Archive for February 2nd, 2009|Daily archive page

Dakwah Islamiah Sebagai Madrasah Pembinaan Intelektual & Kepentingannya Kepada Jemaah Islamiah

Dakwah Islamiah Sebagai Madrasah Pembinaan Intelektual dan Kepentingannya Kepada Jemaah Islamiah

Osman Bakar

Presiden MUAFAKAT

1. Mauduk utama perbincangan kita di sini ialah dakwah Islamiah. Ini suatu mauduk yang sangat luas ruang lingkup atau skop perbincangannya. Kita boleh menghuraikan konsep dan pengertian dakwah Islamiah secara mendalam berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w., membincangkan pelbagai aspek dan ciri kegiatan dakwah dan menjelaskan kepentingannya daripada berbagai-bagai sudut. Bagaimana pun sesuai dengan tajuk yang diberikan perbincangan kita akan menjurus kepada dua aspek dakwah Islamiah, itu [1] dakwah Islamiah sebagai madrasah pembinaan intelektual dan [2] kepentingan dakwah kepada jemaah Islamiah.

2. Sebelum kita menjuruskan perbincangan kita kepada dua aspek tersebut eloklah terlebih dahulu kita menjelaskan kedudukan dakwah dalam ajaran agama Islam. Dakwah dalam pengertiannya yang paling luas, iaitu menyeru dan mengajak manusia kepada Allah dan agamanya – menerusi lisan, tulisan dan perbuatan – menduduki tempat teras dalam agama Islam. Dakwah dalam pengertian di atas yang meliputi tabligh merupakan cara dan kaedah paling utama tertegaknya agama Islam. Sesudah tertegaknya agama Islam di muka bumi ini dakwah juga merupakan cara utama untuk memelihara kesucian, kewibawaan, kepentingan dan kelangsungan agama dan umat Islam.

3. Oleh sebab itu Allah memerintah Rasulullah s.a.w. dan semua orang beriman supaya berdakwah. Sebaik sahaja Muhammad bin Abdullah diantik sebagai Nabi dan Rasul dia pun menyampaikan mesej Ilahi tentang keEsaan Allah dan kerasulan Muhammad kepada keluarganya yang terdekat, sahabat handainya yang akrab dan kemudiannya kepada kaum kerabatnya yang lain, dan masyarakat setempat baginda seluruhnya. Dari kota Madinah bersama-sama dengan para sahabatnya dan dalam pidato terakhirnya di Mekah baginda memancarkan cahaya dakwah Islamiah ke seluruh dunia. Agar kita mencontohinya maka kita diperintahkan supaya menyampaikan kepada orang lain walau pun sepotong ayat al-Qur’an. Tanpa dakwah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dan para pengikutnya di setiap zaman tidak ada Islam sebagai agama bermasyarakat pada hari ini.

4. Contoh ayat-ayat al-Qur’an yang berkenaan dengan dakwah dan tabligh:

  • Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya) maka bererti engkau tidaklah menyampaikan risalahNya. Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya, Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. (surah al-Ma’idah, ayat 67)

  • Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja. Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan. (Surah al-Ma’idah, ayat 99)

  • Dan hendaklah muncul dari kalangan kamu suatu ummah yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya. (Surah Ali ‘Imran, ayat 104)

  • Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalanNya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah (Surah al-Nahl, ayat 125).

5. Maka jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w. diwajibkan oleh Allah s.w.t. berdakwah dan bertabligh. Dan semua orang beriman dikehendaki mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w. dalam menjalankan kerja dakwah dan tabligh. Yang Allah s.w.t. menghendaki Rasulullah s.a.w. dakwah dan tablighkan ialah seluruh mesej al-Qur’an. Baginda dengan penuh ketaatan menyampaikannya kepada manusia, menerangkan isi kandungannya dan menghayatinya secara amali dan akli.

6. Daripada sunnah Rasulullah s.a.w. kita dapat membuat rumusan berikut tentang dakwah Islamiah yang diasaskan olehnya: Isi kandungan dakwah ialah mesej al-Qur’an pada keseluruhannya. Pendakwahnya (da’i) seorang manusia yang mempunyai ciri-ciri kenabian dan kerasulan. Sasarannya ialah umat manusia keseluruhannya walau pun dari segi perlaksanaannya ada golongan tertentu – atas alasan yang cukup berasas – yang patut didahulukan sebelum yang lain (priority groups). Kaedahnya ialah dengan hikmah dan nasihat dan perbahasan/dialog/wacana secara yang terbaik.

Dakwah dan Pembinaan Intelektual

7. Sekiranya kita betul-betul memahami keempat-empat aspek utama dakwah – mesej dakwah, sifat dan ciri-ciri pendakwah, golongan yang didakwahkan dan kaedah dakwah – maka kita dapat memahami pula hubungan antara dakwah dan pembinaan intelektual. Oleh kerana kita berbicara tentang dakwah Islamiah maka sudah tentulah huraian kita tentang keempat-empat aspek dakwah didasarkan pada ajaran al-Qur’an dan Sunnah Nabi s.a.w. Sekiranya kita memahami dan menerima falsafah dakwah Islamiah dari segi teori dan amalinya maka kita tidak dapat lari daripada tugas menguruskan pembinaan akal dan ilmu kita, yakni pembangunan intelektual dalam ertikata yang sebenarnya. Dalam kata lain, apabila dakwah Islamiah itu diceburi dan dihayati sebaik yang mungin maka ia merupakan sebuah madrasah yang ideal untuk melahirkan insan yang mempunyai kekuatan intelektual untuk memperkasakan umat Islam.

8. Aspek pertama dakwah Islamiah ialah mesejnya. Mesej ini ialah kitab suci al-Qur’an dan seluruh isi kandungannya. Ia difahami dan diketahui dengan ilmu. Semua orang Islam akan merujuk kepada mesej yang sama. Tetapi kualiti mesej yahg kita sampaikan kepada manusia tentang al-Qur’an bergantung pada ilmu yang kita miliki tentang kitab suci ini. Kita harus mempunyai cita-cita dan tekad untuk memiliki ilmu tentang al-Qur’an pada tahap yang sebaik-baiknya. Lagi tinggi dan mendalam ilmu kita tentang al-Qur’an lagi tinggi kualiti mesej yang kita dakwahkan kepada manusia. Dengan memiliki ilmu seperti itu juga kita boleh melebarkan sasaran dakwah kita dalam ertikata bahawa kita memahami bahagian mesej mana yang hendak disesuaikan dengan golongan tertentu yang hendak didakwahkan. Kebolehan memilih mesej yang secocok dengan penerima mesej merupakan sebahagian daripada kekuatan intelektual yang harus dimiliki oleh para da’i. Kebolehan ini tidak datang kepada kita secara begitu sahaja. Ia perlu dipupuk dan dikembangkan. Ini suatu contoh yang jelas untuk menunjukkan bahawa dakwah Islamiah menyediakan suatu madrasah untuk kita membina daya kekuatan dan keupayaan intelektual kita.

9. Kita harus membezakan antara ilmu memahami ayat-ayat tertentu atau surah-surah tertentu di dalam al-Qur’an dan ilmu memahami sifat dan ciri-ciri al-Qur’an sebagai sebuah kitab yang diwahyukan. Ilmu jenis pertama ini disebut sebagai bersifat juz’i (kejuzukan, serpihan dsb), iaitu ia merujuk kepada makna yang terkandung dalam ayat-ayat tertentu. Ilmu jenis kedua pula disebut sebagai bersifat kulli (menyeluruh, sepadu), iaitu ia merujuk kepada mesej al-Qur’an secara keseluruhan. Dalam tradisi intelektual Islam memang dijelaskan antara ilmu tentang juzuk-juzuk sesuatu perkara dan ilmu tentang perkara itu secara keseluruhan. Dalam bahasa Inggeris, ada ungkapan serupa yang berbunyi: the whole is greater than the sum of its parts. Ilmu tentang keseluruhan sesuatu adalah lebih luas dan lebih mencakupi daripada jumlah ilmu tentang bahagian-bahagiannya.

Contoh: Ilmu tentang manusia sebagai manusia yang dilihat secara menyeluruh dan sepadu: Manusia ialah sebuah alam kecil (al-‘alam al-saghir; microcosmos); atau manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi

Ilmu-ilmu ini tentang manusia tidak dapat sama sekali disamakan dengan jumlah ilmu tentang bahagian-bahagian dan anggota-anggota diri manusia. Pengetahuan kita tentang jantung, otak dan anggota-anggota lain pada diri manusia kalau dicampurkan tidak akan menyamai ilmu yang mengatakan bahawa manusia ialah al-‘alam al-saghir dan khalifatullah fi’l-ard.

Demikian juga dengan ilmu kulli tentang al-Qur’an tidak semestinya dapat disimpulkan sebagai jumlah ilmu juz’i yang terkandung di dalamnya. Namun demikian ilmu juz’i boleh menyumbang kepada perumusan ilmu kulli. Sebagai contoh, salah satu nama al-Qur’an ialah al-Furqan yang membawa makna kriteria bagi membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Memang terdapat ayat-ayat yang merujuk kepada peranan al-Qur’an sebagai pembeza antara yang hak dan yang batil. Al-Furqan ialah juga nama sebuah surah al-Qur’an. Yang perlu disedari ialah bahawa ilmu tentang al-Qur’an sebagai al-Furqan melampaui makna ayat-ayat tertentu. Ia boleh dibahaskan secara bebas daripada ilmu tafsir yang biasa difahami.

10. Dewasa ini yang kurang dimiliki oleh kebanyakan kita ialah ilmu kulli tentang al-Qur’an sedangkan ilmu dari jenis inilah yang sangat diperlukan oleh umat kerana ilmu ini dapat menjawab seribu satu masalah yang timbul dalam pemikiran manusia hari ini baik yang beragama Islam mahu pun yang bukan. Dalam dunia yang mempersoalkan al-Qur’an dan wahyu Ilahi pada amnya dan pada zaman di mana ramai cerdik pandai keturunan Islam lari daripada al-Quran atau tidak mempedulikannya ilmu kulli tentang al-Qur’an boleh membantu dalam menyediakan jawapan dan penyelesaian.

11. Implikasinya: Bagi mempastikan mesej dakwah Islamiah berkualiti dan berkesan maka ilmu-ilmu al-Quran (‘ulum al-Qur’an) perlu dirumuskan semula dengan mengambil kira isu-isu pemikiran zaman kita dan realiti zaman kita. Bahasa yang digunakan untuk menyampaikan ilmu-ilmu ini juga harus disesuaikan dengan cara berfikir zaman ini. Kita tidak mempunyai sebuah institusi yang menumpukan perhatian kepada ilmu kulli dan ilmu-ilmu juz’i tentang al-Qur’an. Yang kita ada hanyalah institut al-Qur ‘an yang terbatas kepada ilmu dan seni membaca dan menghafal al-Qur’an.

12. Aspek kedua dakwah Islamiah ialah sifat dan ciri-ciri yang patut ada pada seseorang pendakwah. Model atau pendakwah mithali kita ialah Rasululullah s.a.w. Ada banyak ciri yang boleh dibincangkan. Tetapi tumpuan kita dalam konteks kertas ini ialah kepada ciri keilmuan dan keintelektualan. Kita perlu memahami konsep dan falsafah ilmu yang dihayati oleh Rasulullah s.a.w. yang tidak lain dan tidak bukan adalah konsep dan falsafah ilmu yang diajarkan oleh al-Qur’an sendiri. Rasulullah s.a.w. adalah ilmuan, intelektual atau ulama mithali untuk kita contohi. Ajaran al-tawhid adalah ruh falsafah ilmu pegangannya. Akal, jiwa, ruh dan hati kalbu dilihat sebagai satu kesatuan dalam falsafah ilmu yang diajarkan oleh baginda. Ilmu dan iman saling bertaut. Iman mencetuskan ilmu yang baru dan ilmu yang baru memantapkan lagi iman. Pembinaan ilmu dan akal harus didasarkan kepada rukun-rukun iman.

Juga tidak terdapat pemisahan atau konflik antara ilmu dan amal. Iman, ilmu dan amal tercantum dalam kesatuan dan kesepaduan yang jelas menunjukkan penghayatan tawhid dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Isu-isu dan urusan dunia dan akhirat dilihat dalam satu kesatuan. Baginda mengajar kita supaya berdoa kepada Allah s.w.t. agar dilindungi daripada ilmu yang sia-sia. Ilmu yang bermanfaat meliputi ilmu yang memenuhi keperluan jasmani, keperluan kejiwaan, keperluan ruhani dan keperluan intelektual manusia.

13. Dalam kita membina kekuatan intelektual kita adalah perlu keenam-keenam rukun iman dan kelima-lima rukun Islam difahami dan dihayati pada peringkat ihsan. Ini bermakna bahawa kita perlu memberi pengisian ilmu dan hikmah kepada rukun iman dan rukun Islam. Ini menuntut suatu proses pembelajaran yang memerlukan masa.

14. Satu soalan yang relevan dengan perbincangan kita boleh dimajukan: apakah hubungan antara kehidupan keruhanian dan kewarasan dan ketajaman akal, kejernihan fikiran dan keluasan wawasan intelektual? Dalam ajaran Islam memang terdapat hubungan erat antara kehidupan keruhanian dan kehidupan intelektual. Khazanah ilmu dalam tradisi keruhanian Islam boleh memberi sumbangan besar kepada pembinaan kekuatan intelektual di kalangan umat Islam.

15. Aspek ketiga dakwah Islamiah ialah sasarannya, iaitu para individu dan golongan manusia yang hendak didakwahkan. Dari segi manakah aspek dakwah Islamiah ini boleh menyediakan madrasah pembinaan intelektual untuk para pendakwah? Aspek ini memerlukan pendakwah yang mengetahui secara mendalam selok belok kejiwaan dan tabiat manusia, termasuklah kecenderungan-kecenderungan tabii pada diri manusia, kekuatan dan juga kelemahannya. Dengan kata lain, aspek dakwah ini memerlukan penguasaan ilmu psikologi, khususnya psikologi keruhanian. Oleh kerana Allah mencipta manusia dan maha mengetahui tentang segenap segi kejiwaan manusia maka Dia telah membahagikan di dalam al-Qur’an jiwa-jiwa manusia kepada beberapa kelompok untuk membolehkan kita mengenali kelas-kelas jiwa ini. Pengelasan jiwa-jiwa ini boleh membantu para da’i dalam mengatur strategi untuk menentukan prioritas atau keutamaan dalam memilih sasaran dakwah.

16. Aspek keempat dakwah Islamiah ialah kaedah dan pendekatan yang digunakan untuk berdakwah. Al-Quran telah menyediakan prinsip yang jelas berhubungan dengan kaedah ini: secara hikmah dan nasihat yang baik dan berhujah atau berbahas secara terbaik. Tetapi prinsip ini masih memerlukan pemerincian dan penjelasan. Anjuran al-Quran ini menyentuh peranan akal, iaitu untuk berfikir dengan betul, rasional dan matang. Dalam hal ini juga terdapat dalam tradisi Islam khazanah ilmu yang kaya tentang sifat dan ciri-ciri akal dan peranannya dalam kehidupan manusia termasuk kehidupan beragama. Al-Qur’an mementingkan hujah-hujah yang bernas dan jitu. Maka konsep jadal telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam ilmu mantik atau logik. Kekuatan intelektual tidak dapat dibina tanpa akal manusia dididk dengan seni berfikir yang sempurna.

Kepentingan dakwah kepada jemaah Islamiah

Sekadar menumpukan perbincangan dakwah Islamiah kepada keempat-empat aspek sahaja seperti yang telah saya bincangkan, sudah cukup untuk saya membuat kesimpulan bahawa betapa pentingnya dakwah kepada mana-mana jemaah Islamiah khususnya dan kepada umat Islam pada amnya. Dakwah kelihatan sebagai nadi masyarakat atau umah yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan dan kelangsungan umat. Kelumpuhan dakwah di kalangan sesebuah jemaah Islamiah akhirnya akan mematikan jemaah itu sendiri. Pada peringkat kehidupan umat, kelesuan dakwah akan melemahkan umat.

Kalaulah sesebuah jemaah Islamiah berpegang teguh pada prinsip-prinsip yang terkandung dalam keempat-empat aspek dakwah tersebut di atas maka jemaah itu akan dapat menyaksikan:

  • Ahli-ahli yang mempunyai kefahaman mendalam tentang al-Qur’an dan Sunnah Nabi; ilmu al-Qur’an yang dimiliki mereka meliputi kedua-dua jenis, iaitu ilmu juz’i dan ilmu kulli; institusi ilmu al-Qur’an yang unggul akan diwujudkan
  • Ahli-ahli yang berusaha untuk mencontohi sunnah dakwah Rasulullah s.a.w. dan dengan itu berusaha pula ke arah pembentukan keperibadian yang dituntut oleh al-Qur’an
  • Bilangan ahli yang semakin bertambah kerana sasaran dakwah akan terus melebar dan meluas; jemaah akan lebih rapat dengan masyarakat kerana ada usaha berterusan daripada ahli-ahli jemaah untuk menyelami lubuk hati masyarakat dan mengenal pasti individu dan golongan masyarakat yang hendak diberikan keutamaan sebagai penerima dakwah
  • Ahli-ahli yang mempunyai daya berfikir yang baik, keupayaan berhujah yang tinggi dan yang pada umumnya mempunyai kekuatan intelektual yang tinggi;
  • Semua ini akan mencetuskan kedinamisan di kalangan ahli-ahli dan akan menggalakkan percambahan majlis-majlis ilmu bukan sahaja di kalangan ahli tetapi juga di kalangan masyarakat umumnya.

Kalaulah dakwah tidak lagi menjadi kegiatan utama sesebuah jemaah Islamiah maka jemaah yang dahulunya terkenal dan berpengaruh pun akan:

  • Beransur-ansur kehilangan ahli
  • Akan hilang kedinamisan dan menjadi semakin lesu
  • Akan kehilangan ahli-ahli berilmu dan berpengalaman kerana tidak ada lagi kesinambungan tradisi keilmuan dan pemikiran yang pernah dimilikinya
  • Menyaksikan semakin berkurangnya majlis-majlis ilmu
  • Menjadi semakin renggang dari masyarakat
  • Akan hilang nama dan pengaruh dalam masyarakat
  • Tidak lagi relevan dengan keperluan umat sezaman

Wabi’Llah al-tawfik wa’l-hidayat, wa bihi nasta’in

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 50 other followers