Archive for February, 2009|Monthly archive page

Usrah Bulanan – Mac 2009

Usrah bulanan MUAFAKAT akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 3 Mac 2009 (Selasa)

Tajuk: Pemikiran Falsafah Pasca Modenisme: Kesan Kepada Islam

Pembentang: Prof. Md. Saleh Yaapar

TERKINI:
Memandang Prof Salleh tidak dapat hadir, perbentangan akan digantikan oleh Ustaz Razali Nawawi. Kertas kerja tidak sempat disiapkan dalam masa yang suntuk. Harap maaf.

Tempat: Kediaman Sdr. Haji Mohd Annuar Salleh (Tel: 012-209-1401)

Alamat: Lot 535/7 Jalan Marmar Kg Lembah Melewar, Gombak (Berhampiran Surau Rabiul Awal Lembah Melewar) Selangor

Tajuk-tajuk Usrah Sesi 2009/1430

Berikut adalah tajuk-tajuk usrah mengikut tarikh-tarikh yang disusun untuk tahun 2009/1430

6-Jan-09
Tajuk: Kekuatan Ruhaniyyah Dalam Kegiatan Dakwah Islamiyyah
Pembentang: Sdr. Ismail Mina Ahmad, Ahli JPP Muafakat

3-Feb-09
Tajuk: Dakwah Islamiyyah Sebagai Madrasah Pembinaan Intelektual Serta Kepentingannya Dalam Jama’ah Islamiyyah
Pembentang: Prof. Emeritus Osman Bakar, Presiden Muafakat

3-Mac-09
Tajuk: Pemikiran Falsafah Pasca Modenisme: Kesan Kepada Islam
Pembentang: Prof. Md. Saleh Yaapar

7-Apr-09
Tajuk: Doktrin Asha’irah Dalam Perspektif Pembinaan Ummah Islamiyyah
Pembentang: Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady

5-Mei-09
Tajuk: Antara Ketokohan Individu Dan Keunggulan Keinstitusian
Pembentang: Prof. Sidek Baba

2-Jun-09
Tajuk: Konsep Ummah Dan Cabaran Ideologi Universalisme
Pembentang: Prof. Emeritus Osman Bakar, Presiden Muafakat

7-Jul-09
Tajuk: Kebudyaan: Erti, Ciri, Kedudukan Dan Kepentingannya Dalam Hayat Islami
Pembentang: Dr. Mohd Nor Nawawi, Naib Presiden Muafakat

4-Aug-09
Tajuk: Diabolisme: Kesan Kepada Umat Dan Penyelesaiannya Menurut Islam
Pembentang: Sdr. Ismail Mina Ahmad, Ahli JPP Muafakat

6-Okt-09
Tajuk: Masa Depan Politik Pelbagai Agama Dan Etnik Di Malaysia Dan Implikasinya Kepada Islam: Peranan Jama’ah Islamiyyah
Pembentang: Prof. Mohamad Abu Bakar

3-Nov-09
Tajuk: ABIM: Antara Kesinambungan Dan Perubahan
Pembentang: Sdr. Yusri Mohamad, Presiden ABIM

1-Dis-09
Tajuk: Pembinaan Ummah: Gerakan Dakwah Satu Paradoks?
Pembentang: Sdr. A. Karim Omar, SUA Muafakat

Himpunan dan Ikrar Mansuhkan PPSMI

MUAFAKAT bersama menyokong dan sama-sama menganjurkan perhimpunan dan ikrar memansuhkan PPSMI yang akan diadakan pada 8:30 malam 23 Feb 2009 (Isnin) di Dewan Perniagaan China (Chinese Assembly Hall) Wilayah Persekutuan dan Selangor berdekatan dengan Stadium Merdeka.

Antara yang dijangka berucap pada malam itu ialah Dato’ Hassan Ahmad dan beberapa laigi pejuang Bahasa Melayu.

Kami menjemput semua untuk hadir.

Konsep Pembangunan Insan Dalam Islam

Nota perbincangan usrah bulanan MUAFAKAT pada 1hb Mei 2007 yang dibentang oleh Presiden MUAFAKAT, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.

*******************************

Mukadimah

1. Untuk menghuraikan tajuk ini, kita perlu menjelaskan makna tiga perkataan: insan, Islam dan pembangunan

2. Sebelum menjelaskan konsep pembangunan insan dalam Islam kita perlu menjelaskan terlebih dahulu ajaran agama Islam tentang insan

3. Seperti yang dapat dilihat nanti, konsep insan dalam Islam tidak sama dengan konsep insan dalam sistem kepercayaan dan pemikiran Barat moden yang sekarang ini mempengaruhi seluruh dunia walau pun terdapat banyak kesamaan

Konsep Insan

1. Sumber utama ajaran Islam tentang insan ialah Kitab suci al-Quran. Sumber utama pandangan tamadun Barat moden tentang manusia ialah ilmu sains yang sudah dipengaruhi oleh beberapa kepercayaan dan ideologi falsafah

2. Tegasnya, konsep manusia dalam tamadun Islam adalah bersumberkan agama; dalam tamadun Barat moden, ia bersumberkan falsafah dan sains yang dihasilkan oleh akal fikiran semata-mata

3. Dalam tamadun Islam, peranan falsafah dan sains ialah untuk memperhalusi lagi ajaran-ajaran yang terdapat di dalam al-Quran

4. AlQuran memberitahu kita bahawa manusia adalah makhluk Tuhan yang dicipta khusus oleh-Nya:

4.1 manusia bukan hasil proses evolusi seperti yang didakwa oleh teori evolusi biologi moden

4.2 manusia adalah spesis makhluk paling sempurna: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (surah al-tin, ayat 4)

4.3 lagi keistimewaan kejadian manusia menurut al-Quran: “Tuhan yang telah menciptamu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan kamu seimbang. Dan dalam apa sahaja bentuk dan rupa yang dikehendaki-Nya, Dia menyusun kejadianmu.” [surah al-infitar, ayat-ayat 7-8]

4.4 manusia dijadikan daripada berbagai-bagai unsur daripada pelbagai jenis alam: unsur-unsur jasmani/fizikal (tanah) yang membentuk tubuh badan manusia; unsur-unsur ruhani (ruh; akal; hati-kalbu) yang membentuk diri ruhani dan diri akliah manusia; unsur-unsur kejiwaan (nafs) daripada alam kemalaikatan (ruhani), alam jinn (psiki/halus) dan alam haiwaniah

4.5 tentang unsur-unsur jasmani, al-Quran menegaskan: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering yang berasal daripada lumpur hitam yang berubah bentuknya” (surah al-hijr, ayat 26)

4.6 tentang unsur-unsur ruhani, al-Quran menegaskan: “Kemudian, apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan ruh padanya maka hendaklah kamu sujud kepadanya” (surah al-hijr, ayat 29)

4.7 tentang unsur-unsur akliah, al-Quran menegaskan: “Mengapa kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu melupai akan diri kamu sendiri; pada hal kamu semua membaca Kitab Allah (Taurat)? Tidakkah kamu berakal?” (surah al-baqarah, ayat 44)

4.8 tentang unsur-unsur ruhani berkaitan dengan hati-kalbu, al-Quran menegaskan: “Dialah yang menurunkan sakinah (ketenangan) ke dalam hati-kalbu orang yang beriman supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan yang sedia ada” (surah al-fath, ayat 4)

4.9 al-Quran juga merujuk kepada hati-kalbu sebagai sarang penyakit ruhaniah: “Dalam hati-kalbu mereka terdapat penyakit, lalu Allah menambahkan lagi penyakit mereka dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih disebabkan mereka berdusta.” (sural al-baqarah, ayat 10)

4.10 tentang dada (sudur) sebagai lokasi niat, perasaan, rahsia individu dsb, al-Quran menegaskan: “Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi serta Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan. Allah Maha Mengetahui segala yang terkandung di dalam dada.” (surah al-taghabun, ayat 4)

4.11 tentang unsur-unsur kejiwaan dari alam ruhani atau kemalaikatan, al-Quran menegaskan: “Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya.” [surah al-fajr, ayat-ayat 27-28]

4.12 tentang unsur-unsur kejiwaan yang boleh dibangunkan sama ada untuk kebaikan atau kejahatan, al-Quran menegaskan: “Demi jiwa dan penyempurnaannya. Maka Allah mengilhamkan jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketaqwaan.” [surah al-shams, ayat-ayat 7-8]

4.13 tentang unsur-unsur kejiwaan yang dikaitkan dengan sifat-sifat dan nafsu kebinatangan, al-Quran menjelaskan: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami turunkannya ke tempat yang serendah-rendahnya.” (surah al-tin, ayat-ayat 4-5)

5. Manusia adalah makhluk paling istimewa oleh kerana pencapaian ilmunya. Manusia boleh berada pada kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah s.w.t. berbanding dengan para malaikat sekiranya dia mempunyai ilmu-ilmu tertentu:

Al-Quran menegaskan: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam segala nama benda-benda, kemudian dikemukakan-Nya (benda-benda itu) kepada malaikat, lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.” Para malaikat menjawab, “Maha suci Engkau! Kami tidak mempunyai pengetahuan kecuali sekadar apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.” Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”

6. Kelebihan Nabi Adam diiktiraf oleh malaikat: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kepada Adam.” Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, serta ia menjadi sebahagian daripada golongan yang kafir.” (surah al-baqarah, ayat-ayat 31-34)

7. Kesimpulannya, manusia dijadikan daripada unsur-unsur daripada semua alam: alam fizikal, alam halus/psiki dan alam ruhani termasuk ruh yang Allah tiupkan dari sisi-Nya. Oleh kerana unsur-unsur daripada semua alam terdapat pada diri manusia maka manusia disebut dalam tradisi Islam sebagai alam kecil atau mikrokosmos (al-‘alam al-saghir). Inilah konsep insan bersepadu yang telah diajarkan oleh agama. Konsep ini berbeza dengan konsep-konsep insan serpihan yang sekarang ini berleluasa di dunia termasuk di kalangan umat Islam

8. Mengapakah manusia dijadikan sebagai manusia yang sedemikian rupa? Jawapannya: agar manusia dapat berperanan sebagai hamba (‘abd) Allah dan khalifah Allah di muka bumi, iaitu satu tempat istimewa dalam alam semesta yang Dia telah pilih sebagai tempat kediaman sementara manusia:

8.1 Menurut al-Quran: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (surah al-dhariyat, ayat 56)

8.2 “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (surah al-baqarah, ayat 30)

9. Kepentingan ilmu: manusia dapat memainkan peranannya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan baik hanya sekiranya dia memiliki ilmu. Tanpa ilmu yang sesuai dia tidak akan dapat memainkan kedua-dua peranan tersebut

Memahami Ajaran Pokok Agama Islam

1. Ilmu untuk manusia beribadat kepada Allah dan ilmu untuknya berperanan dan berfungsi sebagai khalifah Allah: Bolehkah manusia mencari sendiri ilmu-ilmu ini? Jawapannya: Tidak boleh! Manusia perlukan bimbingan Ilahi: maka Allah telah mewahyukan al-Quran sebagai kitab panduan

2. Bagi memainkan peranan masing-masing sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah Allah, kaum Muslimin perlu memahami dan menguasai ilmu agama Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Allah telah mempermudahkan manusia untuk memahami agama Islam. Menurut sebuah hadis, Allah telah mengutus malaikat Jibra’il kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan sekumpulan para sahabat untuk mengajar mereka agama (al-din). Intisari agama terdiri daripada tiga aspek/juzuk: islam, iman dan ihsan. Nama agama Islam diambil daripada aspek atau juzuk pertama, iaitu islam

3. Aspek Islam merujuk kepada rukun Islam yang lima; aspek iman merujuk kepada rukun iman yang enam; aspek ihsan merujuk kepada kualiti penghayatan rukun islam dan kualiti penghayatan rukun iman pada tahap kesempurnaan dan kecemerlangan

4. Rukun iman adalah asas kepercayaan dan pemikiran Islam; rukun Islam adalah asas pembentukan masyarakat dan umat Islam; ihsan adalah asas sistem keruhanian Islam. Ilmu tentang ketiga-tiga juzuk intisari agama ini wajib dimiliki oleh setiap orang: ilmu-ilmu ini adalah bertaraf fardu ‘ain

5. Manusia adalah individu dan juga anggota masyarakat. Dia perlu memainkan peranannya sebagai hamba dan sebagai khalifah Allah secara individu dan juga secara kolektif. Untuk memudahkan penganut Islam memainkan peranan khalifah Allah secara kolektif, Allah telah menyediakan syariat sebagai sumber peraturan hidup bermasyarakat dan bernegara. Ilmu yang wajib dimiliki oleh masyarakat pada tahap yang memadai, iaitu yang boleh menjamin kesejahteraan masyarakat, tetapi tidak semestinya dimiliki oleh setiap warganegara disebut sebagai ilmu fardu kifayah

Konsep Pembangunan Insan

1. Konsep pembangunan insan dalam Islam semestinya berdasarkan kepada konsep insan dan ajaran pokok agama Islam yang telah dihuraikan tadi

2. Prinsip-prinsip pembangunan insan dalam Islam adalah seperti berikut:

a. teras pembangunan masyarakat dan negara adalah pembangunan insan; teras pembangunan insan adalah pembangunan keruhanian kerana kemajuan keruhanian merupakan tujuan sebenar manusia dicipta oleh Allah s.w.t.

b. pembangunan kebendaan adalah alat kepada pembangunan insan: teknologi dicipta untuk menjadi hamba kepada manusia, bukannya manusia menjadi hamba kepada teknologi

3. Ciri-ciri pembangunan insan menurut Islam meliputi:

a. kemajuan keimanan,

b. kemajuan keilmuan,

c. kemajuan akhlak,

d. penyuburan amal salih/kerja-kerja kebajikan, dan pada umumnya amr bi’l-ma’ruf (komitmen kepada kerja-kerja kebaikan),

e. kesungguhan dalam menggerakkan nahy ‘ani’l-munkar (memerangi kemungkaran, jenayah, rasuah, keganasan dan seumpamanya), dan penghayatan keadilan

4. Seluruh sistem kemasyarakatan – sistem pendidikan, sistem perundangan, sistem ekonomi, sistem politik, sistem kebudayaan, dan sebagainya – malahan seluruh tamadun, disusun dan digerakkan bagi tujuan mencapai matlamat pembangunan insan seperti yang telah dijelaskan

5. Syariat Islam adalah syariat yang Allah telah anugerahkan kepada manusia dengan tujuan untuk membolehkan umat Islam mencapai matlamat pembangunan insan dengan harga yang termurah!

Kesimpulan

1. Pembangunan insan dalam Islam adalah pembangunan yang menghayati maqasid al-shari’ah (tujuan-tujuan syariat Ilahi), khususnya lima tujuan pokok Syariat Islam, iaitu

i. memelihara agama;

ii. memelihara akal;

iii. memelihara nyawa;

iv. memelihara keturunan; dan

v. memelihara harta.

2. Dengan terjaminnya kelima-lima perkara ini maka barulah terjamin kesejahteraan dan keadilan masyarakat dan dengan itu juga terjaminnya pembangunan insan yang sebenar.

Wabillah al-tawfik wal-hidayah, wa bihi nasta’in.

Kelas Pengajian Hadith Fathul Baari

Muafakat telah memulakan kelas pengajian hadith Sahih Bukhari berpandukan kitab Fathul Baari semenjak tahun 2008. Kelas dibimbing oleh Ustaz Abd. Raof bin Ismail bin Omar bin Thoiyib bin Yusuf.

Hari/Waktu:

Kelas diadakan pada setiap hari Rabu (malam Khamis)

Kelas dimulakan pada pukul 9:15 malam dan berakhir sekitar jam 10:45 malam.

Kitab:

  1. Fathul Baari – Syarah Shahih Al Bukhari – karangan Sheikh Ibnu Hajar Al Asqalani

Tempat:

No. 27 Jalan AU 5C/5, Lembah Keramat, 54200 Kuala Lumpur (Kediaman Haji Mohd Amin Hashim – Bendahari MUAFAKAT)

Kelas adalah terbuka kepada semua kaum muslimin yang berminat untuk mengikuti dengan tekun.

Kepada yang berminat sila hubungi Sdr. Haji Mohd Amin:

sms: 019-329-1175

atau emel: akarimomar@yahoo.com

Kelas Mingguan Bersama Ustaz Uthman El-Muhammady

Muafakat telah memulakan pengajian mingguan bersama Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady semenjak tahun 2007.

Hari/Waktu:

Kelas diadakan pada setiap hari Selasa (malam Rabu) – kecuali pada minggu pertama setiap bulan.

Kelas dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan berakhir sekitar jam 11:00 malam.

Kitab:

  1. Maqalat Islamiyyin (Prinsip-prinsip Dasar Aliran Theologi Islam) – karangan Iman Abul Hasan Isma’il al-Asy’ari
  2. Ar-Risalatul Qusyairiyah fi iIlmit Tashawwuf (Risalah Qusyairiyah – Sumber Kajian Ilmu Tasawuf) – karangan Abul Qasim Abdul Karim Hawazin AL Qusyairi An Naisaburi

Tempat:

No. 27 Jalan AU 5C/5, Lembah Keramat, 54200 Kuala Lumpur (Kediaman Haji Mohd Amin Hashim – Bendahari MUAFAKAT)

[PERUBAHAN LOKASI: KINI DI Kediaman Sdr. Hj. Mohd Kamal Omar No. 2623, Jalan Permata 15, Taman Permata, Ulu Klang [bersebelahan Giant - dekat Taman Melawati dan Zoo Negara]

Kelas adalah terbuka kepada semua kaum muslimin yang berminat untuk mengikuti dengan tekun.

Kepada yang berminat sila hubungi

Sdr. Mohd Kamal Omar 013-3406994

atau Sdr. A. Karim Omar: emel: akarimomar@yahoo.com /sms: 019-3199788

Penguasaan Ilmu Dalam Era Globalisasi

Catatan nota yang dibentangkan pada Seminar Isu-Isu Semasa Tamadun Umat 7 Feb 2009 di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya


Penguasaan Ilmu Dalam Era Globalisasi

Osman Bakar, PhD

Profesor Emeritus Falsafah Sains, UM
Timbalan Ketua Eksekutif, IAIS
Presiden MUAFAKAT

1.Isu-Isu Utama Untuk Dibincangkan

1.1.Era Globalisasi

1.1.1.Mengenalpasti cabaran-cabaran globalisasi terhadap umat Islam

1.2.Penguasaan Ilmu

1.2.1.Ilmu apa yang diperlukan oleh umat Islam zaman ini?

1.3.Peranan Para Ilmuwan di IPTA/IPTS

1.3.1.Bagaimana para ilmuwan Muslim dapat memajukan ilmu pengetahuan umat dan menyegarkan budaya ilmunya

2.Era Globalisasi & Cabaran-Cabarannya

2.1.Makna globalisasi

2.1.1.Globalisasi ialah suatu himpunan proses pengaliran global berbagai-bagai jenis objek yang melibatkan pelbagai bidang aktiviti manusia.

2.1.2.Objek yang diglobalisasikan boleh jadi fizikal atau bukan fizikal. Boleh jadi ia dalam bentuk maklumat, ide, nilai, institusi, atau sistem.

2.1.3.Himpunan proses pengaliran global ini dan bidang aktiviti manusia yang terlibat kian kait mengait, saling bergantung dan kompleks sifatnya.

2.2.Dimensi-dimensi globalisasi

2.2.1.globalisasi ekonomi

2.2.2.globalisasi politik

2.2.3.globalisasi kebudayaan dan keagamaan

2.2.4.globalisasi keilmuan

2.2.5.globalisasi demografi

2.3.Tiga (3) era (gelombang) globalisasi

2.3.1.gelombang pertama: era Islam (kurun ke-9M hingga kurun ke-16)

2.3.2.gelombang kedua: era kuasa-kuasa penjajah Eropah (kurun ke-16 hingga Perang Dunia Kedua)

2.3.3.gelombang ketiga: era dominasi Amerika (pasca Perang Dunia Kedua/pasca kolonial)

2.4.Cabaran globalisasi gelombang ke-3

2.4.1.Dampak kebaikan

2.4.1.1.peranan pelaburan asing dalam mewujudkan pekerjaan

2.4.1.2.peningkatan mobiliti sosial

2.4.1.3.peluang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan menyebarkan ilmu pengetahuan

2.4.1.4.komunikasi yang lebih mudah dan murah

2.4.1.5.peluang yang lebih luas untuk manusia daripada berbagai kumpulan etnik dan agama berinteraksi

2.4.1.6.penonjolan ide-ide dan amalan pemerintahan yang baik seperti pertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang, dan hak-hak asasi manusia

2.4.1.7.hak-hak asasi kaum wanita

2.4.2.Dampak keburukan

2.4.2.1.kualiti alam sekitar yang semakin merosot

2.4.2.2.pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi yang semakin melebar

2.4.2.3.pengabaian keperluan asas hidup di kalangan rakyat termiskin

2.4.2.4.modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat sebagai akibat amalan baru yang menjadikan wang sendiri sebagai komoditi keuntungan

2.4.2.5.pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatan yang semakin melebar

2.4.2.6.penyebaran budaya kepenggunaan (consumerism) yang bertentangan dengan nilai-nilai kerohanian dan moral yang murni

2.4.2.7.pembentukan budaya global yang seragam (homogen) menerusiperanan perbadanan transnasional dan media komunikasi global

2.4.2.8.penyebaran budaya pop Amerika

2.4.2.9.kecenderungan IPT untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknikal dengan mengabaikan kursus-kursus ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan

2.4.2.10.pembanjiran maklumat yang tidak berguna

2.4.2.11.dunia Barat memanipulasikan isu-isu demokrasi dan hak-hak asasi manusia untuk mendominasi politik dunia

2.4.2.12.pengantarabangsaan penyakit

2.4.2.13.pengantarabangsaan jenayah

3.Penguasaan Ilmu

3.1.Islam sebagai agama ilmu pengetahuan

3.2.Cabaran keilmuan adalah cabaran terbesar terhadap Islam

3.3.Cabaran keilmuan adalah cabaran setiap zaman

3.4.Perlu dikenalpasti ilmu yang diperlukan oleh umat Islam bagi menghadapi cabaran-cabaran yang tersenarai di atas

4.Peranan Para Ilmuwan IPT

4.1.Memahami perspektif Islam tentang ilmu

4.2.Mendalami pengetahuan tentang sejarah pemikiran Islam

4.3.Memahami tamadun moden dan buruk baiknya

4.4.Menguasai bidang pengkhususan masing-masing

4.5.Memahami dan mendalami epistemologi Islam

4.6.Mengaitkan bidang pengkhususan masing-masing dengan epistemologi Islam

4.7.Memahami dampak baik dan dampak buruk globalisasi

4.8.Berikhtiar untuk menangani cabaran-cabaran globalisasi seperti yang tersenarai

4.9.Membantu mewujudkan jaringan ilmuwan Muslim di tanah air dan di peringkat antarabangsa

Gerakan Aliran Pemikiran Baru dan Cabarannya Kepada Umat Islam

Kertas ini telah dibentangkan pada Seminar Isu-Isu Semasa Tamadun Umat 7 Feb 2009 di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya


بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده نصلى على رسوله الكريم

GERAKAN ALIRAN PEMIKIRAN BARU DAN CABARANNYA KEPADA UMAT ISLAM

OLEH:

MUHAMMAD ’UTHMAN EL-MUHAMMADY

Yang dimaksudkan ’gerakan aliran pemikiran baru’ dalam nota ini ialah aliran pemikiran yang merangkumi pemikiran-pemikiran sama ada yang datang dari Barat zaman moden, atau yang baharu muncul di Dunia Melayu, ke dua-duanya dikirakan ’baru’ bagi kawasan Dunia Melayu ini, khususnya Malaysia. Dan yang dimaksudkan ’cabaran’ itu ialah antaranya sebagaimana yang didapati dalam ’Kamus Dewan’: 1.’hasil mencabar (mempersoalkan, mempertikaikan’), 2.’ajakan (untuk berlawan dsb); 3.’sesuatu (unsur, faktor, dsb) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi dll) – (Kamus Dewan, DBP, 2007 hlm 232); -mencabar: ’menyatakan keraguan akan kesahan atau kebenaran sesuatu,mempersoalkan, mempertikaikan (Kamus Dewan hlm 231); ’mengajak berlawan, (bertanding, berkelahi) menentang, menyuruh melakukan sesuatu kalau berani; ’menguji kemampuan dan ketabahan seseorang dll (bkn pekerjaan, tugas, usaha dsb) (Kamus Dewan, hlm 232.)

Antara cabaran-cabaran itu ialah cabaran kepada agama aliran arus perdana umat ini-yakni Ahlissunnah wal-Jamaah; ertinya ialah cabaran terhadap akidah, yang merosakkannya; termasuk ke dalam erti ini ialah cabaran kepada hidup kerohanian, yang memusnahkannya, menjadikannya tidak ada, atau tidak berkesan; – cabaran terhadap akhlak dan moral; ringkasnya – cabaran terhadap agama yang menjadinya kurang atau tidak berkesan amalannya dalam hidup masyarakat.

  • Antaranya cabaran masyarakat yang terlalu bersifat kebendaan yang berlebihan kerana budaya ’konsumerisme’, dengan – masyarakat ’consumerist culture’ yang melihat hampir-hampir semua perkara dianggap sebagai ’barangan’;
  • cabaran kepada keselamatan umat dan negara
  • cabaran kepada perpaduan umat Islam yang sepatutnya menjadi contoh perpaduan, yang menjadi berpecah belah akibat fahaman yang pelbagai jenisnya yang bercanggah dengan pemikiran arus perdana Islam dan yang menggugatnya;.
  • termasuk ke dalamnya ialah cabaran menjayakan ’al-din al-nasihah’ sebagaimana yang dihuraikan dalam pemikiran arus perdana Islam, yang banyak terbengkalai dan tidak terlaksana, seolah-olah gantinya ialah ’al-din al-’adawah’ (’agama ialah bermusuh’)
  • cabaran terhadap institusi-institusi umat Islam yang dipertikaikan oleh kerana gerakan NGO-NGO luar yang mempengaruhi setengah NGO-NGO dalam negera secara negatif, kalau dulunya institusi-institusi ini tidak berani disentuh

Bentuk-bentuk cabaran itu antaranya yang berupa gerakan seperti yang berikut :

Islam Liberal:

Islam Liberal yang sedang mengancam keberadaan agama Islam beraliran arus perdana di Malaysia dan di Dunia Melayu. Aliran ini antaranya boleh dilihat elemen-elemennya dalam buku suntingan Leonard Binder ’Islamic Liberalism’, buku suntingan Charles Kurzman, ’Liberal Islam A Source Book’; ia juga boleh dilihat dalam himpunan tulisan-tulisan seperti ’Islam Liberal dan Fundamental Sebuah Pertarungan Wacana’, yang di dalamnya ada karangan-karangan oleh Abdurrahman Wahid, Mustafa Bisri, Haidar Baqir, Ulul Abshar Abdalla, Goenawan Mohamad, dan Benny Susetyo.

Dalam pendahuluannya kepada buku ’Liberal Islam’ Charles Kurzman menyebut tentang ’modes of Liberal Islam’ (hlm 13-26) dengan menggariskan beberapa ’unsur’nya seperti ’Syariah yang liberal’, ’Syariah yang senyap’ dalam hubungan dengan perkara-perkara yang Syariah ’senyap’ tentangnya, penentangan terhadap ’theodicy’, atau perlaksanaan Syarak sebagai hukum Tuhan, ’Syariah yang ditafsirkan’ dengan menekan Syariah yang ditafsirkan oleh manusia; walaupun ia berasal dari sumber rabbani, ia tafsiran manusia; oleh itu tidak sunyi daripada tersilap. Ini disusuli dengan penerangan tentang penentangan terhadap ’theodicy’, sokongan terhadap demokrasi Barat, hak-hak wanita secara Barat, hak-hak bukan Islam, kebebasan berfikir, dan akhirnya kemajuan.

Kalau pendekatan Leonard Binder ialah membentangkan pemikiran beberapa tokoh Timur Tengah (terutamanya Mesir) dalam penentangannya terhadap Barat, Charles Kurzman mengambil pendirian menonjolkan beberapa tokoh liberal dalam Islam yang menentang Islam itu dari dalam Islam itu sendiri, sebagaimana yang dinyatakannya dalam pendahuluannya.(halm. 13).

Di Dunia Melayu, kita boleh melihat elemen-elemen Islam Liberal antaranya dalam tulisan Ulil Abshar ’Menyegar kembali Pemahaman Islam’ dalam buku suntingannya Islam Liberal & Fundamental’. Di dalam tulisannya beliau menyatakan dengan terang bahawa yang dikehendakinya ialah ’penafsiran Islam yang non-literal, substansial, kontekstual, dan sesuai dengan denyut nadi peradaban manusia yang sedang dan terus berubah’ (hlm 8), Juga ia ’(penafsiran) yang dapat memisahkan mana unsur-unsur di dalamnya yang merupakan kreasi budaya setempat, dan mana yang merupakan nilai fundamental. Kita harus bisa membedakan mana ajaran dalam Islam yang merupakan pengaruh kultur Arab dan mana yang tidak’ (hal.8). Seperkara lagi ialah beliau mahu supaya ’umat Islam hendaknya tidak memandang dirinya sebagai ’masyarakat’ atau ’umat’ yang terpisah dari golongan yang lain. Umat manusia adalah keluarga universal yang dipersatukan oleh kemanusiaan itu sendiri…’ (hal. 8). Natijahnya boleh kita lihat dalam kenyataannya sendiri bahawa ’Segala produk hukum Islam klasik yang membedakan antara kedudukan orang islam dan non-Islam harus diamademenkan (yakni diubah –uem) berdasarkan prinsip kesederajatan universal dalam tataran kemanusiaan’ (hal.9).

Berikutnyta beliau menyatakan bahawa ’kita membutuhkan (yakni memerlukan –uem) struktur sosial yang dengan jelas memisahkan mana kekuasaan politik dan mana kekuasaan agama. Agama adalah urusan peribadi; sementara pengaturan kehidupan publik adalah sepenuhnya hasil kesepakatan masyarakat melalui prosedur demokrasi.’(hal.9) Dengan itu katanya ’tidak ada yang disebut ’hukum Tuhan’ dalam pengertian seperti dipahami kebanyakan orang Islam [termasuk yang difahami oleh imam-imam mujtahidin, dan ulama, bahkan failasuf seperti ibn Rushd dengan ’Bidayatul-Mujtahid’nya, serta yang terkandung dalam teks-teks seperti ’al-Fiqh ’ala l-madhahib al-arba’ah’ oleh al-Jaziri dan ’al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh’ oleh al-Zuhaili itu-uem]. Katanya ’Misalnya hukum Tuhan tentang pencurian, jual beli, pernikahan, pemerintahan, dan sebagainya …’(hal.9). Dengan ini seluruh hukum Islam yang diijmakkkan dalam umat terbatal semuanya. Subhana’Llah.

Sebagai natijah daripada pendekatan ini juga, Ulil mengaitkan Nabi saw dengan ’mitos yang dikagumi’, lalu ia menyatakan pendiriannya: ’Rasul Muhammad saw adalah tokoh historis yang harus dikaji dengan kritis (sehingga tidak hanya menjadi mitos yang dikagumi saja, tanpa memandang aspek-aspek beliau sebagai manusia yang juga banyak kekurangannya) … (hal.9-10). Pandangan nabi saw ’yang banyak kelemahan-kelemahannya’ bercanggah dengan Quran, sunnah dan ijma’; apa lagi bila diingatkan para anbia dengan sifat ma’sum mereka sebagaimana yang ada dalam pendirian arus perdana Islam.

Natijahnya juga padanya ialah bahawa ’setiap nilai kebaikan , di manapun tempatnya, sejatinya adalah nilai Islami juga.Islam-seperti pernah dikemukakan oleh Cak Nur dan sejumlah pemikir lainnya adalah ’nilai generis’ yang bisa ada di Kristian, Hindu, Budha, Konghucu, Yahudi, Taoisme, agama dan kepercayaan lokal, dan sebagainya. Bisa jadi, kebenaran ’Islam’ bisa ada dalam filsafat Marxisme.’(hal.11). Katanya ’Saya tidak memandang bentuk tetapi isi…’

Tentang wahyu, yang disederetkan sama dengan pemikiran manusia, sebagai wahyu ’nonverbal, katanya ’Bagi saya. Wahyu tidak terhenti pada zaman nabi; wahyu terus berkerja dan turun kepada manusia.Wahyu verbal memang telah selesai dalam al-Qur’an, tetapi wahyu nonverbal dalam bentuk ijtihad akal, manusia terus berlangsung’ (hal.10).

Inilah setengah daripada pendirian-pendirian ’Islam Liberal’ yang ada di Dunia Melayu yang bercanggah dengan Islam arus perdana yang menjadi pegangan rantau ini dari dulu sampai sekarang. Nampaknya ’Islam Liberal’ yang ada di Dunia Melayu ini benar-benar terpengaruh dengan nuansa ’Islam Liberal’ yang ditaja oleh tokoh-tokoh seperti Leonard Binder dan Charles Kurzman.

Syiah

Dalam hubungan dengan gerakan Syiah, walaupun ia terlarang di Malaysia melalui fatwa resmi, ia berkembang secara senyap; ia mempunyai akidah yang pada pokoknya berlawanan dengan arus perdana aqidah Islam. Antaranya aqidah imam ma’sum yang menyatakan bahawa ’para imam (Syiah) itu mempunyai makam yang terpuji, darjah kerohanian yang tinggi dan kedaulatan memerintah alam semesta (khilafah takwiniyyah) yang tunduk kepada otoritasnya atau kekuasaannya semua atom-atom alam ini’ (Khumeini, al-Hukumah al-Islamiyyah, hal 52); dan para imam itu tidak tersalah dan tersilap, dan darjah mereka sedemikian tinggi sehingga tidak tercapai oleh malaikat muqarrabin dan nabi yang mursal (melainkan nabi Muhammad saw).

Aqidah tentang kafirnya para Sahabat juga merupakan aqidah mereka.Ini antaranya ternyata dalam teks klasik Syiah yang masih menjadi rujukan sampai sekarang iaitu ’Rijal al-Kashshi’ (’Rijal al-Kashshi’ oleh Abu Jaq’far Muhammad bin al-Hasan al-Tusi, jilid 1 riwayat ke 12 bertajuk ’Salman al-Farisi’). Di dalamnya dinyatakan bahawa ’para Sahabat murtad (irtadda’n-nas) selepas wafat Rasulullah saw melainkan tiga’ iaitu Salman al-Farisi, Abu Dharr al-Ghifari dan Miqdad bin al-Aswad. Mereka menganggap Sahabat-sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman – Allah meredhai mereka – dengan permusuhan yang sebesar-besarnya. Implikasi daripada pegangan ini ialah ia meruntuhkan Islam itu sendiri sebab para Sahabat adalah pemimpin umat yang menyampaikan kepada mereka Quran dan Sunnah serta maklumat tentang sejarah awal Islam. Ini gambaran yang sehabis-habis berat tentang Rasulkullah saw juga, sebab ia menggambarkan bahawa baginda gagal melahirkan manusia yang beramanah dalam sejarah Islam.

Aqidah tentang Quran Siti Fatimah (Mushaf Fatimah) juga menjadi pegangan Syiah Imamiah yang ada sekarang ini. Mereka mempunyai pegangan bahawa Quran yang lengkap tiga kali ganda besarnya daripada Quran Mushaf Uthmani; Quran itu ada pada imam ghaib mereka yang akan dikeluarkan bila ia datang ke dunia. Sekarang imam itu berada dalam ghaibah kubra. Sekarang mereka sedang menanti kemunculan imam yang ghaib itu untuk memberi kepada mereka Quran yang lengkap sempurna itu. (Lihat ’al-Kafi’ fil-Usul’ kitab al-hujjah bab berkenaan dengan sebutan al-sahifah wal-jafr, edisi Tehran, jilid 1 hal.239-241).

Aqidah raj’ah merupakan satu daripada pegangan mereka. Maksudnya sebelum berdirinya kiamat manusia dihidupkan semula (raj’ah), untuk dihukumkan kerana, misalnya mereka tidak menjadikan Ali rd sebagai khalifah selepas nabi Muhammad saw. Maka para sahabat dan orang-orang Ahli Sunnah akan dihukum oleh imam Mahdi mereka –Muhammad bin Hasan al-Askari- oleh kerana jenayah yang besar ini yang menyebabkan mereka menjadi kafir. Na’udhu billahi min dhalik. (Lihat ’Butlan ’Aqa’idal-Shi’ah’ oleh al-Tusnawik, hal. 103-104.)

Seperkara lagi ialah sikap mereka yang tidak mengakui keabsahan kerajaan Islam, melainkan kerajaan zaman Ali rd dan kerajaan imamiah yang ada sekarang. Ketaatan mereka kepada pemerintahan itu hanya kerana kepentingan duniawi; kerajaan yang sah ialah kerajaan di bawah imam Syiah (Shiah super-state).

Amalan taqiyyah merupakan satu rukun dalam pegangan mereka. Taqiyyah ialah sikap berpura-pura dalam menjalankan kehidupan. Misalnya kalau mereka boleh memendamkan kebencian terhadap orang Ahlus Sunnah dan sembahyang di belakangnya sebagai taqiyyah, itu amat besar pahalanya di sisi mereka.

Mereka juga mengamalkan kahwin mut’ah atau kahwin kontrak, yang boleh berlangsung dalam masa yang pendek atau masa yang panjang; misalnya untuk sehari, sebulan, tiga bulan, setahun dan seterusnya. Ini boleh berlaku tanpa wali dan saksi. Habis masanya mereka berpisah menuju haluan masing-masing dengan tidak ada apa-apa tanggungjawab. Dalam teks Khumeini ’Tahrir al-Wasilah’ kahwin ini boleh dibuat dengan isteri orang sekalipun, hanya ini makruh katanya. Subhana’llah.

Akidah ini sedang berkembang secara senyap di negeri ini. Ia mesti diwaspadai supaya Muslimin yang Ahlissunnah hendaklah jangan terikut-ikut dengan ajaran ini kerana ia memusnahkan agama dan juga menjadi ancaman kepada keselamatan negera .

Wahhabiah

Gerakan Wahhabiyyah juga merupakan satu gerakan yang mencabar Ahlissunnah dan keselamatan negara. Secara ringasnya antara elemen-elemen ajaran ini adalah seperti berikut:

Huraiannya tentang ’la ilala illa’Llah’ yang tidak mengikut arus perdana umat. Ini kerana diterangkan bahawa seseorang itu selamat nyawanya dan hartanya hanya bila ia memenuhi lima syarat dalam menunaikan syahadahnya, iaitu dengan mengucap la ilaha illa’Llah …’ dua dengan memahami maknanya, tiga dengan berikrar tentangnya, empat dengan menyeru tidak kepada yang lain sebagai Tuhan melainkan Allah, lima dengan kufur terhadap yang lain yang disembah selain daripada Allah. Bila ke lima-lima syarfat ini ditunai baharulah seseorang itu selamat tidak dibunuh dan hartanya tidak diambil. Huraian yang seperti ini tidak ada dalam Ahlissunnah. Sebab itu nyata dalam kisah seorang sahabat bahawa ia dimarahi oleh Rasulullah saw bila ia membunuh seseorang yang mengucap ’la ilala illa’Llah’, katanya orang itu mengucap hanya kerana takut kepada pedang.

Sikapnya yang menganggap Adam dan Hawwa alaihimassalam syirik dalam ketaatan (’al-shirk fi’t-ta’ah) dalam hubungan dengan ayat yang bermaksud ’maka mereka berdua menjadikan baginya sekutu-sekutu kerana ni’amat yang dikurniakan kepada mereka berdua’ ( al-A’raf:189); yakni ditafsirkan bahawa Adam dan Hawwa bersikap syirik terhadap Allah bila Allah kurniakan kepada mereka berdua anak yang selamat dengan mereka berdua menamakan anaknya Abdul Harith. Harith ialah nama Syaitan. Ini terdapat dalam Kitab al-Tauhid oleh Muhammad bin Abdil Wahhab.

Sikap orang Wahhabi yang menganggap al-Busiri penggubah kitab ’al-Burdah’ itu sebagai syirik antaranya kerana ada bait seperti (yang bermaksud) ’Siapakah lagi wahai penghulu orang yang kamu boleh minta perlindungan pada hari bila kebencanaan turun atas semua (tanpa kecuali)?’ walhal yang dimaksudkan ialah syafaat al-uzma yang diharapkan oleh makhluk sewaktu menanti hisab di Mauqif di Mahsyar.

Memang sikap golongan ini terkenal dengan mudahnya mereka mengkafirkan atau mensyirikkan dan membidahkan orang lain yang tidak sealiran dengan mereka.

Mereka membahagikan tauhid kepada tiga –tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wassifat, yang dipisah-pisahkan antara satu dengan yang lain-lainnya. Dengan itu mereka menganggap Abu Jahal dan Abu lahab adalah ikhlas dalam tauhid mereka, iaitu tauhid kategori rububiyyah, walhal dalam seluruh sejarah Islam, apa lagi zaman salaf, tidak ada ulama yang menganggap Abu Lahab dan Abu Jahal sebagai ahli tauhid yang ikhlas, walau apapun jenis tauhidnya itu!

Dan ayat yang mereka gunakan untuk memberi dalil tentang perkara ini adalah meleset (Ankabut:65) dan yang sepertinya, kerana ayat itu ayat memperli golongan itu (darb mina’t-tahakkum) (ضرب من التهكم); yang dikatakan ikhlas mereka itu hanya pada rupa lahir sahaja bukan sebenarnya; kalau ikhlas sebenarnya mereka tidak mungkin dibawa oleh syaitan menyembah berhala semula sebagaimana yang disebut di hujung ayat itu. Pembahagian tauhid yang sebeginilah yang membawa mereka kepada perbuatan menentang Othmaniah dalam sejarah itu dan membunuh Muslimin yang tidak berdosa. Subhana’Llah. (Ini jelas dalam ’Tarikh Najdin’ oleh ibn Ghannam dan ’Unwan al-majdi’ oleh Uthman ibn Bishr al-Najdi).

Akibat daripada penafsiran agama begini timbullah sikap ’anti-establishment’ yang ada pada golongan ini. Kalau mereka berkembang menjadi kuat dan berpengaruh negara tidak selamat. Dalam Ahlissunnah wal-Jamaah tidak ada sikap ’anti-establishment’; yang ada ialah ’al-din al-nasihah’.

Selain daripada itu ialah sikap mereka senang membid’ahkan orang lain kerana amalan-amalan seperti ’talqin’, berselawat beramai-ramai, berdoa dan mengaminkan doa beramai-ramai lepas sembahyang, wirid beramai-ramai lepas sembahyang, tarekat dan tasawwuf, tahlil arwah, dan yang sepertinya. Ini semua telah diputuskan dalam tahun lima puluhan lagi dalam ’Muzakarah Ulama Se Malaya’ waktu ulama-ulama yang sangat kanan, masih hidup. Dan tidak timbul penentangan terhadap amalan-amalan itu. Tetapi golongan ini tidak menghormati siapapun. Saya menyebut ini adalah ’intellectual cowboyism’. Subahana’Llah.

Kita perlu pastikan bahawa fesyen berfikir dan memahami agama yang bukan arus perdana ini tidak berkembang di kalangan kita. Biarlah ia berada dalam negerinya sendiri; sebagaimana yang disesbut oleh Imam Abu Zahrah rh dalam bukunya ’Tarikh al-madhahib al-Islamiyyah’ kalau aliran ini ada pada negerinya, itu tidak menjadi masalah, tetapi bila ia berkembang di negeri-negeri lain timbul masalah. Yang menjadi keleliruan besarnya ialah mereka anggap merekalah Ahlissunnah yang sebenarnya, yang lain tidak.

Pemikiran secara sekular

Pemikiran secara sekular maksudnya ialah mereka yang terpengaruh dengan cara berfikir memisahkan agama daripada ruang awam (bukan hanya politik); ini perlu difahami dengan cermat dan tepat sebab Ahlissunnah berpendirian tidak boleh sesiapa mengkafirkan orang Islam walaupun kerana dosa besar, kecuali kerana kufurnya itu sendiri. Semua perkara masih terkawal di bawah hukum yang lima. Kita tidak boleh meninggalkan pengkategorian amalan dan sikap manusia di bawah hukum yang lima ini dan menggantikannya dengan ’ini sekular’, ini ’Islam’ dengan begitu sahaja tanpa memperincikan perkara itu dari segi hukum yang lima itu. Dan istilah sekular dan sekularisme itu hendak digunakan dengan merujuk kepada teks-teks asal di Barat sebab itu muncul dari kalangan mereka; bila kita camkan ertinya yang asal dengan penggunaannya baharulah kita fahamkan kedudukannya dengan membandingkannya dengan kerangka intelektuil yang ada pada kita. Dan kerangka hukum lima itu kita gunakan, sebab ia daripada nas Islam asal. Yang lain itu mendatang kemudian.

Tambahan lagi: bila British datang menjajah di negeri-negeri Melayu mereka membawa ’administrative arrangement’ (susunan pentadbiran ala mereka yang baharu) dan bukan membawa ’philosophical secularism’ atau sekularism sebagai falsafah, misalnya sebagaimana yang baharu diungkapkan oleh Holyoake dan Breslaugh di Barat.

Orientalisme:

Orientalism dengan unsur-unsurnya yang memberi pandangan yang tidak adil dan tepat tentang Islam dan umatnya serta sejarahnya (termasuk sumber-sumbernya) yang sekarang masih berjalan hendaklah ini diwaspadai. Memang ada di kalangan Orientalis yang objektif dan tepat atau hampir tepat betul pengamatannya. Yang penting ialah kewaspadaan intelektuil, rohani dan moral di kalangan kita. (Kisah bengkel penyeliaan yang didedahkan dengan hanya teks-teks Barat kontemporari sebagai contoh penulisan ilmiah yang unggul dengan meninggal warisan intelektuil Islam klasik, yang menimbulkan rasa rendah diri intelektuil yang amat berat).

Sikap kebendaan

Faham kebendaan atau sebenarnya sikap terlalu kebendaan dalam hidup yang memalapkan kesedaran rohani dan moral yang tinggi di kalangan kita; ini menimbulkan gejala sosial dengan pelbagai contoh tabiat dan perbuatan anti-sosial. Gerak kesedaran moral dan akhlak perlu dilakukan dengan segera berteraskan ajaran Ahlissunnah secara berkesan.

Konsumerisme, budaya selebriti, dan ’trivialization of culture’

Hidup yang terfokus kepada konsumerism dan budaya ’consumerist’ yang memandang semua perkara sebagai ’barangan’, dengan kesannya yang sangat parah kepada hidup masyarakat dan budaya. Ini kerana budaya ini menyebabkan manusia membeli dan mengguna barangan bukan kerana pentingnya benda itu, tetapi kerana hendak menunjuk-nunjuk; alangkah malahnya budaya menunjuk-nunjukkan ini. Selain daripada kesannya kepada ekonomi dan hidup sosial (dengan korupsi yang berikutnya) ia merosakkan hidup manusia dan membahayakan negera; (ibn Khaldun rh dalam ’al-Muqaddimah’ memberi huraian tentang bahaya hidup seperti ini kepada integriti umat dan negara. Berkaitan dengan ini ialah apa yang boleh disebut sebagai -’budaya selebriti’ atau ’celebrity cult’ menggantikan budaya ’uswah hasanah’ yang diberikan peringatan kepada kita tujuh belas kali sehari semalam dalam ’al-fatihah’, tetapi kesannya tidak kelihatan. Dan berkaitan dengan ini juga ialah budaya hiburan yang kelihatan berlebihan yang merupakan ’trivialiation of culture’ ataupun memanisfasikan budaya secara penonjolan perkara-perkara yang ’trivial’ dengan melupakan perkara-perkara yang besar-besar yang memberi kesedaran kepada manusia dalam hidup budaya yang sebenarnya. Kita memerlukan keseimbangan dalam hidup supaya budaya tidak menurun kepada paras yang semakin lama semakin rendah, sebab trend ini membahayakan kita sendiri.

Globalisasi:

Secara ringkasnya pensejagatan dalam maksud yang dibawa oleh Barat perlu difahami hakikatnya yang sebenar supaya perkara-perkara positif daripadanya dapat diambil dan bahaya-bahaya daripadanya boleh dielakkan. Komunikasi yang pantas, pemindahan maklumat dan ilmu secara segera, penyimpanan maklumat dan pengembaliannya yang pantas, pengurusan yang pantas dalam konteksnya itu, keberadaan maklumat dan pengetahuan yang seolah-olah tidak ada batasnya, itu mesti dimanafaatkan, dan Muslimin perlu menggunakan media ini secara proktif untuk memprojekkan wajah Islam dan umatnya yang ’rahmatan li’l’alamin.

Yang negatifnya hendak dielakkan: penghakisan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam dalam perhubungan dengan pelbagai budaya dengan kehadhirannya di mana-mana, pengurangan hubungan manusia secara berdepan dan langsung yang terlalu banyak dimenengahi oleh alat-alat komunikasi baru yang mengurangkan sifat kemanusiaan dalam perhubungan, demikian seterusnya; hegemoni budaya lain yang melemahkan kekuatan budaya sendiri; keselamatan dan kekuatan agama yang tercabar; demikian seterusnya. (Penerangan di atas yang lebih lanjut boleh didapati dari kertas saya yang berjudul ’Ajaran Ahlissunnah wal-Jamaah dan Pendekatan Muhammad bin ’Abd al-Wahhab: Satu Penilaian Awal’ dalam laman web:

· http://www.geocities.com/traditionalislam/ atau

· http://blogtraditionalislam.wordpress.com/

Langkah-langkah yang perlu diambil:

  • mempelajari Islam arus perdana Ahlissunnah (cf keputusan-keputusan dalam seminar-seminar YADIM Oktober 2008, Disember 2008, dan yang setahun dua sebelumnya yang membuahkan resolusi-resolusi) supaya ajaran yang dijamin benar dan kekal sampai kiamat ini dimengerti dan berfungsi menjadi neraca intelektuil, akhlak dan rohaniah. Perlu juga dicapai keyakinan dalam aliran ini supaya tidak timbul keraguan-keraguan di dalamnya’; kalau timbul keraguan ia perlu diselesaikan secara ilmiah)
  • gerakan dakwah yang menyeluruh dilakukan untuk semua golongan oleh badan-badan kerajaan dan NGO-NGO Islam
  • memasukkan fahaman Ahlissunnah yang menyeluruh dalam sistem pendidikan (akidah, epistemologi, dan kerangka peradaban) – ini boleh berjalan selari dengan Islam Hadhari).
  • pendedahan tentang aliran-aliran yang mencabar Islam arus perdana kepada semua lapisan masyarakat Islam, terutamanya golongan terpelajar dan organisasi-organisasi dakwah dan NGO Islam melalu seminar-seminar, bengkel-bengkel, dan penerbitan bercetak atau elektronik.

Demikianlah Islam arus perdana sedang mendapat tentangan dan cabaran antaranya sebagaimana yang boleh diperhatikan dalam perbincangan di atas. Maka amatlah perlu sekali pendedahan tentang Islam arus perdana itu diberi kepada semua pihak berserta dengan alirah-aliran yang mencabarnya. Perlaksanaan Islam arus perdana Ahlissunnah wal-Jamaah ini perlu diteruskan demi menjaga kebenaran hakiki agama Islam, demi mencapai keseragaman dalam pegangan dan cara berfikir, demi kestabilan intelektuil, rohani dan etika, serta juga demi menjaga kerangka membina peradaban di kalangan Muslimin dan jiran-jiran mereka yang sepatutnya mendapat faedah yang sebesarnya dari perlaksanaan agama rahmatan lil-’alamin ini.

Allahumma amin. Wallahu a’lam.

Seminar Isu-Isu Semasa Tamadun Umat

Pendaftaran adalah percuma

Seminar Isu-Isu Semasa

Tamadun Umat Di Malaysia

Tarikh:

7hb Februari 2009 (Sabtu)

8:30 pagi – 5:00 ptg

(+ Makan minum disediakan)


Tempat:

Dewan Kuliah Utama,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya

Tajuk-tajuk:

Gerakan Pemikiran Aliran Baru dan Cabarannya Kepada Umat Islam

Penguasaan Ilmu Dalam Menghadapi Era Globalisasi

Peranan Mahasiswa Dalam Mencapai Kecemerlangan Umat

Penceramah/Panel

Ustaz (Dr.) Muhammad Uthman El-Muhammady

Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar

Prof. Datuk Dr. Mohammad Abu Bakar

Prof. Dr. Sidek Baba

Haji Yusri Mohamed

Anjuran bersama:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

Universiti Malaya (UM)

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)


Maklumat lanjut: hubungi Sdr. Wan Burhan – tel: 016-395-6497


Dakwah Islamiah Sebagai Madrasah Pembinaan Intelektual & Kepentingannya Kepada Jemaah Islamiah

Dakwah Islamiah Sebagai Madrasah Pembinaan Intelektual dan Kepentingannya Kepada Jemaah Islamiah

Osman Bakar

Presiden MUAFAKAT

1. Mauduk utama perbincangan kita di sini ialah dakwah Islamiah. Ini suatu mauduk yang sangat luas ruang lingkup atau skop perbincangannya. Kita boleh menghuraikan konsep dan pengertian dakwah Islamiah secara mendalam berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w., membincangkan pelbagai aspek dan ciri kegiatan dakwah dan menjelaskan kepentingannya daripada berbagai-bagai sudut. Bagaimana pun sesuai dengan tajuk yang diberikan perbincangan kita akan menjurus kepada dua aspek dakwah Islamiah, itu [1] dakwah Islamiah sebagai madrasah pembinaan intelektual dan [2] kepentingan dakwah kepada jemaah Islamiah.

2. Sebelum kita menjuruskan perbincangan kita kepada dua aspek tersebut eloklah terlebih dahulu kita menjelaskan kedudukan dakwah dalam ajaran agama Islam. Dakwah dalam pengertiannya yang paling luas, iaitu menyeru dan mengajak manusia kepada Allah dan agamanya – menerusi lisan, tulisan dan perbuatan – menduduki tempat teras dalam agama Islam. Dakwah dalam pengertian di atas yang meliputi tabligh merupakan cara dan kaedah paling utama tertegaknya agama Islam. Sesudah tertegaknya agama Islam di muka bumi ini dakwah juga merupakan cara utama untuk memelihara kesucian, kewibawaan, kepentingan dan kelangsungan agama dan umat Islam.

3. Oleh sebab itu Allah memerintah Rasulullah s.a.w. dan semua orang beriman supaya berdakwah. Sebaik sahaja Muhammad bin Abdullah diantik sebagai Nabi dan Rasul dia pun menyampaikan mesej Ilahi tentang keEsaan Allah dan kerasulan Muhammad kepada keluarganya yang terdekat, sahabat handainya yang akrab dan kemudiannya kepada kaum kerabatnya yang lain, dan masyarakat setempat baginda seluruhnya. Dari kota Madinah bersama-sama dengan para sahabatnya dan dalam pidato terakhirnya di Mekah baginda memancarkan cahaya dakwah Islamiah ke seluruh dunia. Agar kita mencontohinya maka kita diperintahkan supaya menyampaikan kepada orang lain walau pun sepotong ayat al-Qur’an. Tanpa dakwah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dan para pengikutnya di setiap zaman tidak ada Islam sebagai agama bermasyarakat pada hari ini.

4. Contoh ayat-ayat al-Qur’an yang berkenaan dengan dakwah dan tabligh:

  • Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya) maka bererti engkau tidaklah menyampaikan risalahNya. Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya, Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. (surah al-Ma’idah, ayat 67)

  • Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja. Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan. (Surah al-Ma’idah, ayat 99)

  • Dan hendaklah muncul dari kalangan kamu suatu ummah yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya. (Surah Ali ‘Imran, ayat 104)

  • Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalanNya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah (Surah al-Nahl, ayat 125).

5. Maka jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w. diwajibkan oleh Allah s.w.t. berdakwah dan bertabligh. Dan semua orang beriman dikehendaki mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w. dalam menjalankan kerja dakwah dan tabligh. Yang Allah s.w.t. menghendaki Rasulullah s.a.w. dakwah dan tablighkan ialah seluruh mesej al-Qur’an. Baginda dengan penuh ketaatan menyampaikannya kepada manusia, menerangkan isi kandungannya dan menghayatinya secara amali dan akli.

6. Daripada sunnah Rasulullah s.a.w. kita dapat membuat rumusan berikut tentang dakwah Islamiah yang diasaskan olehnya: Isi kandungan dakwah ialah mesej al-Qur’an pada keseluruhannya. Pendakwahnya (da’i) seorang manusia yang mempunyai ciri-ciri kenabian dan kerasulan. Sasarannya ialah umat manusia keseluruhannya walau pun dari segi perlaksanaannya ada golongan tertentu – atas alasan yang cukup berasas – yang patut didahulukan sebelum yang lain (priority groups). Kaedahnya ialah dengan hikmah dan nasihat dan perbahasan/dialog/wacana secara yang terbaik.

Dakwah dan Pembinaan Intelektual

7. Sekiranya kita betul-betul memahami keempat-empat aspek utama dakwah – mesej dakwah, sifat dan ciri-ciri pendakwah, golongan yang didakwahkan dan kaedah dakwah – maka kita dapat memahami pula hubungan antara dakwah dan pembinaan intelektual. Oleh kerana kita berbicara tentang dakwah Islamiah maka sudah tentulah huraian kita tentang keempat-empat aspek dakwah didasarkan pada ajaran al-Qur’an dan Sunnah Nabi s.a.w. Sekiranya kita memahami dan menerima falsafah dakwah Islamiah dari segi teori dan amalinya maka kita tidak dapat lari daripada tugas menguruskan pembinaan akal dan ilmu kita, yakni pembangunan intelektual dalam ertikata yang sebenarnya. Dalam kata lain, apabila dakwah Islamiah itu diceburi dan dihayati sebaik yang mungin maka ia merupakan sebuah madrasah yang ideal untuk melahirkan insan yang mempunyai kekuatan intelektual untuk memperkasakan umat Islam.

8. Aspek pertama dakwah Islamiah ialah mesejnya. Mesej ini ialah kitab suci al-Qur’an dan seluruh isi kandungannya. Ia difahami dan diketahui dengan ilmu. Semua orang Islam akan merujuk kepada mesej yang sama. Tetapi kualiti mesej yahg kita sampaikan kepada manusia tentang al-Qur’an bergantung pada ilmu yang kita miliki tentang kitab suci ini. Kita harus mempunyai cita-cita dan tekad untuk memiliki ilmu tentang al-Qur’an pada tahap yang sebaik-baiknya. Lagi tinggi dan mendalam ilmu kita tentang al-Qur’an lagi tinggi kualiti mesej yang kita dakwahkan kepada manusia. Dengan memiliki ilmu seperti itu juga kita boleh melebarkan sasaran dakwah kita dalam ertikata bahawa kita memahami bahagian mesej mana yang hendak disesuaikan dengan golongan tertentu yang hendak didakwahkan. Kebolehan memilih mesej yang secocok dengan penerima mesej merupakan sebahagian daripada kekuatan intelektual yang harus dimiliki oleh para da’i. Kebolehan ini tidak datang kepada kita secara begitu sahaja. Ia perlu dipupuk dan dikembangkan. Ini suatu contoh yang jelas untuk menunjukkan bahawa dakwah Islamiah menyediakan suatu madrasah untuk kita membina daya kekuatan dan keupayaan intelektual kita.

9. Kita harus membezakan antara ilmu memahami ayat-ayat tertentu atau surah-surah tertentu di dalam al-Qur’an dan ilmu memahami sifat dan ciri-ciri al-Qur’an sebagai sebuah kitab yang diwahyukan. Ilmu jenis pertama ini disebut sebagai bersifat juz’i (kejuzukan, serpihan dsb), iaitu ia merujuk kepada makna yang terkandung dalam ayat-ayat tertentu. Ilmu jenis kedua pula disebut sebagai bersifat kulli (menyeluruh, sepadu), iaitu ia merujuk kepada mesej al-Qur’an secara keseluruhan. Dalam tradisi intelektual Islam memang dijelaskan antara ilmu tentang juzuk-juzuk sesuatu perkara dan ilmu tentang perkara itu secara keseluruhan. Dalam bahasa Inggeris, ada ungkapan serupa yang berbunyi: the whole is greater than the sum of its parts. Ilmu tentang keseluruhan sesuatu adalah lebih luas dan lebih mencakupi daripada jumlah ilmu tentang bahagian-bahagiannya.

Contoh: Ilmu tentang manusia sebagai manusia yang dilihat secara menyeluruh dan sepadu: Manusia ialah sebuah alam kecil (al-‘alam al-saghir; microcosmos); atau manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi

Ilmu-ilmu ini tentang manusia tidak dapat sama sekali disamakan dengan jumlah ilmu tentang bahagian-bahagian dan anggota-anggota diri manusia. Pengetahuan kita tentang jantung, otak dan anggota-anggota lain pada diri manusia kalau dicampurkan tidak akan menyamai ilmu yang mengatakan bahawa manusia ialah al-‘alam al-saghir dan khalifatullah fi’l-ard.

Demikian juga dengan ilmu kulli tentang al-Qur’an tidak semestinya dapat disimpulkan sebagai jumlah ilmu juz’i yang terkandung di dalamnya. Namun demikian ilmu juz’i boleh menyumbang kepada perumusan ilmu kulli. Sebagai contoh, salah satu nama al-Qur’an ialah al-Furqan yang membawa makna kriteria bagi membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Memang terdapat ayat-ayat yang merujuk kepada peranan al-Qur’an sebagai pembeza antara yang hak dan yang batil. Al-Furqan ialah juga nama sebuah surah al-Qur’an. Yang perlu disedari ialah bahawa ilmu tentang al-Qur’an sebagai al-Furqan melampaui makna ayat-ayat tertentu. Ia boleh dibahaskan secara bebas daripada ilmu tafsir yang biasa difahami.

10. Dewasa ini yang kurang dimiliki oleh kebanyakan kita ialah ilmu kulli tentang al-Qur’an sedangkan ilmu dari jenis inilah yang sangat diperlukan oleh umat kerana ilmu ini dapat menjawab seribu satu masalah yang timbul dalam pemikiran manusia hari ini baik yang beragama Islam mahu pun yang bukan. Dalam dunia yang mempersoalkan al-Qur’an dan wahyu Ilahi pada amnya dan pada zaman di mana ramai cerdik pandai keturunan Islam lari daripada al-Quran atau tidak mempedulikannya ilmu kulli tentang al-Qur’an boleh membantu dalam menyediakan jawapan dan penyelesaian.

11. Implikasinya: Bagi mempastikan mesej dakwah Islamiah berkualiti dan berkesan maka ilmu-ilmu al-Quran (‘ulum al-Qur’an) perlu dirumuskan semula dengan mengambil kira isu-isu pemikiran zaman kita dan realiti zaman kita. Bahasa yang digunakan untuk menyampaikan ilmu-ilmu ini juga harus disesuaikan dengan cara berfikir zaman ini. Kita tidak mempunyai sebuah institusi yang menumpukan perhatian kepada ilmu kulli dan ilmu-ilmu juz’i tentang al-Qur’an. Yang kita ada hanyalah institut al-Qur ‘an yang terbatas kepada ilmu dan seni membaca dan menghafal al-Qur’an.

12. Aspek kedua dakwah Islamiah ialah sifat dan ciri-ciri yang patut ada pada seseorang pendakwah. Model atau pendakwah mithali kita ialah Rasululullah s.a.w. Ada banyak ciri yang boleh dibincangkan. Tetapi tumpuan kita dalam konteks kertas ini ialah kepada ciri keilmuan dan keintelektualan. Kita perlu memahami konsep dan falsafah ilmu yang dihayati oleh Rasulullah s.a.w. yang tidak lain dan tidak bukan adalah konsep dan falsafah ilmu yang diajarkan oleh al-Qur’an sendiri. Rasulullah s.a.w. adalah ilmuan, intelektual atau ulama mithali untuk kita contohi. Ajaran al-tawhid adalah ruh falsafah ilmu pegangannya. Akal, jiwa, ruh dan hati kalbu dilihat sebagai satu kesatuan dalam falsafah ilmu yang diajarkan oleh baginda. Ilmu dan iman saling bertaut. Iman mencetuskan ilmu yang baru dan ilmu yang baru memantapkan lagi iman. Pembinaan ilmu dan akal harus didasarkan kepada rukun-rukun iman.

Juga tidak terdapat pemisahan atau konflik antara ilmu dan amal. Iman, ilmu dan amal tercantum dalam kesatuan dan kesepaduan yang jelas menunjukkan penghayatan tawhid dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Isu-isu dan urusan dunia dan akhirat dilihat dalam satu kesatuan. Baginda mengajar kita supaya berdoa kepada Allah s.w.t. agar dilindungi daripada ilmu yang sia-sia. Ilmu yang bermanfaat meliputi ilmu yang memenuhi keperluan jasmani, keperluan kejiwaan, keperluan ruhani dan keperluan intelektual manusia.

13. Dalam kita membina kekuatan intelektual kita adalah perlu keenam-keenam rukun iman dan kelima-lima rukun Islam difahami dan dihayati pada peringkat ihsan. Ini bermakna bahawa kita perlu memberi pengisian ilmu dan hikmah kepada rukun iman dan rukun Islam. Ini menuntut suatu proses pembelajaran yang memerlukan masa.

14. Satu soalan yang relevan dengan perbincangan kita boleh dimajukan: apakah hubungan antara kehidupan keruhanian dan kewarasan dan ketajaman akal, kejernihan fikiran dan keluasan wawasan intelektual? Dalam ajaran Islam memang terdapat hubungan erat antara kehidupan keruhanian dan kehidupan intelektual. Khazanah ilmu dalam tradisi keruhanian Islam boleh memberi sumbangan besar kepada pembinaan kekuatan intelektual di kalangan umat Islam.

15. Aspek ketiga dakwah Islamiah ialah sasarannya, iaitu para individu dan golongan manusia yang hendak didakwahkan. Dari segi manakah aspek dakwah Islamiah ini boleh menyediakan madrasah pembinaan intelektual untuk para pendakwah? Aspek ini memerlukan pendakwah yang mengetahui secara mendalam selok belok kejiwaan dan tabiat manusia, termasuklah kecenderungan-kecenderungan tabii pada diri manusia, kekuatan dan juga kelemahannya. Dengan kata lain, aspek dakwah ini memerlukan penguasaan ilmu psikologi, khususnya psikologi keruhanian. Oleh kerana Allah mencipta manusia dan maha mengetahui tentang segenap segi kejiwaan manusia maka Dia telah membahagikan di dalam al-Qur’an jiwa-jiwa manusia kepada beberapa kelompok untuk membolehkan kita mengenali kelas-kelas jiwa ini. Pengelasan jiwa-jiwa ini boleh membantu para da’i dalam mengatur strategi untuk menentukan prioritas atau keutamaan dalam memilih sasaran dakwah.

16. Aspek keempat dakwah Islamiah ialah kaedah dan pendekatan yang digunakan untuk berdakwah. Al-Quran telah menyediakan prinsip yang jelas berhubungan dengan kaedah ini: secara hikmah dan nasihat yang baik dan berhujah atau berbahas secara terbaik. Tetapi prinsip ini masih memerlukan pemerincian dan penjelasan. Anjuran al-Quran ini menyentuh peranan akal, iaitu untuk berfikir dengan betul, rasional dan matang. Dalam hal ini juga terdapat dalam tradisi Islam khazanah ilmu yang kaya tentang sifat dan ciri-ciri akal dan peranannya dalam kehidupan manusia termasuk kehidupan beragama. Al-Qur’an mementingkan hujah-hujah yang bernas dan jitu. Maka konsep jadal telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam ilmu mantik atau logik. Kekuatan intelektual tidak dapat dibina tanpa akal manusia dididk dengan seni berfikir yang sempurna.

Kepentingan dakwah kepada jemaah Islamiah

Sekadar menumpukan perbincangan dakwah Islamiah kepada keempat-empat aspek sahaja seperti yang telah saya bincangkan, sudah cukup untuk saya membuat kesimpulan bahawa betapa pentingnya dakwah kepada mana-mana jemaah Islamiah khususnya dan kepada umat Islam pada amnya. Dakwah kelihatan sebagai nadi masyarakat atau umah yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan dan kelangsungan umat. Kelumpuhan dakwah di kalangan sesebuah jemaah Islamiah akhirnya akan mematikan jemaah itu sendiri. Pada peringkat kehidupan umat, kelesuan dakwah akan melemahkan umat.

Kalaulah sesebuah jemaah Islamiah berpegang teguh pada prinsip-prinsip yang terkandung dalam keempat-empat aspek dakwah tersebut di atas maka jemaah itu akan dapat menyaksikan:

  • Ahli-ahli yang mempunyai kefahaman mendalam tentang al-Qur’an dan Sunnah Nabi; ilmu al-Qur’an yang dimiliki mereka meliputi kedua-dua jenis, iaitu ilmu juz’i dan ilmu kulli; institusi ilmu al-Qur’an yang unggul akan diwujudkan
  • Ahli-ahli yang berusaha untuk mencontohi sunnah dakwah Rasulullah s.a.w. dan dengan itu berusaha pula ke arah pembentukan keperibadian yang dituntut oleh al-Qur’an
  • Bilangan ahli yang semakin bertambah kerana sasaran dakwah akan terus melebar dan meluas; jemaah akan lebih rapat dengan masyarakat kerana ada usaha berterusan daripada ahli-ahli jemaah untuk menyelami lubuk hati masyarakat dan mengenal pasti individu dan golongan masyarakat yang hendak diberikan keutamaan sebagai penerima dakwah
  • Ahli-ahli yang mempunyai daya berfikir yang baik, keupayaan berhujah yang tinggi dan yang pada umumnya mempunyai kekuatan intelektual yang tinggi;
  • Semua ini akan mencetuskan kedinamisan di kalangan ahli-ahli dan akan menggalakkan percambahan majlis-majlis ilmu bukan sahaja di kalangan ahli tetapi juga di kalangan masyarakat umumnya.

Kalaulah dakwah tidak lagi menjadi kegiatan utama sesebuah jemaah Islamiah maka jemaah yang dahulunya terkenal dan berpengaruh pun akan:

  • Beransur-ansur kehilangan ahli
  • Akan hilang kedinamisan dan menjadi semakin lesu
  • Akan kehilangan ahli-ahli berilmu dan berpengalaman kerana tidak ada lagi kesinambungan tradisi keilmuan dan pemikiran yang pernah dimilikinya
  • Menyaksikan semakin berkurangnya majlis-majlis ilmu
  • Menjadi semakin renggang dari masyarakat
  • Akan hilang nama dan pengaruh dalam masyarakat
  • Tidak lagi relevan dengan keperluan umat sezaman

Wabi’Llah al-tawfik wa’l-hidayat, wa bihi nasta’in

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 49 other followers