangkan ianya akan membuahkan ketegangan kaum di Negara tercinta ini.

Satu perkara yang sukar diterima oleh majoriti rakyat di Negara ini ialah apabila Raja-Raja Melayu menegur supaya dihentikan polemik berhubung perkara-perkara sensitif  ini, maka Raja-Raja Melayu pula menjadi sasaran kritikan mereka. Maka semakin galaklah mereka mengkritik, menghentam dan menghina Raja-Raja Melayu, dengan pelbagai kata-kata yang kesat, yang tidak boleh diterima oleh setiap mereka yang bertamaddun.

Oleh itu, MUAFAKAT menyokong  amaran yang dikeluarkan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak YBhg Tan Sri Harussani Zakaria yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 13 Ogos 2009 yang memberi amaran kepada kumpulan eksterimis dan pelampau itu supaya sedar bahawa tanpa institusi Raja-Raja Melayu yang menjaga kepentingan majoriti penduduk Malaysia, Negara ini tidak mungkin menjadi aman.

Sehubungan dengan ini, MUAFAKAT juga menyokong seruan YBhg Tan Sri Harussani Zakaria supaya Kerajaan hendaklah bertindak tegas terhadap kumpulan ekstremis ini, yang cuba menggugat keamanan dan ketenteraman  di Negara dengan menimbulkan isu-isu yang sensitif seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan hak istimewa orang-orang Melayu dan kaum-kaum lain, hak biasiswa kepada orang-orang Melayu dan bumiputera lain, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan IPT serta kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

Terima kasih.

(Dato Haji Ahmad bin Haji Ismail)

Timbalan Presiden, MUAFAKAT

14 Ogos 2009

Usrah Bulanan MUAFAKAT – Ogos 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 4 Ogos 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tajuk: Perlaksanaan Undang-undang Islam di negara Islam: Pelajaran Untuk Kita

Pembentang: Sdr. Dr. Mohd Nor Nawawi

Bahan usrah akan diedarkan semasa usrah – insha Allah.

Sila bawa naskah Al-Quran & terjemahan masing-masing.

Tempat: Ustaz Razali Nawawi

Alamat kediaman:  No. 7, Jalan 2/1D, Bandar Baru Bangi

Peta (klik pada imej untuk paparan yang lebih besar):peta rumah Ustaz Razali

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 50 other followers