Archive for November, 2008|Monthly archive page

Konsep Pembangunan Insan Dalam Islam

Bahan usrah yang dibentangkan oleh Presiden MUAFAKAT, Profesor Emeritus Datuk Osman Bakar, PhD, pada 1 May 2007

************************************************************************

Mukadimah

1. Untuk menghuraikan tajuk ini, kita perlu menjelaskan makna tiga perkataan: insan, Islam dan pembangunan

2. Sebelum menjelaskan konsep pembangunan insan dalam Islam kita perlu menjelaskan terlebih dahulu ajaran agama Islam tentang insan

3. Seperti yang dapat dilihat nanti, konsep insan dalam Islam tidak sama dengan konsep insan dalam sistem kepercayaan dan pemikiran Barat moden yang sekarang ini mempengaruhi seluruh dunia walau pun terdapat banyak kesamaan

Konsep Insan

1. Sumber utama ajaran Islam tentang insan ialah Kitab suci al-Quran. Sumber utama pandangan tamadun Barat moden tentang manusia ialah ilmu sains yang sudah dipengaruhi oleh beberapa kepercayaan dan ideologi falsafah

2. Tegasnya, konsep manusia dalam tamadun Islam adalah bersumberkan agama; dalam tamadun Barat moden, ia bersumberkan falsafah dan sains yang dihasilkan oleh akal fikiran semata-mata

3. Dalam tamadun Islam, peranan falsafah dan sains ialah untuk memperhalusi lagi ajaran-ajaran yang terdapat di dalam al-Quran

4. AlQuran memberitahu kita bahawa manusia adalah makhluk Tuhan yang dicipta khusus oleh-Nya:

4.1 manusia bukan hasil proses evolusi seperti yang didakwa oleh teori evolusi biologi moden

4.2 manusia adalah spesis makhluk paling sempurna: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (surah al-tin, ayat 4)

4.3 lagi keistimewaan kejadian manusia menurut al-Quran: “Tuhan yang telah menciptamu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan kamu seimbang. Dan dalam apa sahaja bentuk dan rupa yang dikehendaki-Nya, Dia menyusun kejadianmu.” (surah al-infitar, ayat-ayat 7-8)

4.4 manusia dijadikan daripada berbagai-bagai unsur daripada pelbagai jenis alam: unsur-unsur jasmani/fizikal (tanah) yang membentuk tubuh badan manusia; unsur-unsur ruhani (ruh; akal; hati-kalbu) yang membentuk diri ruhani dan diri akliah manusia; unsur-unsur kejiwaan (nafs) daripada alam kemalaikatan (ruhani), alam jinn (psiki/halus) dan alam haiwaniah

4.5 tentang unsur-unsur jasmani, al-Quran menegaskan: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering yang berasal daripada lumpur hitam yang berubah bentuknya” (surah al-hijr, ayat 26)

4.6 tentang unsur-unsur ruhani, al-Quran menegaskan: “Kemudian, apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan ruh padanya maka hendaklah kamu sujud kepadanya” (surah al-hijr, ayat 29)

4.7 tentang unsur-unsur akliah, al-Quran menegaskan: “Mengapa kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu melupai akan diri kamu sendiri; pada hal kamu semua membaca Kitab Allah (Taurat)? Tidakkah kamu berakal?” (surah al-baqarah, ayat 44)

4.8 tentang unsur-unsur ruhani berkaitan dengan hati-kalbu, al-Quran menegaskan: “Dialah yang menurunkan sakinah (ketenangan) ke dalam hati-kalbu orang yang beriman supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan yang sedia ada” (surah al-fath, ayat 4)

4.9 al-Quran juga merujuk kepada hati-kalbu sebagai sarang penyakit ruhaniah: “Dalam hati-kalbu mereka terdapat penyakit, lalu Allah menambahkan lagi penyakit mereka dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih disebabkan mereka berdusta.” (sural al-baqarah, ayat 10)

4.10 tentang dada (sudur) sebagai lokasi niat, perasaan, rahsia individu dsb, al-Quran menegaskan: “Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi serta Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan. Allah Maha Mengetahui segala yang terkandung di dalam dada.” (surah al-taghabun, ayat 4)

4.11 tentang unsur-unsur kejiwaan dari alam ruhani atau kemalaikatan, al-Quran menegaskan: “Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya.” (surah al-fajr, ayat-ayat 27-28)

4.12 tentang unsur-unsur kejiwaan yang boleh dibangunkan sama ada untuk kebaikan atau kejahatan, al-Quran menegaskan: “Demi jiwa dan penyempurnaannya. Maka Allah mengilhamkan jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketaqwaan.” (surah al-shams, ayat-ayat 7-8)

4.13 tentang unsur-unsur kejiwaan yang dikaitkan dengan sifat-sifat dan nafsu kebinatangan, al-Quran menjelaskan: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami turunkannya ke tempat yang serendah-rendahnya.” (surah al-tin, ayat-ayat 4-5)

5. Manusia adalah makhluk paling istimewa oleh kerana pencapaian ilmunya. Manusia boleh berada pada kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah s.w.t. berbanding dengan para malaikat sekiranya dia mempunyai ilmu-ilmu tertentu:

Al-Quran menegaskan: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam segala nama benda-benda, kemudian dikemukakan-Nya (benda-benda itu) kepada malaikat, lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.” Para malaikat menjawab, “Maha suci Engkau! Kami tidak mempunyai pengetahuan kecuali sekadar apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.” Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”

6. Kelebihan Nabi Adam diiktiraf oleh malaikat: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kepada Adam.” Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, serta ia menjadi sebahagian daripada golongan yang kafir.” (surah al-baqarah, ayat-ayat 31-34)

7. Kesimpulannya, manusia dijadikan daripada unsur-unsur daripada semua alam: alam fizikal, alam halus/psiki dan alam ruhani termasuk ruh yang Allah tiupkan dari sisi-Nya. Oleh kerana unsur-unsur daripada semua alam terdapat pada diri manusia maka manusia disebut dalam tradisi Islam sebagai alam kecil atau mikrokosmos (al-‘alam al-saghir). Inilah konsep insan bersepadu yang telah diajarkan oleh agama. Konsep ini berbeza dengan konsep-konsep insan serpihan yang sekarang ini berleluasa di dunia termasuk di kalangan umat Islam

8. Mengapakah manusia dijadikan sebagai manusia yang sedemikian rupa? Jawapannya: agar manusia dapat berperanan sebagai hamba (‘abd) Allah dan khalifah Allah di muka bumi, iaitu satu tempat istimewa dalam alam semesta yang Dia telah pilih sebagai tempat kediaman sementara manusia:

8.1 Menurut al-Quran: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (surah al-dhariyat, ayat 56)

8.2 “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (surah al-baqarah, ayat 30)

9. Kepentingan ilmu: manusia dapat memainkan peranannya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan baik hanya sekiranya dia memiliki ilmu. Tanpa ilmu yang sesuai dia tidak akan dapat memainkan kedua-dua peranan tersebut

Memahami Ajaran Pokok Agama Islam

1. Ilmu untuk manusia beribadat kepada Allah dan ilmu untuknya berperanan dan berfungsi sebagai khalifah Allah: Bolehkah manusia mencari sendiri ilmu-ilmu ini? Jawapannya: Tidak boleh! Manusia perlukan bimbingan Ilahi: maka Allah telah mewahyukan al-Quran sebagai kitab panduan

2. Bagi memainkan peranan masing-masing sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah Allah, kaum Muslimin perlu memahami dan menguasai ilmu agama Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Allah telah mempermudahkan manusia untuk memahami agama Islam. Menurut sebuah hadis, Allah telah mengutus malaikat Jibra’il kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan sekumpulan para sahabat untuk mengajar mereka agama (al-din). Intisari agama terdiri daripada tiga aspek/juzuk: islam, iman dan ihsan. Nama agama Islam diambil daripada aspek atau juzuk pertama, iaitu islam

3. Aspek Islam merujuk kepada rukun Islam yang lima; aspek iman merujuk kepada rukun iman yang enam; aspek ihsan merujuk kepada kualiti penghayatan rukun islam dan kualiti penghayatan rukun iman pada tahap kesempurnaan dan kecemerlangan

4. Rukun iman adalah asas kepercayaan dan pemikiran Islam; rukun Islam adalah asas pembentukan masyarakat dan umat Islam; ihsan adalah asas sistem keruhanian Islam. Ilmu tentang ketiga-tiga juzuk intisari agama ini wajib dimiliki oleh setiap orang: ilmu-ilmu ini adalah bertaraf fardu ‘ain

5. Manusia adalah individu dan juga anggota masyarakat. Dia perlu memainkan peranannya sebagai hamba dan sebagai khalifah Allah secara individu dan juga secara kolektif. Untuk memudahkan penganut Islam memainkan peranan khalifah Allah secara kolektif, Allah telah menyediakan syariat sebagai sumber peraturan hidup bermasyarakat dan bernegara. Ilmu yang wajib dimiliki oleh masyarakat pada tahap yang memadai, iaitu yang boleh menjamin kesejahteraan masyarakat, tetapi tidak semestinya dimiliki oleh setiap warganegara disebut sebagai ilmu fardu kifayah

Konsep Pembangunan Insan

1. Konsep pembangunan insan dalam Islam semestinya berdasarkan kepada konsep insan dan ajaran pokok agama Islam yang telah dihuraikan tadi

2. Prinsip-prinsip pembangunan insan dalam Islam adalah seperti berikut:

a. teras pembangunan masyarakat dan negara adalah pembangunan insan; teras pembangunan insan adalah pembangunan keruhanian kerana kemajuan keruhanian merupakan tujuan sebenar manusia dicipta oleh Allah s.w.t.

b. pembangunan kebendaan adalah alat kepada pembangunan insan: teknologi dicipta untuk menjadi hamba kepada manusia, bukannya manusia menjadi hamba kepada teknologi

3. Ciri-ciri pembangunan insan menurut Islam meliputi:

a. kemajuan keimanan,

b. kemajuan keilmuan,

c. kemajuan akhlak,

d. penyuburan amal salih/kerja-kerja kebajikan, dan pada umumnya amr bi’l-ma’ruf (komitmen kepada kerja-kerja kebaikan),

e. kesungguhan dalam menggerakkan nahy ‘ani’l-munkar (memerangi kemungkaran, jenayah, rasuah, keganasan dan seumpamanya), dan penghayatan keadilan

4. Seluruh sistem kemasyarakatan – sistem pendidikan, sistem perundangan, sistem ekonomi, sistem politik, sistem kebudayaan, dan sebagainya – malahan seluruh tamadun, disusun dan digerakkan bagi tujuan mencapai matlamat pembangunan insan seperti yang telah dijelaskan

5. Syariat Islam adalah syariat yang Allah telah anugerahkan kepada manusia dengan tujuan untuk membolehkan umat Islam mencapai matlamat pembangunan insan dengan harga yang termurah!

Kesimpulan

1. Pembangunan insan dalam Islam adalah pembangunan yang menghayati maqasid al-shari’ah (tujuan-tujuan syariat Ilahi), khususnya lima tujuan pokok Syariat Islam, iaitu

i. memelihara agama;

ii. memelihara akal;

iii. memelihara nyawa;

iv. memelihara keturunan; dan

v. memelihara harta.

2. Dengan terjaminnya kelima-lima perkara ini maka barulah terjamin kesejahteraan dan keadilan masyarakat dan dengan itu juga terjaminnya pembangunan insan yang sebenar.

Wabillah al-tawfik wal-hidayah, wa bihi nasta’in.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 47 other followers