Archive for March, 2009|Monthly archive page

Pemikiran Saintifik Dan Pembangunan Masyarakat Islam Di Malaysia

Pemikiran Saintifik Dan Pembangunan Masyarakat Islam Di Malaysia


Profesor Emeritus Dr. Osman Bakar

Presiden MUAFAKAT

(dibentangkan di Seminar Isu Semasa Tamadun Ummah – Siswazah Tahun Akhir)


Apakah yang dimaksudkan dengan “pemikiran”?

  • pemikiran sebagai sifat manusia: manusia sebagai makhluk berfikir
  • pemikiran yang benar dan pemikiran yang palsu: ilmu mantik (logik) sebagai seni berfikir yang memastikan pemikiran berada pada landasan yang betul.
  • Matlamat pemikiran: untuk menghasilkan ilmu dan kebenaran; mengenali kepalsuan

Jenis-jenis pemikiran

  • Pemikiran waras (rasional) dan pemikiran tidak waras (tak rasional)
  • Pemikiran logik dan pemikiran tak logik
  • Pemikiran analisis dan pemikiran sintesis
  • Pemikiran holistik dan bersepadu dan pemikiran berkotak-katik

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pemikiran saintifik’?

  • makna am dan makna khas: bermakna “ilmiah” tanpa mengira bidang pengajian; bermakna pemikiran yang mempunyai ciri-ciri tertentu tetapi ditujukan khusus kepada bidang ilmu sains (pengajian alam tabii)
  • tamadun Islam sebagai tamadun yang mengasaskan pemikiran saintifik

Hubungan antara pemikiran saintifik dan pemikiran keagamaan

  • keharmonian hubungan dalam tamadun Islam
  • pertarungan dan konflik dalam tamadun Barat: sains terpaksa dipisahkan daripada agama
  • masalah di dunia Barat diwariskan kepada dunia Islam (termasuk Malaysia) menerusi dasar-dasar kaum penjajah: masalah berterusan hingga ke hari ini
  • keharmonian antara sains dan agama dalam perspektif Islam perlu dihidupkan semula menerusi pendidikan

Erti pembangunan

  • mempunyai pertalian rapat dengan pandangan semesta (world-view) dan konsep manusia: lain pandangan semesta dan konsep manusia lain konsep dan falsafah pembangunan
  • pembangunan fizikal atau kebendaan; pembangunan kemanusiaan
  • dua pengertian pembangunan kemanusiaan (human development) yang difahami dewasa ini: yang melibatkan kerohanian dan yang tidak melibatkan kerohanian
  • pembangunan yang terbaik: bersifat holistik dan bersepadu; meliputi dimensi kebendaan, dimensi kerohanian, dimensi keintelektualan, dimensi akhlak (ethics, morality), dimensi kemasyarakatan

Peranan agama dalam pembangunan masyarakat Islam di Malaysia

  • agama sebagai asas kepercayaan, pegangan hidup dan sumber nilai orang-orang Melayu-Islam sejak berkurun-kurun lamanya: Islam dilihat sebagai agama dan juga peradaban
  • peranan agama dipinggirkan di zaman penjajahan Barat
  • peranan asal agama Islam dan maruah agama dipulihkan secara beransur-ansur selepas negara merdeka
  • pembangunan material atau kebendaan seiring dengan pembangunan kemanusiaan
  • perkembangan pendidikan Islam dan pembangunan institusi-institusi Islam: peribadatan, perundangan dan kehakiman, kebajikan, ekonomi dan kewangan, pendidikan

Peranan sains dan pemikiran saintifik dalam pembangunan masyarakat Islam

  • sains Islam di zaman pra penjajahan
  • sains Islam di zaman penjajahan
  • pengenalan sains moden kepada masyarakat Islam di zaman penjajahan
  • perkembangan pesat sains dan teknologi moden di Malaysia sejak kemerdekaan
  • kelemahan masyarakat Islam dalam bidang sains dan langkah-langkah kerajaan untuk mengatasinya
  • Islam sebagai faktor penting dalam memajukan masyarakat Islam dalam sains: penekanan yang berbeza-beza oleh lima Perdana Menteri sejak merdeka
  • sumbangan gerakan islamisasi ilmu sejak dekad 1970an

Kejayaan yang telah dicapai

  • bilangan ahli sains dan teknologi Muslim yang kian bertambah
  • kepimpinan Muslim dalam bidang S&T: kemajuan institusi-institusi saintifik
  • aplikasi atau penggunasuaian sains dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan negara: pertanian, perindustrian, kemajuan ekonomi
  • sumbangan kepada bidang pemikiran secara umum: cara berfikir yang lebih baik dan sistematis, lebih cocok dengan kehidupan semasa
  • pada keseluruhannya, masyarakat Islam di Malaysia jauh lebih maju daripada kebanyakan masyarakat Islam di negara-negara lain dalam bidang sains

Masalah dan cabaran yang sedang dihadapi

  • masyarakat Islam masih ketinggalan berbanding dengan masyarakat bukan Islam di Malaysia dan masyarakat bukan Islam di negara-negara maju dalam bidang sains
  • potensi Islam sebagai penggerak dan pemankin kemajuan S&T umat tidak dimanfaatkan setinggi yang mungkin: ke arah melahirkan sains dan budaya sains yang kreatif dan seimbang
  • pemikiran saintifik dalam ertikata yang sebenar belum mencapai tahap ketamadunan: pemasyarakatan sains; pembudayaan sains; penghayatan peranan sains yang sebenar; orientasi penyelesaian masalah manusia

Cara-cara untuk mengatasinya

  • pendidikan sains perlu dipertingkatkan
  • peranan Islam dalam pendidikan sains, aktiviti dan penyelidikan saintifik, dan aplikasinya perlu dimantapkan
  • pengeluaran ahli-ahli Sains dan Teknologi Muslim perlu dilipatgandakan khususnya dalam bidang-bidang di mana kaum Muslimin jauh ketinggalan berbanding dengan kaum-kaum lain
  • ahli-ahli Sains dan Teknologi S&T Muslim di Malaysia perlu berganding bahu dengan rakan-rakan dari profesion yang sama di negara-negara Islam yang lain
  • pihak berwajib perlu terus memberi galakan, kemudahan kepada masyarakat Islam bagi memastikan pengelibatan mereka dalam memajukan sains bagi kepentingan umat terus berkembang pesat

Masa depan: Antara harapan dan kenyataan

  • Islam hendaklah terus menjadi pegangan hidup majoriti rakyat negara ini dan menjadi sumber inspirasi dan nilai bagi pembangunan masyarakat dan negara
  • perspektif Islam tentang sains dan pembangunan hendaklah dimakmurkan
  • kerjasama masyarakat Islam di Malaysia dengan masyarakat Islam di negara-negara lain hendaklah dipertingkatkan
  • meskipun ada banyak cabaran dan rintangan masyarakat Islam di Malaysia mampu untuk terus maju dalam bidang sains di samping menggunakannya untuk pembangunan secara yang sihat, adil, dan seimbang

Usrah Bulanan – April 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 7 April 2009 (Selasa) – mula dengan solat maghrib bersama

Tajuk: Doktrin Asha’irah Dalam Perspektif Pembinaan Ummah Islamiyyah

Pembentang: Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady

Tempat: Kediaman Sdr. Hj Muhammad Nur Anwar Hashim (Tel: 012-308-0917)

Alamat:  136, Jalan Teratai, Taman UDA Jaya 68000 Ampang, Selangor

Panduan arah: [klik untuk imej lebih besar]

rumahanuarhashim

Seminar Isu Semasa Tamadun Ummah – Siswazah Tahun Akhir

SEMINAR ISU-ISU SEMASA TAMADUN UMMAH

(SIAWAZAH TAHUN AKHIR)

& BENGKEL LATIHAN MENGAJAR

____________________________________________________________________________

Anjuran bersama

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Pendidikan Islam dan Akademi Pengajian Islam (API) University Malaya dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)


28 Mac 2008M / 30 Rabiulawal 1430H (Sabtu)

Bertempat di Dewan Kuliah Utama,

Akademi Pengajian Islam, University Malaya


07.45 pg – 08.00 pg Pendaftaran peserta.

08.00 pg – 09.00 pg : Majlis perasmian.

Ucapan Aluan.

Oleh: Hasbullah Haji Mohamed.

Pengarah Bengkel.

Ucapan

Oleh: Y.Bhg Prof Madya Dr. Shamsiah Mohamad

Penyelaras Program Pendidikan Islam

Ucapan perasmian

Oleh: Y.Bhg Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar

Presiden, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia

(MUAFAKAT)

Penyampaian Cenderamata:

09.00 pg – 09.15 pg Rehat / Minum pagi

09.15 pg- 11.00 pg Ceramah I

Tajuk : Menangani Cabaran Melahirkan Graduan Rabbani Era Globalisasi

Oleh : Y.Bhg Prof Dr. Sidek Baba

Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

11.00 pg- 11.15 pg Rehat

11.15 pg- 12.30 tghr Ceramah II

Tajuk : Pemikiran Saintifik dan Pembangunan Msyarakat Islam Di Malaysia – [klik untuk artikelnya]

Oleh: Y.Bhg Prof Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar

Presiden, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia

(MUAFAKAT)


Empat Cabang Kepimpinan Umat Sebagai Tunggak Kesejahteraan Masyarakat

Teks Ucapan Dasar Presiden MUAFAKAT di Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 MUAFAKAT di Kulliyyah Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 16 Rabiul Awal 1430 bersamaan 14 Mac 2009.

.

******************************************************************.


Empat Cabang Kepimpinan Umat Sebagai Tunggak Kesejahteraan Masyarakat

Ulama, Umara, Syuhada dan Salihin

Profesor Emeritus Datuk Osman Bakar, PhD

President MUAFAKAT

.

Bismillahi al-Rahman al-Rahim,

Alhamdulillahi Rabb al-‘alamin

Wa salatu wassalamu ‘ala ashrafi al-anbiya’i wal-mursalin

Sayyidina Muhammad

Wa ‘ala alihi wa sahbihi ajmain

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

1. Sekali setahun ahli-ahli MUAFAKAT berkumpul bersama-sama dengan tetamu jemputan untuk menjayakan seminar khas sempena mesyuarat agung tahunan pertubuhan ini. Sebagai pembuka seminar khas ini dan mesyuarat agung tahunan MUAFAKAT berikutnya, Presidennya akan menyampaikan ucapan dasarnya tentang satu tema yang telah dipilih oleh ahli-ahli jawatankuasa pertubuhan ini. Tema ucapan Presiden biasanya tertumpu kepada isu-isu pokok yang dihadapi oleh umat Islam semasa. Pada tahun lalu, saya selaku Presiden telah menyampaikan sebuah ucapan dasar atas tajuk “Kesatuan Iman, Ilmu dan Amal Dalam Kehidupan Umat Islam Semasa: Beberapa Isu dan Cabaran.” Isu kesatuan iman, ilmu dan amal memang cukup penting kepada umat Islam. Ketiadaan kesatuan ini dalam penghayatan agama kaum Muslimin adalah salah satu punca utama kelemahan umat. Semangat kesatuan ini hanya boleh dipulih dan disemarakkan semula menerusi peniupan ruh tawhid ke dalam setiap aspek kehidupan umat. Ini memerlukan kesediaan dan kesanggupan kita untuk merombak dan menyusun semula falsafah dan sistem pendidikan kita dalam semua bentuk dan di semua peringkat.

2. Pada kali ini, saya akan menyampaikan sebuah ucapan di sekitar tajuk “Empat Cabang Kepimpinan Umat Sebagai Tunggak Kesejahteraan Masyarakat: Ulama, Umara, Syuhada dan Salihin.” Tajuk ini tertumpu pada isu kepimpinan yang juga merupakan isu pokok yang dihadapi oleh umat Islam semasa. Ada hubungkait rapat antara kesatuan iman, ilmu dan amal dan kualiti kepimpinan. Umat melihat kepada para pemimpin sebagai contoh teladan dalam penghayatan kesatuan iman, ilmu dan amal dalam kehidupan individu dan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Agama Islam dan kaum Muslimin melihat penghayatan kesatuan iman, ilmu dan amal di kalangan para pemimpin sebagai bukti kemurnian akhlak mereka, bukti ketinggian keperibadian dan syakhsiah mereka, dan bukti kualiti baik kepimpinan mereka. Para pemimpin yang menjiwai kesatuan iman, ilmu dan amal juga dilihat sebagai sumber inspirasi kepada umat untuk berjiwa besar dan beriltizam tinggi dalam menegakkan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat seperti yang dianjurkan oleh agama Islam

3. Semua masyarakat manusia di dunia, baik yang Islam mahu pun yang bukan Islam, menyedari peri pentingnya kepimpinan yang baik kepada kesejahteraan masyarakat. Oleh sebab itu setiap masyarakat sentiasa menaruh harapan agar mereka dianugerahkan kepimpinan yang baik walau pun pada praktiknya mereka sedar yang mereka jarang-jarang dapat merasa ni’mat kepimpinan yang baik. Tetapi adalah tidak mencukupi kalau kita sekadar mempunyai kesedaran tentang perlunya masyarakat mempunyai pemimpin-pemimpin yang baik tetapi kita tidak tahu bagaimana hendak memastikan bahawa masyarakat kita tidak akan ketandusan pemimpin-pemimpin yang baik.

4. Adalah satu perkara yang agak malang – malahan ianya boleh dianggap sebagai satu malapetaka sosial – jika sekiranya masyarakat dan umat Islam ditimpa nasib yang sama, iaitu nasib ketandusan pemimpin yang baik. Mengapa kita berpendapat demikian ialah kerana dari segi potensi yang ada pada umat Islam, kita tidak sepatutnya berada dalam situasi yang sedemikian. Umat Islam adalah umat yang bertuah. Tidak ada umat lain dan agama lain yang mempunyai khazanah ajaran tentang pemimpin dan kepimpinan sekaya yang dimiliki oleh agama dan umat Islam. Dengan konsep dan teori kepimpinan yang ada dalam agama Islam, yang tidak ada taranya dari segi keluasannya dan dari segi betapa terperincinya, umat Islam sepatutnya mempunyai para pemimpin yang terbaik di dunia. Dengan yang demikian, pemimpin-pemimpin ini bukan sahaja pemimpin umat Islam tetapi mereka juga adalah pemimpin dunia. Inilah yang diisyaratkan di dalam banyak ayat al-Qur’an untuk renungan dan tindakan orang-orang Islam.

5. Sebagai contoh, al-Qur’an mengenengahkan dua konsep penting yang mempunyai pertalian rapat dengan isu kepimpinan Islam di peringkat global. Dua konsep ini ialah konsep umat terbaik (khayr ummah) dan konsep umat pertengahan (ummatan wasatan). Al-Qur’an menegaskan yang berikut tentang umat terbaik:

Kamu adalah sebaik-baik umat (khayr aummah) yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Surah Ali ‘Imran: ayat 110)

Mengenai umat pertengahan pula, al-Qur’an menegaskan seperti berikut:

Demikian juga Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat pertengahan supaya kamu layak menjadi saksi terhadap umat manusia (syuhada ‘ala al-nas) dan Rasulullah pula akan menjadi saksi terhadap kamu. (Surah al-Baqarah: ayat 143)

Untuk menjadi umat terbaik berdasarkan tiga syarat atau kriteria yang dinyatakan di dalam ayat tersebut di atas – yakni, menyuruh berbuat baik, melarang daripada perkara yang salah, dan beriman kepada Allah – bermakna dengan sendirinya bahawa umat Islam sudah pun memiliki daya dan ciri-ciri kepimpinan. Lebih-lebih lagi mereka sudah mempunyai semangat dan daya kebertanggungjawaban yang merupakan intisari kepimpinan. Tanpa daya dan ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang adalah mustahil bagi mereka untuk memainkan peranan “menyuruh” dan “melarang” secara berkesan dan menonjolkan tahap keimanan kepada Allah yang tebal sehingga layak muncul sebagai umat yang terbaik.

Untuk menjadi umat pertengahan pula juga bermakna bahawa umat Islam sudah memiliki daya dan ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang. Tanpanya adalah mustahil bagi mereka untuk menjadi syuhada ‘ala al-nas (para saksi terhadap umat manusia) di dunia ini. Bolehlah ditegaskan di sini bahawa untuk menjadi syuhada ‘ala al-nas adalah setara dengan menjadi pemimpin umat manusia.

6. Konsep umat terbaik dan konsep umat pertengahan telah ditonjolkan bagi tujuan menunjukkan kekayaan ajaran tentang kepimpinan dalam agama Islam. Kalau dikumpulkan semua ajaran Islam tentang pemimpin dan kepimpinan maka umat Islam akan mempunyai kefahaman yang jelas tentang sifat dan ciri-ciri seorang pemimpin yang baik dan perbezaannya dengan ciri-ciri pemimpin yang zalim dan tidak berakhlak. Mereka juga akan sedia maklum tentang bagaimana masyarakat harus membuat persiapan untuk melahirkan barisan pemimpin pelapis di kalangan generasi muda. Dengan kata lain, Islam menganjurkan penubuhan dan perlaksanaan sistem pendidikan yang memungkinkan lahirnya generasi baru pemimpin masyarakat di dalam berbagai bidang termasuklah dalam bidang politik. Oleh itu umat Islam tidak sekadar tertunggu-tunggu menanti kemunculan “pemimpin semula jadi” (“born leaders”) yang biasanya timbul sekali sekala untuk memimpin masyarakat.

7. Di negara kita Malaysia, konsep dan teori kepimpinan seperti yang diajar kan oleh agama Islam tidak diajar di pusat-pusat pengajian tinggi sedangkan ia penting. Yang paling tidak disentuh ialah konsep dan teori kepimpinan politik. Andaiannya ialah sesiapa sahaja boleh jadi pemimpin politik. Tidak perlu pendidikan dan latihan politik bagi mereka yang mahu menceburi bidang politik. Tidak perlu mereka didedahkan kepada etika dan akhlak politik. Malahan kita berhadapan dengan satu situasi yang amat menyedihkan. Dewasa ini boleh dikatakan bahawa ahli-ahli setiap profesion atau ikhtisas dikehedaki mempelajari dan mengamalkan etika bidang profesion. Yang terkecuali ialah bidang politik! Etika politik tidak diwajibkan ke atas ahli-ahli politik!

8. Alangkah baiknya jika sekiranya para pelajar Islam di pusat-pusat pengajian tinggi didedahkan kepada konsep-konsep, prinsip-prinsip, nilai-nilai dan teori-teori kepimpinan yang terdapat di dalam al-Qur’an, hadis-hadis Nabawi dan tulisan-tulisan para ulama dan sarjana Islam di sepanjang zaman. Konsep dan falsafah kepimpinan menurut perspektif Islam adalah berdasarkan idea-idea yang terdapat di dalam konsep-konsep seperti konsep rasul dan nubuwwah, konsep ulil-amri, konsep khalifah dan khilafah, konsep umat pertengahan dan umat terbaik, konsep ulama dan umara, konsep syuhada, konsep Imam, konsep pertanggungjawaban dan konsep-konsep lain yang seumpamanya.

9. Ternyata bahawa konsep dan falsafah kepimpinan menurut ajaran Islam adalah serba mencakupi. Sungguh luas makna dan ciri-ciri pemimpin dan kepimpinan dalam ajaran Islam sehinggakan setiap insan Muslim tidak terlepas daripada tanggungjawab kepimpinan atas pelbagai sifat diri yang ditakdirkan bagi dirinya. Hakikat ini telah ditegaskan oleh sebuah hadis Nabawi:

Dari Ibn Umar dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin (penggembala) dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinanmu (kegembalaanmu). Seorang Amir yang berkuasa terhadap rakyat akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah tangga suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta kekayaan majikannya yang dipercayakan kepadanya. Dia juga akan ditanya tentang kepimpinannya. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Riwayat Muslim)

Adalah jelas daripada hadis tersebut di atas bahawa dengan berdasarkan konsep tanggungjawab insan yang luas dalam ajaran Islam maka konsep kepimpinannya juga menjadi luas. Kita juga dapati bahawa dalam kehidupan masyarakat setiap diri kita sekaligus berperanan sebagai pemimpin dan pengikut. Dalam aspek atau bidang kehidupan tertentu seseorang itu mungkin berperanan sebagai pemimpin. Tetapi insan yang sama mungkin berperanan pula sebagai pengikut dalam aspek kehidupannya yang lain. Sebenarnya, jika orang Islam benar-benar memahami dan mengamalkan konsep dan makna kepimpinan yang luas ini maka ia merupakan satu jaminan kukuh akan lahirnya masyarakat Islam yang prihatin terhadap isu-isu kepimpinan dan yang berjaya mendidik bakal para pemimpin.

10. Kalaulah pusat-pusat pengajian tinggi di dunia Islam hari ini mengabaikan falsafah dan teori kepimpinan dan gagal menonjolkan kepentingannya kepada matlamat untuk mencapai kesejahteraan masyarakat, lain pula suasana pemikiran yang digambarkanm oleh sebuah universiti di Andalusia, yakni di Sepanyol sewaktu diperintah oleh Islam beratus-ratus tahun yang lalu. Menurut seorang ahli sejar ah bernama Haidar Bammate, di pintu gerbang sebuah universiti di sana telah tertera kata-kata hikmah berikut:

Dunia tegak atas empat tiang: keilmuan para ulama, keadilan para umara, keberanian para syuhada dan (kemakbulan) doa para salihin.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa kata-kata hikmah ini adalah merujuk kepada rukun kesejahteraan masyarakat. Kata-kata hikmah inilah yang telah mengilhamkan tema ucapan dasar Presiden kali ini.

11. Dengan berdasarkan maksud kata-kata hikmah tersebut di atas kita dapat menegaskan bahawa para ulama, para umara, para syuhada dan para salihin merupakan empat cabang utama kepimpinan umat. Kata-kata hikmah ini merujuk kepada falsafah kepimpinan umat yang mencorak dan menentukan kesejahteraan masyarakat di kalangan umat Islam. Kesejahteraan umat kelihatan bergantung pada kewujudan keempat-empat golongan ini, peranan masing-masing yang menyeluruh dan berkesan dalam masyarakat, dan juga keseimbangan dan keharmonian di antara empat golongan itu. Yang ditekankan dalam kata-kata hikmah ini ialah kefungsian empat golongan penting dalam masyarakat yang merupakan tunggak kesejahteraan masyarakat. Empat fungsi yang mesti ada dan dihayati dengan baik dalam masyarakat ialah fungsi keilmuan (yang meliputi hikmah atau kebijaksanaan), fungsi keadilan, fungsi keberanian dalam kesaksian terhadap kebenaran, dan fungsi keruhanian yang memelihara hubungan antara manusia dengan Allah, antara hamba (‘abd) dengan Rabb menerusi doa para salihin yang mudah dimakbulkan oleh Allah Rabb al-‘alamin.

12. Sekiranya kita memahami kepentingan empat golongan tunggak ini kepada kesejahteraan masyarakat maka kita akan berusaha untuk memberi perhatian kepada peranan mereka dan bagaimana kedudukan dan peranan masing-masing dapat diperkasakan.

Kita menyedari betapa pentingnya golongan ulama dan golongan umara kepada kesejahteraan masyarakat. Rasulullah s.a.w. pernah menegaskankan bahawa dalam masyarakat ada dua golongan yang akan menentukan buruk baiknya masyarakat tersebut. Dua golongan yang dimaksudkan ialah ulama dan umara. Jika baik dua golongan ini maka baiklah masyarakat. Sebaliknya pula, jika dua golongan ini tidak baik maka tidak baiklah masyarakat. Rasanya kebenaran yang terkandung dalam hadis ini terlalu nyata kepada semua. Orang bukan Islam juga boleh menerima kebenaran ini. Penekanan Nabi s.a.w. kepada dua golongan ini juga boleh difahami sebagai bermaksud bahawa ulama dan umara adalah dua cabang kepimpinan umat yang terpenting sekali.

13. Peranan utama para ulama ialah dalam bidang keilmuan. Mereka berperanan untuk memimpin umat dalam bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan, memelihara ilmu agama, memelihara ilmu yang dapat menjamin kesatuan iman, ilmu dan amal, memajukan ilmu dalam semua bidang dan memastikan ketertiban wujud dalam sistem ilmu pengetahuan. Yang ditekankan ialah keperluan untuk memelihara institusi ulama yang disebutkan dalam seuah hadis sebagai pewaris para nabi. Para ulama dilihat sebagai pewaris peranan dan ciri-ciri kenabian, khususnya pewaris peranan dan ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam sejarah Islam perkembangan ilmu pengetahuan yang dimajukan oleh para ulama sehingga memungkinkan lahirnya tamadun yang maju lagi kompleks telah membawa kepada pembahagian fungsi ulama menurut bidang kepakaran dan otoriti masing-masing. Institusi ulama itu sendiri sudah berpecah kepada cabang-cabangnya yang kesemuanya memang diperlukan oleh umat. Cabang-cabang utamanya ialah ulama fekah, ulama kalam, ulama tasawuf dan ulama falsafah. Pada zaman keagungan Islam kita dapati bahawa kedinamisan empat cabang ulama inilah yang menyumbang besar kepada kemajuan dan kesejahteraan umat.

14. Fungsi utama para umara ialah menegakkan dan memelihara keadilan dalam masyarakat. Masyarakat akan porak peranda sekiranya ketidakadilan berleluasa di kalangan rakyat. Fungsi keadilan ini sangat ditekankan dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi s.a.w.

15. Fungsi kesaksian yang dimainkan oleh para syuhada juga penting dalam pembelaan agama. Kesaksian yang dimaksudkan ialah kesaksian terhadap keEsaan Allah s.w.t. dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Setiap Muslim sememangnya saksi kepada kebenaran ini. Tetapi yang membezakan antara para syuhada sebagai satu golongan yang benar-benar layak untuk digelar syuhada dengan orang Islam yang lain ialah keberanian mereka dalam membela kebenaran Islam. Para syuhada ini terdiri daripada mereka yang sanggup mati mempertahankan Islam.

16. Tentang peranan para salihin telah saya tegaskan tadi. Kita semua mengharapkan agar kita akan mempunyai anak-anak yang salih. Al- Qur’an menegaskan iman dan amal yang salih. Dalam tahayat solat kita mengucapkan salam kepada hamba-hamba Allah yang salih. Tanpa para salihin salah satu tiang masyarakat patah dan kehidupan masyarakat dan umat tidak sempurna.

Tegasnya, umat kita amat memerlukan keempat-empat golongan yang kita maksudkan, iaitu para ulama, para umara, para syuhada dan para salihin.

Wa bi’Llah al-tawfik wa’l-hidayah, wa bihi nasta’in.

JEMPUTAN: Seminar Kepimpinan Umat

Sempena

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 4

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) akan mengadakan

SEMINAR KEPIMPINAN UMAT

Bertema:

Empat Cabang Kepimpinan Umat Sebagai Tunggak Kesejahteraan Masyarakat: Ulama, Umara, Syuhada dan Salihin

.

Pada:

14 Mac 2009

8:30 pagi – 1:00 tgh

Tempat:

Dewan Persidangan Kulliyyah Ekonomi

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Gombak, Selangor

.

Aturcara Majlis:

8:30 pagi:

Pendaftaran peserta [serta minuman ringan]

-tiada bayaran pendaftaran-

9:00 pagi

Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Qur’an

Ucapan Aluan Pengerusi Seminar

9:20 pagi

Ucapan Dasar serta pembentangan kertas-kerja oleh Presiden MUAFAKAT Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar:

Empat Cabang Kepimpinan Umat Sebagai Tunggak Kesejahteraan Masyarakat: Ulama, Umara, Syuhada dan Salihin

10:10 pagi

Perbincangan Panel:

Y.Bhg. Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady (ISTAC)

Y.Bhg. Dr. Marzuki Mohamad (UIAM)

12:00 tgh

Sesi Soal Jawab

1:00 tgh

Makan tengahari

.

Semua dijemput hadir

PERCUMA

*******************************************************

Untuk maklumat lanjut:

telefon/SMS kepada Sdr. Wan Burhan bin Wan Ismail – 016-395 6497

emel: muafakat_malaysia@yahoo.com

Jemputan: Mesyuarat Agung Tahunan MUAFAKAT Kali Ke 4

Semua ahli dijemput hadir ke:

Mesyuarat Agung Tahunan

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

Kali Ke 4

Bertema:

Empat Cabang Kepimpinan Umat Sebagai Tunggak Kesejahteraan Masyarakat: Ulama, Umara, Syuhada dan Salihin

Seminar Kepimpinan Umat akan diadakan sempena Mesyuarat Agung tersebut.

.

yang  akan diadakan

Pada:

14 Mac 2009 [Sabtu]

8:30 pagi – 2:30 petang

[Mesyuarat Agung akan bermula jam: 1:30 tgh]

.

Tempat:

Dewan Persidangan Kulliyyah Ekonomi

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Gombak, Selangor

.

Semua dijemput hadir

‘Allah’ Hanya untuk Islam

MUAFAKAT menyokong pembatalan pewartaan perintah yang membenarkan penggunaan perkataan “Allah” dalam penerbitan agama lain.

****************************************************************

KDN kuatkuasa larangan sehingga Mahkamah Tinggi buat keputusan

dipetik dari Berita Harian

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan serta-merta pewartaan perintah yang membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan agama Kristian.

Berikutan itu, Herald-The Catholic Weekly dilarang menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya, sehingga keputusan mengenainya dibuat Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mengakui ada kesilapan dalam penggubalan perintah bertarikh 21 Januari yang diwartakan pada 16 Februari lalu itu, hingga menimbulkan kekeliruan.

Beliau berkata, perintah itu seolah-olah memberi gambaran kerajaan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly sedangkan keputusan sudah dibuat melarang perkataan itu digunakan dalam penerbitan berkenaan.

Akhbar semalam melaporkan, Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria yang mewakili Pejabat Peguam Negara berkata, Mahkamah Tinggi diberitahu, penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan khusus untuk agama Kristian adalah dilarang kecuali jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan ‘Untuk Agama Kristian.’

Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009 itu menyebut: ‘percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apa-apa dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah, Kaabah, Baitullah dan solat adalah dilarang, kecuali di kulit muka depan penerbitan itu ditulis ‘Untuk Agama Kristian.’

Perintah yang membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan berkuat kuasa serta-merta itu mendapat bantahan pelbagai pihak.

Pada sidang media di Hotel Sutera Pacific, di sini semalam, Syed Hamid berkata: “Saya mengakui ada kesilapan dalam penggubalannya (perintah berkenaan). Penggubalan itu mengatakan boleh sedangkan ada larangan.

“Pewartaan itu memberi gambaran seolah-olah perkataan itu boleh digunakan sedangkan ia belum dirumuskan dan tidak ada perubahan keputusan yang pernah dibuat sebelum ini. Saya mengambil ketetapan ia perlu diperbetulkan kerana jika tidak, warta itu melahirkan kekeliruan.”

Serentak penarikan balik perintah pewartaan itu, KDN juga melarang Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Kaabah, Baitullah dan solat.

“Kita ada perintah awal yang tidak membenarkan penerbitan lain selain agama Islam menggunakan perkataan Allah, Baitullah, Kaabah dan solat. Ini bukan bertujuan menyekat pengamalan mana-mana agama tetapi untuk mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak terbabit perlu menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai semakan kehakiman kes berkenaan yang dikemukakan Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 52 other followers