Archive for June, 2009|Monthly archive page

Peristiwa Pembunuhan Kejam Di Selatan Thailand Pada 8 Jun 2009

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat (MUAFAKAT) merasa terpanggil untuk menyatakan rasa simpati dan rasa sedihnya yang amat sangat terhadap mangsa pembunuhan yang telah berlaku ke atas jemaah yang sedang bersolat ‘Isyak di Masjid al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat di Selatan Thailand, pada hari Isnin 8 Jun 2009 dimana 12 orang telah terbunuh dan 19 orang jemaah telah cedera, sebahagianya dengan parah sekali. Sebagai umat Islam, kita tidak dapat lari dari sama-sama merasa simpati, sedih dan marah terhadap trajedi yang berlaku ke atas umat Islam ini, sesuai dengan Hadis Rasulullah S.A.W: Dari Anas r.a. dari Rasulullah S.A.W. bersabda: “Belum beriman seseorang kamu hingga ia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”(Muttafaq Alaih).

Sesungguhnya perbuatan tersebut adalah perbuatan zalim, pengecut dan tidak berperikemanusiaan, yang di lakukan bukan sahaja terhadap mereka yang tidak berdosa, tetapi mereka yang sedang beribadat di dalam Masjid, iaitu rumah ibadat yang amat suci dalam agama Islam. Kami tidak dapat menerima dakwaan bahawa perbuatan yang sekejam ini dilakukan oleh pihak pemisah yang juga berugama Islam, tetapi kami lebih berat untuk mempercayai bahawa serangan tersebut ada kena mengena dengan pihak-pihak yang berkait rapat dengan pihak berkuasa Thailand, terutama kalau dilihat kepada senjata rifel yang di gunakan dalam serangan tersebut.

Namun demikian, demi untuk mendapat keadilan, kami mendesak pihak berkuasa Thailand supaya melantik badan atau jawatankuasa khas yang bebas untuk melakukan siasatan bebas bagi mengetahui siapa sebenarnya pihak yang bertanggungjawab, dan kami juga mendesak supaya pihak yang bertanggungjawab itu mesti diumumkan dan dihadapkan kemuka pengadilan untuk mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka yang zalim itu.

Seterusnya kami mendesak pihak berkuasa Thailand, terutama pihak tentera dan polisnya supaya tidak lagi menakut-nakutkan (intimidate) orang-orang kampung apabila mereka meronda di sekitar kampung, kerana ternyata perbuatan mereka ini telah menimbulkan kecurigaan dan ketakutan di kalangan mereka dan telah menjauhkan dan menimbulkan ketidakpercayaan orang-orang kampung terhadap Kerajaan Thailand dan institusi-institusinya.

Malah lebih jauh dari itu, kami mendesak pihak berkuasa Thailand supaya menarik balik bala tenteranya dari empat wilayah di Selatan Thailand ini, dan sebagai gantinya orang-orang kampong hendaklah di minta menubohkan Pasukan Kawalan Kampung (Village Vigilante Corp) untuk menjaga keselamatan kampung, harta dan penduduknya. Inilah cara ‘empowerment’ yang akan dapat mengembalikan keyakinan pendudok-penduduk tempatan (yang telah hilang keyakinan) terhadap Kerajaan mereka.

Seterusnya kami mencadangkan supaya seluruh pentadbiran kampung-kampung di Selatan Thailand dikembalikan kepada orang-orang kampung sendiri dan tidak lagi dilantik orang-orang tentera, polis atau pegawai-pegawai awam dari Bangkok atau tempat-tempat lain, kerana langkah ini akan dapat memenangi hati nurani orang-orang kampung dan tidak lagi menyebabkan mereka merasa terjajah dalam negeri sendiri.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah menurunkan keselamatan dan kedamaian ke bumi empat wilayah di selatan Thailand ini, dan menurunkan keselamatan dan kedamaian kepada penduduknya, dan semoga peristiwa kejam pembunuhan orang-orang yang tidak berdosa seperti yang berlaku di Kampong Air Tempayan, dan satu ketika dahulu di Tak Bai tidak berlaku lagi.

.

(Haji Ahmad bin Haji Ismail)

Timbalan Presiden, Muafakat.

15 Jun 2009.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 49 other followers