Archive for April, 2009|Monthly archive page

Muafakat Bantah Keputusan Kabinet dan Pengumuman Nazri

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) membantah keputusan kabinet yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pada 23hb April berhubung hak penjagaan anak-anak ibubapa yang memeluk agama Islam.

Dalam nota ringkas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Dato’ Jamil Khir Baharom, Timbalan Presiden MUAFAKAT, Dato Ahmad Ismail menyatakan bahawa MUAFAKAT bersama NGO-NGO Islam yang lain membantah keputusan yang dibuat oleh kabinet.

MUAFAKAT menyatakan batahannya juga kerana keputusan kabinet dibuat dengan tergesa tanpa mengkaji sedalamnya dan mengambil kira pandangan para ulama’ dan cendiakawan Islam. Keputusan yang dibuat mempunyai implikasi yang besar dan melibatkan banyak aspek kehidupan umat Islam, hak mualaf dan kedudukan mahkamah syariah di sisi perlembagaan.

Pengumuman yang dibuat Nazri telah menguris hati umat Islam dan keputusan tersebut dilihat sebagai hanya mengambil hati orang-orang bukan Islam serta mencampurtangan dalam kes yang telah pun dibawa ke mahkamah.

Usrah Bulanan – Mei 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 5 Mei 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tajuk: Antara Ketokohan Individu Dan Keunggulan Keinstitusian (bahannya akan disusuli)

Pembentang: Prof. Dr. Cikgu Sidek Baba

Tempat: Kediaman Sdr. Naib Presiden, Dr. Muhammad Nor Nawawi

(PERHATIAN: Ini merupakan pertukaran tempat dari cadangan asal di kediaman Sdr. Presiden Prof. Emeritus Osman Bakar)

Alamat kediaman Dr. Muhammad Nor Nawawi: No. 2909 Jalan 3/71B, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail (masuk melalui Lorong Rahim Kajai 13, TTDI)

peta-rumah-dr-mdnornawawiKlik pada imej untuk peta

Doktrin Asha’irah Dalam Perspektif Pembinaan Ummah Islamiyyah

Bahan untuk perbincangan Usrah bulan April 2009 [untuk maklumat tarikh/tempat usrah sila ke http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2009/03/26/usrah-bulanan-april-2009/]

Untuk cetak versi pdf  [sila klik di sini]

**************************************

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Doktrin Asha’irah Dalam Perspektif Pembinaan Ummah Islamiyyah:

Satu Pengamatan Awal[1]

Oleh:

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Pembinaan Ummah Islamiyyah Dalam Doktrin Asya’irah dalam Ahlissunnah wal-Jama’ah (termasuk juga Maturidiyyah yang merupakan satu daripada dua serangkai dimensi Ahlissunnah itu) melibatkan pembicaraan tentang dimensinya dalam akidah, epistemologi dan kedudukannya sebagai kerangka peradaban. Ini semestinya demikian kerana pandangan hidup ditentukan oleh akidahnya, dan ini yang menentukan perkara-perkara pokok dalam peradaban terutama yang menyentuh perkara-perkara asasi tentang Tuhan, alam, kehidupan, manusia dan keabadian.

Epistemologi pula semestinya dibicarakan kerana ia menyentuh dimensi kefahaman tentang ilmu pengetahuan, segi-segi, keadaan, ciri-cirinya dan dimensi-dimensi lainnya yang mencorakkan peradaban; di satu pihak ia mengenai akidah juga, tetapi jangkauannya lebih lagi daripada akidah, sebab ia menyentuh semua aspek tentang ilmu.

Kerangka peradaban pula ditentukan oleh akidah dan epistemologinya, termasuk pengalamannya dalam sejarah umat ini, yang menunjukkan hasil interaksi antara akidah dan epistemologi dengan kolektiviti manusia dalam pengalaman Islam di dunia ini.

Pembicaraan tentang pembinaan umat dilibatkan dengan doktrin kerana pada dasarnya umat adalah kolektiviti rabbani yang bermula dengan individu, dan individu menjurus kepada pembinaan umat hanya dengan adanya akidah, epistemologi dan kerangka peradaban yang muncul daripadanya.

Ahlissunnah: Doktrin Asya’irah Dalam Akidah:

  • Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari rd (260-324 H/874-935 M), namanya Abu al-Hasan ‘Ali ibn Isma’il ibn Abi Bishr Ishaq, pengasas aliran Asya’irah dalam Ahlissunnah wal-Jamaah, biasa disebut sebagai Abul-Hasan al-Asy’ari rd. Beliau mula-mulanya berpegang kepada aliran Mu’tazilah, kemudian menganut pegangan Ahlissunnah wal-Jamaah sebagaimana yang dijelaskan dalam riwayat hidupnya, antaranya sebagaimana yang diulaskan oleh Dr Fauqiyyah Husain dalam tulisannya berkenaan dengan imam ini.

  • Antara kitab-kitabnya yang banyak itu, nampaknya enam buah dipastikan antaranya: ‘Maqalat al-Islamiyyin’, ‘al-Risalah ila Ahl al-Thaghr bi Bab al-Abwab’, yang mengandungi huraian ringkas tentang ajarannya selepas ia berpegang kepada aliran Ahlissunnah; ‘al-Luma’ (اللمع)’, risalah ringkas tentang ajarannya yang diulas kemudiannya oleh al-Baqillani (men.1013) dan Ibn Furak (men.1015); ‘al-Iman’, tulisan ringkas tentang iman; ‘al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah’, yang memberi penerangan tentang pendirian Ahlissunnah dan menyanggahi aliran Mu’tazilah dan para pengikut Jahm ibn Safwan (men.745) antara lainnya; ia mengeluarkan hujah untuk memberi keabsahan kepada aliran Ahlissunnah.

  • ‘Al-Hath ‘ala al-Bahth’, yang memberi hujah tentang penggunaan pemikiran dan pemberian dalil akli dengan penggunaan istilah-istilah yang formal, diarahkan kepada mereka yang menentangnya dalam perkara demikian; mungkin dikarang kemudian daripada ‘al-Ibanah’. Ini diterbitkan beberapa kali dengan judul ‘Istihsan al-Khawd fi ’Ilm al-Kalam’

  • Kemudian yang dimaksudkan Doktrin Asya’irah atau Ahlissunnah ialah ajaran dan amalan berdasarkan Qur’an, Sunnah, ijma’ dan kias (dan yang sepertinya) di kalangan mereka yang muktabar dalam sejarah umat Islam.

  • Ia berdasarkan hadith yang menyebut bahawa umat Islam berpecah kepada 73 golongan, yang selamat hanya satu, iaitu mereka ‘yang berada di atas perjalanan hidupku dan para sahabatku (ما أناعليه وأصحابى); mereka disebut sebagai ‘Ahlissunnah wal-Jamaah’ dalam hadith riwayat al-Tabarani dan juga hadith yang dinukil oleh al-Shahrastani rh dalam al-Milal wal-Nihalnya.

  • Ahlissunnah merupakan golongan yang berpegang kepada akidah Asy’irah (termasuk juga aliran Maturidiyyah) dalam Ahlissunnah, dengan menggunakan tafsir Ahlissunnah, ilmu hadith Ahlissunnah, fiqh Ahlissunnah, akhlak atau tasawwuf Ahlissunnah, ilmu nahu, saraf dan bahasa Ahlissunnah, para penjaga sempadan negeri-negeri Ahlissunnah (al-murabitun), dan orang-orang awam yang mengikut ulama Ahlissunnah. (al-Baghdadi, [antara pemuka Asya’irah dalam Ahlissunnah], dalam al-Farq bainal Firaq, dan Usul al-Dinnya). Ini dirujuk kerana ia merupakan hasil rumusan pengalaman Islam dalam sejarah dan peradaban selepas beberapa abad lamanya.

  • Ahlissunnah wal-Jamaah yang terhurai dalam doktrin Asya’irah kemudiannya bermula dengan Nabi salla’Llahu ’alaihi wa sallam dan para sahabatnya – Allah meredhai mereka semuanya; dikatakan Imam al-Ash’ari rd dan ulama kemudiannya sebagai imam dalam Ahlissunnah sebab ia menyusun hujah-hujah memberi jawapan kepada para penentang Ahlissunnah dan menjelas isu-isunya dengan nyata sehingga nyatalah kebenaran Ahlissunnah sampai sekarang. Adapun ajaran dan amalan Ahlissunnah pada zatnya sendiri bermula dengan Nabi salla’Llahu alaihi wa sallam.

  • Mereka yang berpegang kepada doktrin Asya’irah dalam Ahlissunnah wal-Jamaah adalah mereka yang mengikut huraian usul al-din atau aqidah mengikut Imam al-Ash’ari – seperti yang dihuraikannya dalam al-Ibanah, Maqalat al-Islamiyyin, dan lainnya dan al-Maturidi dalam Usul al-Din dan lainnya. Maka di abad keempat Hijrah memperlihatkan kegiatan para ulama utama: Imam al-Ash’ari rd mengembangkan ajarannya di Baghdad, Imam al-Tahawi di Mesir, dan di Samarqand al-Maturidi – Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya.

  • Doktrin Asya’irah dalam Ahlissunnah dari segi akidah ertinya: akidah yang menerangkan rukun-rukun iman seperti Tuhan, para nabi dan rasul, malaikat, kitab samawi, akhirat dan qadha’ dan qadar.

  • Dihuraikan antaranya akidah sebagai tajuk-tajuk ilahiyyat, tentang ketuhanan, al-nubuwwat tentang kenabian, dan al-ghaibiyyat tentang alam ghaib, atau al-sam’iyyat, tentang perkara-perkara kebenaran yang diambil daripada Quran dan sunnah.

  • Akidah Asya’irah dalam Ahlissunnah (selain dari padanya Maturidiyyah) itu relevan dan mesti menjadi pegangan sampai sekarang dan seterusnya sehingga ke akhir zaman. Hanya huraian-huraiannya mungkin memerlukan tambahan-tambahan maklumat dan contoh-contoh untuk menjelaskan isu-isu yang dibicarakan. Kebenaran-kebenarannya terus diperlukan untuk menyelamatkan manusia secara hakiki. Ringkasnya doktrin Asya’irah dalam akidah Ahlissunnah mesti kekal menjadi pegangan umat dengan huraian-huraian tentang soal-soal ketuhanan, kerasulan dan alam ghaib.

  • Pendirian pascamodernis tentang akidah yang mahu supaya metafisika klasik ditolak (demetaphysicalization), alam ghaib atau ’yang transenden’ mesti ditolak, yang sakral mesti ditolak (desacralization), perkara-perkara luar biasa seperti mu’jizat mesti ditolak (demythologization), konfrontasi antara yang hak dan yang batil ditolak sebagai ’irrelevant confrontations’ – itu semuanya bercanggah dengan doktrin Asya’irah dalam Ahlissunnah wal-Jamaah dan mesti disanggah dan ditunjukkan tidak benarnya itu. Juga pendiriannya yang menolak kebenaran-kebenaran yang kekal abadi, sebab katanya, semuanya berubah-ubah mengikut ’imaginasi sosial’ – imaginasi sosiallah yang menerbitkan ilmu dan untuknya ilmu dilahirkan (knowledge is produced by and for social imagination) – itu menyanggahi doktrin Asya’irah dalam Ahlissunnah yang berdasarkan Qur’an, Sunnah dan ijma’ para imam yang menentukan akidah umat ini. Erti-erti dalam akidah kekal tidak berubah dari dulu sampai sekarang; tambahan-tambahan dalam huraian boleh berkembang tetapi hakikat kebenaran di dalamnya kekal.

Pembinaan Umat melibatkan segi epistemologi yang memandu dan menentukan coraknya:

  • Epistemologi ialah huraian berkenaan dengan takrif ilmu, kemuliaan ilmu, punca-punca ilmu, kategori-kategori ilmu, pentarafan ilmu, kesakralannya, matlamat dan objektifnya

  • Timbul takrifan ilmu sebagai mengetahui yang dimaklumi mengikut apa yang sebenarnya, dengan dalil dan yakin-seperti takrif Imam Shafi’i rd dalam al-Fiqh al-Akbarnya[2], dan lain-lainnya, sumber-sumber ilmu dengan Quran, Sunnah, ijma’, pengamatan pancaindera manusia dengan alat-alatnya, akal fikiran manusia, pengembangan aspek-aspek akal manusia, intiusi dan yang sepertinya, manusia dan ’malakah-malakah’nya, ilmu dengan taraf-tarafnya (ilmu yang akli, yang bersifat hal, yang berupa haqa’iq)

  • Kemunculan ilmu-ilmu dalam tamadun Islam seperti yang dihuraikan oleh ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah, oleh ibn Nadim dalam al-Fihrist, oleh Tash Kopruzade dalam Miftah al-Sa’adah, demikian seterusnya

  • Huraian tentang perkembang ilmu-ilmu Syar’iyyah dengan ilmu-ilmu tentang Quran, hadith, tasawwuf, usul al-din, ilm al-kalam, fiqh, ilmu bahasa, nahu, sastera, balaghah, ilmu sirah, tarikh, falsafah dan etika; ilmu-ilmu akliah seperti fisik, biologi, seni bina, ilmu pertanian, dan seterusnya yang boleh dikembangkan kefahaman tentangnya dalam kerangka Ahlissunnah seperti yang disenaraikan oleh ibn Khaldun dalam bab VI al-Muqaddimahnya.

  • Maka lahirlah metodologi ilmu-ilmu dalam Islam dengan tafsir Quran dengan metodologinya, hadith dengan metodologinya, usul al-din dengan metodologinya, tasawwuf dengan metodologinya, sejarah dan sirah dengan metodologinya, demikian seterusnya dengan ilmu-ilmu seperti kimia, fisik, geografi, pertanian, pertukangan dengan metodologinya masing-masing (dan sekarang boleh ditambah dengan disiplin-disiplin baru seperti ICT, nanoteknologi, bioteknologi, kajian tentang angkasa lepas bila diperlukan, demikian seterusnya; semuanya berlaku dalam kerangka kefahaman tentang ilmu yang diajarkan dalam Ahlissunnah wal-jamaah.

  • Demikianlah keadaannya pandangan Asya’irah dalam Ahlissunnah sebagai epistemologi lengkap. Dan memang identiti Ahlissunnah wal-Jamaah adalah dari segi epistemologinya, sebagaimana yang jelas sekali dinyatakan oleh ’Aqbd al-Qahir al-Baghdadi rh dalam al-Farq bainal-Firaq dan Usul al-Dinnya. Demikian juga nampaknya apa yang ditunjukkan oleh al-Shahrastani rh dalam kitabnya al-Milal wa al-Nihal yang terkenal itu, antara lainnya

  • Ini perlu ditanggapi dengan nyata supaya dari segi epistemologi kita tidak tersasul membebaskan pengetahuan daripada kerangka besar ini, grand narrative ini.

  • Selain daripada Qur’an dan Sunnah serta ijma’ maka wacana-wacana Sunni yang menentukan panduan kita ialah dari segi aqidah Imam a-Ash’ari rd dan al-Maturidi rd, dari segi fiqh imam-imam mujtahidin, kalau kita di Dunia Melayu Imam al-Syafi’e rd, dari segi akhlak, kerohanian dan falsafah, Imam al-Ghazali rd dan yang sepertinya, dan kalau dari segi budaya dan peradaban, Ibn Khaldun dengan tambahan-tambahannya.

  • Yang menariknya Syah Waliyu’Llah al-Dihlawi rh dalam ’al-Khair al-Kathir’nya menyebut tentang keunggulan doktrin al-Asy’ari dan Imam al-Syafie, masing-masing dalam akidah dan fiqh sebagai doktrin yang paling menyamai apa yang menjadi pegangan para sahabat – Allah meredhai mereka semua. Amin.

  • Epistemologi Asya’irah (dan Maturudiyyah) dengan kutub-kutubnya seperti Asy’ari-Maturidi dalam akidah, para imam Mujtahidin dalam fiqh, al-Ghazali rd dan yang sepertinya dalam bidang kerohanian, akhlak, dan falsafah (di zaman moden termasuk Badiuzzaman Sa’id Nursi), serta ibn Khaldun (di zaman moden Malik Bennabi) dalam bidang ketamadunan dan budaya.

Ahlissunnah sebagai kerangka peradaban:

  • Dalam memahami Doktrin Asya’irah dalam Ahlissunnah sebagai kerangka peradaban kita boleh bermula dengan beberapa kenyataan pokok:

  • Yakni bahawa peradaban pada objektif terakhirnya adalah untuk menjadi alam di mana Kebesaran Tuhan dan kalimahNya terserlah; sebab itu Qur’an menyatakan (maksudnya); ’Dialah Tuhan yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi demikian juga, turun Perintah di kalangan semua itu supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah meliputi segalanya dengan ilmuNya’ (al-Talaq:12); dan ayat yang bermaksud: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu /menyembahKu’ (al-Dhariyat: 56); dan ayat yang bermaksud ’Bertasbih kepada Allah segala yang ada di langit dan di bumi Raja yang Maha Suci, Maha Tinggi dalam kekuasaan lagi Maha Bijaksana’ (al-Jumuah:1) dan yang sepertinya. Maka alam ini dijadikan untuk menjadikan nyata KebesaranNya dan kalamNya. Dan manusia dijadikan khalifahNya di bumi (Al Baqarah:30) dengan diajarkan segala nama-nama benda dengan khasiat-khasiat dan kelebihan-kelebihannya (Al Baqarah:31) sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam Fakhr al-Din al-razi dalam Tafsir al-Kabirnya, dan al-Baidhawi dalam Tafsirnya dan dilanjutkan huraian dalam hasyiahnya oleh Syaikh Zadeh. Dan manusia membina peradaban dengan mengimarahkan hidup di bumi.

  • Kemudian kita sampai kepada kenyataan bahawa agama sekurang-kurangnya ada tiga paras memahaminya; pertama ia sebagai wahyu dan nubuwwah (dengan pemahaman tentang Quran dan hadith); kemudian agama sebagaimana yang dihuraikan dalam teks-teks yang menyatakan secara terperinci ilmu-ilmu itu yang punca asalnya dari wahyu, nubuwwah dan pemahaman manusia; para pengikutnya ialah bila ia diamalkan oleh umat manusia dalam kumpulan ramai mereka (masyarakat atau kolektiviti mereka). Pada para sini timbul tamadun atau pada para sini timbul tamadun atau peradaban.

  • Dalam hubungan dengan peradaban kita boleh majukan pertanyaan: Tidakkah peradaban ’khaira ummatin’ di Madinah itu Sunni? (’ma ’ana ’alaihi wa ashabi’)? Kita jawab, ya Sunni. Tidakkah peradaban di Damsyik itu Sunni? Yang di Baghdad itu Sunni? Yang di Andalusia itu Sunni? Yang di Istanbul itu Sunni? Yang di Melaka, Semudera Pasai dan Acheh itu Sunni? Yang di Kahirah, Moroko itu Sunnni? Yang di Delhi itu Sunni (melainkan beberapa waktu yang tidak lama)? Peradaban-peradaban ini adalah peradaban Sunmni yang merupakan ’ambiance’ atau suasana alam manusiawi yang di dalamnya terjelma kebesaran Tuhan dan kalamNya.Ya, ada kelemahan-kelemahannya kerana dunia ini bukan jannatul-firdaus. Tetapi inilah alam-alam manusiawi yang di dalamnya terjelma kebesaran Ilahi dan kalamNya dengan cara yang sebaiknya sebelum daripada kemunculan alam yang kekal abadi itu. Dan alam-alam manusiawi yang kita sebut sebagai peradaban itu muncul dalam kerangka kefahaman Ahlissunnah wal-jamaah, bukan Khawarij, Batiniyyah dan lainnya. Golongan lain boleh berada dan berfungsi di dalamnya sebab kerangka ini sangat toleran dan bertasamuh; kerangka lain jelas tidak mempunyai sifat-sifat yang ada padanya. Ia adalah kerangka ’menengah’ yang menjadi corak bagi umat ini. Maka peradaban dalam kerangka inilah yang kita perlu teruskan dan semarakkan lagi kejayaannya. Amin.

  • Sekadar menyebut beberapa nama tidakkah al-Juwaini pengikut Asya’irah? Al-Baqillani? Al-Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, al-Sanusi? Salah al-Din al-Ayyubi? Dan da’i terkenal al-syahid Hasan al-Banna adalah pengikut Asy’irah? Ringkasnya mereka dan ramai yang lain lagi adalah pengikut Ahlissunnah wal-Jamaah, termasuk para pengikut mazhab yang empat itu;’ mereka di Dunia Melayu adalah Ahlissunnah dan pengikut Imam al-Asy’ari. Teks-teks usul al-din di Dunia Melayu adalah teks-teks yang memaparkan aliran Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari rd.

  • Apakah kerangka itu? Sekadar menyebut untuk pendahuluan ia adalah kerangka yang dicirikan oleh elemen-elemen pokok:

  • Tauhid dengan huraiannya yang mencakupi semua perkara, daripada tauhid tentang Tuhan, tentang kehidupan manusia, diri manusia, masyarakat, umat

  • Tauhid dalam pemahaman ilmu dan tamadun

  • Kenabian dengan kedudukannya sebagai punca ilmu pengetahuan, panduan tentang ilmu pengetahuan, panduan hidup bertamadun dan masyarakat

  • Hidup dunia dan akhirat diberikan perspektif yang betul secara integrasi tidak terpisah-pisah antara keduanya, dengan itu tidak ada sekularisme dalam erti falsafah di dalamnya; demikian pula yang lain-lain yang sepertinya.

  • Kemuliaan ilmu pengetahuan dan kemajuannya serta pengembangannya , yang berfaedah dijayakan, yang berbahaya tidak dijayakan

  • Kedudukan yang wajar antara agama, wahyu dan ilmu pengetahuan

  • Kedudukan yang sepadu antara ilmu akli dan nakli

  • Kedudukan yang harmonis antara seni dan sains serta teknologi

  • Islamisasi ilmu dalam kerangka epistemologis Asya’irah dalam Ahlissunnah wal-Jamaah

  • Hubungan yang baik dan harmonis antara individu, keluarga dan masyarakat dengan adab-adab dan aturan-aturannya

  • Kedudukan sepadu dan terarah dalam hubungan antara ulil-amri dan umat umumnya

  • Kedudukan epistemologi Asyariah dalam Ahlissunnah (termasuk Maturidiyyah) dalam hubungan dengan pemikiran moden dan pascamodern (yang memerlukan pendetailan)

  • Budaya ’al-din al-nasihah’ yang berkesan dan menyeluruh, bukan budaya ’anti-establishment culture’

  • Kemajuan duniawi sebagai suasana untuk pembentukan hidup membina peribadi manusia berdasarkan ’budaya uswatun hasanah’ bukan budaya ’selebriti’ (walaupun selebriti dalam perspektifnya yang betul dibenarkan)

  • Kesedaran tentang kedudukan hubungan yang harmonis di kalangan bangsa-bangsa dan kaum-kaum serta agama-agama

Demikianlah secara ringkasnya – sebagai pengamatan-pengataman awal – pembicaraan tentang doktrin Asya’irah dalam perspektif pembangunan ummah Islamiyyah dan elemen-elemen pokok dalam pembinaannya. Dengan itu maka pemikiran dalam bidang ini perlu diteruskan dengan membuat perincian dalam bahagian-bahagian yang memerlukannya, dengan pembetulan dan penambahan di mana yang diperlukan, serta dengan langkah-langkah praktikal dalam menjayakannya, bersekali dengan penyusunan langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang dalam menjayakannya. Moga-moga Allah menunjukkan kita kepada jalan yang lurus, amin.

Wallahu a’lam.


[1] Untuk perbincangan dalam usrah Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) pada 7 April-09 di Kuala Lumpur

[2] Takrifnya dalam ‘al-Fiqh al-Akbar’nya ialah ‘pengetahuan tentang yang diketahui mengikut apa yang sebenarnya’ (ma’rifatul ma’lum ‘ala ma huwa bihi) dan takrif yang seperti itu terdapat pada teks ‘al-Tamhid’ oleh al-Baqillani yang merupakan pemuka Asya’irah yang terkenal itu.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers