Archive for May, 2009|Monthly archive page

Konvensyen Pendakwah Negara 2009M/1430H

KONVENSYEN PENDAKWAH NEGARA 2009M / 1430H

Tema:

”Da’ie Pemangkin Transformasi Ummah”

Tarikh:

10–11 Jun 2009M /16-17 Jamadilakhir 1430H

(Rabu & Khamis)

Tempat:

Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur

Anjuran:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Dengan kerjasama:

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT – sila hubungi Sdr. Wan Burhan Ismail (016-395-6497)

Tarbiyyah Qur`aniyah Pemantap Kerohanian dan Pengukuh Gerakan Islam Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini

Untuk cetak, sila klik versi pdf ini: Tarbiyyah Qur`aniyah Pemantap Kerohanian

****************************************

Tarbiyyah Qur`aniyah Pemantap Kerohanian dan Pengukuh Gerakan Islam Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini

1. Pendahuluan

Tarbiyyah Qura`aniyah ialah manhaj tarbiyyah yang paling berkesan dalam membangun insan dan insaniyyahnya. Insan yang dibangunkan oleh Qur`an dengan dokongan sunnah dan bimbingan Rasulullah S.A.W. dapat melahirkan insan yang sebenar yang terbina hatinya, akalnya, emosinya, nalurinya dan jasmaninya secara seimbang. Ia dapat melahirkan kesedaran dan tanggungjawab manusia terhadap Allah, dirinya, manusia lain, alam sekitar dan segala ciptaan Allah yang lain. Insan yang dibina oleh tarbiyyah Qur`aniyyah ini mampu membangun peradaban yang tinggi dalam sejarah tamadun manusia dalam masa yang amat singkat samada peradaban kebendaan, keilmuan dan kerohanian serta membangun sistem hidup yang lengkap yang berpaksikan tauhid, berbudayakan ilmu dan berhiaskan akhlak yang tinggi.

  1. 2. Pengertian Tarbiyyah Qur`aniyyah dan sasarannya

Pengertian Tarbiyyah Qur`aniyyah

Qur`an ada menggunakan istilah tarbiyyah[1], ta`lim[2] dan Rasulullah menggunakan ta`dib[3] untuk maksud pendidikan.

Tarbiyyah ialah proses membangun potensi manusia yang meliputi akal, rohani, emosi dan jasmaninya. Ta`lim ialah proses penyampaian ilmu kepada manusia melalui pengajaran mengikut keperluan potensi nya yang ada. Manakala ta`dib ialah proses pembangunan kualiti kemanusiaannya sebagaimana yang semestinya mengikut lunas-lunas syarak. Maka Tabiyyah Qur`aniyyah maksudnya di sini ialah proses mendidik seluruh potensi manusia yang sepatutnya dibangunkan melalui penyampaian ilmu khusus dan umum yang diperlukan serta penghayatannya agar ia melahirkan insan yang sempurna melalui pembinaan akal, rohani, emosi dan jasmaninya secara sepadu berdasarkan Qur`an, Sunnah dan pengalaman ilmuan yang muktabar.

Insan sebagai sasaran Tarbiyyah

Qur`an menggunakan istilah insan[4] (manusia) atau al-Nas[5] (manusia) atau basyar[6] (manusia) untuk maksud manusia. Ia mengandungi aspek rohani, jasmani, akal emosi dan nalurinya. Aspek jasmaninya disebut anggota-anggota yang zahir seperti alat pendengaran, penglihatan, alat berfikir[7], kaki[8], tangan[9], kepala[10], kulit[11], badan[12] dan angota-anggota yang lain. Manakala aspek rohaninya meliputi ruh[13], nafs[14], qalbu- fu`ad[15] dan aspek emosinya pula ialah khauf[16] (takut), hazan[17] (dukacita), `ajal (gopoh), khalu`a[18] (tidak tenteram), sakinah[19] (tenteram), karahah[20] (marah), was-was[21] dan shak[22] manakala nalurinya ialah hubb[23] (cinta), kepergantungan kepada yang lain (dhaif)[24] dan hawa nafsu (hawa)[25], lapar dan dahaga[26].

Tarbiyyah Qur`aniyyah mensasarkan kepada manusia untuk membangunkan kelima-lima potensi manusia itu agar proses pembangunannya berlaku secara seimbang dan secara tabi`i melalui bimbingan Quran dan panduan Rasul agar semuanya terarah kepada memenuhi tuntutan Allah dan menggunakan potensinya itu bagi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah dan hambaNya yang mampu memakmurkan alam ini sebagaimana yang diingini oleh Allah.

Selain dari itu proses kejadian manusia juga dijelaskan oleh Qur`an di mana asal manusia itu dari unsur tanah, kemudian dimulai dengan benih (nutfah), diikuti percantuman benih dengan telur (alaqah) menjadikannya janin, kemudian diikuti dengan kelahiran sebagai bayi dan membesar sehingga dewasa dan seterusnya menjadi tua dan ada setengahnya mati sebelumnya. Allah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan apabila Dia kehendakinya maka diperintahkannya jadilah maka jadilah ia[27].

Manusia yang Allah sebutkan di dalam Qur`an itu sejenis makhluk yang amat berbeza sekali dengan makhluk-makhluk Allah yang lain dari sudut keindahan rupa parasnya yang zahir dan segala elemen yang terkandung di dalam dirinya sama ada yang zahir dan yang batinnya, demikian juga proses kejadiannya.

  1. Skop Tarbiyyah Qur`aniyyah

Lima perkara yang menajdi sasaran kepada pendidikan Islam iaitu akal, rohani, naluri, emosi dan jasmani. Rasulullah s.a.w. ada memberi garis panduan umum dalam proses pendidikan itu merangkumi tiga aspek asas yang perlu digarap iaitu tarbiyyah aqidiyyah, tarbiyyah syar`iyyah dan tarbiyyah nafsiyyah. Tiga aspek ini terkandung dalam maksud hadith Rasulullah s.a.w. ketika baginda ditanya oleh Jibril tentang iman, Islam dan ihsan. Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa iman ialah kamu percaya kepada Allah, Malaikat, rasul dan Hari akhirat serta Qada` dan Qadar Allah baik dan buruk. Islam ialah kamu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Rammadhan dan menunaikan haji Ka`baitullah bagi yang berkuasa dan Ihsan pula ialah hendaklah kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya dan jika kamu tidak dapat melihatNya, maka Allah sedang melihat kamu.[28]

Hadith di atas menyebut tiga perkara asas yang perlu diserapkan ke dalam diri individu Muslim iaitu Imam, Islam dan Ihsan. Iman bererti membenarkan perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah, mengakui kebenarannya dengan lidah dan beramal secara zahir, segala apa yang diyakininya manakala Islam pula ialah meyerah diri dan mematuhi segala tuntutan akidah dan syariah melalui amalan zahirnya seperti melafaz syahadah solat dan lain-lain. Dan Ihsan pula ialah menentukan keadaan posisi hati dalam hubungannya dengan Allah dalam keimanan dan amalan-amalan yang dilakukan didorong oleh tulus ikhlas kepada Allah semata-mata demi untuk membersihkan hati dari unsur-unsur negatif dan kekotoran yang mencemari hati manusia bagi mencapai keredhaan Allah.

Maka unsur niat kerana Allah dan amalan kerana Allah merupakan asas utama dalam amalan muslim untuk mendapat pahala dan keberkesanannya kepada hati sanubari manusia yang dapat mempengaruhi tingkahlaku dalam kehidupannya kerana setiap perintah Allah itu mempunyai kesannya tersendiri ke atas individu Muslim. Kalau dilihat kepada aspek akidah, syariah dan akhlak sebenarnya matlamat akhir dari ketiga-tiga ini ialah bertujuan untuk meluruskan hati manusia dan bertautannya kepada Allah dalam semua tindakan dan dalam semua keadaan dalam kehidupannya samada ia ibadat khusus atau ibadat umum.

  1. Pembangunan hati sebagai sasaran Utama Pendidikan Qur`an.

Qur`an menyebut tentang hati dengan berbagai istilah seperti Qalb[29], Fu`ad[30], Nafs[31], ruh[32] dan aql[33]. Mengikut kenyataan Imam Al-Ghazali bahawa istilah – istilah yang disebut oleh Qur`an itu ada dua pengertiannya; pengertian fizikalnya Qalb itu merujuk kepada jantung manusia yang memberi daya kehidupan kepadanya, manakala pengertian rohaninya merujuk kepada pengertian al-Latifah al-Rabbaniyyah[34] iaitu keupayaan rohaniyyah yang Allah sediakan dalam diri manusia untuk membolehkannya memahami dan menyelami alam ketuhanan dan segala rahsianya, yang boleh mendatangkan ikatan hubungan yang mendalam seseorang hamba dengan Allah s.w.t. yang boleh mendatangkan kesan kepadanya tentang kesedaran tanggungjawab untuk memenuhi tuntutan syariat Allah dengan penuh keredhaan kepadaNya dengan melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifahNya yang dipertanggungjawabkan ke atasnya untuk memakmurkan alam ini.

Dengan terbinanya hati hakiki ini yang boleh menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap Allah dengan penuh keredhaan itu akan menjadikan seseorang manusia terbina hatinya dengan baik dan peribadinya sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud “apabila baiklah ia maka baiklah segala anggota badan manusia itu iaitu baik hati (Qalb)”.[35]

Maka kesan daripada pembinaan hati yang menjadi baik ini dapat difahami dari kenyataan hadith Qudsi yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ….hambaku berterusan menghampirikan diri kepadaku dengan amalan-amalan sunat (al-Nawafil) sehingga aku cinta kepadanya, apabila aku cinta kepadanya maka pendengarannya adalah dengan pendengaranku, penglihatannya adalah dengan penglihatanku, perjalanan kakinya adalah dengan perjalananku, jika ia memohon pertolongan dari ku aku memberi kepadanya dan jika ia memohon perlindunganku aku melindunginya.[36]

Tarbiyyah ruhiyyah yang dilakukan melalui riyadhah nafsiyyah dengan amalan-amalan rohaniyyah adalah bertujuan untuk menghapuskan sifat-sifat hati yang keji seperti hasad dengki, takabbur, riyak, tamak, bakhil, kebencian, kemarahan, perseteruan dan sebagainya serta menimbulkan sifat-sifat terpuji seperti pemurah, bersyukur, benar, simpati, sangkabaik, ikhlas, rendah diri, sabar, kesedaran, jihad dan sebagainya. Riyadhah Nafsiyyah ini bermula dengan amalan wajib seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya kemudian diikuti dengan amalan-amalan sunat muakkadah seperti solat sunat iring waktu, tahajjud dan sunat-sunat yang lain, bersedekah selepas berzakat , berpuasa sunat selepas wajib, berterusan membaca al-Quran, berzikir, beriktikaf dan bertafakur. Apa yang jelas dari nas di atas menunjukkan bahawa kesuburan hati dan kemanisan iman itu dapat bertambah melalaui amalan-amalan sunat dan bertafakur, serta bersedekah dan berpuasa sunat.

Bagi menyempurnakan keperibadian muslim ilmu tambahan diperlukan bagi menampung keperluan masyarakat dan mengislahkan kehidupan mereka, ia meliputi ilmu perubatan, ilmu perekonomian, ilmu perusahaan, ilmu pertukangan dan ilmu hukum yang diperlukan.

Ilmu-ilmu ini merupakan asas kepada kewujudan, kehidupan dan kesinambungan sesebuah masyarakat yang boleh menjamin penerusan hidupnya dan pengekalan tamadunnya. Oleh itu tarbiyyah dalam bidang ilmu kemasyarakatan ini juga amat diperlukan. Kalau ilmu kerohanian merupakan asas pengukuhan pembinaan individu dan jati diri maka ilmu-ilmu kemasyarakatan ini pula dapat mengukuhkan ikatan masyarakat dan mengekalkan tamadun sesuatu bangsa. Maka kedua-duanya mesti digarap bersama dan dihayatinya berterusan demi untuk mencapai kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi.

  1. Keperluan Gerakan dalam Pembangunan Rohani dan Kemasyarakatan

Said Hawa ada menyatakan bahawa dalam pengalaman gerakan Islam semasa timbul suatu keadaan yang tidak jelas arahnya maka dengan itu ia tidak akan membuahkan hasil. Sebahagian dari pendokong-pendokong gerakan Islam semasa didapati mengambil tarbiyyah sufiyyah dari sudut pemikiran dan pembawaannya secara umum (mujmal) dan tidak mendalam justeru, ia melahirkan kesan di mana kebanyakkan dari pendokong-pendokong gerakan Islam yang diasaskan oleh Hasan al-Banna merasakan dirinya kosong dari sudut kerohaniannya, lalu sebahagian dari mereka (untuk memenuhi kekosongan itu) telah pergi berguru kepada Sheikh atau Sheikh-Sheikh yang tidak memahami hakikat gerakan dakwah semasa dan keperluan-keperluan asasnya, maka mereka itu telah dipesongkan dari melakukan kewajipan-kewajipan yang amat penting yang Allah wajibkan untuk dilaksanakan pada masa ini.

Selain dari itu hendaklah kita semua sedari bahawa zaman ini adalah zaman penumpuan manusia kepada kepuasan nafsu syahwat dan megejar kebendaan. Oleh itu untuk mengatasi gejala negatif ini hendaklah dilakukan yang sepadan dengannya untuk melawannya.

Maka di sini dengan tegas saya menyatakan bahawa tarbiyyah sufiyyah adalah satu-satunya yang berupaya mengatasinya. Gejala nafsu syahwat tidak dapat diselesai dengan hanya kata-kata dan ucapan nasihat malah ia lebih kepada tuntutan tindakan hati, demikian juga gejala kebendaan tidak dapat diselesaikan dengan kata-kata dan ucapan nasihat sahaja, malah ia perlu dibina perasaan, kecenderungan dan kehendak berasaskan keimanan yang mendalam. Tabiat liar tidak dapat diubati hanya dengan kata-kata, ia perlu diubati dengan perasaan kecintaan kepada Allah, ketakwaan, wara’ dan beradab. Inilah jalan tasawuf yang amali.[37]

Dalam amalan kerohanian untuk pembinaan hati dan pembersihannya dari sifat-sifat mazmumah dan cintakan dunia hendaklah memenuhi beberapa syarat iaiitu ilmu; melakukan amalan itu berasaskan ilmu, dan adanya amal, iaitu tindakan zahir terhadap amalan tersebut, dan akhirnya ialah hal iaitu kedudukan posisi hati dalam melaksanakan amalan itu kerana Allah semata-mata demi untuk mendapat keredhaanNya. Selain dari itu dalam beramal kita perlukan mujahadah (kesungguhan), muraqabah (penelitian supaya menepati syarak) dan akhirnya muhasabah (penilaian) dan diikuti dengan Khauf (Kebimbangan) dan Raja` (harapan).

Dilihat kepada tabiat kejadian manusia itu ia memerlukan penjagaan , dari sudut fizikalnya perlu kepada zat-zat makanan dan minuman yang bersesuaian iaitu halal dan berkhasiat (halalan Tayyiba`) dan riyadhah demi hidupnya. Manakala hati pula ia juga perlu kepada bahan untuk kekuatan dan ketahanannya, maka amalan-amalan kerohanian itulah yang menjadi makanannya, sama ada yang wajib dan yang sunatnya. Ia diistilahkan sebagai Riyadhah al-Nafs atau Tazkiyah al-Nafs.

Pembangunan peribadi yang terbina dengan disiplin tarbiyyah ruhiyyah yang haraki ia tidak merasa senang dengan hanya kepuasan beribadat dan berzikir. Tetapi jiwanya yang terbina dengan nilai-nilai kerohanian yang berorientasi harakah itu tidak boleh berdiam diri tanpa melibatkan diri dengan kegiatan pembangunan masyarakat terutamanya melakukan usaha untuk memenuhi tuntutan syariat yang meletakkan tanggungjawab khalifah ke atas dirinya untuk memakmurkan alam ini mengikut acuan syara`, sama ada ia untuk kepentingan kehidupan sesama manusia atau makhluk-makhluk Allah yang lain seperti tumbuhan, binatang, sumber bumi, air dan lain-lain.

Orang yang menyedari tanggungjawab gerakan ia mesti memenuhi dua tuntutan ini iaitu membangun diri (tuntutan fardhu`ain) dan membangun masyarakat (tuntutan farhdu kifayah). Maka dengan usaha dua pembangunan ini dan perlaksanaannya terhasillah individu dan masyarakat Islam yang sempurna.

Kesimpulan

Bagi menentukan arah tuju pergerakan itu kita perlu memahami dua asas utama; pertama memahami manusia itu dan posisinya dalam hubungannya sebagai hamba Allah, keduanya posisinya dalam hubungannya dengan manusia-manusia lain, dan makhluk-makhluk lain dari ciptaan Allah s.w.t. kemudian diikuti dengan kesedaran tanggungjawab sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab membangunkan alam ini berteraskan kehendak dan hukum Allah.

Maka dengan menyedari dua perkara ini dari segi persediannya maka asas-asas tarbiyyah mestilah terarah kepada pembangunan jati diri peribadi dan kesedaran tanggungjawab untuk membangun masyarakat. Kedua-dua pembangunan ini berlaku seiring dan pendokong-pendokong gerakan mesti bekerja ke arah itu bagi memenuhi tuntutan firman Allah:

وقل اعملوا فسيرى الله عملكم ورسوله والمؤمنون وستردون الى عالم الغيب والشهادة فينبئكم بما كنتم تعملون

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) bekerjalah kamu sesungguhnya Allah akan melihat usaha kamu, demikian juga dan rasulnya serta orang-orang mukmin dan kamu akan dibawa ke alam ghaib dan nyata kamu akan dimaklumkan tentang apa yang kamu telah lakukan (didunia) .

Marilah sama-sama kita berusaha dengan penuh mujahadah untuk mencari keredhaan Allah dan mengislah masyarakat mengikut acuan syariat Allah S.W.T. sebagaimana yang diperintahkan.

Disediakan oleh:

Prof. Madya Dr. Abdul Halim El-Muhammady


Nota Penghujung

[1] Qur`an, al-Isra`, 24

[2] Qur`an, al-Baqarah, 31

[3] Suyuti (t.t), al-Jami`ah al-Saghir, syarikah Maktabah wa matba`ah al-babi al-halabi wa awladuhu, Misr, jil . 1, hlm, 14

[4] Qur`an, al-Rahman, 55

[5] Qur`an, al-Nas, 2

[6] Qur`an, al-Kahf, 110

[7] Qur`an, al-Ahqab, 26

[8] Qur`an, al-Maidah, 5

[9] ibid

[10] ibid

[11] Quran, al-Nisa`, 56

[12] Qur`an, al-Baqarah, 247

[13] Quran, al-Isra`, 85

[14] Qur`an, al-Fajr, 28

[15] Qur`an, as-Syuara`, 89, al-Sajdah, 23

[16] Qur`an, al-Baqarah, 216

[17] ibid

[18] Qur`an, al-Anbiya`, 27: al-Ma’arij, 19

[19] Qur`an, al-Fath, 4

[20] Qur`an, al-Baqarah, 216

[21] Qur`an, al-Nas, 5

[22] Qur`an, Yunus, 94

[23] Qur`an, al-Baqarah, 216

[24] Qur`an, al-Ahad, 2; al-Nisa`, 28

[25] Qur`an, al-Jathiah, 23

[26] Qur`an, al-Ghasyiah, 7

[27] Nawawi (t.t.), sahih Muslim, Qahirah, jld 1, hlmn 15

[28] Lihat nota 15

[29] Lihat nota 15

[30] Lihat nota 13

[31] Lihat nota 13

[32] Lihat nota 14

[33] Lihat nota 14

[34] Lihat Ghazali (t.t), Ihya` Ulum al-Din, Isa al-babi al-halabi, Misr, Jild 3, hlm 3-4

[35] hadith

[36] Nawawi, Riyadh al-Salihin, Maktabah Muhammad, al-nahdi wa awladuhu, Misr, hlm 65, ulasan Muhd Imawah

[37] Said Hawwa, 2006, Tarbiyatuna al-Ruhiyyah, Dar al-Salam, Misr, hlm 13

Usrah Bulanan – Jun 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 2 Jun 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tajuk: Tarbiyyah Qur`aniyah Pemantap Kerohanian dan Pengukuh Gerakan Islam Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini (klik)

Untuk cetak, sila klik versi pdf ini: Tarbiyyah Qur`aniyah Pemantap Kerohanian

Pembentang: Prof. Madya Dr. Abdul Halim El-Muhammaddy

Tempat: Kediaman Sdr. Presiden, Prof Emeritus Osman Bakar

Alamat kediaman Sdr. Presiden:  No. 117, Jalan Sri Tasik Timur, Perdana Lakeview East, Cyberjaya [melepasi pejabat MDEC, Century Square dan Cyberview Lodge. Sebelum Sri Tasik Barat dan Sekolah Seri Puteri Cyberjaya].

Peta (klik pada imej untuk paparan yang lebih besar):

usrah map - OB1Zoom:

usrah map - OB2

Konsep Kepimpinan Dan Komunikasi Dalam Pasukan

Berikut adalah bahan perbincangan Usrah Mei 2009 yang akan dibentangkan oleh Prof Dr Che Gu Sidek Babakonsep-kepimpinan

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 45 other followers