Konsep dan Objektif Pendidikan Seks Menurut Perspektif al Quran

Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Seksual Kebangsaan 2005 yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keluarga Universiti Malaya pada 30 Julai 2005 –
Diedar semula sempena Siri Diskusi Khas (SDK) Ke 3 Anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) pada 22 Julai 2006 Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

*****************************************************************

Abstrak

Pendidikan seks menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat melibatkan masyarakat awam, kerajaan, ahli akademik dan lain-lain. Topik berkaitan konsep dan objektif pendidikan seks merupakan aspek penting untuk dibincangkan kerana ia perlu difahami secara jelas dan mendalam sebelum program tersebut dilaksanakan. Pemahanan tentang konsep dan objektif pendidikan seks amat penting kerana ia merupakan asas di dalam menentukan kerangka dan hala tuju pelaksanaan program pendidikan tersebut. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji konsep dan objektif pendidikan seks menurut perspektif al-Quran. Perbincangan-perbincangan al-Quran berkaitan topik tersebut akan menjadi teras di dalam kajian ini di samping hadith-hadith yang menjadi penerang kepada konsep-konsep yang terkandung di dalam al-Quran. Pandangan para ilmuan Islam juga turut dibincangkan dalam memahami apa yang telah diperkatakan oleh al-Quran dan al-Hadith tersebut. Kajian analitikal berdasarkan sumber al-Quran dan al-Hadith mampu memberikan satu pemahaman yang jelas berkaitan dengan konsep dan objektif pendidikan seks menurut perspektif Islam. Rumusan daripada kertas ini dapat memberikan input yang berguna kepada pihak yang terlibat di dalam menggubal dan menentukan corak perlaksanaan program pendidikan seks di negara ini agar ia menjadi lebih berkesan dan tidak tersasar dari landasan agama.

Konsep dan Objektif Pendidikian Seks

Menurut Perspektif al Quran


Oleh

Dr. Muhamad Zahiri Awang Mat

Institut Pendidikan

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Rahimi Md. Saad

Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan

Universiti Malaya

Perkembangan pesat dalam bidang ekonomi dan teknologi telah meninggalkan impak yang mendalam terhadap sosio-budaya informasi serta gaya hidup masyarakat. Isu moral dan sosial yang banyak diperkatakan kini sebahagian besarnya adalah hasil daripada perkembangan tersebut. Statistik berkaitan pelbagai gejala keruntuhan moral seperti penagihan dadah, rogol, pelacuran, persetubuhan luar nikah dan lain-lain lagi di kalangan remaja telah mendorong pihak berkuasa untuk mencari alternatif terbaik bagi menghindari mereka daripada terus terjebak di dalam aktiviti keruntuhan moral tersebut. Untuk menangani gejala yang berkait aspek seksual, maklumat dan pengetahuan yang tepat berkaitan dengan seksualiti dan reproduksi perlulah didedahkan kepada golongan remaja agar mereka memperolehi maklumat yang mampu menjadi benteng pertahanan diri dari perkara yang boleh merosakkan diri dan masa depan mereka. Sebagai langkah positif, untuk membendung perkara ini, Kementerian Pendidikan (kini Pelajaran) telah mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa subjek berkaitan seksualiti dan reproduktif seperti Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Islam dan Moral, Biologi dan Sains. Kurikulum subjek-subjek tersebut menyentuh pelbagai topik yang berkaitan dengan kesihatan fizikal, seksualiti, reproduksi, dan aspek moral dan hubungan antara jantina.

Semenjak diperkenalkan, pelbagai bentuk penilaian dan perubahan terhadap kurikulum tersebut telah dilakukan untuk memenuhi keperluan dan perkembangan semasa. Kini, usaha untuk memberikan pendidikan seksual yang formal bukan sahaja ditangani oleh Kementerian Pelajaran tetapi juga melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan. Semua pihak yang terlibat telah telah berusaha untuk merangka dan melaksanakan satu program kesedaran dan pendidikan seksual yang berkesan untuk kepentingan masyarakat. Pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak diambilkira untuk menghasilkan pengisian yang terbaik untuk program tersebut. Pandangan dan perspektif agama merupakan aspek yang penting untuk diberi perhatian agar agenda program tersebut dapat membuahkan hasil yang terbaik.

Sebagai sebuah negara Islam, pandangan serta perspektif Islam perlu diberikan keutamaan kerana nilai dan konsep yang diutarakan Islam seringkali bersifat universal untuk pelaksanaannya. Kertas kerja ini cuba menjawab beberapa persoalan yang berkaitan dengan pendidikan seks menurut perspektif Islam. Secara lebih khusus, ia akan menyentuh definisi, konsep dan objektif serta kedudukan pendidikan seks. Ia juga membincangkan pendidikan seks dalam konteks holistik dan objektif jangka pendek serta jangka panjang pendidikan seks menurut perspektif al-Quran.

Pendidikan Seks

Menurut Kamus Dewan (1994), perkataan ‘seks’ bermaksud sifat-sifat yang membezakan laki-laki dan perempuan (jantina) atau keinginan syahwat. Secara umumnya, perkataan seks memberikan gambaran tentang suatu keadaan di mana wujudnya hubungan di antara berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan. Bagi sesetengah masyarakat, perbincangan tentang topik seks dianggap sebagai taboo atau tidak wajar dibicarakan kerana ia adalah perkara yang terlalu peribadi atau dianggap sebagai persoalan ‘dalam selimut’. Namun, apabila perkataan seks dikaitkan dengan pendidikan, ia akan memberi satu maksud yang amat berbeza. Pendidikan seks secara umumnya merupakan satu proses mendidik yang bersifat maklumat (cognitive), pemahaman dalaman (internal cosnsiousness/spiritual/ morality) dan juga jasmani (physical) kepada golongan sasaran tertentu seperti pelajar sekolah dan juga orang awam tentang amalan kehidupan yang berkaitan dengan hubungan di antara dua jantina tersebut. Ia boleh dilaksanakan samada secara formal atau pun tidak formal.

Di dalam Islam, isu yang berkaitan dengan seks bukanlah perkara asing. Ia telah dibincangkan dengan begitu meluas oleh para ilmuan dan agamawan Islam. Perbincangan tersebut bukanlah berdasarkan kepada pandangan mereka semata-mata tetapi adalah bertunjangkan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t melalui kitab al-Quran dan juga penjelasan oleh RasulNya melalui al-Sunnah. Pemerhatian yang mendalam terhadap kandungan al-Quran dan al-Hadith akan mendapati bahawa perbincangan tentang seks sentiasa dikaitkan dengan persoalan akidah, akhlak, tingkah laku mulia, menjauhi kemungkaran dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Sebagai contoh, al-Quran telah menggambarkan institusi perkahwinan sebagai sebuah institusi suci yang mampu memberi ketenangan dan merealisasikan erti kasih sayang yang sebenar melalui firmanNya yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Al-Rum: 21)

Apabila membicarakan perkara yang berkaitan dengan penyelewengan seks (sexual deviance) seperti zina, Allah s.w.t menegaskan ia sebagai perbuatan mungkar yang terkutuk. Ini dapat difahami melalui firman-Nya yang bermaksud:“Dan Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (Al-Isra': 32)

Apabila menyentuh persoalan hubungan seks songsang (homosexsuality) seperti yang dikisahkan melalui kaum Nabi Luth, Allah s.w.t telah mengecam perbuatan mereka dengan menyatakah bahawa mereka telah melakukan perbuatan fahisyah iaitu perbuatan yang dikutuk. Firman-Nya bermaksud: “Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatakala ia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahisyah (homosexuality) itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?” (Al-A’raf: 80)

Daripada perspektif agama, orang yang mampu mengelakkan diri mereka daripada terjebak dalam salahlaku seks menunjukkan bahawa mereka mempunyai kekuatan dalaman (spiritual) dan daya tahan diri yang kuat. Dalam sebuah hadith, Nabi s.a.w. telah menjelaskan bahawa seorang yang mempunyai iman yang sempurna tidak akan melakukan hubungan seks di luar nikah. Baginda menyatakan: “Tidak akan berzina seseorang penzina itu dalam keadaan dia beriman… …” ( Riwayat Bukhari)

Islam juga memandang serius kepada perbuatan atau perlakuan awal (preaction) yang boleh membawa kepada berlakunya zina seperti berkhalwat. Rasulullah menyatakan: “Tidak berada di tempat sunyi antara seorang lelaki dan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan”. Hadith ini menunjukkan bahawa perbuatan bersunyian (khalwat) antara seorang wanita dan lelaki (yang tiada hubungan mahram) boleh mendorong kepada penyelewengan seksual kerana mereka akan dipengaruhi oleh syaitan yang sentiasa mendorong manusia ke arah kejahatan.

Larangan ini lebih jelas dapat dilihat di dalam al-Quran melalui larangan perbuatan zina. Allah berfirman (maksudnya): “Janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya ia adalah perbuatan fahisyah (terkutuk) dan buruk padahnya.” (al-Isra’:32). Jelas melalui ayat tersebut bahawa Allah bukan sahaja melarang perbuatan zina bahkan mendekati zina juga turut dilarang kerana sebagai Pencipta, Allah mengetahui bahawa di antara kedua-dua jantina ini akan sentiada ada daya tarikan untuk mewujudkan yang lebih intim dari aspek seksual.

Pandangan Islam terhadap Pendidikan Seks

Abdulah Nasih ‘Ulwan (1985) telah menghuraikan pendidikan seks sebagai satu proses untuk ;

“mengajar, menjelaskan dan meberi peringatan kepada remaja tentang isu yang berkaitan dengan seks, naluri, nafsu (syahwat), dan hubungannya dengan perkahwinan…sehingga mereka membesar dalam keadaan memahami erti kehidupan. Remaja mengetahui apa yang dibenarkan dan apa yang ditegah dan mereka menjadikan sikap dan tingkahlaku Islam sebagai praktik dalam kehidupan.”[1](hal. 499)

Al-Tawil (1992) pula menanggap pendidikan seksualiti sebagai satu proses yang bertujuan untuk;

“mengajar, memberi peringatan dan berterus terang kepada kanak-kanak (remaja) semenjak baligh lagi dengan isu yang berkaitan dengan seksualiti, naluri dan perkahwinan. Apabila mereka meningkat dewasa, mereka akan memahami perkara yang berkaitan dengan kehidupan dan mengetahui apa yang halal dan apa yang haram Cara hidup Islam akan menjadi akhlak mereka maka mereka akan menjauhi segala perlakuan yang keji.”[2](hal: 8)

Analisis terhadap beberapa ayat al-Quran dan al-Hadith jelas menunjukkan bahawa Islam amat menggalakkan umatnya untuk mempelajari ilmu dan pengetahuan yang berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan seksualiti dan reproduktif. Islam amat mementingkan umatnya menjalani kehidupan seksual yang sempurna dan baik selaras dengan tuntutan Allah s.w.t. Segala perintah dan peraturan agama berkaitan seksual yang ditetapkan oleh Islam adalah bermatlamatkan kepada kesejahteraan hidup manusia. Di antara firman Allah yang berkaitan ialah:”Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang- pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah.” (Al-Zariyat: 49)

Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: “Haidh itu adalah kotoran”. Oleh itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu.” (Al-Baqarah: 222)

“Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau (hamba) yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka tidak (termasuk dalam kelompok orang yang) tercela dalam hal ini. Barangsiapa yang mencari di sebalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Mukminun: 5-7)

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka… Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya…” (Al-Nur: 30-31)

Nabi s.a.w. sendiri semasa hayatnya telah mengajar para sahabat baginda secara jelas pelbagai perkara yang berkaitan dengan persoalan seks. Segala permasalahan yang timbul di kalangan mereka akan terus dirujuk kepada Nabi s.a.w. untuk mendapat penjelasan. Kandungan sebuah hadith telah menunjukkan keprihatinan baginda dalam hal ini kerana telah memperuntukkan satu sesi khusus untuk wanita di kota Madinah mengemukakan masalah yang berkaitan dengan diri mereka (wanita) tanpa kehadiran kaum lelaki. Ini menggambarkan bahawa baginda amat mengggalakkan aktiviti perbincangan yang bermatlamatkan untuk menambah ilmu pengetahuan untuk kepentingan hidup seharian. Baginda menyatakan: “Kerahmatan bersama wanita Ansar (penduduk Madinah). Perasaan malu tidak menghalang mereka untuk mendapatkan ilmu pengetahuan agama.[3] Saidina Ali r.a juga menyatakan tidak sepatutnya ada perasaan malu dalam perkara berkaitan agama.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah r.a. katanya: “Di zaman Rasulullah s.a.w., kami adalah pemuda-pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Rasulullah s.a.w. berkata kepada kami (yang bermaksud): “Wahai para pemuda, siapa yang mampu berumahtangga, kahwinlah. Sesungguhnya perkahwinan itu melindungi pandangan mata dan memelihara kehormatan. Tetapi siapa yang tidak mampu berkahwin, maka berpuasalah, kerana puasa itu merupakan pendindingnya”.[4]

Jika dilihat pada perspektif agama, perbincangan tentang seks adalah digalakkan selagi ia bermatlamatkan kepada keinginan untuk mencari kebenaran dan sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Perbincanganan tersebut mestilah berlandaskan kepada pentafsiran ayat-ayat al-Quran, al-Sunnah dan juga pandangan ilmuan Islam yang berautoriti sama ada di kalangan ilmuan lampau atau semasa. Hasil daripada perbincangan tersebut sepatutnya mampu menghasilkan satu garis panduan yang jelas untuk menggubal dasar etika dan adab berkaitan dengan kekeluargaan, seksualiti dan reproduktif yang bercirikan Islam.

Apabila membicarakan tentang seksualiti, isu-isu berkaitan yang perlu diberi perhatian tidak sepatutnya terhad kepada perbezaan, perkembangan dan perubahan fizikal jantina sahaja tetapi ia mestilah turut sama memberi perhatian kepada isu interaksi di antara lelaki dan perempuan serta peranan institusi keluarga kerana pemahaman yang betul terhadap perkara tersebut akan dapat mewujudkan kehidupan seksual yang harmoni di kalangan manusia. Jika diteliti, kita dapati bahawa perbincangan yang terkandung di dalam agama yang berkaitan dengan seksual amat menumpukan kepada perkara ini kerana ia adalah asas kepada kehidupan seksual yang sempurna. Pemahaman terhadap larangan dan peranan yang perlu dipatuhi akan membolehkan bentuk interaksi yang berlaku adalah harmoni dan menghindari penyelewengan atau interaksi songsang.

Untuk mendapatkan gambaran yang jelas mengenai isu seksual berdasarkan perspektif al-Quran, kajian perlu ditumpukan kepada perincian dan pemahaman kandungan serta tafsiran berautoriti terhadap ayat-ayat al-Quran yang berkait dengan isu-isu seksualiti, reproduktif, kesihatan fizikal dan kekeluargaan. Berdasarkan analisa terperinci terhadap kandungan al-Quran, ayat-ayat yang berkait dengan dengan isu-isu tersebut dapat dirumuskan seperti jadual berikut :

Isu/Topik

Jumlah Ayat

Maruah diri, perkahwinan dan institusi kekeluargaan

87

Penyelewengan seks dan seks luar nikah

92

Hadath

4

Batas serta adab hubungan antara lelaki dan perempuan

44

Hubungan kedua ibubapa dan anak-anak

33

Matlamat Pendidikan Seks dari Perspektif al-Quran

Di antara matlamat utama dalam mendidik masyarakat memahami kehidupan seksual yang selaras dengan tuntutan agama adalah untuk mematuhi perintah dan tuntutan Allah terhadap manusia atau dengan ertikata lain sebagai satu ibadah. Allah telah menyatakan melalui firmanNya (bermaksud): “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melain untuk beribadah.” (al-Zariyat: 56). Tanggungjawab beribadah bermakna menjalankan kehidupan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Allah telah menyediakan garis panduan kehidupan manusia melalui al-Quran dan menyediakan konsep-konsep untuk difahami dan ia telah diperincikan oleh Rasulullah s.a.w melalui al-Sunnah yang seterusnya dibincangkan oleh para ulama dan ilmuwan.

Sebagai hamba, manusia bertanggungjawab untuk mematuhi perintah Allah sebagai yang difirmankanNya (bermaksud): “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan sendiri mengenai urusan mereka, dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab: 36).

Menjadi tanggungjawab kepada masyarakat untuk mendidik anggotanya memahami corak kehidupan dalam apa jua aspek sama ada ekonomi, sosial, moral dan sebagainya agar mereka dapat menjalani kehidupan yang sentiasa diredhai Allah. Dalam hal ini, kehidupan seksual juga tidak terlepas dari tanggungjawab masyarakat untuk menyampaikannya terutama kepada generasi muda kerana kecelaruan yang timbul akan menimbulkan masalah yang perlu ditanggung oleh semua anggota masyarakat. Mereka perlu difahamkan dengan gaya hidup seksual yang selaras dengan nilai dan garis hidup yang ditetapkan oleh Islam. Kandungan pengisian program pendidikan seksual mestilah mampu menjurus orang yang dididik ke arah memahami diri sendiri yang seterusnya membawa mereka kepada mengenali dan patuh kepada Allah sebagai tuhan mereka.

Pendidikan seks juga perlu diberi perhatian kerana ia merupakan satu mekanisme untuk setiap individu memahami dan seterusnya memelihara maruah diri mereka. Perkara ini dapat difahami melalui perintah Allah s.w.t agar para wanita menjaga aurat mereka melalui ayat 59 surah al-Ahzab. Allah selitkan di dalam ayat tersebut kenyataan “..yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu…”. Kandungan ayat ini telah menunjukkan bahawa Allah mewajibkan perkara tersebut kerana ia adalah satu cara untuk memastikan kehormatan diri dan maruah wanita akan kekal terpelihara.

Penjagaan maruah bukan perkara kecil kerana ia merupakan salah satu daripada tujuan atau matlamat umum (maqasid) kepada penurunan syariat Allah ke atas manusia. Islam amat mementingkan penjagaan kehormatan diri kerana Allah sendiri memuliakan manusia. Firman Allah (bermaksud): “Dan sesungguhnya kami muliakan anak-anak Adam dan kami memelihara darjat mereka di daratan dan lautan. Kami berikan rezeki dari yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna daripada sekelian makhluk yang telah kami cipta (iaitu akal” (al-Isra’: 70)

Kaitan Pendidikan Seks dengan Aqidah

Pendidikan seks juga mempunyai perkaitan amat rapat dengan aqidah. Pendidikan seks yang berkonsepkan Islam mestilah berteraskan kepada kepercayaan kita kepada Allah dan seluruh rukun iman yang lain. Apabila kita percaya kepada Allah sebagai Tuhan yang Maha Bekuasa, maka menjadi tanggungjawab kita untuk patuh kepadaNya. Orang yang patuh kepada perintah Allah adalah orang yang percaya kepada kekuasaanNya serta mempercayai balasan baik dan buruk di kehidupan akhirat.

Dalam perintah menjaga a’urat, Allah memulakan ayat (bermaksud) : “Katakanlah kepada orang-orang perempuan yang beriman…” (al-Nur: 31). Dapat difahami daripada ayat ini bahawa wanita yang mematuhi perintah tersebut telah diakui oleh Allah sebagai orang yang beriman iaitu percaya kepada kebesaran Allah dan percaya bahawa balasan yang buruk akan menimpa orang-orang yang ingkar.

Kaitan Pendidikan Seks dengan Kesejahteraan Manusia

Masyarakat yang dapat mendidik anggotanya menjalani kahidupan seksual yang harmoni akan dapat mewujudkan sebuah kehidupan yang sejahtera. Allah telah menjanjikan bahawa umat yang patuh kepada perintah Allah akan sentiasa dirahmatiNya. Janji ini dinyatakan melalui firmanNya (bermaskud): “ Jika penduduk sesuatu negeri itu beriman dan bertaqwa (patuh) kepada Allah, Kami akan bukakan untuk mereka keberkatan daripada langit dan bumi…” (al-A’raf: 96).

Apabila kehidupan seksual berjalan mengikut garispanduan agama, sebuah masyarakat yang damai dan sejahtera. Pembentukan sesebuah masyarakat akan menjadi harmoni kerana ia dibentuk oleh sebuah keluarga yang dipenuhi dengan kasih saying. Allah telah memerintahkan supaya manusia berkahwin kerana ia membawa kesan yang begitu penting terhadap kesejahteraan hidup mereka jika mengikut lunas yang ditetapkan. Firman Allah (bermaksud): “ Dan Allah telah menjadikan untuk kamu daripada diri kamu berpasangan dan mengurniakan untukmu daripada mereka anak-anak dan cucu-cucu serta mengurniakan untuk kamu semua rezeki-rezeki yang baik.” (al-Nahl: 16). Allah juga menyatakan (bermaksud): “ Dan di antara tanda-tanda kekuasanNya Dia menciptakan daripada diri kamu pasangan untuk kamu memperolehi ketenangan daripadanya dan menjadikan di antara kamu kasih saying. Sesungguhnya yang demikian itu mempunyai isyarat untuk kaum yang berfikir”. (al-Rum: 30)

Pelaksanaan Pendidikan Seks

Jika diperhatikan kepada apa yang disarankan oleh al-Quran dan al-Sunnah, pendidikan seks mestilah berjalan sebagai satu proses yang berterusan. Pelaksanaan yang bersifat sementara atau sekadar untuk menyelesaikan masalah sosial semasa adalah langkah yang tidak praktikal.

Islam menekankan bahawa pendidikan harus dimulakan daripada peringkat bawah supaya kanak-kanak dapat memahami perbezaan jantina yang wujud di antara mereka. Pada peringkat usia 10 tahun lagi, ibu-bapa diarahkan untuk mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan. Arahan ini secara tidak langsung (indirect) adalah satu bentuk didikan agar anak-anak ini dapat memahami bahawa perbezaan jantina yang wujud antara mereka tidak membolehkan mereka untuk berhubungan terlalu rapat walaupun mereka mempunyai pertalian darah. Apabila meningkat dewasa, kefahaman itu akan menjadi lebih jelas apabila mereka diwajibkan menutup aurat serta membatasi pergaulan dengan jantina yang berbeza.

Hal yang sama juga dapat dilihat melalui pendekatan yang digunakan oleh syariat Islam untuk menerapkan garis kehidupan seksual umatnya. Penekanan diberikan kepada langkah pencegahan awal seperti mewajibkan penutupan aurat, melarang pergaulan bebas antara jantina berbeza serta menetapkan mekanisme penyaluran keperluan seksual yang sah melalui institusi perkahwinan yang amat digalakkan di dalam Islam. Nabi s.a.w sendiri telah menyatakan bahawa mereka yang berkahwin itu telah menyempurnakan separuh daripada kesempurnaan agamanya bahkan mereka yang mengelakkan daripada berkahwin dalam keadaan mereka mampu berbuat demikian dianggap tidak termasuk dalam kelompok umatnya.

Pendekatan tersebut perlu diberikan penekanan kerana kandungan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah lebih menekankan kepada perkara tersebut berbanding hukuman. Namun jika manusia masih gagal untuk mengikuti pendekatan ‘lembut’ yang nyatakan, maka hukuman yang keras akan menanti mereka yang menyonsang perintah Allah dan fitrah kehidupan manusia. Syariat Islam telah menjanjikan sebatan seratus rotan untuk penzina bujang dan rejam sampai mati untuk penzina yang telah berkahwin. Hukuman ‘keras’ ini disediakan untuk mereka yang degil dan gagal untuk memahami tuntutan Tuhan yang manfaatnya adalah untuk kesejahteraan diri mereka sendiri.

Kandungan pendidikan seks juga mesti sentiasa dikaitkan dengan nilai-nilai murni mereka yang dididik dapat memahami manfaat dan akibat daripada sikap mereka untuk akur atau menyanggahi apa yang telah disampaikan kepada mereka.

Objektif Am Pendidikan Seks

Jika diteliti penulisan dan pemikiran para cendekiawan dan tokoh pendidikan Islam seperti Al-Ghazali, Nasih ‘Ulwan, Othman al-Tawil dan Malik Badri[5], objektif am pendidikan seks dan reproduktif berpaksikan Islam dapat digariskan sepereti berikut:

1) Untuk mempastikan pelajar dapat menghayati kesyumulan ajaran Islam dalam menangani segala permasalahan manusia.

2) Untuk menambahkan lagi keyakinan dan keimanan pelajar terhadap kebesaran dan keagungan Tuhan. Seterusnya melahirkan manusia yang taat kepada perintah Allah s.w.t (beribadat kepada Allah) tanpa berbelah bahagi.

3) Untuk memberi maklumat yang betul dan jelas mengenai perkara yang berkaitan dengan seksualiti kepada remaja. Ini dengan menyediakan kurikulum pendidikan seksualiti yang standard berkaitan dengan kebaikan dan keburukan serta halal dan haram bertepatan dengan ajaran Islam.

4) Untuk membentuk akhlak, sikap dan tingkah laku yang mulia di kalangan pelajar berhubung dengan seksualiti dan reproduktif.

5) Untuk membuka minda pelajar berkaitan dengan kesihatan dan etika seksualiti serta kepentingan institusi keluarga.

Daripada objektif di atas, kesyumulan Islam adalah perkara yang amat ditekankan dalam kurikulum seksualiti. Kesyumulan bermaksud Islam tidak meninggalkan sesuatu isu kecuali untuk diperbincangkan sebagai panduan kepada umatnya dan keseluruhan manusia amnya. Garis panduan yang bersifat pengetahuan (ilmu) ini mempunyai kaitan dengan sifat suci dan spiritual sesuatu ilmu. Setiap ilmu terdapat rahsia ketauhidannya yang tersendiri.[6] Secara umum, kesemua objektif tersebut menyentuh domain kognitif, spiritual, efektif dan psikomotor.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, konsep pendidikan seks daripada perspektif Islam perlu;

  • dilihat secara menyeluruh (holistic) kerana pelaksanaannya adalah bermatlamatkan kepada sebuah sistem kehidupan insan yang harmoni dan sejahtera
  • mengelakkan daripada salahfaham yang boleh membawa kepada gangguan dan kekacauan akibat daripada salahguna maklumat yang diperolehi
  • menjadikan keselamatan dan kesejahteraan umat sebagai agenda utama dalam pelaksanaan pendidikan seks
  • berpandukan kepada rangka matlamat syariat (maqasid syariah) – menjaga agama, maruah, keturunan dll. – agar pelaksanaannya dapat mencapai objektif yang diharapkan


NOTA HUJUNG

[1] Abdullah Nasih ‘Ulwan (1985), Tarbiat al-Awlad fi al-Islam, jil. 2. Kaherah: Dar al-Salam, hal: 499

[2] Othman al-Tawil (1992): Al-Tarbiyyah al-Jinsiyyah fi al-Islam li al-Fatayat wa al-Fityan. Amman: Dar al- Furqan, hal: 8

[3] Abu Zakaria al-Nawawi. Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, Kitab al-Haid, Bab Istihbab Isticmal al-Maghtasalah min al-Haid, vol. 4. (Damascus: Dar al-Khair, 1994): 13, lihat juga Muhammad ibn Ismail al-Bukhari. Sahih al-Bukhari bi Hashiah al-Sindi, Kitab al-Ictisam bi al-Kitab wa al-Sunnah, Bab Taclim al-Nabi Ummatahu, vol. 2, bhg. 4. (Cairo: Matbaah Dar Ihya’ al-Kutub al-cRabiah, t.t.) 263.

[4] (Riwayat Bukhari). Lihat Sahih Bukhari (2002), terjemahan H. Zainuddin Hamidy dan lain-lain, jil. iv, bab al-Nikah. Singapura: Darel Fajr Publishing House, hal: 7-8.

[5] Lihat Al-GHazali (…), Ihya’ Ulum al-Din, op cit, hal: 25-33; Abdullah Nasih ‘Ulwan (1985), Tarbiat al-Awlad fi al-Islam, op cit, hal: 499-604 ; Othman al-Tawil (1992), Al-Tarbiyyah al-Jinsiyyah fi al-Islam li al-Fatayat wa al-Fityan. Op cit, hal: 13; Malik Badri (2000), The Aids Crisis: A Natural Product of Modernity’s Sexual Revolution, op cit, hal: 320-328.

[6] Untuk keterangan lanjut mengenai kesucian ilmu (pengislaman ilmu) lihat tulisan S. M. Naquib al- Attas (1993), Islam and Secularism, Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), hal: 133-160; S. M. Naquib al- Attas (1999), The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education, hal: 38-45 dan Wan Mohd Nor Wan Daud (1997), Penjelasan Budya Ilmu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal: 87-101.

About these ads

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers

%d bloggers like this: