Archive for July, 2009|Monthly archive page

Manhaj Malazie – Suatu Pendekatan Dakwah

Kertas kerja yang dibentangkan semasa Konvensyen Pendakwah Negara 2009M/1430H- 10–11 Jun 2009M /16-17 Jamadilakhir 1430H bertempat di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

**************************************************************************

“ MANHAJ MALAZIE” SUATU PENDEKATAN DAKWAH

Prof.Dr. Sidek Baba

UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

MUKADDIMAH

Masakini berbagai orientasi dakwah terdapat dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengahayatan Islami.  Ada yang memilih orientasi haraki (gerakan), terdapat juga yang memilih orientasi siasi (politik), berkembang juga orientasi “tablighi” dan tidak kurang juga cenderung ke arah orientasi sufi bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman dan amal Islami.

Sesetengah orientasi ini menyandarkan kepada jamaah atau gerakan yang terdapat di luar negara yang mempunyai orientasi, maslahah dan cabaran yang tidak sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Manhaj atau kaedah  Mesir umpamanya kalau ditinjau dari segi sejarah, budaya, situasi sosio-ekonomi ianya tidak sama dengan apa yang terdapat di Malaysia. Manhaj atau kaedah Indo-Pakistan juga tidak serupa dengan situasi sosio-politik-budaya di Malaysia. Malaysia adalah sebuah negara yang agak unik dan memerlukan suatu kaedah yang sesuai dengan latarbelakang sejarah, sosio-ekonomi dan pentadbirannya.

“MANHAJ MALIZIE”

Ini tidak bermakna tidak ada latar kesamaan antara Mesir dan Indo-Pakistan dengan apa yang terdapat di Malaysia. Dakwah Rasulullah SAW adalah sumber terbaik samada dari segi manhaj mahupun kekesanan dakwahnya. “Manhaj Malizie” atau dakwah mengambil pendekatan keMalaysiaan amat perlu kerana orientasi masyarakat berbilang, kebebasan yang ada, pengaruh Islam dalam sistem, terdapat banyaknya lembaga dan institusi Islam di seluruh negara memungkinkan “Manhaj Malizie” mampu berperanan. Pendekatan ke Malaysiaan ini mengambil kira peruntukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia khususnya yang terdapat dalam bidang kuasa negeri. Sejarah perkembangan dakwah Islam sejak zaman Melaka sehingga kini dan pendekatan dinamik yang perlu ada bagi badan-badan dakwah melihat potensi yang terdapat samada di kalangan umat Melayu mahupun di kalangan yang Bukan Melayu atau Bukan Islam.

DUSTUR DAKWAH

Rasulullah SAW menganjurkan suatu dustur dakwah yang terbaik seperti yang terungkap dalam Hadithnya “ Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dengan pekerti teladan yang baik dan hujah-hujah yang terbaik dan meyakinkan”. Dustur atau kaedah dakwah ini amat releven dalam realiti Malaysia. Sebagai dai’ dan murabbi, dihadapannya terdapat potensi mad’u atau orang yang hendak di dakwah dalam segala peringkat dan latarbelakang.

Pertama, kena ada sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang yang hendak di dakwah. Berdakwah dengan memberikan label dan sindiran boleh menyebabkan yang didakwah akan lari dan tidak tertarik dengan cara yang diambil. Kita harus menginsafi bahawa tidak semua orang yang didakwah memiliki latar pendidikan dan binaan keluarga yang baik. Sesetengah yang ingin kita dakwah adalah orang-orang yang cicir dalam keluarga, mengalami kelompangan hati dan kekeliruan minda. Orang-orang seperti ini mudah terdedah kepada kefasadan dan kemungkaran kerana tidak memiliki kesedaran rohaniah.

Kedua, apabila kita melihat kemungkaran atau ketidakbaikan yang dilakukan oleh seseorang, perbuatan itu tidak kita sertai. Tetapi jauh dalam lubuk hati kita terpancar rasa belas kasihan terhadap apa yang berlaku. Lalu datang gerak dalam hati untuk mendekatinya sebijaksana mungkin. Sekiranya pendekatan ini dilakukan bagi mengajaknya kembali ke jalan yang benar ada kemungkinan ia akan kembali kepada fitrah hidup semula. Sekiranya kejayaan ini ada ,bermakna ia tidak lagi terus menerus melakukan kemungkaran, sebaliknya sudah bersama dengan kita hidup dalam kemakrufan. Berdakwah tidak saja dengan silat lidah tetapi yang amat berkesan ialah silat hati. Hubungan hati dengan hati atas asas dakwah kerana Allah sering mengembalikan insan ke jalan yang benar. Mengambil pendekatan kasar, suka melabel dan gopoh selalu menyebabkan orang yang didakwah lari malah amalannya akan menjadi lebuh teruk lagi.

Ketiga, melakukan dakwah perlu ada persiapan. Faham akan sasaran, tingkat pemikiran, rasa kesabaran dan kebijaksanaan, contoh teladan diri yang baik dan tidak mudah berputus asa. Harus ada sikap bahawa setiap yang ingin di dakwah ada potensi untuk berubah. Hal ini penting kerana cabaran dakwah tidaklah mudah tetapi harus diingat melakukan dakwah adalah tugas dai’ sebijaksana mungkin tetapi yang memberikan hidayah adalah Allah.

Keempat, kuasai ilmu pengetahuan dalam berbagai bidang khususnya ilmu-ilmu yang Islami, kerana jenis cabaran yang menghadapi masyarakat kini tidak saja rohaniah sifatnya tetapi perkembangan ilmu yang menjangkau ke daerah sains dan teknologi. Ilmu ini harus diolah dengan bijaksana bermula dengan mengukuhkan aqidah dan iman, ibadah dan syariah supaya terhasil akhlak yang baik.

MEMAHAMI KEUNIKAN MALAYSIA

”Manhaj Malizie” mengajak para dai’ dan murabbi, pendakwah-pendidik memahami tentang keunikan Malaysia supaya para pendakwah faham akan suasana yang membolehkan dakwah berkembang, kaedah yang tidak saja memantapkan aqidah dan iman tetapi mampu akhirnya menyuburkan ilmu yang dapat menjadi benteng mendepani cabaran perubahan dan kemajuan yang memerlukan acuan yang betul dan Islami. ”Manhaj Malaysia” bukan sekadar menimbulkan keinsafan tentang pentingnya akhlak karimah disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan, ia memungkinkan saluran alternatif diberi tidak saja dalam pembangunan ilmu tetapi juga dalam memberikan arah yang betul pemahaman tentang seni dan budaya supaya kemajuan yang berlaku sentiasa dalam acuan yang makruf. ”Manhaj Malizie” mengambil pendekatan wasatiah atau sederhana sesuai dengan risalah Islam itu iaitu sejahtera.

Pendakwah dan pendidik harus sentiasa memiliki sikap berlapang dada untuk menerima kritik dan teguran dan jangan mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi dengan resam budaya masyarakat dan boleh menyebabkan gerakkerja dakwah menjadi fitnah. Gerakerja dakwah harus sentiasa dimurnikan dengan usaha-usaha dai’ dan murabbi yang istiqamah terhadap perjuangan, yakin akan keberkesanan dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon kekuatan.

DAKWAH RASULULLAH BERASASKAN FATANAH.

Salah satu sifat Rasulullah SAW ialah fatanah atau bijaksana. Dalam dakwah pendekatan bijaksana amatlah dituntut. Bijaksana mempunyai makna yang amat luas. Ia menghubungkan antara maksud idealisme dengan realiti (waqie). Ia mengaitkan faktor realiti dengan isu strategi. Bijaksana juga mengaitkan tahap kefahaman dan pemikiran orang yang di dakwah dengan pemikiran dan tahap pengetahuan  para pendakwah.

Dakwah Rasulullah tidak sekadar kata-kata yang bersifat ajakan, nasihat, seruan dan peringatan terhadap sesuatu tetapi terlihat kepada kesabaran, kelembutan kata-kata, kesesuaian mad’u atau orang yang di dakwah, ketegasan menyatakan prinsip dan pedoman, kejelasan menyatakan yang maaruf dan mungkar.

Berdepan dengan Abu Jahal dan Abu Lahab, Rasulullah adalah amat tegas dengan persoalan aqidah. Bertemu dengan bapa saudaranya Abu Talib, Rasulullah amat lembut menyatakan kebenaran dan hak. Menghadapi karenah seorang perempuan Yahudi yang membencinya, Rasulullah amat sabar dan bijaksana sehingga perempuan itu kembali kepada fitrah.

SEJARAH DAKWAH DI DUNIA MELAYU

Tetapi sifat zaman berubah dan faktor ruang sifatnya dinamik. Dakwah di dunia Melayu adalah amat unik. Keupayaan pendakwah mendekati Raja dan Penguasa berupaya mengembalikan mereka kepada fitrah. Perubahan yang berlaku kepada Raja dan Penguasa diikuti oleh rakyat jelata. Ianya adalah suatu kebijaksanaan. Pendakwah zaman silam amat memahami realiti kepercayaan masyarakat pada zaman itu. Fahaman Hindu dan Buddha, keyakinan rakyat jelata kepada faham sharman atau kuasa-kuasa ghaib terlihat dalam adat dan budaya, gaya hidup dan juga pemikiran.

Kehebatan pendakwah pada masa itu mampu mendekati ahli ilmu dengan makna iman dan takwa, mendekati karyawan tentang makna seni dan sastera, mendekati ahli bahasa mengenai bahasa al Quran, menerima aspek-aspek budaya setempat yang tidak bercanggah dan menghasilkan kitab-kitab yang senafas dengan citarasa setempat.

Darinya lahir majlis-majlis ilmu mengenai aqidah dan ibadah, jenis puisi seperti pantun yang aslinya dari budaya Melayu, syair, gurindam, seloka, nazam, qitah dan prosa yang bersifat hikayat sebagai khazanah seni dan ilmu yang memperkaya pemikiran umat Melayu suatu ketika dulu.

Kebijaksanaan inilah juga menjadikan Islam semakin berkembang di dunia Melayu menghasilkan karyawan terbilang seperti penghasilan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, tokoh-tokoh tasawwuf seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al Nariri, Shamsuddin al Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel dengan kitab-kitab besar masing-masing serta menghasilkan Sheikh Daud al Fatani dengan kitab-kitab feqahnya yang amat terkenal dan menjadi rujukan ulama’-ulama’ terkemudian.

Tradisi ini akhirnya telah mampu menyerapkan ribuan istilah al Quran ke dalam bahasa Melayu sehingga sesetengah ilmuan mengatakan proses dakwah dan Islamisasi telah berjalan dengan baik di Alam Melayu sehingga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam.

Kekentalan tradisi dakwah dan Islam ini jugalah yang terbukti menjadi benteng yang amat ampuh menghadapi proses Salibiyyah penjajah yang silih berganti berada di Alam Melayu untuk lebih empat ratus tahun. Makna Melayu amat sinonim atau disamakan dengan Islam dan orang-orang Islam di Alam Melayu adalah dari rumpun Melayu. Islam dan Melayu adalah sesuatu yang sebati dalam konteks agama, sejarah dan kebudayaan.

MENGISI MAKNA KEMERDEKAAN

Selepas kita mencapai kemerdekaan, keperluan untuk mengisi makna kemerdekaan menjadi suatu cabaran. Malang sekali anakanak bangsa yang terpilih menjadikan Barat sumber membangunkan kekuatan baru ke arah kemajuan dan perubahan. Proses pembaratan dalam bentuknya yang berbeza menjadi subur dan akhirnya menimbulkan konflik antara tradisi Islam yang sedia ada dengan pengaruh Barat yang semakin mengakar.

Ianya memberikan tindakbalas di kalangan yang sedar tentang pentingnya dakwah diperkasakan dan Islam dijadikan asas dan landasan hidup dan bernegara. Di waktu itu faham nasionlisme Melayu amat kuat tetapi elemen Islam tetap dianggap penting. Ahli-ahli politik, bahasa, kebudayaan dan ilmuan masih dalam kesedaran dan keinsafan bahawa faktor Islam adalah penting bagi survival Melayu. Berlakulah penyegaran Islam hingga menyebabkan dakwah berkembang dan minat generasi muda terhadap Islam di tahun-tahun 70an, 80an dan 90an berlaku dengan hebat sekali.

Tetapi suasana masyarakat di awal abad 21 sedang mengalami perubahan yang amat pesat dalam semua lapangan. Proses pembaratan yang berlaku diperkukuhkan lagi dengan strategi Globalisasi yang menyebabkan corak komunikasi dan telekomunikasi berubah, sistem maklumat dan keilmuan menjadi sejagat dan rangkaian internet, website dan weblog telah menjadi semakin dekat dengan masyarakat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda.

Keadaan sebegini menyebabkan lahirnya kecenderungan baru dikalangan warga Malaysia untuk maju dan membangun. Di kalangan pendakwah berdepan dengan cabaran baru yang lebih sengit. Sesetengah orang Melayu tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti yang berlaku pada tahun-tahun 70an, 80an dan 90an. Setengahnya mula terpaut dengan faham liberal akibat pengaruh Barat, materialisme dan konsumerisme yang semakin kuat khususnya di kalangan kelompok menengah Melayu. Di kalangan generasi mudanya sebahagian besarnya sudah mula terpikat dengan pengaruh budaya dan gaya hidup Barat menerusi pengaruh media letronik dan cetak yang memancarkan gaya hidup Barat yang lepas bebas.

Suatu aspek lain yang muncul ialah di sebalik usaha pengukuhan Islam dalam konteks pentadbiran Islam di Malaysia, mula muncul suara-suara di kalangan yang Bukan Islam tentang makna pluralisme yang baru dan pengungkitan kembali aspek-aspek teras dalam Perlembagaan negara dan ianya boleh menjejas hubungan antara kaum.

Oleh itu amat penting para pendakwah di abad ini mencari kebijaksanaan dalam mengambil pendekatan  memilih kaedah yang terbaik dalam realiti yang pantas berubah. Pendekatan ”bottom-up” harus diperkasa dengan memberikan strategi alternatif terhadap isu Islam. Ilmuan Islam samada yang lahir dalam orientasi Al Azhar, Jordan , Madinah, UIAM atau yang pernah belajar di Barat dan di Timur dan pernah terimbau dengan gerakan dakwah dan jamaah seharusnya mencari jalan terbaik bagaimana cabaran keilmuan menjadi faktor utama yang bakal menentukan arah aliran perubahan dan pembangunan masa depan.

Jenis modal insan yang perlu dibangunkan harus memiliki upaya dan keseimbangan dalam memahami ilmu Islam, Barat dan Timur kemudian mengambil faedah berbanding dari Barat dan Timur untuk diperkasakan dalam Acuan Kita Sendiri. Inilah cabaran dakwah bijaksana di abad ini.

MENCARI KEBIJAKSANAAN

”Manhaj Malizie” memberi fokus tentang memperkasakan Umat Melayu sebagai umat teras atau contoh. Dalam konteks Malaysia orang-orang Melayu dilihat sebagai mewakili umat Islam dan juga Islam itu sendiri. Al Quran dalam Surah

memberikan kita pedoman tentang maksud umat terbaik.

Konsep Melayu seiring dengan maksud Surah al Hujurat ayat 13 yang memberikan asas diciptakan bangsa-bangsa atas maksud litaarrafu sifat kekenalan yang mencetuskan perubahan, kesalingan dan tamadun. Pada hari ini para pendakwah tidak saja berdepan dengan masalah mengekalkan umat Melayu terus berada dalam fitrah tetapi pengaruh globalisasi yang berkembang di pelbagai dimensi menyebabkan proses liberalisasi dan sekularisasi berkembang dengan cepat. Tanpa suatu pendekatan dakwah yang dinamik kekuatan Umat Melayu sebagai umat teras akan beransur-ansur hilang.

Dakwah secara lisan dan dakwah bil hal perlu disuburkan dalam keluarga, di lembaga pendidikan dan juga di Pusat Pengajian Tinggi supaya generasi penerus merasakan bahawa mewujudkan iklim dakwah yang subur di Malaysia adalah suatu tuntutan. Tanpa strategi ini kegiatan dakwah akan menjadi kegiatan terpencil dan cabaran merosakkan generasi muda akan terus berkembang.

Kerajaan Islam Sepanyol – serupakah nasib kita?

Ulasan penulis (Ustaz Rosli Mokhtar)

kerajaanislamspepanyol

Harga: RM 23.00

Tebal: 224 mukasurat

Penerbit: Casa Publication

MUQADDIMAH

Sejarah adalah satu subjek yang amat perlu dipelajari oleh semua orang, tidak kira apa bidang pengkhususan mereka. Ini kerana pengetahuan sejarah banyak memberi panduan dan pengajaran kepada seseorang individu.

Sedar dengan kepentingan ini, saya cuba menyajikan salah satu sejarah peradaban unggul iaitu tamaddun Islam di Spanyol. Tamadun Islam di benua Eropah itu adalah penghubung antara kemajuan umat Islam dan kemajuan Eropah moden.

Sebenarnya keinginan untuk melahirkan buku ini tersemai semenjak saya menuntut di bumi Morocco lagi. Keinginan itu makin memuncak bila saya sempat menghabiskan cuti musim panas di negara Spanyol dan negara-negara Eopah lain. Melihat masjid Cordoba yang sudah di tukar kepada gereja membuatkan saya terpanggil untuk meriwayatkan pengalaman satu bangsa yang pernah menerajui dunia tetapi akhirnya tersungkur rebah. Mula timbul persoalan mengapa terjadinya peristiwa ngeri kejatuhan itu? Apakah ini satu hukum alam yang telah tertulis buat setiap bangsa? Apakah bangsa kita juga akan melalui liku-liku yang sama?

Buku ini diharap dapat menjawab beberapa persoalan yang diajukan walaupun bukan secara langsung. Mudah-mudahan sorotan ringkas tamaddun selama 800 tahun ini bukan sekadar sebuah cerita yang dikenang tetapi satu pengajaran yang berguna buat kita.

Saya mengambil peluang disini untuk menyapaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Akh Kamal dan beberapa individu yang tidak saya kenali kerana menyumbang bagi menerbitkan buku ini.

Saya berdoa semoga buku susulan yang memperincikan peristiwa-peristiwa penting yang tidak sempat di paparkan disini akan menyusul dengan segera.

Akhir sekali saya panjatkan kepada Allah Rabbul Jalil agar usaha yang sedikit ini diterima sebagai amal soleh yang menjadi dahan tempat berpaut pada hari dimana harta dan kuasa sudah tidak berguna.

Amin ya Rabbal alamin.

*****************************

SENARAI KANDUNGAN:

Pendahuluan

Bab 1: Sejarah Spanyol

  • Sejarah Semenanjung Spanyol
  • Keistimewaan Sejarah Spanyol
  • Keadaan Spanyol sebelum kedatangan Islam
  • Tujuan orang Islam ke Spanyol

Bab 2: Islam di Spanyol

  • Penyebaran Islam
  • Mengkaji Keadaan sasaran
  • Perbukaan Bermula
  • Menyeberangi Selat
  • Kedatangan Musa bin Nusair ke Spanyol.
  • Musa dan tariq dipanggil oleh khalifah
  • Polemik 1 : Meminjam kapal dari Julian
  • Polemik 2 : Tariq membakar kapal perang
  • Polemik 3 : Islam tersebar dengan mata pedang

Bab 3: Zaman Pemerintahan Gabenor

  • Fasa-fasa pemerintahan
  • Fasa pertama pemerintahan gabenor
  • Gabenor semasa fasa pertamaa
  • Peristiwa penting fasa pertama : Peperangan b. Balat Syuhada’
  • Fasa kedua pemerintahan gabenor
  • Gabenor semasa fasa pertama
  • Peristiwa penting fasa kedua
  • Kelemahan Pemerintahan Gabenor

Bab 4: Zaman pemerintahan Khalifah

  • Fasa pertama pemerintahan Khalifah
  • Abdul Rahman al-Dakhil
  • Hisyam bin Abdul Rahman
  • Al Hakam
  • Abdul Rahman II
  • Tanda-tanda kejatuhan
  • Abdul Rahman III
  • Fasa kedua pemerintahan Khalifah
  • AL-Hakam bin Abdul Rahman
  • Hisyam bin Al Hakam
  • Keluarga Amiriah
  • Kejatuhan pemerintahan Khalifah dan Amiriah

Bab 5: Zaman Kerajaan Wilayah

  • Keadaan Umat Islam
  • Kejatuhan Zaragosa
  • Kejatuhan Toledo
  • Kepungan di Sevillia
  • Sepanyol dan Kerajaan Murabitun
  • Peperangan Zallaqah
  • Sepanyol dan Kerajaan Muwahiddun
  • Peperangan Alarcos
  • Bermulanya Kejatuhan
  • Peperangan Iqab
  • Kejatuhan Cordoba
  • Kejatuhan Sevillia

Bab 6: Kerajaan Granada

  • Muhammad I
  • Abu Abdillah Muhammad II
  • Spanyol dan Kerajaan Murinuyyun
  • Abu Abdillah Muhammad III
  • Raja-raja Granada silih berganti
  • Faktor Kekuatan Negara Islam Granada
  • Kelemahan Kerajaan Kristian
  • Bantuan dari Negara-negara Islam
  • Pemimpin Islam berwibawa
  • Semangat jihad
  • Detik Kehancuran Granada
  • Fasa Pertama kehancuran
  • Perang saudara
  • Malaga ditawan musuhi
  • Menuju kehancuran
  • Fasa Kedua kehancuran
  • Usaha Terakhir
  • Perjanjian Penyerahan
  • Rakyat Granada menerima padah
  • Rahsia Kejayaan Islam

Bab 7: Penutup

Usrah Bulanan MUAFAKAT – Julai 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 7 Julai 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tajuk: Pengalaman Kerajaan Islam Sepanyol – serupakah nasib kita?

Bahan untuk dicetak dan dibawa semasa usrah – insha Allah akan dimuatkan.

Kulit buku "Kerajaan Islam Spanyol - serupakah nasib kita?"

Kulit buku "Kerajaan Islam Spanyol - serupakah nasib kita?"

[Terkini: pembentang akan mengguna 'powerpoint' berserta projector untuk pembentangan dengan merujuk kepada buku tulisan beliau Kerajaan Islam Sepanyol - serupakah nasib kita? (Buku tersebut akan dijual semasa usrah)]

Pembentang: Ustaz Rosli Mokhtar (KUIS)

Tempat: Kediaman Sdr. Mohd Kamal Omar

Alamat kediaman:  No. 2623, Jalan Permata 15, Taman Permata, Ulu Klang [bersebelahan Giant - dekat Taman Melawati dan Zoo Negara]

Peta (klik pada imej untuk paparan yang lebih besar):map-rumah Kamal

Konvensyen Pendakwah Negara: Guna Pendekatan Hikmah dalam Dakwah

BICARA AGAMA: Guna pendekatan hikmah dalam dakwah

Oleh Siti Ainiza Kamsari (Utusan Malaysia)

Mungkinkah ada fakta sejarah kedatangan Islam ke negara ini yang perlu dikaji semula?

Ini kerana seperti yang didedahkan oleh pendakwah, Ann Wan Seng, yang mendapati kaum Cina Muslim dari Tanah Besar China adalah pendakwah yang sebenarnya paling berperanan membawa masuk Islam ke Tanah Melayu seawal abad ke 10 atau 11 Masihi lagi.

Katanya, jika Islam telah sampai ke negara China sejak 1400 tahun lalu, iaitu sebelum umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, tentunya kita boleh membuat satu andaian bahawa Islam kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu melalui Tanah Besar Cina lebih awal berbanding pendakwah-pendakwah dari Tanah Arab yang didakwa yang mula-mula mengislamkan Tanah Melayu ini.

“Ditambah dengan banyak bahan sejarah termasuk catatan dan batu-batu bersurat yang menyokong kepada teori ini masih banyak belum dikaji.

“Namun saya yakin bahawa bangsa Cina mempunyai pengaruh yang cukup besar dan signifikan dalam soal dakwah dan penyebaran Islam berbanding hanya golongan yang baru memeluk Islam di negara ini.

“Jadi siapa sebenarnya yang mualaf di negara ini, anda atau saya? Anda fikirkanlah sendiri!,” katanya sambil mengajuk pelawak Nabil yang mempopularkan tag line “Lu fikirlah sendiri!” itu.

Kata-kata akhirnya itu merupakan antara yang menjadikan Konvensyen Dakwah Negara (KPN) selama dua hari di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur baru-baru ini begitu hangat dan menarik.

Konvensyen itu dihadiri oleh kira-kira 700 peserta terdiri daripada individu-individu pendakwah dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini komited melakukan pelbagai aktiviti dakwah di negara ini.

Wan Seng yang juga Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bercakap soal etika atau tata kerja pendakwah supaya mereka melaksanakan dakwah mereka dengan penuh hikmah.

Ini kerana pengalaman menunjukkan kebanyakan pendakwah menggunakan pendekatan mendakwa berbanding berdakwah itu sendiri.

Kualiti hidup

“Memburuk-burukkan cara hidup mereka yang walaupun mungkin ada kebenarannya menyebabkan sasaran dakwah itu akan lari.

“Malah menuduh mereka sebagai kafir juga kadang kala mempunyai konotasi yang dianggap sangat menghina mereka.

“Apa yang penting kita mesti tonjolkan kebaikan Islam itu sendiri. Jangan bimbang orang Cina merupakan bangsa yang mempunyai fikiran terbuka,” katanya.

Beliau sebenarnya menjawab soalan dari pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzillah Kamsah yang berhadapan dengan persoalan sesetengah kaum Cina di negara ini yang tidak dapat menerima Islam.

Ini kerana golongan berkenaan membandingkan kualiti hidup kalangan Melayu beragama Islam itu.

KPN adalah anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dengan bertemakan ‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’.

Wakil Pertubuhan Dakwah yang terkenal dari Sarawak, Harakah Islamiah (HIKMAH) pula membangkitkan mengenai tindakan pantas lagi cekap pertubuhan dakwah bukan Islam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa musibah dan kemalangan seperti yang berlaku baru-baru ini di Kuching.

Ini apabila kebakaran yang melibatkan sebuah perkampungan Melayu tetapi yang lebih awal datang menghulurkan bantuan kepada mangsa adalah pertubuhan bukan Islam.

Dalam hal ini, Wan Seng bersama dua lagi ahli panel forum di konvensyen itu, Nicholas Berry Sylvester Muhamad Abdullah dan Muhammad Fitri Abdullah tidak menafikan tawaran berbentuk wang dan bantuan dari pihak ‘pesaing’ ditambah dengan tindakan pantas dan cekap mereka sedikit sebanyak boleh menghalang usaha-usaha dakwah Islam.

Wan Seng mendedahkan, kini tidak sahaja pertubuhan gereja yang sering kali dianggap menggunakan tarikan wang dan bantuan malah kalangan pertubuhan Buddha turut mengambil pendekatan yang sama.

“Umpan seperti ini memang menjadi satu cabaran yang sangat getir tetapi saya percaya kebenaran akan mengatasi segala-galanya. Walaupun begitu kita juga mesti bersedia dari aspek yang sama, kerana telah ada peruntukan seperti asnaf zakat dan sebagainya yang boleh kita manfaatkan,” katanya.

Wakil HIKMAH juga memberitahu bahawa, terdapat lebih 50 etnik kaum di seluruh Sarawak tetapi sehingga kini dakwah-dakwah Islam hanya dapat memasuki 1/3 sahaja dari kawasan-kawasan yang didiami etnik yang masih mempercayai pelbagai kepercayaan pagan atau animisme itu.

Ini kerana kos yang tinggi di samping diharapkan dengan adanya Radio Jakim iaitu Salam FM dapat dimanfaatkan dalam usaha dakwah. Lebih-lebih lagi jika ada slot yang ke udara menggunakan loghat atau bahasa daerah seperti Iban, Bajau dan sebagainya.

Turut dibangkitkan adalah pendekatan berdebat seperti yang dilakukan oleh pendakwah terkemuka Allahyarham Sheikh Ahmed Hussein Deedat terutama dengan pendukung-pendukung dakwah Kristian dapat diguna pakai dalam menjayakan misi dakwah Islam di negara ini.

Dalam hal ini, Nicholas berkata, pendekatan seperti itu dikira kurang sesuai sebagai satu uslub dakwah yang strategik. Sebabnya, bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini lazimnya lebih mudah didekati dengan cara yang sederhana atau lebih baik lagi menggunakan kaedah dakwah bil hal, iaitu dengan contoh.

“Dengan cara itu adalah lebih baik lagi berbanding kita berdebat bagi mengelakkan suasana yang tidak harmoni,” katanya.

Terdapat juga peserta yang bertanyakan masalah yang dihadapi dalam berdakwah terutama terhadap bangsa Cina dan India di negara ini kerana usaha itu sering disalah faham oleh parti-parti politik yang mewakili kaum-kaum tersebut.

Berbanding jika usaha dakwah dilakukan terhadap penduduk atau kaum Asli di negara ini yang kurang risiko dari menerima tentangan dari mana-mana pihak.

Ini sebagaimana yang disuarakan oleh pendakwah wanita terkenal negara, Dr. Fatma Al Zahraa yang ingin mendapatkan kepastian sama ada umat Islam ini dibenarkan untuk mengajak kepada Islam kepada mereka yang bukan Islam di negara ini.

“Ini kerana saya dapati banyak pihak yang memberitahu kita tidak boleh berbuat demikian malah di kalangan umat Islam sendiri meminta saya supaya tidak secara terang-terangan berdakwah kepada bukan Islam kerana dari aspek undang-undang, usaha ini tidak dibenarkan.

“Benarkah begitu?” tanya Dr. Fatma.

Wan Seng bagaimanapun menjelaskan Perlembagaan Persekutuan negara tidak menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan terhadap bukan Islam di negara ini.

Begitu juga dengan faktor politik, ia bukan menjadi alasan kepada umat Islam untuk mengehadkan usaha dakwah walaupun tidak dinafikan ia mungkin mempunyai risiko keselamatan yang tinggi.

“Tetapi adalah lebih penting usaha berterusan bagi menjelaskan mengenai Islam malah sebenarnya sudah ada pihak yang menaruh minat untuk mengenali Islam sehinggakan mereka mempelajari al-Quran dan cuba mengambil pengajaran dari kitab suci itu untuk dikongsi bersama dengan orang lain.

“Jadi, kita tidak boleh menghalang minat-minat yang besar terhadap Islam walaupun ia berbaur kepentingan politik,” katanya.

Sementara itu, pendakwah yang mewakili kaum India, Muhammad Fitri dalam kertas kerjanya tidak menafikan usaha-usaha untuk menyebarkan Islam di kalangan bukan Islam menjadi semakin kompleks dan rumit pada hari ini.

“Namun jika para pendakwah mengenali agama dan adat budaya dan resam kumpulan sasaran, kita mendapati usaha yang mulia ini akan menjadi lebih mudah kerana saling memahami perbezaan yang ada mampu mewujudkan hubungan yang harmoni,” jelasnya.

Melalui hubungan yang murni, kata Muhammad Fitri, sehingga ke peringkat umat Islam atau pendakwah Islam mengambil inisiatif menziarahi mana-mana penganut Hindu yang meninggal dunia sudah cukup menjadi satu daya tarikan untuk mereka melihat Islam itu sebagai agama yang sempurna dan indah!

“Jika penganut Hindu memahami dan mendalami agama mereka sendiri, mereka akan menyedari mereka sebenarnya telah salah faham terhadap agama mereka itu.

“Pada hakikatnya agama Hindu adalah antara agama yang terawal berbicara mengenai soal tauhid dan keesaan tuhan yang satu (Eka Tuam).

“Agama ini menjadi menyimpang kerana ia telah diubah mengikut cita rasa dan keperluan semasa,” kata Muhammad Fitri.

Konvensyen ini pastinya membuka banyak lembaran baru dalam dunia dakwah tanah air. Sebabnya terdapat banyak input baru yang mampu menyuntik semangat kepada para pendakwah untuk tidak sahaja mengukuhkan Islam namun yang penting membetulkan pelbagai salah faham serta menghilangkan Islamphobia terutama di kalangan bukan Islam.

Namun seperti yang disuarakan oleh Pegawai Eksekutif Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Mohd. Taqiuddin Abdullah, beliau mengharapkan agar di masa akan datang, pihak penganjur akan mengadakan sesi dialog bersama menteri yang berkenaan.

“Ini bagi membolehkan kita dapat berkongsi banyak perkara di samping menteri dan pihak-pihak yang berkaitan dapat lebih memahami dan menyelami masalah yang dihadapi oleh para pendakwah Islam di negara ini.

“Seterusnya mereka dapat memberikan jalan keluar atau bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah yang berlaku,” katanya.

Utusan Malaysia  30/06/2009

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers